KOLUM | Dalam kebangkitan rakyat Indonesia 30 Ogos lalu, muncul seorang sosok penting, Salsa Erwina Hutagalung, suku Batak, usia 33 tahun, pempengaruh politik, bekerja di Denmark sebagai pengurus strategik, pendidikan sarjana Hubungan Antarabangsa di Universiti Gajah Mada.
Kebangkitan rakyat di Indonesia dari 25 Ogos hingga 30 Ogos memprihatinkan bukan saja bagi negara itu tetapi juga jiran-jirannya termasuk Malaysia. Malah ia juga memberi kesan kepada keadaan geopolitik serantau dan dunia.
Ekoran kebangkitan itu, Presiden Prabowo Subianto tidak dapat hadir ke Persidangan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang diadakan di Tianjin, China. Sedangkan Indonesia sebagai negara besar adalah amat penting, sebagaimana dengan India dan Rusia yang ketua-ketua kerajaannya turut hadir. Bagaimanapun, Prabowo sempat hadir pada Sambutan Ulang Tahun ke-80 Perang Mengalahkan Jepun yang diadakan di Beijing pada 3 September.
Kebangkitan yang berlaku di Indonesia itu bermula sebagai demonstrasi di Jakarta, Surabaya, Medan, Palembang dan kota-kota lain tetapi berakhir dengan pemusnahan bangunan awam dan penjarahan rumah beberapa anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang merupakan perbuatan jenayah.
Maknanya kebangkitan itu bermula dengan demonstrasi dan berakhir dengan rusuhan. Sesuatu yang lumrah berlaku apabila ketenteraman awam tidak dikawal.
Indonesia tidak asing dengan kebangkitan rakyat. Ia merdeka dan diasaskan melalui Revolusi Indonesia dari tahun 1945 hingga 1949. Kebangkitan berlaku lagi pada tahun 1966 menentang pemerintahan Sukarno. Ini diikuti dengan kebangkitan pelajar menentang Suharto pada tahun 1970. Tetapi pemerintahan Suharto hanya tumbang pada tahun 1998 apabila berlaku kebangkitan Reformasi.
Wajar juga diperhatikan bahawa setiap kali Indonesia “batuk”, Malaysia juga akan “bersin”. Maksudnya seperti pada tahun 1945, apabila Revolusi Indonesia dilancarkan, pada tahun berikutnya berlaku demonstrasi orang Melayu menentang Malayan Union, diikuti dengan mogok Hartal dan akhirnya Darurat.
Masalah ekonomi dan sensitiviti rakyat
Pada tahun 1966, pelajar-pelajar Indonesia berdemonstrasi di hujung-hujung pemerintahan Sukarno, di Malaysia pula berlaku demonstrasi dengan suasana ketegangan kaum yang berakhir dengan peristiwa 13 Mei 1969.
Pada tahun 1970, pelajar Indonesia bangkit membantah pelaburan Jepun. Di Malaysia pada tahun 1974 berlaku demonstrasi pelajar di Baling dan Kuala Lumpur. Tetapi demonstrasi Reformasi di Jakarta pada tahun 1998 juga menggema di Kuala Lumpur apabila Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri.
Kali ini diharapkan bahawa apa yang berlaku di Indonesia tidak menggema di Malaysia. Kerajaan Madani telah melakukan banyak perkara yang dapat meraih sokongan sebahagian besar rakyat. Lagipun Malaysia mempunyai kemampuan kewangan yang lebih baik dan struktur politik Malaysia adalah lebih mententeramkan.
Presiden Prabowo dan kabinet merah putih beliau telah melakukan kesilapan demi kesilapan pada sepanjang tahun ini bermula dengan kenaikan cukai akibat kurang kemampuan kewangan Indonesia. Ditambah pula dengan struktur politik sebegitu rupa serta korupsi yang endemik (mendalam dan menjalar luas).
Kebangkitan di Indonesia adalah ekoran masalah ekonomi dan sensitiviti rakyat akibat dasar-dasar, perbuatan dan kata-kata presiden Prabowo, serta gelagat memualkan para menteri, parti-parti politik dan anggota DPR.
Seperkara lagi faktor yang unik pada zaman ini ialah peranan besar media digital khususnya media sosial, paling utamanya ialah TikTok. Siapa menguasai TikTok, dia seakan-akan menguasai otak rakyat. Ia merupakan sesuatu yang tidak ada pada tahun 1945, 1966 dan 1970. Walaupun media digital sudah ada pada tahun 1998, tetapi pada masa itu belum ada media sosial, jalur lebar dan telefon pintar. Jadi ia tidaklah berpengaruh seperti hari ini.
Ekoran perubahan teknologi digital ini, maka kini anak-anak muda adalah lebih berpengetahuan kerana amat mudah untuk mendapatkan maklumat mengenai apa saja perkara dari mana-mana bahagian dunia.
Maka dari fenomena ini, muncullah pempengaruh atau pencipta kandungan digital dari pelbagai bidang termasuk politik. Kini mereka lebih berpengarih daripada wartawan, penulis, ahli akademik, ulamak dan ahli politik.
Dari kebangkitan di Indonesia, saya kesan ada tiga pempengaruh. Salah seorangnya ialah Salsa Erwina Hutagalung. Dua orang lagi ialah Ferry Irwandy dan Iyyas Subiatko, seorang warga emas yang hidupnya sudah melalui tujuh presiden iaitu Sukarno, Suharto, Habibie, Gus Dur, Megawati, Yudhoyono dan Jokowi.

12 tuntutan
Tetapi hanya Salsa yang mengemukakan tuntutan dengan jelas dan tegas. Tuntutan yang berjumlah 12 itu ialah:
Pertama, disahkan Rang Undang-undang (RUU) Perampasan Aset para koruptor yang sudah lama ditangguh-tangguhkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Koruptor adalah pelaku korupsi. Ia berbeza dengan istilah perasuah. Ini kerana perbuatan rasuah hanya sebahagian daripada korupsi. Sedangkan korupsi bermaksud luas meliputi penyelewengan kuasa, pengambilan wang secara haram dan pencucian wang haram.
Undang-undang ini penting bukan saja untuk keadilan dan menakutkan bakal koruptor tetapi juga mengembalikan harta kepada pemilikan negara.
Kedua, pecat anggota DPR yang menghina rakyat, seperti Deddy Sitorus, Ahmad Sahroni dan lainnya. Ahmad Sahroni umpamanya mengatakan rakyat yang mahu DPR dibubarkan sebagai “tolol.” Akibatnya rumah mewahnya dijarah oleh orang ramai. Sahroni dari Parti Nasional Demokrat (Nasdem) telah mengundurkan diri daripada jawatan anggota DPR. Deddy Sitoris adalah dari Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP) kerana bersikap “angkuh” dengan menyatakan bahawa kedudukan anggota DPR tidak boleh disamakan dengan “rakyat jelata.”
Ketiga, bebaskan pihak-pihak yang ditahan kerana menyampaikan aspirasi. Apa yang dimaksudkan dengan aspirasi adalah tuntutan rakyat sehingga berlakunya kebangkitan ini.
Perasaan marah rakyat bermula dengan kenaikan cukai oleh Presiden Prabowo ke atas keseluruhan rakyat Indonesia yang sudah pun sedang menghadapi kehidupan yang susah akibat tekanan ekonomi.
Keempat, lakukan reformasi DPR secara penuh, termasuk audit telus peruntukan, pengurangan jumlah anggota, hingga melarang elaun berlebihan.
Kelima, tolak bekas pelaku korupsi menjadi anggota DPR mahu pun Badan Usaha Milik Negara (BUMN). Apa yang dimaksudkan dengan BUMN adalah syarikat milik kerajaan.
Keenam, hapuskan layanan istimewa bagi anggota DPR, termasuk pengawalan keselamatan khusus, elaun kereta, hingga pencen seumur hidup. Biar wakil rakyat hidup seperti rakyat. Dalam masyarakat yang serba-serbi susah, sebarang penayangan kehidupan mewah bukan saja tidak wajar tetapi menyinggung perasaan rakyat.

Ketujuh, hadkan gaji penuh dan elaun anggota DPR maksimum lima kali Upah Minimum Regional (UMR) nasional.
Kelapan, tetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) jelas bagi anggota DPR, dengan penilaian berkala dan pemecatan bagi yang tidak bekerja optimum. Tuntutan ini berlaku kerana parti-parti politik gagal membuat penilaian dan bertindak ke atas anggota-anggotanya dalam DPR.
Kesembilan, audit menyeluruh BUMN untuk memastikan keuntungan dan menamatkan amalan lantikan jawatan politik. Ini kerana jawatan BUMN telah dijadikan tawaran dan ganjaran oleh parti politik.
Kesepuluh, batalkan rancangan kenaikan cukai dan yuran Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) yang dinilai membebankan masyarakat.
Kesebelas, adili pelaku pembunuhan Affan Kurniawan serta pecat Ketua Polis Negara (Kapolri - Kepala Kepolisian Republik Indonesia) yang dianggap gagal melindungi rakyat. Affan adalah pemandu ojol (ojek dalam talian - e-hailing motosikal) yang terbunuh dilanggar kereta polis, Brimob (Briged Mobil).
Kedua belas, reformasi kualiti kerja (kinerja) kepolisan secara habis-habisan, agar profesional dan berpihak pada rakyat.
Kesemua tuntutan itu adalah adil dan boleh dilaksanakan tetapi dengan komitmen Presiden Prabowo, kabinet Merah Putih dan DPR sendiri dengan juga komitmen parti-parti politik yang amat berpengaruh dalam politik Indonesia.
Tuntutan itu juga menyerlahkan pemikiran Salza tentang konsep kenegaraan iaitu republik dan rakyat. Sebagai republik, negara itu adalah milik semua warga negara yang kedudukannya adalah setaraf. Anggota DPR adalah wakil rakyat dan dalam sebuah demokrasi, mereka bukanlah kelas istimewa tetapi merupakan karyawan atau profesional politik yang tugasnya melaksanakan aspirasi rakyat.
Aspirasi rakyat pula adalah untuk menikmati kehidupan material yang selesa dan bahagia secara bermaruah. Kedaulatan negara terletak pada kedaulatan warga negara atau rakyat.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
