KOLUM | Ada satu naratif yang gemar dibawa oleh pihak British sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua dalam menghalalkan tindakan mereka menjarah orang lain.
Hal itu ialah soal pembangunan dan kemajuan.
Kerana itu British membangunkan sektor pertanian tradisional atau sara diri dengan menyediakan bekalan beras untuk penduduk Tanah Melayu. Antara yang dilakukan mereka ialah melalui projek pengairan Sungai Manik.
Sistem itu dimulakan pada 1932 dan mengambil tempoh selama 12 tahun untuk disiapkan. Ini melibatkan keluasan tanah sebanyak 25,000 ekar.
Sehingga 1935, kerja-kerja projek membina sistem pengairan di Sungai Manik menggunakan tenaga kerja orang Melayu. Mereka membuka hutan, menebang pokok dan membersihkan kawasan projek dengan membakar sebelum ia dijadikan sawah.
The Straits Times pada 17 Jun 1936 melaporkan bahawa Sungai Manik merupakan oasis di tengah hutan belantara.
Kunci air yang menjadi struktur utama sistem pengairan di mukim itu dibuka secara rasmi pada 12 Jun 1940. Pembinaan kunci air itu sendiri memakan belanja sebanyak $166,028.87.
Sistem pengairan yang dilengkapi dengan kunci air besar ataupun headwork menjadikan kawasan tersebut didiami lebih 6,000 penduduk yang datang dari pelbagai pelosok tanah air.
Ia merupakan satu perancangan besar kerajaan British dalam kempen mereka mahu mempertingkatkan pengeluaran padi negara sekali gus menambah pendapatan penduduk setempat.
Pada peringkat awal, batas-batas bendang dan tali air juga dijadikan jalan perhubungan.
Dapat restu daripada sultan
Bapa saya pernah bercerita bahawa perkhidmatan bas pada awal 1960-an dari Teluk Anson ke Sungai Manik melalui Jalan Degong – Kampar.
Jalan Sungai Manik belum lagi wujud lagi ketika itu.
Bas berhenti di tempat yang bernama Kunci Air Besar, ataupun disebut orang kampung sebagai Headwork.
Dari situ, mereka berbasikal atau berjalan untuk ke kampung kami, Sungai Lampam, dengan merentasi batas-batas padi dan tali air sejauh kira-kira 5km.
Jalan darat lain ialah melalui kereta api yang menghubungkan Tapah Road ke Teluk Anson. Ia melewati beberapa stesen kecil seperti Degong, Chikus, Tukang Sidin dan Sungai Kerawai.

Headwork itu adalah binaan yang tidak sekadar berfungsi sebagai pembekal air untuk sawah padi di kawasan sekitar, malah ketika itu menjadi simbol kemajuan di daerah kami.
Binaan tersebut masih kukuh dan berfungsi sehingga ke hari ini.
Kerajaan Perak bersama Chinese Protectorate and Chinese Chamber of Commerce dengan restu Sultan Perak membenarkan 500 keluarga kaum Tionghua mengusahakan padi di mukim Sungai Manik.
Awalnya mereka ditempatkan di Degong, Langkap dan kemudian dipindahkan ke Chui Chak melalui perancangan Briggs pada awal 1950 hingga 1952. Ada kemungkinan British mengambil pendekatan itu kesan daripada Perang Sungai Manik.
Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ketika itu, merasmikan pembukaan kunci air besar tersebut dalam majlis yang gilang-gemilang.
Ditelan arus sungai
Majlis perasmian itu turut dihadiri Residen British di Perak, Marcus Rex; Raja Muda Perak, Raja Abdul Aziz; Raja Di Hilir, raja-raja Melayu lain, ahli majlis mesyuarat negeri dan para pembesar negeri.
Penasihat Jabatan Parit dan Saliran Tanah Melayu, AS Robinson; Pegawai Kanan Parit dan Saliran Utara Tanah Melayu, AR Murray; adalah antara pegawai British yang menjadi tetamu utama majlis berkenaan.
Pegawai Daerah Hilir Perak ketika itu adalah Alwyn Sidney Haynes yang kemudiannya setelah pencen menjadi pensyarah bidang Bahasa Melayu di Universiti Oxford.
Sehingga 1970-an, Headworks itu menjadi tempat penduduk setempat mengadakan pesta mandi Safar dengan keyakinan ia adalah ritual yang perlu diadakan sebagai cara menolak bala.
Bapa menasihati kami agar tidak menyertai pesta tersebut kerana ia termasuk hal-hal yang khurafat.
Saya hanya mendengar cerita kawan-kawan sekolah tentang keseronokan pesta tersebut yang ada jualan makanan, persembahan kugiran dan ramainya orang.

Ada juga berlaku kematian akibat lemas ditelan arus sungai. Mengikut kepercayaan orang kampung, Headwork meminta nyawa sebagai harga keamanan.
Tidak pasti itu sama ada itu adalah kepercayaan masyarakat semasa atau fikiran saya yang masih kanak-kanak sahaja.
Headwork membawa maksud struktur utama tempat air dialirkan masuk ke sistem saliran. Di situlah sistem pengairan dikawal.
Kerajaan British menganggap projek pengairan Sungai Manik adalah salah satu usaha besar untuk meningkatkan taraf kehidupan orang kampung.
Tidak ramai yang sanggup
Dalam titah ucapan semasa majlis perasmian itu, baginda merakamkan keperluan untuk orang Melayu bersatu menyokong pihak Berikat dalam peperangan dengan kumpulan Paksi.
Ketika itu, perang sudah meletus di Eropah apabila Jerman menyerang Poland pada Sept 1939. Bahang perang mulai terasa di dunia sebelah timur. Salah satu isu kritikal pada masa itu adalah bekalan makanan terutama padi.
Robinson menulis dalam The Strait Times Annual I pada 1940 mengenai penanaman padi di Sungai Manik.
Katanya, melalui pembinaan sistem pengairan, penanaman padi tidak lagi bergantung bekalan air hujan. Kemudahan itu mengurangkan sedikit masalah para petani apabila mereka hanya perlu berdepan dengan isu banjir, ancaman burung dan haiwan perosak.
Menurutnya lagi, ketika dia berbasikal melalui kawasan dusun di Chikus, kelihatan Cameron Highlands yang menjadi latar belakang kawasan padi di Sungai Manik.
Menurutnya, penduduk dari Balik Pulau dan Seberang Perai berpindah ke Sungai Manik untuk mengusahakan padi.
Kata Robinson, mereka adalah petani yang mempunyai kemahiran bersawah yang baik.
Awalnya kawasan penanaman padi tersebut disediakan kepada penduduk Melayu yang ramai tinggal di sepanjang Sungai Perak. Namun tidak ramai sanggup meninggalkan kampung halaman yang permai dan mengusahakan sawah di tempat baru.
Mereka lebih selesa dengan kehidupan yang sederhana di rumah kutai, menikmati keindahan Sungai Perak dan menanti musim durian luruh.
Selepas itu, kawasan tersebut didatangi perantau dari tanah Jawa, Banjarmasin serta Sumatera yang mahu mengadu nasib.
Kini setelah menghampiri 100 tahun Sungai Manik dibuka dan tanahnya menjadi sawah tempat menuai padi, penduduknya terus didodoi dengan agenda pembangunan dan kemajuan meski telah merdeka hampir tujuh dekad.
Apakah itu hentian buat manusia hidup bermasyarakat?
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional. Artikel ini ditulis berasaskan keratan akhbar laman National Library Singapore dan sejarah lisan orang tempatan. Penulis dibesarkan di Sungai Manik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
