Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Katalis Maulid: Dialektika, paradoks Syariat

Antara tugasan Rasul SAW adalah untuk menyatukan ummah daripada pelbagai kabilah, kaum, bangsa dan ras agar semuanya kembali mengabdikan diri (ubudiyyah) kepada Yang Maha Esa.

Baginda menyampaikan dakwah sehingga akhirnya ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh dan dapat membina perpaduan mapan. Natijahnya, umat yang bijak mencari titik persamaan serta mengurangkan jurang perbezaan menjadi umat yang terkehadapan sehingga dapat memimpin dunia.

Menguak sejarah lampau, Parsi tumbang, Rom lemah dan Islam menggemakan syiar dan syariatnya sehingga melahirkan kerukunan sejagat. Rasulullah SAW menjadikan tali persahabatan serta ukhuwah Islamiyyah sejak mula menegakkan negara Islam Madinah dengan sistem mu’akhah (persaudaraan) dan diletakkan dalam Piagam Madinah.

Kelahiran Nabi SAW

Terdapat banyak persoalan hari ini tentang merayakan hari kelahiran Nabi SAW, yang sangat dekat dengan kita di bulan Rabiulawal ini, adakah ia sesuatu yang bidaah atau dibenarkan dalam agama?

Realiti yang wajib diketahui, umat Islam hanya mempunyai dua hari raya sahaja iaitu Hari Raya Aidilfitri, diraikan selepas menunaikan rukun Islam ketiga iaitu puasa, dan Hari Raya Aidiladha, iaitu menunaikan ibadah haji di Baitullah, Mekah.

Kedua-dua hari raya ini termasuk solat, takbir, dan ibadah lain, tidak dibenarkan menambah sebarang hari raya lain, dalam agama kerana ia adalah bidaah yang dilarang serta berbahaya kepada agama itu sendiri.

Bagi perayaan kebangsaan atau perayaan lain yang semata-mata bersifat ritualistik dan tidak bertentangan dengan akidah, ia adalah dibenarkan. Tidak ada kontroversi mengenainya, kerana yang penting adalah tujuan juga matlamatnya tidak bertentangan dengan Islam.

Begitu juga, jika menjalankan aktiviti tertentu, seperti menyambut kelahiran Nabi SAW, dan mereka mengambil kesempatan yang ada dengan menyampaikan khutbah mahupun pengisian tentang keutamaan Baginda Rasulullah SAW sebagaimana yang disepakati oleh ulama fiqh hukumnya diharuskan. Namun;

Jika disertai bidaah, khurafat, percampuran lelaki perempuan, serta perkara-perkara haram yang lain, disertai dengan perkara yang mencetuskan kebencian, persengketaan mahupun polemik, sebagaimana umumnya bagi setiap aktiviti yang disertai dengan perkara yang dilarang, maka ia adalah menjadi haram.

Jika tidak disertai dengan perkara-perkara yang dilarang, seperti bidaah yang dilarang dan seumpamanya, maka sewajarnya kita merebut peluang memperkenalkan Rasul SAW, dan menzahirkan rasa kecintaan kepada baginda.

Jika mereka yang merayakan hari lahir ingin menjadikannya sebagai hari raya keagamaan, mengabdikannya untuk beberapa jenis doa, ritual, dan seumpamanya (apa yang dipanggil oleh sesetengah pihak sebagai ritual keagamaan), maka ini sudah pasti dilarang sama sekali kerana ia bertentangan dengan agama.

Syariah adalah petunjuk

Fiqh al-Mizan karangan Sheikh Dr Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi secara tegasnya mengatakan bahawa sesuatu ibadah yang ditambah atau diubah bentuknya melainkan terdapat nas yang jelas sebagaimana aspek adat dan urusan muamalah, ia adalah dibolehkan, kerana prinsip asasnya adalah dibenarkan kecuali bukti yang jelas menunjukkan bahawa ia adalah haram.

Jumhur ulama mengakui analogi dalam beberapa jenis ibadah, dan adanya bid'ah yang baik yang sesuai dengan prinsip-prinsip syariah serta tidak bertentangan dengannya.

Abu Shama Shihab al-Din al-Makdisi, syeikh Dar al-Hadis dari Damsyik berkata dalam The Motivation to Deny Heresies and Incidents

“Terdapat kesepakatan tentang bidaah yang dibolehkan untuk melakukannya, berkaitan peraturan syariah dan tidak melanggar mana-mana daripadanya, serta tidak terdapat larangan daripada syariah itu sendiri.”

Setelah diteliti tentang menyambut hari kelahiran Nabi SAW menurut Fiqh al-Mizan, ia termasuk dalam seruan kepada Allah SWT dan dalam cara memperkenalkan Rasulullah SAW, sirah baginda, sifat-sifat, ucapan juga perbuatannya.

Diketahui bahawa dasar daripada cara-cara menyeru adalah mubah kecuali yang diharamkan, atau disertai dengan hal-hal yang haram, sebagaimana firman-Nya;

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl 125)

Sambutan itu bertujuan menyeru kepada Tuhan Yang Maha Esa, untuk mencintai-Nya dan Rasul-Nya, menghidupkan Sunnahnya, serta berpegang teguh kepada syariatnya, apalagi jika tidak disertakan dengan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT, ia sangatlah dituntut.

Jika situasi sebegini terjadi, yang mana sebahagian mereka menidakkan sambutan Maulid Nabi ini, dengan mengumpamakan seperti melakukan dosa yang besar, ia adalah keterlaluan dalam agama (ghuluw) yang boleh membawa kepada ketidakseimbangan hingga mencetuskan takfiri atau polemik dalam masyarakat

Walaupun, isu ini adalah kontroversi, dan setiap orang berhak memilih tanpa memandang rendah pandangan orang lain, seharusnya ia dinilai kembali kepada kaedah asal setiap sesuatu yang mana selagi tidak mensyirikkan Allah dan menambahkan sesuatu dalam soal ibadah, ia tidak menjadi suatu kesalahan.

Perbincangan intelektual

Inilah yang telah disepakati daripada Fiqh muwazanah (pertimbangan), tentunya perbincangan tentang Maulid Nabi adalah satu perjalanan intelektual yang panjang dan melibatkan pertembungan pelbagai pendapat serta hujah. 

Barangkali, mencari penyelesaian atau kesepakatan dalam isu ini adalah seperti mencari jalan keluar dari labirin yang kompleks.

Sebagaimana Dekan Fakulti Sains Sosial Open University Malaysia (OUM) Dr Hamidah Mat menegaskan bahawa polemik tentang hukum sambutan Maulidur Rasul tidak perlu diperpanjangkan. 

“Ulama silam dan kontemporari telah selesai membahaskan perkara ini, hatta Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sejak tahun 2016 lagi, menyatakan pandangan bahawa sambutan Maulidul Rasul adalah harus dan hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama.”

Tegasnya lagi, maka yang lebih utama sekarang ialah, menghangatkan kecintaan kepada Nabi SAW serta berusaha untuk mengikuti segala suruhan dan larangan baginda dalam setiap perbuatan serta amalan.

Justeru, marilah kita semarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW. Sebagaimana sabda baginda:

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/ tingkatan (di syurga kelak).” (Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)

Apa yang penting kita perlu ingat dengan Sabda Nabi SAW ini;

“Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3445)


ATRIZA UMAR calon ijazah kedoktoran dalam bidang kepimpinan wanita.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS