Donald Trump Presiden Amerika yang ke-47 dilaporkan sebagai mangsa peras ugut. Apakah desas-desus peras ugut ini masuk akal. Peras ugut memang wujud dalam kehidupan harian.
Kita selalu terbaca dan terdengar Si Anu dan Si Polan kena peras ugut. Bukan hanya di Amerika ada peras ugut. Di Malaysia juga ada berlaku peras ugut. Peras ugut istilah rasmi – istilah Dewan Bahasa dan Pustaka. Lebih popular peras ugut di panggil pau. Mangsa peras ugut dikenali sebagai mangsa kena pau.
Pihak yang menjalankan peras ugut atau pau ini akan mendapat keuntungan. Tujuan memeras ugut ialah untuk mencari untung. Ada keuntungan politik dan ada keuntungan ekonomi. Garis bawahnya ialah untung dan laba.
Kes pemerasan politik boleh melibatkan penggunaan gambar, video rakaman rahsia, rakaman perbualan telefon untuk memburukkan pihak yang diugut. Jika ahli politik yang dipau - ini bertujuan untuk memaksa keputusan politik yang akan menguntung tukang pau.
Ketua negara atau pak menteri akan dipau melalui gambar, rakaman video atau dokumen yang akan memalu dan memburukan kedudukan mangsa. Mungkin juga pak menteri dipau untuk mendapatkan projek. Dipau untuk mendapat tanah untuk cari gali atau untuk mendapatkan konsesi negara.
Peras ugut ini menggambarkan bagaimana maklumat, pengaruh ekonomi dan ancaman geopolitik digunakan untuk memanipulasi atau memeras pelaku politik dan negara untuk kepentingan politik.
Tapi apakah masuk akal Donald Trump Ketua Agong Angkatan Tentera Amerika – sosok yang paling berkuasa di dunia ini menjadi mangsa pau. Sekali imbas pasti tidak meyakinkan. Tetapi media arus perdana Amerika terus melaporkan wujudnya berita Trump sedang kena pau.
Tukang pau ialah Netanyahu Perdana Menteri Israel. Jelas ini satu tuduhan yang amat serius. Apakah ada kebenaran?

Tuduhan peras ugut ini datang bukan hanya dari Tik Tok atau dari pempengaruh yang mencari nama. Tidak. Tuduhan ini datang dari sosok-sosok yang berpengaruh.
Kolonel Douglas Macgregor yang pernah bertugas dalam NATO. Sosok ini pernah terlibat dalam perang Kosovo tahun 1998. Sesudah bersara Kolonel Macgregor menjadi Duta Amerika ke Jerman. Juga pernah bertugas sebagai Penasihat kepada Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika. Jelas sosok ini bukan kecil anak.
Pada 8 September 2025 dalam Podcast Judge Napolitano bekas Kolonel ini berkata ‘ Netanyahu ada memegang sesuatu... untuk peras ugut Trump...’ Kata-kata ini muncul bila ditanya tentang pendirian Trump terhadap Gaza.
Perkara yang sama pernah dinyatakan oleh Ray MacGovern. Sosok ini bekerja sebagai Penganalisa CIA dari tahun 1963 – 1990. Kini bersara dan pada tahun 2003 mengasaskan lembaga VIPS - Veteran Intelligence Professionals for Sanity - untuk menjaga kepentingan bekas-bekas pegawai perisik CIA.

Ray MacGoveran tidak berlapik : ‘... Netanyahu is blackmailing Trump... Netanyahu sedang memeras ugut Trump....’ Ini juga bersangkutan dengan dasar Trump terhadap Palestin dan Gaza.
Pastilah sosok bekas penganalisa CIA ini tahu apa yang sedang berlaku. Ini kerana kerja peras ugut adalah sebahagian dari cara bekerja CIA dan lembaga risikan untuk mendapatkan maklumat.
Seorang lagi pemikir dan pembuat dasar luar Amerika Profesor Jefferey Sachs juga memiliki pendapat yang sama. Profesor ini pernah menjadi penasihat presiden Reagan dan Gorbachev. Sosok ini terlibat dalam penyelesaian Perang Dingin.
Pada 8 September 2025 dalam Judging Freedom Podcast dia telah ditanya apa pandangan terhadap peras ugut. Profesor Sachs menjawab ‘... peras ugut ini berlaku dalam politik Amerika semenjak dulu...apa yang kita ketahui Epstein ialah dia ejen Mossad...dia mengumpul bahan pau untuk mengkompromi para politikus Amerika... kerana itu tiba-tiba file itu dikatakan hilang... tandatangan Trump dikatakan bukan tulisan Trump...ini amat menyedihkan...’
Malah Tucker Carlson personaliti media dan bekas Sauh Pengacara Fox News – penyokong kuat Trump juga merasakan bahawa Trump hari ini telah masuk ke dalam saku Netanyahu.

Masuk ke dalam saku Netanyahu inilah yang menjadi punca yang menimbulkan berita bahawa Presiden Amerika ini sedang menjadi mangsa pau Netanyahu.
Cukup mudah untuk memahami bagaimana peras ugut ini berjalan. Bahan ugut dirakam dan dikumpul oleh Epstein dan disampaikan kepada Mossad. Netanyahu Perdana Menteri Israel akan memberitahu secara berseloroh bahawa dia telah menonton babak ‘Trump ‘bergumpal di atas katil ‘ di Rumah Tamu Epstein.
“Tapi jangan risau tuan Presiden ....saya akan beri arahan pada Mossad untuk memusnahkan bahan-bahan ini....” Khalas. Ayat pendek ini telah mencukupi untuk memasukkan Trump ke dalam saku Netanyahu.
Berita Presiden Amerika kena pau oleh Mossad makin menjadi-jadi. Pertama apabila Trump mengarahkan Jabatan Peguam Negara Amerika untuk menemubual Ghislaine Maxwell yang sedang menjalani hukuman 20 tahun penjara kerana menjadi Ibu Ayam.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kemudian telah mengeluarkan transkrip wawancara ini.
Dalam transkrip yang dikeluarkan Ghislaine Maxwell memuji Trump dan menegaskan bahawa dia tidak pernah melihat Trump terlibat dalam sebarang kelakuan lucah.
"Saya sebenarnya tidak pernah melihat Presiden Trump dalam apa-apa jenis suasana atas katil sedang di urut ," kata Ghislaine.
Apa yang memeranjatkan ialah sesudah temu bual ini dijalankan Ghislaine telah dipindahkan ke penjara yang lebih lumayan. Ini memperkuatkan teori bahawa Ghislaine sedang membantu membersihkan nama Trump. Untuk ini Ghislaine telah dihadiahkan penjara yang lebih lunak.
Apa yang lebih meyakinkan warga Amerika bahawa Trump sedang kena pau ialah dasar Trump dan tidak tanduk Trump terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza.

Ketika ini Amerika menghadapi dua perang : Perang Ukraine dan Perang Gaza. Dasar dan tidak tanduk Trump terhadap Ukraine agak jauh berbeza dengan dasar Trump dengan Gaza.
Untuk Ukraine Trump mahu perang ditamatkan. Manakala untuk Gaza Trump seolah -olah tutup mata tidak ambil tahu apa yang sedang dilakukan Israel.
Genosid yang kini dikutuk oleh seluruh dunia tetapi Trump tidak memberi apa-apa komen. Malah dasar pro Israel Trump dalam politik Amerika makin menjadi-jadi. Beberapa buah universiti tersohor seperti Havard dan Yale telah dikenakan sekatan dana kerana dituduh oleh Trump sebagai sarang pro-Palestin.
Paling akhir ialah melarang kemasukan delegasi Palestin ke New York untuk mengambil bahagian dalam persidangan tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bulan September ini.

Apa yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin dan Gaza dilihat oleh Trump sebagai tindakan Israel mempertahankan diri. Malah Amerika di bawah Trump terus menghantar bantuan senjata kepada Israel.
Hakikatnya jika pagi esok Presiden Donald Trump membuat kenyataan mengarahkan Netanyahu memberhentikan serangan terhadap Gaza dengan serta merta pembantaian terhadap Palestin akan berhenti.
Jika esok pagi Presiden Donald Trump beri arahan agar semua pintu masuk di sempadan Israel di buka. Maka beratus-ratus lori yang tersadai di Rafah boleh masuk membawa bantuan makanan dan perubatan ke Gaza.
Jika esok pagi Presiden Donald Trump membuat kenyataan bahawa segala bantuan ketenteraan-senjata dan peluru dihentikan dari dihantar ke Israel, dengan serta merta United Kingdom juga akan berhenti sama.
Tetapi semua ini tidak berlaku walaupun daripada kajian dan pungutan suara kini lebih dari 35 peratus warga Amerika bersimpati terhadap Palestin.

Pada 28 Ogos 2025 Al-Jazeera melaporkan pungutan suara terbaru menunjukkan bahawa setengah daripada pengundi di Amerika mengangap Israel sedang melakukan genosid. Berita yang sama juga melaporkan 6 daripada 10 pengundi di Amerika menentang penghantaran senjata ke Israel.
Sehingga akhir Ogos dan awal September 2025, 147 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf sebuah negara Palestin. Jumlah ini termasuk ikrar baru-baru ini untuk mengiktiraf kenegaraan dari negara seperti Perancis, UK, Kanada dan Australia, yang akan diserahkan kepada Perhimpunan Agung PBB pada bulan September ini. Majoriti negara di Timur Tengah, Asia, dan Afrika sudah mengiktiraf Palestin.
Pada bulan September ini kita akan melihat bahawa persidangan PBB akan beralih dari New York ke Geneva di Switzerland. Ini untuk membolehkan wakil dari Palestin datang sama mengambil bahagian.
Semua yang sedang terpapar di hadapan mata kita menunjukan bahawa Amerika di bawah Trump kini terpencil bersendirian. Malah sekutu dan kawan setia Amerika di Eropah juga telah beralih kiblat untuk menyokong terdiri sebuah negara bernama Palestin.

Dengan semua yang terpampang Presiden Donald Trump masih enggan menarik diri dan mengubah haluan tentang Zionis Israel. Maka tidak dapat tidak berita bahawa Donald Trump sedang kena pau oleh Netanyahu diyakini.
Jelas lagi meyakinkan kenapa Trump terus mengikut telunjuk Netanyahu walaupun dunia sudah beralih. Jelas dan meyakinkan bahawa Netanyahu dan Mossad memilik bahan-bahan sulit yang akan mengkompromi status Trump sebagai Presiden.
Apa yang ada dalam file Epstein tidak kita ketahui. Apa yang akan kita ketahui ialah bila pengundian diambil di Geneva dalam persidangan PBB September ini ialah 191 menyokong mewujudkan negara Palestin. Dua undi menolak – Israel dan Amerika.
Maka jelas dan terbukti bagaimana kuasa pau – kuasa peras boleh mengalih geopolitik dunia. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
