Di negara kita, rusuhan anak muda di Indonesia dan Nepal diangkat sebagai tanda kebangkitan rakyat yang sedar melawan kealpaan elit terhadap rasuah dan kesenjangan ekonomi. Satu lagi reaksi, susulan itu, kita berasa kekacauan tersebut harus menjadi peringatan kepada pemerintah Malaysia agar lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kealpaan itu.
Namun jarang sekali kita melihat rusuhan sebagai satu simptom penyakit kronik dalam sesebuah negara, satu ringkasan gejala yang menyimpan jaringan masalah yang berselirat dalam bidang politik, ekonomi, budaya dan komunikasi. Sering kita melihat rusuhan sebagai tindak balas politik orang awam terhadap sesuatu keputusan orang politik.
Oleh kerana bingkai politik, kekuasaan, penguatkuasaan undang-undang atau kepemimpinan negara menjadi asas melihat, maka kita berasa ia hanya satu proses politik. Sebagai susulan, kita mendesak pertukaran pemimpin atau parti pemerintah. Atau peletakan jawatan pegawai polis. Kita juga rasa, jika parti atau pemimpin berganti, perubahan akan sampai.
Di Indonesia, isu kenaikan tinggi elaun ahli parlimen dan kemewahan hidup mereka menjadi sasaran keberangan. Maka sebagai reaksi, Presiden Prabowo Subianto merombak sedikit kabinetnya. Oleh kerana berlaku kematian akibat kecuaian polis, maka ketua polis pula didesak melepaskan jawatannya. Semua tindak balas pemerintah ini sekadar reaksi wayang politik atas kacau-bilau yang juga wayang: persembahan amuk.

Di Nepal, tindakan seumpama itu juga berlaku. Perdana Menteri KP Sharma Oli dan menteri dalam negeri meletakkan jawatan. Larangan selama seminggu terhadap 26 platform media sosial dibatalkan. Seperti di negara jiran, Nepal juga menyiasat bagaimana rusuhan itu boleh meletus. Tetapi sedarkah kita semua itu hanya lapisan luar sebuah masalah yang rumit?
Apa yang berlaku di dua negara tersebut, antara hujung Ogos hingga awal September, dan bagaimana reaksi kita itu menjelaskan masalah mendasar betapa julingnya kita melihat politik dan negara. Kita membayangkan ia hanya satu bidang tersendiri yang terpisah daripada keseluruhan jaringan ruang lain yang tidak berada di atas pentas pergelutan politik: elit dan rakyat dalam rusuhan.
Budaya, psikologi atau tradisi masyarakat itu khasnya dalam hubungan dengan politik dan perekonomian tidak diambil kira dalam kekacauan ini. Dengan kata lain, kita sama sekali terlupa pada rumus (formula) ini: budaya + politik + ekonomi = jiwa + fikiran + gelagat. Bukan sahaja elit politik dan birokrat terlupa tetapi budayawan, penulis, media dan intelektual juga cuai melihat rumus ini.
Yang kita nampak "politik" dan kemudiannya "ekonomi". Kita lupa budaya yang membentuk dan dibentuk akibat jaringannya dengan politik dan ekonomi. Kita juga terlupa bagaimana tiga konsep besar ini (budaya + politik + ekonomi) dipengaruhi dan mempengaruhi jiwa + fikiran + gelagat warganya. Oleh kerana kita semua terlupa, sering pula pendekatan menyelesaikan masalah bersifat serpihan atau terpisah-pisah.

Kadang-kadang kita nampak penyelesaian pada undang-undang atau tatacara sahaja. Ada waktunya kita nampak penyelesaian pada kurikulum pendidikan sahaja. Ada kalanya kita nampak pada kemahiran tenaga kerja sahaja. Atau, pada penunjuk-penunjuk ekonomi sahaja seperti inflasi, pengangguran, pelaburan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nilai tukaran wang.
Belum lagi mengambil kira suara desakan yang bersifat mujarad, mi segera dan permukaan, misalnya saranan tingkatkan ajaran agama. Atau, meningkatkan denda dan mengetatkan peraturan. Atau, memberi insentif yang lebih baik. Semua ini contoh-contoh cara berfikir yang menunjukkan kita lupa melihat masyarakat dan negara sebagai satu sistem yang kompleks, dinamik, bulat dan menyeluruh apabila berdepan masalah.
Misalnya, kawalan tembakau demi kesihatan. Pada hujung Julai lalu, ada pihak mencadangkan harga rokok dinaikkan dengan meningkatkan cukai. Pada fikiran pencadang, negara dapat mengawal masalah kesihatan dan sekali gus mengutip pendapatan. Sekali imbas memang nampak bagus.

Tetapi sebagai sistem hidup yang dinamik, sesuatu dasar baharu pasti mengundang penyesuaian tersendiri. Perokok akan mencari laluan haram untuk mendapatkan bekalan, maka pasti merancakkan pasaran gelap yang lebih sukar dikawal.
Selain kerajaan gagal mengenakan cukai atas kegiatan ekonomi bawah tanah, ia juga tiada data lengkap tentang bahan tembakau seludup (seperti masalah kawalan cecair vape saat ini) dan pastinya terpaksa meningkatkan lagi kos penguatkuasaan. Semua ini pula membiak bersama rasuah dan sindiket.
Iran boleh dijadikan contoh yang menarik. Akibat tekanan kuasa-kuasa Barat selama berdekad-dekad, negara itu terpaksa menggerakkan ekonomi bawah tanah. Dianggarkan 40 peratus daripada US$436.9 bilion (RM1.8 trilion) KDNK negara pengeluar petrol itu datang daripada kegiatan pasaran gelap. Mewarisi perubahan mendadak hasil revolusi Islam 1979, republik itu juga berdepan ketegangan perubahan di segenap penjuru dalam tempoh 50 tahun mutakhir.
Profesor Vali Nasr dalam bukunya Iran's Grand Strategy: A Political History (2025) menjelaskan pelbagai dinamika negara tersebut, dalam banyak sektor termasuklah kawalan elit ulama yang autoritarian dan kroninya terhadap pasaran bawah tanah. Kesan buruknya bukan sahaja pada ekonomi tetapi juga melemahkan harapan warga hingga makin ramai tidak sanggup melakukan reformasi lagi.

Selain protes luar biasa anak muda pada 2022 yang berlarutan setahun berhubung isu tudung, minat keluar mengundi merosot teruk daripada 48 peratus pada 2021 kepada 39 peratus pada 2024. Rakyat sudah hilang harapan untuk mendesak perubahan lagi setelah beberapa percubaan reformasi sejak era Akbar Hashemi Rafsanjani (1989 hingga 1997) dan Mohammad Khatami (1997 hingga 2005) asyik tergendala.
Dalam lima tahun lepas, sejak 2020, banyak negara mengalami kacau-bilau ini selain Indonesia, Nepal dan Iran. Tetapi semuanya boleh disimpulkan sebagai:
- Hal-hal ekonomi menjadi pencetus utama ledakan: inflasi, harga makanan dan krisis bahan api lebih cepat menjatuhkan rejim berbanding ideologi, tidak seperti revolusi atau konflik ketika Perang Dingin abad lalu.
- Rasuah, masalah hutang dan kemarahan anak muda akibat jurang kaya-miskin bersama kemewahan elit meningkatkan risiko kejatuhan sesuatu regim misalnya Sri Lanka dan Bangladesh.
- Bantahan tentang hak wanita atau kaum minoriti boleh menggugat kestabilan rejim walaupun tidak tumbang, misalnya di Iran dan India.
- Media sosial mudah membakar amarah orang ramai, menjadikan rungutan setempat atau isu kecil sebagai percikan api yang marak dalam tempoh hanya beberapa hari.
- Perubahan rejim berlaku apabila beberapa faktor di atas bertembung, antaranya kejatuhan ekonomi + rasuah + kemarahan generasi muda + legitimasi lemah misalnya di Sri Lanka, Bangladesh dan kini Nepal.

Namun rawatan atas semua masalah ini tidak mudah jika kita gagal melihat gambaran besar, budaya + politik + ekonomi = jiwa + fikiran + gelagat warga. Apatah lagi perubahan rejim menyebabkan negara lebih tidak stabil dan perkembangan ekonomi terbantut. Maka muncul lagi rasa tidak puas hati atau kekecewaan mendalam yang akhirnya mencetuskan lebih kerap bantahan.
Contoh mudah, Nepal yang menyaksikan naik turun perdana menteri sebanyak 14 kali (termasuk pemimpin yang berulang) dalam tempoh 16 tahun sejak berakhir penguasaan raja pada 2008. Sebab itulah, rusuhan bukan tanda kebangkitan rakyat yang sedar tetapi simptom penyakit yang parah.
Di negara kita pula, sebagai perbandingan awal, Sabah muncul sebagai negeri yang paling kerap bertukar kerajaan. Sejak 1967 hingga 1994, empat kerajaan berlainan parti bersilih ganti sewaktu ia cuba belajar mengurus sendiri selepas era penjajahan. Krisis politik 1994 pula diikuti sistem penggiliran ketua menteri sehingga 2004.
Apakah ini sebabnya Sabah menjadi negeri paling miskin di Malaysia? Selain isu rasuah dan pembangunan yang perlahan, apakah semua ini menjadi pendorong utama demonstrasi di sebalik nama Zara Qairina Mahathir?
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
