KOLUM | Pada 6 Februari 2025, genaplah seratus tahun usia Pramoedya Ananta Toer andai dia masih bernafas di dunia fana ini. Tetapi meski jasadnya telah pergi pada 30 April 2006, roh kesusasteraannya tetap hidup, bergerak dari halaman ke halaman, dari lidah ke lidah, dari nadi ke nadi para pencinta kata.
Akrab dipanggil Pram, dia adalah sosok yang tidak hanya menulis sejarah bangsanya, malah menghidupkannya semula, dengan segala luka, pengkhianatan dan harapan yang tersemat di dalamnya.
Saya sendiri pertama kali mengenalinya bukan melalui kuliah universiti, bukan pula melalui diskusi akademik, tetapi melalui sebuah buku yang tidak sepatutnya singgah terlalu awal dalam hidup remaja, lewat buku Keluarga Gerilya yang dijadikan teks sastera untuk subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Bumi Manusia.
Saya masih ingat betapa tebalnya buku itu, betapa rumitnya nama-nama tokohnya, tetapi entah mengapa saya terpikat. Saya membacanya bukan sekali mahupun dua kali, bahkan berkali-kali, seolah-olah di dalamnya terdapat rahsia yang hanya akan terbuka apabila dibaca dengan tekun dan penuh sabar.
Dari situlah bermula keterikatan saya kepada Pramoedya. Kemudian ketika berpeluang ke Pesta Buku Jakarta, kaki saya melangkah dengan satu tujuan yang jelas: mencari buku-buku Pram, meskipun sebahagiannya diharamkan, disorokkan, atau dijual dengan bisik-bisik di antara rak. Saya membawanya pulang bagai menyeludup bara, menyimpannya dengan rasa bangga dan cemas, lalu membacanya dengan hati-hati, kerana setiap kalimatnya terasa seperti serpihan sejarah yang hidup.
Antara sains dan sastera
Saya sedar, jalan hidup saya bukanlah jalan sastera secara formal. Saya belajar sains komputer dan statistik di New Zealand, dunia angka dan algoritma yang nampak jauh daripada puisi dan prosa. Tetapi jiwa saya tidak pernah lepas daripada kata-kata.
Sains memberi saya logik, tetapi sastera memberi saya makna. Dan dalam dunia sastera Indonesia, nama yang paling kuat memikat saya tetaplah Pramoedya Ananta Toer.
Kawan-kawan saya ada yang gelisah dengan sikap saya yang, kata mereka, terlalu mengagungkan Pram. “Pram itu tebal faham sosialismenya,” kata seorang sahabat. “Dia pernah memberangus karya sesama sasterawan, jadi kenapa kamu memuja dia?”
Saya mendengar, saya merenung, tetapi tidak semestinya saya tunduk. Saya menjawab dalam hati dan kadang-kadang dalam tulisan: sosialisme Pramoedya adalah sosialisme yang ditopang oleh kemanusiaan.
Sesiapa yang membaca Bumi Manusia akan tahu, Pram bukan menulis dogma parti atau slogan politik, tetapi menulis denyut hati manusia. Tentang cinta Minke kepada Annelies, tentang ketidakadilan hukum kolonial, tentang suara kecil yang melawan kekuasaan besar. Bukankah itu lebih besar daripada sekadar bendera ideologi?
Polemik dan snugerah
Benar, Pram bukanlah sasterawan yang sunyi daripada kontroversi. Ketika dia menerima Hadiah Ramon Magsaysay pada tahun 1995, sekumpulan sasterawan Indonesia membantah keras. Moechtar Lubis, yang juga penerima anugerah itu sebelumnya, mengugut untuk mengembalikannya jika Pram turut diberi penghormatan yang sama. Polemik itu berlarut, menjadi cermin kepada retak-retak dalam dunia sastera Indonesia sendiri.

Namun panitia hadiah itu berpegang pada hujah yang jelas: karya Pram mendunia, bermutu tinggi, telah diterjemahkan ke dalam puluhan bahasa dan yang paling penting, dia adalah perakam denyut nadi bangsa Indonesia.
Itulah dasar yang juga dipegang oleh Fukuoka Foundation, Unesco Madanjeet Singh Prize, dan pelbagai lagi badan antarabangsa yang mengiktiraf keagungan tulisannya.
Dialah satu-satunya calon Hadiah Nobel Kesusasteraan daripada rumpun Melayu, dicalonkan tidak sekali dua, tetapi lapan kali. Sayangnya, tembok politik Orde Baru terlalu tinggi. Masa lalunya yang dikaitkan dengan Lekra dan simpati kepada komunisme dijadikan senjata untuk menghalang. Dan begitulah hakikat bangsa kita: kadang-kadang lebih rela menyingkirkan permata sendiri daripada melihatnya bersinar di mata dunia.
Entah benar entah tidak cerita bahawa Pram pernah memberangus karya sesama sasterawan pada masa mudanya. Saya tidak menutup mata bahawa dia manusia biasa, dengan kelemahan dan nafsu kuasa yang pernah singgah dalam dirinya. Tetapi mengurung Pram hanya dalam tuduhan itu adalah ketidakadilan sejarah.
Apa yang saya tahu, setiap kali saya membuka halamannya, saya mendengar suara rakyat kecil yang selama ini dibisukan. Dari Keluarga Gerilya, yang ironinya pernah dijadikan teks sastera STPM di Malaysia, hingga ke Tetralogi Buru yang ditulis dalam buangan, saya melihat keberanian seorang lelaki yang tidak pernah berhenti menulis meskipun dirantai, diawasi dan dipinggirkan.
Warisan yang tak pernah padam
Kini, di tahun 2025, kita menatap angka seratus di belakang nama Pramoedya Ananta Toer. Seratus tahun bukan sekadar tanda usia, tetapi bukti betapa panjangnya pengaruh seorang penulis yang pernah hidup sebagai anak Blora yang miskin, pejuang kemerdekaan, tahanan politik, pengasing di Pulau Buru dan akhirnya ikon kesusasteraan dunia.
Ada yang menuduhnya komunis, ada yang mengangkatnya sebagai nabi kata, ada pula yang memilih untuk membaca tanpa prejudis. Bagi saya, Pram adalah manusia yang menulis dengan darah sejarah bangsanya. Sosialisme yang melekat pada dirinya hanyalah wadah; isi sebenarnya adalah kemanusiaan, penderitaan dan kebangkitan.

Apa yang tinggal daripada Pramoedya Ananta Toer hari ini? Lebih daripada dua puluh novel, beratus cerpen, esei, dan memoir. Karyanya diterjemahkan kepada lebih 40 bahasa, dipelajari di universiti-universiti dunia dan terus diperdebatkan di ruang akademik serta kedai kopi.
Tetapi lebih daripada itu, yang tinggal ialah kesaksian bahawa pena mampu melawan senapang, bahawa kata-kata mampu bertahan lebih lama daripada kuasa mana-mana regim.
Dan saya, seorang yang dibesarkan dengan buku di tangan, seorang yang pernah duduk di dewan kuliah sains komputer dan statistik di bumi New Zealand, seorang yang menapak di Pesta Buku Jakarta dengan degup hati mencari karya Pram, memilih untuk terus membaca dan menulis tentangnya.
Biarpun ada sahabat yang tidak senang, biarpun ada sejarah hitam yang melekat, saya tetap percaya: Pram adalah cermin yang memantulkan wajah Nusantara — wajah yang luka tetapi tidak kalah, wajah yang lemah tetapi tetap teguh.
Tak perlu pembelaan
Seratus tahun Pramoedya bukanlah sekadar nostalgia, tetapi peringatan. Kita, bangsa serumpun, sering membiarkan tokoh besar kita dipinggirkan oleh politik sempit, sedangkan dunia luar mengangkat mereka ke mercu.
Pram tidak lagi memerlukan pembelaan; karyanya sudah cukup menjadi saksi. Apa yang perlu kita tanyakan: adakah kita berani membaca tanpa prasangka, berani menilai tanpa dendam, dan berani mengakui bahawa dari Blora telah lahir seorang pengarang yang tidak ternilai harganya?
Saya memilih untuk menjawab “ya”. Kerana bagi saya, di antara angka-angka statistik, di antara algoritma komputer, di antara dunia yang kering fakta, karya Pram sentiasa mengingatkan: hidup ini harus punya makna, dan makna itu hanya lahir apabila kita sanggup melihat manusia lain sebagai manusia.
Itulah warisan terbesar Pramoedya Ananta Toer, warisan yang, seratus tahun kemudian, masih bernyawa dalam hati saya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
