Ketika Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tentunya belum ada warganet dan media sosial. Media massa hanyalah media cetak dan ada dua saja media elektronik iaitu radio dan filem. Televisyen belum ada.
Tentulah lebih mudah untuk kerajaan Tunku Abdul Rahman untuk mengurus dan mengawal persepsi rakyat kerana semua itu tertakluk pada undang-undang Darurat yang ketat. Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1948 hanya berakhir pada tahun 1960.
Cuba bayangkan kalau pada masa itu ada media sosial. Ketika ini pun apabila sudah semuanya berpendidikan, ia boleh menjadi alat penyebaran maklumat palsu dan dengan mudah rakyat mempercayai hoaks, maka apatah lagi masa itu.
Ada komen-komen yang menyatakan bahawa kenapa “dulu tidak berlaku benda-benda buruk tetapi sekarang macam-macam terjadi” menunjukkan bagaimana persepsi terbentuk. Walaupun terdapat banyak perkara yang membentuk persepsi sekarang ini tetapi kewujudan media sosial adalah faktor besar.
Sebabnya, orang mudah saja bagi hantaran atau komen penuh emosi kebencian tanpa berfikir panjang, hanya meluahkannya seolah-olah bersembang dengan kawan di warung. Emosi itu kemudian berlapis-lapis didengung kepada rakyat. Sudah tentu mudah sangat mereka dimanipulasi. Perkara baik dan benar yang dilakukan oleh perdana menteri dijadikan isu untuk memburukkannya.
Pada tahun 1957, suasana pasti lebih sunyi, tenang dan tenteram kerana bukan saja bilangan penduduk yang rendah tetapi hiruk-pikuk media sosial yang menguasai minda warganet pada hari ini tidak wujud. Penduduk Malaya hanya 6.3 juta. Orang Melayu hanya 49 peratus.
Tunku berceramah ke sana dan sini untuk menerangkan apa yang Perikatan lakukan untuk mencapai kemerdekaan. Kebanyakan rakyat tidak begitu minat politik dan juga tidak cukup pengetahuan untuk memahami apa yang sedang berlaku. Mereka hanya perlu percaya dan perhatian mereka adalah kehidupan seharian yang mencabar selepas berakhir perang. Tidak ada sesiapa yang membangkang dengan keras kerana aktivis-aktivis utama sedang ditahan oleh pentadbir British.
Setelah rundingan demi rundingan, maka satu bentuk persefahaman dibentuk antara pemimpin Umno, MCA dan MIC. Inilah dia kontrak sosial antara kaum. Perikatan dapat melakukan demikian atas mandat keputusan pilihan raya tahun 1955.
Cuba bayangkan kalau ada media sosial pada masa itu. Sudah tentu ada saja warganet di kalangan ketiga-tiga kaum itu tidak bersetuju. Ada orang Melayu yang tidak setuju dengan pemberian warganegara kepada orang bukan Melayu. Sementara ada orang bukan Melayu yang tidak bersetuju dengan hak keistimewaan orang Melayu.
Maka jika perundingan sedang berlaku dengan British, media sosial akan terus penuh dengan komen-komen yang boleh membawa tarikh ditangguh lagi.
Takut hilang tanah air
Ketika itu orang Melayu amat takut kehilangan tanah airnya, orang bukan Melayu bimbang pula dihalau keluar dan British bimbang kehilangan pendapatannya dari Malaya. Jika persetujuan tidak tercapai, pergaduhan antara kaum boleh berlaku hingga memusnahkan sumber pendapatan rakyat. Cukuplah kesusahan yang mereka lalui semasa Jepun memerintah dahulu.
Media cetak terbahagi kepada empat kumpulan iaitu akhbar untuk pembaca bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Pihak berkuasa British tentulah menjadikan akhbar The Straits Times yang diterbitkan di Singapura sebagai suara utama mereka. Akhbar itu mula diterbitkan sebagai makluman jadual perkapalan demi kepentingan ekonomi British. Satu perempat pendapatan British datang dari Malaya.
Mereka menamakan semua akhbar bukan bahasa Inggeris sebagai vernacular press, iaitu akhbar bahasa tempatan. Tetapi dalam kata lain, kedudukan akhbar bukan Melayu adalah lebih rendah daripada akhbar bahasa Inggeris.
Segelintir saja orang Melayu yang membaca bahasa Inggeris. Setiap kaum membaca akhbar masing-masing. Maka mereka tidaklah ketahui apa yang orang dari kaum lain kata dan fikir. Pasti ia berbeza. Hanya golongan elit dari semua kaum membaca akhbar bahasa Inggeris dan mereka faham apa yang dikatakan dan difikirkan oleh pihak British.
Edaran The Straits Times yang terbit di Singapura menjangkau ke Melaka dan Pulau Pinang. Sebenarnya ia adalah akhbar untuk Negeri-negeri Selat, iaitu wilayah yang diperintah British secara langsung. Akhbar itu kemudian diedarkan ke bandar-bandar besar di pantai barat Semenanjung. Para peladang British yang dikenali sebagai “planters” menerima akhbar itu lewat beberapa hari. Selalunya mereka yang tinggal di ladang-ladang terpencil hanya menerima akhbar itu seminggu sekali ketika mereka pergi ke pekan untuk mendapat bekalan runcit.
Di Kuala Lumpur ada akhbar The Malay Mail yang beritanya tertumpu pada hal ehwal Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS).
Akhbar bahasa Melayu adalah Utusan Melayu yang bertulisan jawi. Ia diterbitkan dan dicetak di Singapura serta diangkut menggunakan kereta api dan lori menyeberangi tambak Johor. Boleh dibayangkan berapa hari ia sampai di Kelantan atau Kedah. Mereka yang membacanya adalah kebanyakannya guru, itupun di bandar-bandar besar.
Akhbar bahasa Melayu bertulisan rumi ialah Berita Harian yang diterbitkan sebulan sebelum negara mencapai kemerdekaan. Ia diterbitkan oleh The Straits Times yang menjangkakan bahawa masa depan bahasa Melayu adalah dalam tulisan rumi. Tetapi Berita Harian ketika ia mula diterbitkan adalah hanya terjemahan kepada akhbar The Straits Times dan ia mencerminkan pandangan pihak kolonial British.
Akhbar orang Melayu Singapura
Pada mulanya Utusan Melayu dimiliki oleh orang Melayu Singapura melalui saham-saham baik yang dipegang oleh Persatuan Melayu Singapura, keluarga pengasasnya Yusof Ishak dan orang perseorangan. Pandangan akhbar itu banyak dicorakkan oleh para wartawannya secara bebas tetapi tegas dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan membela nasib orang Melayu.
Namun begitu selepas pilihan raya tahun 1955, Umno membeli majoriti saham syarikat Utusan Melayu dan percaya bahawa akhbar harus mencerminkan pandangan politik Umno dan Tunku. Tetapi penguasaan terhadap sidang pengarang hanya berlaku pada tahun 1960 yang menyingkirkan golongan kiri dari akhbar itu.
Pembaca Cina mempunyai akhbar yang terbit bukan saja di Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Mereka bebas menyuarakan pandangan terhadap masa depan negara dengan memiliki pelbagai pandangan. Tetapi tentunya ia tidak diketahui oleh orang Inggeris dan Melayu.
Akhbar-akhbar India juga mempunyai pembacanya tersendiri. Salah satunya mencerminkan pandangan MIC.
Radio Malaya dipancarkan dari Singapura. Hanya pada tahun 1958, ia dipecahkan dengan studio di Kuala Lumpur dinamakan Radio Malaya dan di Singapura dinamakan Radio Singapore. Semuanya milik dan diuruskan oleh kerajaan.
Satu lagi media ialah Malayan Film Unit. Ia adalah sebuah unit kerajaan kolonial British yang pergi ke kampung-kampung menayangkan filem propaganda kerajaan. Filem-filem itu kini boleh ditonton di YouTube. Bila merdeka, ia menjadi Jabatan Filem Negara dan sebahagian daripada Kementerian Penerangan bersama Radio Malaya.
Maka ketika Malaya mencapai kemerdekaan, kerajaan Tunku dapat menguasai dan mengawal secara keseluruhan minda rakyat melalui akhbar, radio dan filem. Tentulah ada fikiran-fikiran rakyat yang berbeza tetapi itu tidaklah sampai menjejaskan.
Bayangkan kalau ada media sosial pada masa itu. Untuk memilih reka bentuk bendera kebangsaan dan simbol-simbol negara lain seperti lagu kebangsaan dan bunga kebangsaan akan didebatkan dengan warganet meluahkan kata-kata kesat dan berbau perkauman.
Apabila acara pengisytiharan kemerdekaan dilakukan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, pasti warganet di media sosial akan membuat hantaran dan komen yang negatif terutama di kalangan konservatif agama dan ekstremis kaum yang merendah-rendahkan acara negara itu.
Sebab itulah, tidak perlu melayan sangat hantaran dan komen warganet. Kebanyakannya sampah, penuh kata-kata jelik, fitnah, hasut dan berdiri pada kejahilan dan kedangkalan fikiran. Hanya ambil peduli pada kata-kata yang benar dan bersopan serta tidak mengganggu fikiran.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
