KOLUM | Tenaga terbesar perubahan politik di negara ini bermula genap 27 tahun lalu. Gejala itu kemudiannya digelar gerakan Reformasi, susulan pemecatan dan pemenjaraan tokoh paling kanan Anwar Ibrahim.
Buat pertama kali PAS dan DAP tanpa segan silu duduk sebaris di pentas. Mereka melancarkan manifesto bersama ketika PRU 1999.
Di seluruh dunia, pada 1998, hanya 1 peratus penduduk mempunyai capaian kepada internet, sementara di Malaysia hanya 2.6 peratus warganya mempunyai kemudahan itu. Hampir tiga dekad kemudian, 97.4 peratus penduduk negara kita mempunyai capaian kepada teknologi tersebut (pada 2024).
Setahun selepas Sept 1998, Malaysiakini dotcom muncul sebagai portal bebas yang pertama.
Dr Mahathir Mohamad pula berdepan cabaran besar buat kali kedua selepas asakan Tengku Razaleigh Hamzah dan Team B pada pemilihan Umno 1987. Kabinet terbelah dua, Umno diharamkan, dan muncullah Parti Melayu Semangat 46. Namun PAS dan DAP belum mampu bersama. Satu berada dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan satu lagi Gagasan Rakyat.
Nisbah hutang negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1997, saat krisis ekonomi Asia, 31.9 peratus tetapi kadar itu terus meningkat tidak surut-surut hingga 70.4 peratus pada 2024 (data portal Trading Economics).
Kita boleh buat pelbagai analisis tentang perubahan ini. Misalnya, harga rumah pada suku pertama 1999 hanya 66.00 mata indeks tetapi terus meningkat kepada 228.77 mata pada suku keempat 2024 (angka Global Economy).

Pada waktu itu Anwar masih muda – 51 tahun – berbanding kini sebagai perdana menteri berusia 78 tahun. Anaknya Nurul Izzah Anwar dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari baru remaja 18 tahun ketika itu.
Kini masing-masing merupakan timbalan presiden dan naib presiden PKR berusia 45 tahun. Anthony Loke – yang masih di kampus dan memakai riben putih sebagai simbol keadilan – baru berusia 21 tahun.
Loke kini merupakan Setiausaha Agung DAP (juga menteri pengangkutan) berusia 48 tahun.
Kebencian jadi makanan minda
Bayangkan tenaga muda yang menjadi tulang belakang gerakan protes yang tidak surut-surut antara Sept 1998 hingga tangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada April 2001, hanya beberapa bulan selepas Malaysiakini dilabel "pengkhianat negara" oleh Mahathir gara-gara didakwa menerima dana George Soros.
Selain karisma Anwar dan tenaga muda barisan pembangkang Barisan Alternatif serta aktivis badan bukan kerajaan, portal berita ini bergerak selari membawa perbahasan tema-tema perjuangan demokrasi, hak asasi, kebebasan, ketelusan dan keadilan sosial.
Semuanya itu merupakan tulang belakang perubahan politik era gerakan Reformasi sehingga jatuhlah BN dua dekad kemudian.
Internet, khasnya media sosial, banyak membantu perubahan politik ini seperti di banyak negara lain. Namun media sosial tidak selalu membawa suara kritikan rasional.
Banyak juga prasangka, propaganda dan kebencian dijadikan makanan minda penggunanya. Dalam kes menuntut keadilan atas kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, 13, lebih banyak maklumat palsu dan tohmahan tanpa asas tersebar berbanding penjelasan fakta kerajaan khasnya di TikTok dan WhatsApp.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) gagal membendungnya.
Sejak perubahan 2018 hingga kini, ruang kebebasan sedikit sebanyak sudah terbuka termasuk ruang mendirikan portal, hak berhimpun dan mengecam kerajaan sama ada melalui media sosial atau media konvensional.
Malah cubaan untuk mengawal media sudah dianggap tidak wajar dan bertentangan dengan retorika perubahan. Begitu jauh dunia berubah dalam tempoh 27 tahun.

Sampai di sini, kita perlu memikirkan semula jalan-jalan pembaharuan untuk negara ini yang boleh disertai semua. Bukan kerana reformasi dipandang negatif, dilabel "reformati" atau "reforbasi" seperti Sept 1998, tetapi sifat pembaikian bangsa atau pembaharuan negara itu tidak dapat dielak oleh sesiapa, oleh mana-mana parti politik.
Reformasi itu slogan PKR selain "lawan tetap lawan". Ia ibarat takbir yang menjadi laungan PAS. Bukan hanya orang PAS menjerit ungkapan agama itu tetapi semua orang Islam mengucapkannya.
Jadi, atas sifat negara yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa dan pentingnya menyelesaikan pelbagai longgokan masalah, reformasi itu tidak boleh dielakkan oleh sesiapa. Walaupun Anwar dan PKR sudah tiada lagi.
Negara yang membeku atau membusuk dalam kelemahan akan menjahanamkan warganya. Untuk itu, jalan-jalan baru menuju pembaharuan mesti direncana dari saat ini dengan mengambil kira perubahan yang sudah dan sedang melanda Malaysia sejak 30 tahun dahulu.
Walaupun kadang-kadang Anwar masih lagi diganggu igauan peristiwa 1980-an atau watak 1990-an, hakikatnya semua itu sudah menjadi sejarah yang perlu diteladani.
Politik stabil, kewarasan warga
Semua orang harus memikirkan jalan-jalan baru ini. Semua parti politik mesti menyediakan pelan pembaharuan. Walau apa pun mimpi masing-masing, semua kita tidak boleh lari daripada menerima hakikat apa yang sudah berlaku.
Misalnya beban hutang negara, kos sara hidup yang tidak turun-turun, perangkap pendapatan sederhana (middle income trap) atau kelemahan birokrasi.
Kita juga berdepan kos penjagaan kesihatan yang makin meningkat, warga emas yang makin ramai sewaktu kadar kelahiran perlahan (atau, aging nation), pendapatan rakyat yang naik terlalu perlahan berbanding kos rasa hidup dan gejala gaji tidak setimpal dengan kelulusan rasmi (underemployment).
Belum lagi mengambil kira mutu pendidikan sekolah dan universiti. Belum lagi mengambil kira budaya selenggara bangunan awam dan kemudahan infrastruktur.
Jadi, sama ada BN atau PH atau PN, pembaharuan itu sudah menjadi fakta yang tidak terelakkan. Semua kita terpaksa memikulnya. Kita sebutlah apapun, jika "reformasi" terlalu menjengkelkan, hakikatnya negara ini perlu menuju proses pembaharuan dengan kadar segera.
Dan pembaikan ini pula perlukan suasana politik yang stabil dan juga kewarasan warga.
Pada hemat saya, untuk menuju pembaharuan, kita harus terima hakikat:
1. Semua orang ada kelemahan – daripada rakyat, birokrat, perkhidmatan awam dan juga orang politik. Kes Zara Qairina dan nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris jelas membongkar kelemahan birokrasi dan pemimpin politik.
2. Menukar parti sahaja tidak cukup, malah boleh menggoncang pelbagai kebaikan yang sedia ada seperti Langkah Sheraton yang mencetuskan ketegangan antara parti, pertukaran kerajaan di banyak peringkat dan sekali gus melembikkan kuasa kerajaan awam.
3. Ruang demokrasi dan kebebasan yang dikecapi saat ini boleh berkembang lagi tetapi semua itu perlu bermutu. Misalnya, kebebasan media mesti menghasilkan produk yang lebih baik, atau kebebasan bersuara mesti bersama kawalan diri, atau perbahasan di media sosial lebih sopan dan bernas.
4. Semua orang perlu terlibat aktif dalam demokrasi, bukan berharap pada pemimpin dan parti politik sahaja. Jika pertukaran kerajaan yang kerap menimbulkan masalah, atau jika pengganti kerajaan lama itu gagal, rakyat tidak seharusnya ikut terseret dalam kancah itu. Dengan kata lain, jika kerajaan gagal, rakyat atau sektor lain tidak boleh gagal.
Untuk itu, kita perlu kembali kepada pesan Francis Fukuyama: "Proponents of democracy focus, for understandable reasons, on limiting the powers of tyrannical or predatory states. But they do not spend as much time thinking about how to govern effectively — they are, in Woodrow Wilson's phrase, more interested in 'controlling than in energizing government'."
Terjemahan: “Penyokong demokrasi menumpukan perhatian, atas sebab-sebab yang dapat difahami, pada usaha mengehadkan kuasa negara yang bersifat zalim atau pemangsa. Namun, mereka tidak banyak meluangkan masa memikirkan cara-cara untuk mentadbir dengan berkesan — mereka, menurut ungkapan Woodrow Wilson, lebih berminat untuk ‘mengawal daripada menggerakkan kerajaan’.”
Tugas kita bukan hanya menggugat dan menggantikan kerajaan tetapi juga mengutuhkan institusi negara agar ia boleh berdiri sebagai payung yang membawa kesejahteraan kepada semua.
Tidak ada gunanya memimpin negara yang terbakar seperti yang berlaku dalam siri kacau-bilau di Timur Tengah antara 2010 hingga 2012. Tiada sesiapa yang gembira memimpin negara yang rosak atau sebuah parti yang tiada pengikut.
Sebulan lalu, melalui kolum ini, saya pernah bertanya: apa maknanya perubahan jika semua perubahan itu sudah tidak ada makna? Semua kita baik, PH atau PN, kena menjawab teka-teki ini: apa maknanya perubahan jika semua perubahan itu sudah tidak ada makna?
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
