KOLUM | Kadang-kadang jika hadir di satu-satu majlis berkaitan seni, semasa pulang kami merasakan perlu untuk menulis mengenainya. Namun banyak kalinya kami malas untuk berbuat demikian.
Pertama kerana kami tidak merasakan yang kami ini bertanggungjawab untuk melakukannya, dan yang kedua ialah kerana kadang-kadang kami merasakan yang kami ini seperti lebih sudu daripada kuah.
Poyo tidak kena tempat.
Kamu juga harus faham yang kami bukan penulis yang boleh dirujuk hasil kerjanya. Tulisan kami hanya sekadar seloroh antara dua kawan. Ditulis dan mungkin baca untuk membuang sedikit masa.
Namun di sudut yang lain, ada masanya kami menulis untuk meraikan rakan-rakan. Bahkan sebenarnya memang kami menulis untuk menggembirakan.
Sangkaan baik daripada kami ialah mereka tentu berbesar hati jika apa saja yang mereka kerjakan diberi sedikit penghargaan. Dan menulis mengenainya adalah sumbangan kecil daripada kami untuk mereka.
Sebenarnya kami tidak mahu menulis mengenai program di bawah ini. Pertama kerana setelah mengetahui serba sedikit mengenai perjalanannya, kami dapati acara tersebut sudah berjaya.
Dan seperti yang diketahui, kami gemar menulis mengenai kegagalan.
Kedua, semasa ke acara tersebut, kami juga membawa seorang penulis lain yang kami berikan tugasan untuk membuat sedikit liputan. Tulisan itu kemudiannya dimuatkan di portal Kolumpo Art.
Keakraban penduduk setempat
Semasa ditanya sama ada tahu atau tidak mengenai acara Residensi Artis Antarabangsa Inderacheka (RAI2025), kami menyatakan ada mendengar mengenainya .
Kemudian ditanya juga sama ada kami akan hadir atau tidak. Maka jawapan kami pada waktu itu ialah “tergantung kepada masa.”
Namun apabila tiba masanya, kami pun menggagahkan diri untuk pergi melihat acara tersebut. Kebetulan pula kami mendengar yang waktu itu durian sedang galak gugur di kawasan berkenaan.
Durian Ulu Cheka ini sedikit istimewa. malah dengan berani kami katakan yang durian Ulu Cheka adalah lebih baik daripada apa yang dihasilkan di daerah Raub.
Nanti jika berpeluang, kami sarankan kamu ke sana dan jika berani, carilah Damak King.
Ulu Cheka itu kawasan yang tidak pernah kami lawati sehinggalah acara Chekaism yang berlangsung lebih awal dari RAI2025. Semasa di acara yang terdahulu, kami melihat sedikit keakraban masyarakat setempat yang melibatkan diri dalam acara tersebut.

Walaupun tidak 100 peratus, namun masih terlihat kelibat penduduk tempatan yang datang untuk memeriahkan acara.
RAI2025 ternyata amat berlainan dengan Chekaism. Sekurang-kurangnya jika kamu mengambil kira penglibatan penduduk setempat.
Kami hairan melihatkan keadaan itu kerana sudah banyak acara seni – yang kononnya untuk masyarakat – berakhir dengan perkumpulan seniman yang sedap sendiri.
Mereka berkumpul dan berpesta sementara penduduk setempat hanya menjadi penonton yang datang malu-malu dan terpinga-pinga.
Semasa mula-mula tiba, kami melihat bagaimana imam atau bilal yang juga merupakan tok empat kawasan tersebut berjenaka santai dengan Rahmat Haron sang pengarah projek RAI2025.
Kami meminta maaf kepada tok empat tersebut kerana terlupa nama dia.
Namun daripada apa yang kami lihat, tok empat berkenaan tidak berasa janggal berdepan dengan Rahmat yang – jika kita mahu berterus terang – adalah sejenis ‘makhluk asing’ kepada orang kebanyakan.
Pengusaha inap desa terlibat
Apabila ditanya kemudian, Rahmat mengatakan yang hubungan dia dengan tok empat tersebut – dan seluruh penduduk Ulu Cheka – adalah seperti keluarga.
Dalam perkataan Rahmat, sendiri dia mengatakan, “Aku tak tahu sama ada aku jadi anak angkat orang kampung ni, atau orang kampung ni jadi anak angkat aku.”
Hubungan akrab itu juga yang memungkinkan RAI2025 berjaya.
Penghulu Ulu Cheka, Khairul Akhma Yusof, memberitahu kami yang program tersebut dimulakan sekembalinya Rahmat dari China setelah menghadiri program yang sama.
Lalu seluruh jentera yang memungkinkan keberlangsungan acara tersebut mula digerakkan.
Khairul Akhma kemudian menggerakkan seluruh penduduk kampung untuk memberikan kerjasama. Yang lebih menarik tentu saja penglibatan 12 pengusaha rumah inap desa di kawasan tersebut.
Kami mengenali Khairul Akhma sebelum acara RAI2025 lagi. Daripada dialah kami mengetahui tentang durian seperti yang kami ceritakan di atas.

RAI2025 yang menjemput seniman dari seluruh dunia itu tentu memerlukan perbelanjaan yang besar, namun sehingga hari program bermula, hanya Tourism Pahang yang memberikan sekitar 10 peratus daripada dana yang diperlukan.
Semua peruntukan tersebut disalurkan terus kepada persatuan rumah inap desa dan mereka yang menguruskan segalanya.
Menurut Rahmat, beberapa permohonan juga diajukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yayasan Hasanah dan Balai Seni Negara, namun sehingga acara berakhir tiada sebarang maklum balas yang diterima.
RAI2025 akhirnya berjalan dengan dana yang sekecil itu.
Pun begitu, dengan segala keterbatasan, RAI2025 adalah acara seni untuk masyarakat yang paling berjaya yang pernah kami sertai.
Seniman yang mewakili Malaysia, Hasnul Jamal Saidon – yang membawa kerjanya yang terkenal yakni H3RO – ke pedalaman Pahang mengatakan kerjanya kali ini adalah yang paling ramai penyertaan.
Beri kepercayaan kepada masyarakat
Jika sebelum ini peserta yang hadir hanya sekitar 30 hingga 40 orang, di Ulu Cheka serami 150 orang telah turut serta.
Khairul Akhma pula memberitahu yang seluruh penduduk kampung Cina berdekatan juga memberi sumbangan 100 peratus dalam pelbagai bentuk demi untuk menjayakan acara tersebut.
Kami mengucapkan tahniah kepada Rahmat, seniman yang terlibat dan juga seluruh penduduk Ulu Cheka yang menjayakan RAI2025.
Daripada apa yang kami pelajari, untuk memungkinkan masyarakat masuk ke acara seni ialah dengan membiarkan mereka sendiri menguruskannya. Serahkan segala dana yang diperolehi kepada mereka untuk ditadbir.
Seniman hanya tinggal datang untuk bekerja tanpa menyimpan hasrat untuk mendapat untung daripada kerja-kerja sebegitu.
Seni untuk masyarakat harus dimulakan dan dikendali oleh masyarakat.

Pihak yang terlibat dalam pemberian dana khas untuk program-program yang memakai nama masyarakat harus pergi terus kepada penduduk setempat.
Sementara itu dalam perkembangan lain, terdapat sebuah galeri persendirian yang meraikan tokoh tempatan di kawasan Ulu Cheka.
Muzium Pawang Nong dibina oleh warisnya bagi menyimpan segala khazanah pawang yang terkenal itu.
Sekali lagi kami lupa nama pemulanya namun dia adalah dari susur-galur pawang tersebut dan dia melakukannya dengan belanja sendiri.
Satu peruntukan yang memungkinkan muzium berkenaan bergerak dengan lebih maju telah diluluskan oleh sebuah agensi kerajaan, namun dibatalkan apabila agensi terbabit bertukar pucuk pimpinan.
Ini adalah sesuatu yang sering menjadikan seseorang yang tulus menjadi jauh hati.
Mungkin pihak yang berkenaan boleh memikirkan semua keputusan tersebut demi kelangsungan sebuah keberanian untuk mengetengahkan kearifan tempatan walaupun tanpa sebarang sokongan.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang turut pernah teribat dalam seni persembahan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
