Paling Popular
Terkini

KOLUM | Pada 31 Ogos yang lalu, aku bawa anak-anak ke Stadium Merdeka. Selesai solat Zuhur di Masjid Al-Sultan Abdullah, kami berjalan perlahan-lahan menuju pintu masuk utama stadium.

Di dalamnya kami berhenti di setiap sudut informasi, membaca satu demi satu keterangan. Foto-foto arkib pada dinding dan panel keterangan benar-benar membantu pengunjung membayangkan semula peristiwa besar yang pernah berlangsung di situ.

Kami kemudian naik dari satu teres ke satu teres yang lain, dari tempat duduk ke pentas utama, menjelajah hampir setiap pelosok bangunan bersejarah itu.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pemilik stadium nyata cermat dalam kerja pemuliharaan – mengembalikan elemen klasik serta rupa asal, termasuk kerusi kayu penonton dan jubin lantai.

Sampai di tengah padang, aku keluarkan telefon, memainkan petikan video peristiwa 68 tahun lalu: laungan “Merdeka!” yang bergema tujuh kali, kemudian bendera Persekutuan Tanah Melayu perlahan-lahan dinaikkan.

Anak sulung aku bertanya, “Stadium ni guna untuk sambut merdeka saja ke?”

“Tak, ada banyak cerita dan jasanya,” jawab aku.

Aku mulakan dengan Pestabola Merdeka – kejohanan bola sepak jemputan yang suatu ketika dahulu menjadi pentas paling berprestij di Asia – dan bagaimana semuanya bermula di atas rumput yang kami sedang pijak pada hari itu.

Pada penganjuran kali pertama, lapan pasukan hadir dengan reputasi sendiri. Kelibat ‘Raja Bola’ Abdul Ghani Minhat, rangkaian perlawanan dan jaringan dramatik melengkapkan malam-malam yang disimbah sorakan.

Tawar tiket kombo

Edisi pada tahun itu turut menyaksikan pertembungan dua jiran serumpun buat kali pertama dalam sejarah pertandingan moden: Indonesia menentang Malaya bagi menentukan tempat ketiga dan keempat.

Perlawanan itu menjadi bab yang kerap diulang-ulang di seberang. Ia episod yang menyalakan percikan awal permusuhan klasik dua kuasa bola sepak Nusantara yang berlarutan menjadi deretan pertemuan panas pada dekad-dekad seterusnya.

Di sebalik sorakan penyokong, ada cerita tentang poket rakyat yang Persatuan Bola Sepak Malaya (PBSM) timbang dengan cermat.

Pada mulanya PBSM menguji pasaran dengan tiket kombo berharga M$20 (Dolar Malaya) untuk semua 16 perlawanan.

Namun memikirkan kemampuan penonton marhaen, struktur harga dilaras kepada M$1 hingga M$4 mengikut tarikan perlawanan. Dalam lapan hari kejohanan, jualan tiket mencecah M$140,000 (kira-kira RM1 juta jika mengikut nilai pada hari ini).

Keputusan itu menggambarkan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman Putra dan PBSM: mengukuhkan kewangan persatuan secara berdaya diri tanpa membebankan kantung negara. Ia adalah sebuah model “merdeka” dalam ekonomi pertubuhan sukan.

Tunku Abdul Rahman

Kepada anak-anak, aku kemudian menyentuh kegemilangan panjang pasukan bola sepak Selangor sebelum beralih kepada pasukan Kuala Lumpur yang menjuarai Piala Malaysia tiga kali berturut-turut (1987–1989). Sejarah itu semua terukir di Stadium Merdeka.

Kedua-dua anak aku teruja. Si abang penyokong Selangor, si adik pula penyokong Kuala Lumpur. Begitulah, masing-masing menumpahkan kesetiaan pada pasukan negeri kelahiran.

Mereka begitu khusyuk mendengar seolah-olah dibuai hikayat yang watak-wataknya dihidupkan kembali. Kemudian barulah aku membuka pintu cerita yang lebih besar.

Stadium keramat itu bukan hanya tentang bola sepak dan laungan merdeka, tetapi juga tentang Merdeka Games 1957 – temasya pelbagai sukan yang menghidupkan seluruh Kuala Lumpur pada minggu pertama tanah air kita ini menjadi negara merdeka.

Mercu tanda di tengah kota

Cerita tapaknya bermula lebih awal. Pada awal Mei 1956, Tunku menaiki menara di kawasan Chin Woo untuk meninjau lokasi stadium negara.

Dari ketinggian itu dia memandang ke arah Coronation Park di Bukit Petaling – kawasan sukan sekitar 36 ekar yang dibangunkan hujung 1930-an dengan taman permainan serta puluhan gelanggang badminton, tenis dan bola keranjang.

Sebelum itu, tapak berkenaan melalui beberapa lapis sejarah: bekas ladang ubi kayu Yap Ah Loy, bekas tapak perkuburan Cina yang kemudian dipindahkan, dan pernah juga menjadi padang golf sembilan lubang di bawah Selangor Golf Club.

Menimbang landskap bersejarah serta kedudukan strategik itulah Tunku menetapkan: di situlah stadium negara pertama harus dibina – meskipun ada kebimbangan tentang trafik dan masa depan perancangan bandar.

Keputusan berani itu akhirnya memahat Stadium Merdeka sebagai mercu tanda yang hidup di tengah nadi kota, bukan terasing di pinggir.

Yap Ah Loy

Kerja-kerja tanah bermula tidak lama kemudian. Batu asas diletakkan awal 1957, dan lebih mengagumkan, keseluruhan projek disiapkan dalam tempoh kurang setahun. Ia merupakan  pencapaian kejuruteraan luar biasa jika dinilai kepada garis masa pada ketika itu.

Kejayaan tersebut dicapai melalui pendekatan binaan pantas – unsur reka bentuk disiapkan berperingkat lalu terus dibina – serta penggunaan meluas bahan tempatan tanpa bergantung pada struktur keluli import.

Stadium Merdeka juga dibina dengan reka bentuk amfiteater dengan sebahagian 'mangkuk' tempat duduk penonton serta permukaan padang berada di bawah aras bumi untuk kestabilan.

Idea moden dan praktikal digabungkan: teres bawah dan atas dengan aliran penonton yang lancar, jaringan terowong masuk yang banyak, bumbung kantilever yang mengagumkan serta menara lampu limpah yang pada zaman itu antara yang paling maju.

Pelbagai jenis sukan

Apa yang tersirat ialah, sejak tahun 1950-an lagi, Tunku sudah pun memiliki visi yang cukup jauh. Kuala Lumpur sebenarnya telah disiapkan menjadi gelanggang sebuah “Olimpik mini”.

Catatan rasmi merekodkan bahawa pada Jumaat, 30 Ogos 1957, Tunku mengisytiharkan pembukaan Stadium Merdeka dan merasmikan pesta sukan itu di hadapan lebih 15,000 hadirin, termasuk atlet dari lapan negara luar.

Esoknya, 31 Ogos, barulah berlangsung Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan yang memahat nama stadium tersebut dalam memori kebangsaan. Yang sering kita lupa ialah apa yang berlaku selepas detik bermakna itu.

Sepanjang minggu berikutnya, warga kota seakan-akan memiliki diari sukan yang memandu mereka dari satu venue ke venue lain.

Pagi ke Selangor Badminton Hall, tengah hari ke gelanggang tenis di padang kelab, petang menyaksikan kriket di padang rumput, dan malamnya berkumpul semula di Stadium Merdeka untuk acara kemuncak, Pestabola Merdeka.

Di Dewan Chin Woo, acara bola keranjang mengaum. Finalnya menyaksikan Taiwan menewaskan Singapura. Di Kolam Chin Woo pula, acara renang dan polo air bergema.

Senarai acara lain yang berlangsung ketika itu adalah luas: olahraga, menembak, golf, hoki, berbasikal. Ia membentuk ekosistem sukan yang beraneka sejak hari-hari awal negara.

Mengapa kisah Merdeka Games 1957 itu tenggelam?

Barangkali kerana ia tidak dijenamakan sebagai temasya pelbagai sukan yang berterusan. Tahun-tahun seterusnya menyaksikan Pestabola Merdeka terus hidup, lalu memori awam mengikat “Merdeka” dengan “bola”.

Namun apabila menoleh kembali helaian jadual, senarai penyertaan dan disiplin, kita akan jumpa sesuatu yang lebih luas: sebuah bandar yang memilih membuka gelanggang kepada dunia sejak minggu pertamanya sebagai negara berdaulat.

Justeru penganjuran Merdeka Games 1957 bukan nostalgia kosong sebaliknya isyarat kesiapsiagaan – yang terbukti apabila Malaysia dipilih menjadi tuan rumah SEAP Games 1965 di Kuala Lumpur.

Temasya itu menghimpunkan tujuh negara dan mempertandingkan 14 disiplin sukan.

“Tahun 1957 ayah pun belum lahir lagi, macam mana ayah tahu semua ni?” akhirnya soalan cepu emas itu pun muncul. Hahaha.

“Sebab itu kita kena rajin membaca dan mengkaji sejarah negara. Barulah timbul kesedaran untuk menghargai apa yang telah negara kita capai.”

Generasi hari ini memang belum hidup pada 1957, tetapi jejaknya ada. Laporan akhbar, catatan Arkib Negara, dokumen rasmi kerajaan, rekod teknikal, nota individu persendirian, malah Stadium Merdeka itu sendiri adalah artifak hidup.

Apabila serpihan-serpihan tersebut dihimpunkan, barulah cerita besar itu muncul dan boleh kita wariskan kepada generasi seterusnya.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS