Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Saban tahun bulan September, adalah bulan yang amat bermakna untuk seluruh warga Malaysia. Ia adalah bulan bersejarah kerana di bulan ini tertubuhnya negara Malaysia. Sejak 16 September 1963, usia Malaysia telah mencecah 62 tahun.

Dalam masa sama, bulan September juga adalah bulan yang bermakna buat seluruh pendukung demokrasi serata dunia. Ini memandangkan tanggal 15 September telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2007), sebagai Hari Antarabangsa untuk Demokrasi.

Memperingati kedua-dua tarikh dalam bulan September ini, menempa satu iltizam untuk membuka lembaran Malaysia di masa mendatang beriringan dengan prinsip dan nilai-nilai keterbukaan, keramahan, dan hormat yang terangkum dalam konsep demokrasi.

Hari ini Malaysia berdiri dengan kekayaan budaya dan kepelbagaian ras serta agama. Sejak awal Malaysia tertubuh, negara ini dianggap pemerhati luar sebagai satu bentuk eksperimentasi sosial dan politik, bagaimana negara acuan demokrasi ini dengan kerencaman budaya timur boleh bertahan.

Sudah pasti ia memerlukan kefahaman yang mendalam dalam kalangan warga khususnya dalam menghubung kait prinsip demokrasi yang sering disinis sebagai elemen pembaratan, dengan aspirasi budaya setempat.

Keperluan ini berasas, melihat kepada beberapa kajian yang dilakukan James C Scott lewat bukunya Political Ideology in Malaysia tahun 1968.

Lantas, wacana Islam dan demokrasi serta dialog peradaban telah diangkat oleh segolongan sarjana untuk mencari titik temu kepada pembenturan tema-tema yang saling berjauhan ini. Usaha ini menampakkan dampak positif apabila rakyat kian celik serta lantang dalam menuntut hak yang wajib ditunaikan penguasa.

Sejak beberapa dekad ini aksi Himpunan Aman, protes rakyat, piket, forum awam adalah manifestasi penting kepada perkembangan positif ini. Menurut Economist Intelligence Unit’s (EIU) Democracy Index, 2024, Malaysia mengungguli tempat pertama dalam indeks demokrasi dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara lain.

Namun, ia tidak seharusnya menghentikan usaha kita untuk berkerja lebih kuat membawa usaha-usaha penambahbaikan. Ini memandangkan skor yang dicapai adalah 7.29 iaitu jatuh dalam kategori “flawed democracy”, di belakang skor 8.00-10.00 yang dianggap sebagai “full democracy.”

Nyala rasa harus dibangkitkan untuk kita meneruskan usaha reformasi bagi membuka ruang dan suara rakyat terbanyak. Sesungguhnya wujud kesebatian antara reformasi dan demokrasi.

Tanpa reformasi sudah pasti demokrasi akan menguncup, malah akan menjadi regresif. Begitu juga tanpa demokrasi, ia akan menutup ruang reformasi berasaskan aspirasi suara keramat rakyat.

Janji reformasi penting seperti pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan memberi lebih ruang kepada rakyat untuk berhimpun, penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1955 serta banyak lagi harus diusahakan bukan semata untuk naikkan skor indeks Malaysia, tetapi bagi memastikan rakyat benar-benar mendapat manfaat.

Justeru, penting untuk kita mendukung demokrasi atas nuansa pemberdayaan rakyat, bukan semata atas perlumbaan kosmetik dan pertunjukkan wayang gambar. Ia juga bukan semata mendukung kebebasan bertarung dalam politik yang berakhir dengan kesumat permusuhan.

Dalam hubungan ini, Bung Hatta dalam karyanya “Demokrasi Kita” menegaskan demokrasi yang cucuk dengan masyarakat rantau ini bukan semata demokrasi politik Barat yang menyebabkan berkobarnya api individualisme dan kapitalisme.

Demokrasi yang diperlukan adalah demokrasi sosial yang menitikberatkan soal perikemanusiaan dan keadilan sosial. Pergaulan rantau ini sering mengangkat nilai kolektivisme menerusi musyawarah, mencari titik muafakat serta amalan gotong-royong yang menjadi sendi dalam organisasi sosial masyarakat.

Lantaran, kita harus dipandu ke arah demokrasi yang murni dan berintegriti yang menurut almarhum Dato’ Dr Siddiq Fadzil “yang kalah tidak kecewa kerana dia tahu siapa yang menang. Yang menang adalah idealisme perjuangannya sendiri: prinsip dan nilai demokrasi kedaulatan rakyat.

Tetapi dalam demokrasi tanpa integriti yang kalah akan sangat kecewa, kerana dia tahu siapa yang menang. Yang menang adalah perosak demokrasi: rasuah, penipuan, kecurangan dan kemunafikan.”

Demokrasi merosot

Fenomena dunia hari ini memperlihat semakin terhakis keyakinan warga kepada demokrasi. Rujukan kepada indeks yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit, memperlihat kemerosotan indeks demokrasi dunia untuk tahun 2024.

Indeks tersebut menyatakan lebih satu pertiga (39.2%) warga dunia hidup di bawah kekuasaan authoritarian. 60 negara dikategorikan sebagai “authoritarian regime”, dan secara umum skor untuk kategori “civil liberty’” dan “electoral process & pluralism” telah menjunam paling teruk sejak 2008.

Adakah ini petanda kepada kegagalan projek demokrasi?

Senario yang berlaku akhir-akhir ini menambahkan lagi persoalan warga dunia yang sedia sinikal akan keperluan demokrasi untuk menjawab isu-isu rakyat di banyak belahan dunia yang tertindas.

Presiden AS Donald Trump dan PM Israel Benjamin Netanyahu.

Jenayah perang dan genosid yang dilakukan berterusan regim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin, disusuli tindakan jaguh demokrasi iaitu Amerika yang bulan ini masuk kali keenam veto usul Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan genosid tersebut akan membangkitkan persoalan adakah demokrasi ini penyelamat untuk golongan tertindas?

Kesalahan sebenar bukan demokrasi, tetapi demokrasi tanpa integriti, demokrasi yang dikhianati, dan demokrasi bukan atas nuansa untuk mengangkat martabat rakyat, sebaliknya demokrasi hanya sebagai tontonan wayang untuk mereka yang ‘civilized’.

Sejarah lalu menunjukkan atas nama masyarakat yang bertamadun, mereka hanya bertempik menuntut hak demokrasi untuk sesama warga, tetapi di wilayah jajahan mereka rakus menindas hak rakyat yang dijajah. Hari ini situasi yang sama berulang.

Ini kerana mereka hanya mengangkat demokrasi tanpa integriti, yang hanya dimengerti sebagai alat untuk mendapat kuasa, maka pendukung tegar demokrasi boleh bertukar sekelip mata menjadi kuku besi.

Perjuangan demokrasi yang bersifat selektif untuk membela kaum kerabat dan aparatus politik, tetapi jika ia menggugat sekutu, demokrasi akan menjadi mangsa untuk dilacurkan.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ merupakan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS