KOLUM | Pada 1952, sebuah padang bola sepak menjadi pentas pertarungan. Anak-anak kampung – ada Melayu, ada Cina, ada India – dari Sekolah Ujong Pasir berkongsi jiwa yang sama: tekad untuk tidak tunduk kepada lawan mereka dari sekolah Inggeris St James.
Di atas kertas, kemenangan sudah hampir pasti milik pihak lawan. Mereka merupakan anak-anak penjajah yang bongkak datang dengan seragam mewah, kasut berkilat, tubuh lebih tegap dan fasiliti latihan yang serba lengkap.
Sementara anak-anak kampung itu pula bergelumang dengan pakaian uzur, bola usang dan datang dari padang becak. Kekurangan yang menjadi saksi jerih perih mereka untuk meraih kejayaan yang dianggap mustahil.
Adegan tersebut barangkali kedengaran seperti lipatan sejarah yang hilang, tetapi sebenarnya ia adalah latar sebuah filem tempatan, Suatu Ketika (2019).
Meskipun tidak disandarkan kepada fakta atau kisah benar, menurut pengarah filem itu, ia diadaptasi dari ‘cerita-cerita orang lama’ untuk menambah elemen-elemen patriotisme dan semangat antikolonial yang wujud dalam jiwa rakyat tempatan pada waktu itu.
Namun, di sebalik statusnya sebagai fiksyen, ia menghidupkan kembali denyut nadi bangsa yang sedang mencari makna “merdeka”.
Bukan sekadar masa lalu
Di layar perak, perlawanan itu tampak kecil kerana ia sekadar kejohanan Piala JG Davidson dan cuma peringkat sekolah. Tetapi di balik naratif tersurat, ia adalah lambang perjuangan sebuah bangsa.
Menentang pasukan sekolah Inggeris ibarat melawan kuasa kolonial yang angkuh, penuh prejudis dan menghina. Kekurangan serba-serbi bukan alasan untuk menyerah kalah, bahkan menjadi pencetus tekad untuk mengangkat sebuah maruah.
Merdeka itu bukan sekadar angka dalam kalendar tetapi ia detik yang lahir daripada keberanian rakyat kecil melawan kuasa besar dan dengan apa sahaja yang mereka ada.
Di atas padang bola, jiwa merdeka itu mula disemai.
Persoalannya, adakah jiwa itu masih hidup, atau sebenarnya ia sudah lama kita biarkan mati dan yang tinggal hanya nostalgia?
Roh merdeka itu bukan milik masa lalu semata-mata. Ia sepatutnya terus hidup - sama ada di meja rundingan mahupun di atas padang. Semangat yang dahulu menumbangkan penjajah seharusnya hari ini menumbangkan segala bentuk ketidakadilan dan kelemahan diri.
Filem Suatu Ketika mengingatkan kita bahawa semangat itu pernah wujud dalam kehidupan rakyat kecil. Sekolah Ujong Pasir – walaupun serba daif – tetap berani menyahut cabaran.

Inilah semangat yang menjadikan bola sepak bukan hanya permainan atau sukan, tetapi medan untuk membuktikan harga diri sesuatu bangsa.
Antara babak yang meninggalkan kesan mendalam ialah ketika Kudin – seorang budak istimewa yang tempang – bertanya kepada Pak Saad, bilakah dia akan berpeluang bermain bersama yang lain-lain.
Jawapan Pak Saad sederhana saja tetapi sarat dengan makna. “Bunga hanya akan cantik jika ada penjaga yang membaja dan menyiramnya,” kata Pak Saad.
Bunga raya, lambang negara kita, tidak mungkin mekar membugar sendiri. Ia perlukan tanah, air, baja dan cahaya. Ia merupakan unsur saling melengkapi dalam proses pertumbuhan pokok.
Begitu juga kemerdekaan – dan juga bola sepak. Tidak semua akan menjadi wira di pentas utama, sebaliknya perlu ada yang berperanan sebagai penjaga, pembantu, pendidik dan penyokong yang beraksi dengan peranan masing-masing di balik layar.
Justeru ‘fatwa’ Pak Saad itu lebih menusuk kerana ia menyingkap realiti hari ini.
Belum merdeka dari bayangan kuasa
Untuk bola sepak kita kembali bermaruah dan disegani, kita perlukan ramai watak yang tidak kemaruk untuk ke depan pentas. Kita perlukan penjaga – cikgu sekolah yang sabar melatih, jurulatih akar umbi yang ikhlas, dan komuniti yang tidak jemu menyokong.
Sama seperti bunga raya, roh kemerdekaan dan roh bola sepak hanya akan mekar jika ada penjaga yang benar-benar amanah. Namun persoalannya, siapakah penjaga bola sepak kita hari ini?
Adakah mereka benar-benar membugar akar atau sekadar memikirkan habuan yang menguntungkan diri sendiri?
Suatu ketika dahulu – pada 1952 – ada sekumpulan anak kampung sanggup melawan budak penjajah di padang bola demi maruah bangsa. Mereka miskin, serba kekurangan, tetapi berani kerana jiwa mereka merdeka.
Suatu masa sekarang – pada 2025 – kita masih bergelut dengan “penjajah” yang lain. Bukan lagi orang Inggeris berkulit putih, tetapi mentaliti feudal yang membelenggu sesetengah orang.
Kita merdeka di atas kertas sejak 1957, tetapi bola sepak kita masih belum merdeka daripada bayang-bayang kuasa, budaya mengampu dan sepak terajang perebutan jawatan.

Dalam filem, semangat juang jelas terpampang walaupun tanpa fasiliti moden. Tetapi dalam dunia nyata, fasiliti sudah gah, gaji sudah melangit, liga sudah profesional, namun roh perjuangan sering tergelincir di tengah jalan.
Dulu kita melawan penjajah dengan sepenuh jiwa, hari ini kita melawan sistem sendiri dengan 1,001 masalah dan alasan.
Kekuatan Suatu Ketika ialah keberanian pengasuh filem itu menggunakan seni dan sukan untuk menyampaikan naratif kebangsaan. Ia mengingatkan kita bahawa filem bukan sekadar hiburan. Tetapi kita juga perlu ingat bahawa bola sepak juga bukan sekadar sukan.
Kedua-duanya adalah wahana untuk menanam nilai, menyemai semangat dan meneguhkan jati diri.
Lebih penting, ia mengingatkan kita bahawa merdeka itu tidak pernah statik. Ia bukan sekadar kenangan lalu, tetapi semangat yang perlu diperbaharui setiap generasi.
Jika tidak, merdeka hanya tinggal bendera dan lagu tanpa jiwa.
Suatu perjuangan bersama
Dalam keadaan negara ini yang sering dibalut isu perkauman, korupsi dan ketidaktentuan, filem seperti Suatu Ketika hadir sebagai penawar lalu mengingatkan kita bahawa suatu ketika dahulu, kita pernah memilih untuk percaya kepada harapan.
Menonton Suatu Ketika, kita seakan-akan dibawa kembali ke zaman semangat merdeka itu masih mentah dan masih dalam genggaman mimpi.
Tetapi mesejnya jelas: merdeka bukan hadiah, ia hasil perjuangan, kesatuan dan pengorbanan.
Begitu juga bola sepak. Ia bukan milik individu, bukan sekadar gaji atau piala, tetapi suatu perjuangan kolektif untuk mengangkat maruah bangsa.
Barangkali itu jugalah sebabnya filem itu diberikan tajuk Suatu Ketika dan mengajak kita berfikir sejenak.
Kemerdekaan bukan hanya nostalgia, tetapi peringatan bahawa pada suatu ketika dahulu kita berjuang dengan jiwa besar.
Dan sekarang, kita dituntut untuk menghidupkan kembali jiwa itu – di atas padang, di ruang seni dan di tanah air yang kita cinta ini.
NUR HADI MOHAMAD ialah pencinta sukan yang menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
