KOLUM | Isu-isu sekitar kematian pelajar Zara Qairina Mahathir mendedahkan pelbagai sisi kelemahan negara ini. Selain kelemahan siasatan awal, seperti pegawai penyiasat dan guru yang menerima aduan, sebaran berita palsu dan dakwaan rekaan memburukkan lagi kempen menuntut keadilan buat pelajar ini. Demonstrasi meluas dengan kempen bertanda pagar #justiceforZara bukan sahaja menggoncang Sabah tetapi melimpah ke seluruh negara, malah ke beberapa negara lain.
Semuanya ini gara-gara dunia yang sudah terhubung melalui kemudahan media sosial, khasnya sejak hampir 20 tahun lalu. Tetapi media sosial dan masyarakat sejagat datang bersama masalah yang tersendiri. Satu daripada masalah sampingan itu disebut gejala suka mengulas pelbagai isu dengan kejahilan yang tebal atau tanpa asas ilmu. Ia disebut kecenderungan "palatau" atau "palatao".
Mula meluas di media digital sejak lima tahun lalu, slanga gabungan kata "kepala dan tahu" ini datang dalam pakej media sosial.
Ya, memang kita biasa berdepan dengan rakan yang berlagak serba mengetahui walau yang diucapnya tersasar. Kita cukup kenal tabiat orang berlagak pandai walau tahu sedikit sahaja atau tidak mengetahui apa-apa. Gejala ini bukan baharu walau slanga "palatao" hanya menangkap imaginasi kita sekarang.

Cuma, dengan adanya media sosial, tabiat ini mencetuskan masalah besar sewaktu membincangkan isu semasa yang penting seperti inkues Zara Qairina.
Sebagai tanda menolak sikap buruk ini, muncul ungkapan pakar "palataologi". Ulasan mengarut seseorang "palatao" di media sosial dipadankan dengan keterangan pakar patologi Dr Jessie Hiu di depan koroner.
Seseorang yang membawa tabiat buruk ini cenderung menolak keterangan tanpa asas, misalnya berat kandungan yang boleh dimuatkan dalam mesin basuh. Mereka masih bertekak, seolah-olah tidak pernah menggunakan mesin basuh. Padahal pereka cerita tipu konon Zara Qairina dimasukkan mesin basuh itu sudah dihadapkan ke mahkamah pada 21 Ogos!
Fakta ini tidak dipertimbang sama sekali, sebaliknya "palatao" masih berdegil membahas sesuatu yang tiada asas dengan hujah yang tiada asas.

Sebelum ini, ketika lima pelajar dihadap dengan pertuduhan membuli pada 20 Ogos, ada pengguna media sosial yang "palatao" mempertikai kenapa peguam ibu Zara Qairina tidak dilibatkan dalam pasukan pendakwaan!
Mereka turut mempersoal kenapa gambar dan nama pelajar bawah umur itu tidak didedahkan. Konon semua itu untuk menutup kebenaran. Seolah-olah mereka yang "palatao" ini tidak pernah membaca berita mahkamah.
Ya, memang menyedihkan, dan sekali gus lucu, kisah manusia "palatao" ini. Mereka seolah-olah makhluk asing yang tersesat di bumi.
Tetapi ada orang mendakwa keraguan mereka ini akibat krisis hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan pihak berwajib hingga mudah menelan bulat-bulat bisikan pempengaruh yang mengelirukan. Dari sinilah gejala "palatao" mendatangkan krisis.

Bagaimanakah kita boleh memahami gejala "palatao", maklumat palsu dan krisis mudah percaya membuta tulis (crisis of credulity) yang dirangsang oleh teknologi media sosial? Sebahagian jawapannya boleh digambarkan begini:
1. Seperti media konvensional yang ada bias, algoritma media sosial juga ada biasnya. Algoritma ini proses sosioteknikal sistem komputer yang mengukuhkan kecenderungan tertentu (bias) secara berulang-ulang tetapi tidak disedari pengguna media sosial. Bias ini boleh membawa mudarat antaranya mengukuhkan lagi gejala negatif dalam kalangan pengguna. Misalnya, mengutamakan maklumat palsu, berita sensasi, debat yang memecah-belah masyarakat, kandungan berunsur perkauman atau mempersenda pengguna lain.
2. Akibat kelemahan sistem kepintaran buatan (AI) media sosial itu, pengguna dihadapkan dengan gelembung (bubble) rakan sealiran atau ruang gema (echo chamber). Jadi, sesuatu yang negatif itu terus berlegar sesama mereka yang sealiran. Ia membataskan pelbagai pilihan maklumat khasnya yang bertentangan dengan selera seseorang. Misalnya kita mencari video rusuhan di Indonesia, kemudian kita dapati meluru masuk lebih banyak video seumpama itu.
3. Sistem media sosial juga dicipta agar ia menarik perhatian pengguna secara bertubi-tubi dan separa sedar hingga menjadi ketagihan. Cara persembahan bahan visual, grafik dan imej secara ringkas dan menarik menambah keseronokan hingga sukar lekang daripada telefon. Gejala ketagihan ini pula boleh mencetuskan masalah rosot otak (brain rot).

4. Tanda-tanda rosot otak itu termasuk gejala "dumb scrolling" atau merayau tanpa arah tujuan. Begitu juga kesan psikologi rasa ketinggalan jika tidak mengetahui sekelian banyak topik semasa yang tersebar meluas. Kita juga sering dihadapkan dengan pertanyaan "tertinggal kereta api ke?", lalu muncul perasaan takut tidak tahu, "fear of missing out" (Fomo).
Rosot otak pengguna media sosial boleh digambarkan sebagai keinginan yang kuat untuk melayari sesuatu yang remeh, tanpa faedah, suka berpindah-pindah kandungan, hilang tumpuan khusus, tidak lagi memilih dengan kritis, sebaliknya hanyut dalam pelayaran tanpa arah tujuan. Di sini proses berfikir jadi lemah dan penggunanya pula kelelahan.
5. Sebahagian masalah ini pula diburukkan oleh gejala-gejala buruk di luar media sosial itu sendiri. Misalnya kejahilan seseorang tentang banyak perkara atau sikap malas mendalami sesuatu topik walau dunia digital memberi banyak pilihan dengan cepat dan pantas, misalnya melalui carian di Google. Namun, oleh kerana fikirannya selama ini tidak kritikal dan suka disuap pengetahuan, maka mereka terima apa sahaja yang dihadapkan melalui internet termasuk kandungan media sosial.
6. Maka muncullah krisis mudah percaya membuta tuli ini. Mereka rasa seronok dapat sesuatu maklumat baharu yang jarang didengarnya, yang dirasakan eksklusif tetapi kini sudah menjadi perbualan ramai. Apabila muncul guru bahasa Inggeris mendakwa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh, mereka percaya. Apabila ada lelaki mendakwa dia hadir di bilik bedah siasat, mereka percaya seolah-olah maklumat itu "rare". Pahahal semua pakar bedah siasat sangat menjaga etika profesional dan tidak mungkin menceritakan butiran tersebut.

7. Masalah mudah percaya ini pula diburukkan oleh krisis hilang kepercayaan kepada kerajaan, pihak berkuasa, elit atau orang kenamaan. Sebelum ini surat layang, khabar angin dan gosip politik menjadi saluran sebaran desas-desus. Sebahagiannya didapati ada asas atau benar, akhirnya. Hingga orang percaya "jika tiada angin, masakan pokok bergoyang".
Media konvensional pula sering menapis maklumat, suka mengangkat suara kerajaan, hanya memperelok citra pemimpin kerajaan dan jarang sekali membenar suara kritikan. Namun, sejak muncul media internet, desas-desus itu bergerak sepantas kilat, lalu diyakini ada asasnya.
Sama ada angin bertiup atau binatang yang menggegarkan pokok, orang ramai masih berpegang "jika tiada angin, masakan pokok bergoyang". Desas-desus dianggap pasti ada kebenaran. Dari sini bermulalah kitaran "palatao" yang mudah menghasut orang ramai yang suka menelan bulat-bulat, tanpa usul periksa lagi.
Sistem pendidikan pula, selama ini, memang menjurus ke arah menyuap maklumat kepada pelajar dan kurang orientasi berfikir atas kekuatan akal sendiri. apatah lagi seni berfikir kritikal dan kreatif. Maka dari satu generasi ke satu generasi, lahirlah masyarakat yang tidak mampu berfikir jernih atas apa sahaja sogokan maklumat.

Gejala "palatao", dicampur krisis mudah percaya membuta tuli, boleh memporak-peranda bangsa kita. Keraguan yang tidak munasabah sukar sekali dipadam. Semua penafian dianggap usaha menyorok kebenaran dan tidak mungkin dipercayai lagi. Penjelasan dan fakta terus-menerus dipertikai walau tiada asas untuk meraguinya. Wibawa maklumat retak berderai. Seterusnya ia mengganggu proses berfikir kolektif bangsa kita.
Sebaliknya, cerita palsu dan maklumat terseleweng akan membentuk naratifnya sendiri. Ia kemudian membina sistem pengetahuan palsu, proses berfikir palsu dan binaan kebudayaan palsu. Struktur binaan pengetahuan yang rapuh ini tidak mungkin mampu menegakkan bangsa dan negara yang kuat, sebaliknya bangsa dan negara "palatao".
Di situ nanti, kita akan mulai sedar media sosial tidak banyak gunanya kepada bangsa yang lemah. Media sosial sekadar alat eksploitasi syarikat gergasi asing untuk mengumpul kekayaan atas kesengsaraan bangsa pengguna!
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
