KOLUM | Ketika tulisan ini digarap, warga Gaza sedang menghadapi kebuluran. Mengikut kenyataan rasmi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, lebih dari 1 juta warga Palestin di Gaza sedang kebuluran tanpa makanan.
Laman Al-Jazeera melapor pada 24 Ogos 2025: angka kematian kini telah mencecah 60,000 orang.
Majoriti terbunuh wanita dan kanak-kanak. Dari laporan tentera Israel yang bocor menunjukkan hanya 17 peratus daripada mereka yang terbunuh di Gaza adalah pejuang gerila Palestin.
Pada ketika ini Zionis Israel sedang menggunakan makanan sebagai senjata.

Ini untuk memastikan seluruh Semenanjung Gaza dikosongkan. Perdana Menteri Netanyahu telah mengeluarkan arahan kepada bala tentera Israel untuk masuk dan menawan Gaza.
Netanyahu juga memberi arahan dan amaran kepada warga Gaza: mereka wajib berpindah ke selatan untuk selamat, ke wilayah bersempadan dengan Mesir. Ini kerana bala tentera Israel akan masuk menyerang.
Seramai 60,000 soldadu tambahan telah dipanggil untuk membantu projek menawan Gaza. Netanyahu masih menjual mantra: tujuan pertama untuk menghapus Hamas, tujuan kedua untuk membebaskan tawanan.
Secara rasmi Pejabat Netanyahu telah membentang pelan dengan menyenaraikan lima objektif: melucutkan senjata Hamas, mengembalikan semua tawanan, memusnahkan seluruh Semenanjung Gaza, mengambil kawalan keselamatan wilayah itu dan menubuhkan "pentadbiran awam alternatif yang bukan Hamas mahupun Pihak Berkuasa Palestin".

Projek tawan Gaza ini mendapat bantahan, terutama dari warga Israel sendiri termasuk keluarga tawanan. Suara bekas PM Israel Ehud Barak juga menentang rancangan ini. Semua bantahan tidak dipedulikan oleh Netanyahu.
Malah Eyal Zamir, Ketua Staf Am Angkatan Pertahanan Israel (IDF), turut tidak bersetuju dengan rancangan Netanyahu ini. Menurut jeneral tersebut, rancangan menawan Gaza amat berbahaya — “walking into a trap” (masuk ke dalam perangkap).
Berkali-kali dan beribu-ribu warga Israel turun ke jalan berdemonstrasi menentang projek Netanyahu. Kaum keluarga tawanan terus menuntut agar gencatan senjata dijalankan dan semua tawanan dibebaskan. Netanyahu tidak ambil peduli.
PBB di New York, Macron di Paris, Starmer di London, Merz di Berlin — malah hampir seluruh pemimpin dunia kecuali Trump dan Amerika menentang serta mengecam tindakan Netanyahu dan Zionis Israel di Gaza.

Jika seluruh dunia kecuali Amerika menentang Israel — kenapa Netanyahu masih berdegil? Apa sebenarnya yang ada dalam perancangannya?
Jawapannya mudah: Netanyahu sedang merancang untuk mendirikan apa yang dikenali sebagai Israel Raya.
Apa itu Israel Raya?
Israel Raya dalam bahasa Ibrani dipanggil Eretz Yisrael HaShlema. Apa yang sedang dilakukan Netanyahu ketika ini adalah usaha untuk mewujudkan Israel Raya.
Hari ini dunia mungkin tidak menyedari bahawa dalam peta dunia belum ada sempadan negara Israel yang jelas. Sejak tahun 1948, sempadan Israel berubah-ubah.

Pada tahun 2017 ibu kota Israel berpindah dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis. Langkah ini dipersetujui oleh Trump yang ketika itu menjawat jawatan presiden buat kali pertama.
Israel wujud pada tahun 1948. Ia hasil dari keruntuhan Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1922 setelah kalah dalam Perang Dunia Pertama. Kalah perang menyebabkan wilayah empayar tersebut di bumi Arab dipecah dan dibahagi.
Hari ini sempadan yang kita lihat di bumi Arab dirujuk sebagai Sempadan Sykes-Picot. Ia hasil kerja Sir Mark Sykes dari UK dan François Georges-Picot dari Perancis. Dua diplomat ini memeterai Perjanjian Sykes-Picot pada Mei 1916.
Ini perjanjian rahsia antara Britain dan Perancis semasa Perang Dunia Pertama. Perjanjian ini membahagikan wilayah Arab dari Empayar Uthmaniyyah yang runtuh kepada zon pengaruh British dan Perancis.

Bumi Arab dan penduduk tempatan dipecah-pecahkan — ada wilayah Sunni, ada wilayah Syiah, ada wilayah Kurdish. Ini untuk memastikan ketidakstabilan dan konflik berterusan hingga ke hari ini di Timur Tengah.
Daripada perjanjian ini muncul Deklarasi Balfour 1917 yang menjadikan Palestin di bawah mandat British. Lebanon dan Syria pula di bawah naungan Perancis.
Deklarasi Balfour ialah kenyataan umum yang dikeluarkan oleh kerajaan British pada tahun 1917 semasa Perang Dunia Pertama. Ia mengumumkan sokongan UK terhadap penubuhan “rumah negara untuk orang Yahudi” di Palestin.
Namun, idea tentang Israel Raya telah lama wujud dalam ajaran kitab suci agama Yahudi. Kitab Torah menyebut bahawa Bani Yahudi ialah kaum pilihan Tuhan dan Israel pula Tanah Perjanjian yang dijanjikan Tuhan kepada mereka.

Ia merujuk kepada kawasan di Levant yang Tuhan pilih untuk dikurniakan melalui siri perjanjian dengan Nabi Ibrahim, keluarga serta keturunan Nabi Ishak.
Tanah Perjanjian ini ditafsirkan bermula dari Semenanjung Sinai, Palestin, Lebanon, Jordan, Syria hingga ke Sungai Dajlah di Iraq.
Inilah projek Israel Raya yang sedang diusahakan Netanyahu.
Paling terbaru termasuklah peluasan wilayah Israel di Syria. Pada tahun 1967 Israel menawan Bukit Golan. Kini, selepas kerajaan Bashar al-Assad jatuh pada 8 Disember 2024, Israel menceroboh dan menawan wilayah barat daya Syria bersebelahan Bukit Golan.

Gerakan Zionis Sedunia asalnya bukan berasaskan agama. Ia ialah gerakan nasionalisme Yahudi yang sekular. Gerakan ini diasaskan oleh Theodor Herzl (1860–1904), seorang wartawan Yahudi Austria-Hungary.
Pada tahun 1897 ditubuhkan Pertubuhan Zionis Sedunia dengan cita-cita mendirikan negara bernama Israel. Malah selepas wujudnya Deklarasi Balfour, tanah jajahan British seperti Uganda, Kenya, Guyana, Madagascar, termasuk Australia pernah dicadangkan untuk menjadi bumi Israel.
Sebelum tahun 1948, populasi Yahudi di Palestin tidak melebihi 60,000 orang. Jumlah ini berkembang ketika Palestin di bawah Mandat British. Selepas Perang Dunia Kedua, penduduk Yahudi meningkat kepada 630,000 — kebanyakannya pelarian dari Eropah yang menjadi mangsa Hitler.
Hakikatnya, Palestin ialah bumi Arab, sama seperti Tanah Melayu dan Singapura sebelum Inggeris membawa masuk orang India dan China.
Zionis Kristian
Hari ini, gerakan Israel Raya semakin berkembang. Mereka memiliki pandangan ekstrem kanan yang mahu bukan saja menawan Gaza malah menjadikan Israel Raya satu realiti. Mereka berhimpun di bawah parti Otzma Yehudit — Kuasa Yahudi.
Pemimpin Otzma Yehudit ialah Itamar Ben-Gvir yang kini menjadi menteri dalam negeri dalam kerajaan perpaduan bersama Netanyahu dari Parti Likud.
Parti Kuasa Yahudi ini bukan sahaja mahu mengambil Tebing Barat dan Baitulmuqaddis, malah kini tentera Israel telah masuk dan mengambil beberapa kawasan di selatan Lebanon.

Apa yang dilakukan Netanyahu, Ben-Gvir dan Israel turut mendapat sokongan lain, iaitu daripada kumpulan yang dikenali sebagai Zionis Kristian.
Zionis Kristian ini juga memiliki fahaman ekstrem kanan bersalut ajaran agama Kristian. Bagi penganutnya, mereka menunggu kedatangan kali kedua Nabi Isa dan tempat yang dituju ialah Jurusalem atau Baitulmuqaddis.
Justeru, kaum Yahudi Zionis dan Kristian Zionis ini menjadi benteng kuat mempertahankan segala tindakan Israel dan Netanyahu.
Dari mana datangnya kekuatan Kristian Zionis ini?
Undi terbesar Trump
Jawapannya mudah. Kristian Zionis wujud di seluruh dunia. Mereka yakin Nabi Isa akan datang sekali lagi, maka mereka wajib membuat persediaan.
Kekuatan politik mereka wujud dalam sistem politik Amerika.
Seyogia diberitahu, kumpulan Kristian Zionis inilah yang membawa undi terbesar memastikan Donald Trump kembali ke Rumah Putih.

Mereka bekerja erat dengan Yahudi Zionis di Amerika. Golongan Yahudi Zionis kaya raya ini menyalurkan dana besar untuk menggerakkan Kristian Zionis dalam Parti Republikan dan juga Demokrat.
Kristian Zionis dan Yahudi Zionis inilah yang kini mendominasi politik Trump, politik Amerika, malah politik dunia.
Justeru, jangan hairan melihat bagaimana Trump bersungguh mengusahakan rundingan damai antara Rusia dan Ukraine.
Malah, Trump menghubungi Putin dan Zelensky; pertemuannya dengan Putin di Alaska menjadi bukti usaha damai tersebut.

Namun, mata Trump terpejam terhadap apa yang berlaku di Gaza. Dia tidak pernah menyebut tentang kebuluran, apatah lagi genosid yang sedang berlaku.
Ketika Netanyahu membiarkan warga Gaza kebuluran, Trump berdiam diri tanpa kenyataan. Mustahil dia tidak melihat, membaca atau mendengar.
Dunia melihat Trump cukup selesa dengan tindak-tanduk Netanyahu dan Israel.
Kerana semua ini, muncul desas-desus bahawa Trump sudah berada dalam genggaman Netanyahu. Desas-desus ini makin kuat, kononnya Netanyahu memiliki “sesuatu” yang boleh menekan Trump.
Apakah Presiden Amerika ini sedang diperas ugut oleh Netanyahu? Nantikan minggu hadapan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
