Paling Popular
Terkini

Sejak kecil bilamana kita menonton pertandingan sukan, baik sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, mahupun Sukan SEA, nama singkatan bagi Malaysia adalah M.A.S. Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines turut menggunakan singkatan nama M.A.S. selain kereta elektrik pertama Proton dengan model e-Mas.

Singkatan tersebut membawa maksud yang mendalam bukan semata memberi imaginasi untuk menyamakan negara dengan emas, suatu yang amat berharga, tetapi memberi perkaitan kepada catatan lampau terhadap nama Malaysia.

Malaysia asalnya merupakan satu nama besar meliputi kepulauan Melayu yang terdiri dari pulau-pulau di Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura, termasuk negara kita.

Pada tahun 1831, pelayar Perancis Jules Dumont d’Urville telah menamakan kepulauan rantau ini sebagai ‘Malaisie’ dalam lakaran peta beliau. Kemudian pada tahun 1835 Thomas G Bradford menterjemahkan Malaisie sebagai Malaysia.

Ketika penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963, pilihan nama Malaysia yang diambil oleh Tunku Abdul Rahman pasti ada perkaitan dengan inspirasi maksud asal Malaysia tersebut sebagai simbol kepada sebuah negara baharu yang lebih inklusif meliputi kepulauan lain di rantau ini iaitu Singapura, Sabah, dan Sarawak.

Wilayah kepulauan Malaysia sebelum Common Era

Dalam penceritaan Buddhist Jataka sebelum Common Era (CE), wilayah kepulauan Malaysia ini dikenali sebagai ‘Suvannabhumi’ (Bumi emas) merujuk kepada kekayaan yang terdapat di wilayah ini. Begitu juga yang tercatat dalam Kiskindha Kanda dalam epik Ramayana yang menyebut ‘Suvarnadipa’ (Pulau emas).

Prof Leonard Andaya ketika membahaskan tentang Malayu Antecedents, merujuk teks Greek The Periplus of the Erythrean Sea yang menceritakan pelayaran kapal dagang dari pulau India ke ‘Golden Chryse’ (tanah emas) yang merujuk wilayah kepulauan ini.

Lebih mendalam, William Vincent dalam membuat rujukan yang sama menulis dalam The Commerce and Navigation of The Ancients In The Indian Oceans bahawa yang dimaksudkan Periplus sebagai tanah emas tersebut adalah ‘Malai-oo Kolon’, yang merujuk kepada Semenanjung Tanah Melayu.

Catatan penting ini menggambarkan kekayaan ‘wilayah Malaysia’ bukan semata dari sudut sumber malah sebagai pusat perdagangan entriport dunia yang menjadi jolokan wilayah emas oleh pedagang dari pelbagai belahan dunia sejak zaman lampau.

Fakta ini menjadi salah satu asas untuk Hamka membuat tafsiran kepada kalimah ‘Kafur’ dalam Al-Quran, Surah Al-Insan ayat 5 sebagai Kapur Barus.

Bagi Hamka interaksi pedagang Arab dengan rantau ini telah wujud sebelum kelahiran Nabi SAW, di mana Kapur dari wilayah Barus menjadi rebutan pedagang luar hingga kemudiannya menyerap ke Bahasa Arab sebagai ‘Kafur’ selain Bahasa Inggeris sebagai ‘Camphor”.

Catatan Pelayar Arab

Perdagangan Kafur ini berterusan hingga ke zaman Srivijaya seperti yang ditulis sejarawan Arab zaman Abbasiyah Al-Mas’udiy dalam kitab "Murūj aḏ-Ḏahab wa-Maʿādin al-Jawhar” (Meadows of gold and mines of gems).

Beliau menceritakan sebuah Kerajaan besar yang dipanggil az-Zenij yang dipimpin seorang Maharaj menjadi perantara antara India dan China. “India is a vast country, having many seas and mountains, and borders on the empire of ez-Zanij, which is the kingdom of the Maharaj, the king of the islands, whose dominions, form the frontier between India and China” (177).

Dalam kerajaan tersebut terdapat kawasan ‘Teluk Jongkong Emas (the bay of the ingot of gold), di mana dimuatkan cerita tabiat Maharaja yang mencampakkan jongkong emas ke dalam teluk tersebut setiap pagi.

Catatan I-Tsing

Selain itu, catatan I-Tsing menulis berkenaan wilayah ini sebagai “Malayu-SriBhoga’. Berasal dari Bahasa Sanskrit, SriBhoga bermaksud wilayah Malayu yang mulia dan makmur dengan limpahan kenikmatan.

Ia ditulis pada 671 Masehi, menceritakan pelayaran kerohaniannya dari Si-King (Utara-Timur China) ke Nalanda, India, di mana beliau singgah ke pulau ‘Malayu – SriBhoga’ selama enam bulan untuk mendalami bahasa Sanskrit.

Ketika zaman Hindu-Buddha, wilayah ini terus berkembang pesat sebagai pusat perdagangan terutama apabila memasuki babak awal tahun Common Era apabila Buddhism mengubah haluan kepada penggalakkan aktiviti perdagangan. Ini termasuk sumbangan pusat Buddha dari India dan China kepada aktiviti perdagangan komersil.

Perkembangan ini diteruskan Islam menerusi penubuhan Kerajaan Melaka. Menurut Mashall Hodgson, Islam yang asalnya timbul di Zon Kering Tengah mengambil bentuk kosmopolitan yang memberikan agama ini kekuatan luar biasa terutamanya di sepanjang jalan perdagangan. Maka berlaku penyebaran budaya bandar yang membawa kepada peradaban yang memangkinkan lagi perdagangan jalan laut.

Maka, satu rangkaian lautan besar membentuk jalan perdagangan jarak jauh telah dikomersilkan yang diberikan jolokan ‘Laut Tujuh” yang turut meliputi Laut China Selatan ke Selat Melaka.

Lantas, memasuki era Kesultanan Melaka, ia mencambahkan lagi kerancakan perdagangan kosmopolitan wilayah ini. Menerusi pengalaman berinteraksi dengan sejarah serta keterbukaan dengan dunia luar, Melaka telah mengambil tempat meneruskan kehebatan empayar-empayar sebelumnya malah memangkinkan jolokan wilayah ini sebagai empayar maritim dan emporium perdagangan global ‘thalassocracy’.

Dokumen Rasmi Portugis 1509-1511

Kejayaan ini telah dicemburui oleh kuasa Eropah. Pada tahun 1506, Raja Portugis King Manuel telah menulis surat kepada D. Francisco De Almeida untuk menawan dan membina Kubu di Melaka. Ketika pelayaran Diogo Lopes De Siqueira, beliau mencatat Melaka sebagai Bandar terkaya di dunia disebabkan kekayaan pedagang yang tinggal di sana. Kekayaan mereka diukur dengan jumlah berat Bahar emas, di mana satu Bahar bersamaan dengan empat ‘quintaes’ (100 kg emas). (Portuguese classics library).

Malaysia untuk akan datang

Kompilasi catatan-catatan ini meletakkan ketinggian nilai nama wilayah Malaysia, yang penuh dengan kekayaan dan kemakmuran sepanjang rentasan peradaban. Kekayaan dan kemakmuran ini sinonim dengan jolokan nama emas seperti yang telah diberikan oleh banyak catatan lampau.

Kegemilangan ini sudah tentu dipasak dengan keramahan, keharmonian dan keterbukaan warganya dalam berinteraksi yang menjadikan wilayah ‘Malaysia’ ini sebagai pusat tumpuan perdagangan dunia dari abad ke abad.

16 September nanti kita bakal memasuki tahun ke 62 sambutan penubuhan sebuah negara bernama Malaysia. Berbaki 38 tahun lagi akan genap usia ke-100 tahun Malaysia. Adakah kemakmuran dan kehebatan Malaysia ini akan kekal berterusan serta semakin baik? Atau Malaysia akan meniti zaman kejatuhan peradaban? Ia bergantung kepada sejauh mana kita benar-benar bertanggungjawab menggalas Amanah untuk menjaga Malaysia.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ merupakan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS