Paling Popular
Terkini

Awal September saya telah membaca berita pelajar dan mahasiswa dan kaum buruh Indonesia keluar ke jalan raya menunjuk perasaan dan berdemo di Jakarta. Saya juga membaca berita bangunan dewan Rakyat di Sulawesi dibakar. Saya juga membaca berita seorang anak muda bermotosikal mati dilanggar oleh kereta polis di Jakarta. 

Kematian Affan Kurniawan menyemarak api kemarahan anak muda. Ribuan pelajar dan kaum buruh keluar berdemo di bandar besar di Indonesia. Dari Aceh hingga ke Bali, tunjuk perasaan berlaku.

Bangunan kerajaan sebagai simbol keganasan dibakar. Ramai ditangkap. Beberapa orang gugur. Lebih 20 orang dilapor hilang.

Apa yang menarik dalam demo-demo ini ialah kemunculan bendera tengkorak berwarna hitam. Untuk saya, ini adalah bendera lanun. Pada mulanya saya telah ternampak bendera ini dikibar ketika mahasiswa melancarkan kempen Indonesia Gelap. Kempen ini bermula awal 2025 – siswa dan pelajar menyatakan rasa tidak puas hati dengan dasar Jeneral Prabowo, Presiden Indonesia yang baru.

Beberapa hari sesudah kematian Affan, saya telah bersama anak-anak muda warga kota Kuala Lumpur datang bersetiakawan dengan perjuangan anak muda di Indonesia. Kami  meletakkan bunga mawar dan membaca Al-Fatihah di hadapan Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak. Bendera lanun ini terpampang sama di sebelah gambar arwah Affan.

Saya ternampak gambar tersebut. Pada ketika itu, dari segi semiotik saya tidak memahami apa tanda dan makna bendera lanun ini. Kenapa bendera lanun ini terpampang saya tidak faham. Untuk saya lanun ialah orang jahat.

Kemudian saya menerima satu surat daripada seorang pembaca blog Tukar Tiub. Surat daripada Unknown menulis tentang perjuangan Luffy. Saya juga tidak mengenali siapa Sang Luffy ini.

Saya bertanya - siapa pula Sang Luffy ini?

Lalu saya bertanya kepada Lebai Google. Wah! Barulah saya tahu Si Luffy inilah pemilik bendera itu. Bendera hitam dengan gambar tengkorak memakai topi jerami memiliki sejarah yang gemilang. 

Watak Luffy ini daripada siri anime One Piece. Saya yang kini di panggil ‘old tai’ betul-betul bebal dalam hal ini. Saya adalah generasi Charlie Brown dan Snoopy, justeru saya tidak kenal Luffy.

Lalu saya terus membaca tentang Luffy. Wah! Hebat.

Watak Topi Jerami Luffy ialah seorang tokoh protagonis Jepun. Anak lelaki bernama Luffy ini memiliki kekuatan bersifat getah kerana makan Buah Syaitan.

Luffy dan bendera lanun ini adalah simbol kebebasan. Ramai peminat menghargai Luffy kerana penggambaran dan penjelmaan kebebasannya. Dia dilihat sebagai watak yang melakukan apa yang dia mahu tanpa dikawal oleh keinginan atau jangkaan orang lain.

Luffy juga membawa simbol karisma dan inspirasi: Karisma dan keazaman Luffy sering dipuji. Dia memberi inspirasi kepada orang-orang di sekelilingnya untuk mengikuti impian mereka dan berjuang untuk apa yang mereka percaya. 

Luffy memiliki watak budi yang dinamik dan bijak bercampur gaul dengan orang lain. Luffy memiliki keupayaan untuk menyatukan orang ramai dan membantu mereka mengatasi cabaran mereka. Tema ini berulang-ulang dalam pengembaraan Luffy.

"Sesiapa sahaja dalam One Piece yang menerima kehendak Luffy telah diberikan kebebasan mereka."

Sesudah membaca ini, barulah saya sedar kenapa Generasi Z - atau Gen Z - menyamakan diri mereka dengan pengembaraan Luffy.

Baru saya faham kenapa pada 28 Ogos 2025, bendera hitam gambar tengkorak berkibar di Jakarta, Bandung dan Sulawesi.

Anak muda, siswa, buruh dan petani keluar menuntut keadilan. Warga kota Jakarta berdemo menuntut agar harga barang diturunkan, dan Upah dan tangga gaji dinaikkan. Mereka mahu perasuah dan politikus korup didakwa. 

Pak Menteri dan anak bini serta kroni yang hidup lumayan menjadi sasaran. Menteri Ekonomi Indonesia yang hidup kaya-raya diganyang. Seorang lagi menteri yang ‘bermulut longkang’ kerana menuduh penunjuk perasaan sebagai ‘bodoh’ digasak. Rumah mereka digeledah. Untuk selamat, mereka melarikan diri. 

Jeneral Prabowo menjadi kelam kabut. Mula mencari dan menuduh bahawa ada anasir luar yang masuk campur mahu menggugat Indonesia. Sang Jeneral mula menuding jari menuduh musuh politik sedang menabur dana membawa rakyat ke jalan raya.

Nama penjenayah seperti Riza Chalid yang kini menyorok di Malaysia disebut sebagai salah seorang yang memberi dana kepada gerakan pelajar untuk menjatuhkan Jeneral Prabowo.

Walhal agenda sebenar ialah agihan kekayaan yang tidak adil. Di Indonesia, yang kaya hidup mewah lumayan manakala yang miskin hidup papa kedana. Jurang kaya dengan miskin mengaung luas.  

Ini yang mencetuskan perlawanan. Ini namanya perjuangan kelas – kelas miskin tertindas melawan kelas kaya.

Indonesia sama seperti Malaysia, di mana ekonomi negara dikawal dan dimiliki oleh para cukong atau oligarch dari keturunan pendatang. Ini menjadikan warga bumiputera bertambah marah.

Tiba-tiba pada 8 Ogos 2025, bendera  lanun One Piece  berkibar di  Kathmandu, Nepal. Anak muda keluar berdemo. Perjuangan mereka menentang rasuah dan salah guna kuasa oleh pemerintah. 

Kerajaan Nepal yang berkuasa mahu menutup internet kerana melaluinyalah maklumat kejahatan dan salah guna kuasa pemerintah disebar. Kerajaan Nepal mahu mendirikan   Lembaga Pengawal Internet, sama seperti SKMM di Malaysia.

Anak muda Gen Z bangun melawan. Sama seperti di Jakarta dan Sulawesi, bangunan Parlimen juga dibakar. Sama seperti yang berlaku di Jakarta, rumah Perdana Menteri dibakar.  Perdana Menteri lari. Bendera  hitam Luffy berkibar tinggi.

Dua hari kemudian, pada Ahad 10 Ogos 2025, bendera tengkorak berkibar di Paris. Kali ini  kaum buruh, siswa dan anak muda telah menutup Perancis. Tunjuk perasaan berlaku di beberapa kota-kota besar di sana.

Warga Perancis menolak cadangan untuk menghapuskan subsidi. Kerajaan Presiden Macron mahu memotong hari cuti untuk pekerja. Kerajaan mahu mengurangkan bajet untuk hospital dan klinik. Rakyat marah dan mereka membawa bendera tengkorak Luffy sebagai simbol perjuangan.

Perancis kini dalam krisis politik dan ekonomi.  Pendapatan negara makin mengecut. Perang Russia-Ukraine membawa tempias ekonomi. Dalam masa dua tahun Presiden Macron telah melantik lima Perdana Menteri. Masalah masih tidak selesai.

Tiba-tiba pada 13 Ogos 2025, saya terbaca bendera tengkorak Luffy berkibar di Manila. Anak muda dan warga kota Manila telah keluar berdemo. Mereka menuduh kerajaan Marcos Junior mengamalkan rasuah.

Apa yang menjadi isu ialah kes pembetung dan tebatan melawan banjir. Dana telah dikeluarkan tapi semua kerja tidak berjalan. Duit dan dana kerajaan masuk ke dalam poket cukong dan kroni. Rakyat marah  -  beribu-ribu turun ke jalan raya.

Seperti pelayaran kapal Luffy, bendera One Piece berpindah dari satu negara ke satu negara. 

Kemudian saya juga terbaca bendera tengkorak berkibar di Sydney. Ini ketika warga Australia menyokong perjuangan Palestin.  

Lalu saya teringat - pada 17 Disember 2010, Mohamed Bouazizi membakar dirinya di kota Tunis di Tunisia. Sosok ini membantah tindakan Majlis Bandaran yang merampas kereta sorong sayurannya. Kematian Bouazizi membuka Arab Spring.

Bumi Arab bergolak. Musim Bunga Arab membawa rakyat berdemo melawan kerajaan yang korup. Ribuan turun berdemo di Mesir, Libya, Syria hingga ke Bahrain di Teluk Parsi.

Tunjuk perasaan di Bayda, Libya pada 2018

Kali ini 2025, kematian Affan Kurniawan – anak muda pembawa teksi motosikal - telah membuka  Musim Bunga Asia.

Suara anak muda Gen Z  di Nusantara terus melawan rasuah.  Terus melawan kerajaan yang zalim. Terus melawan penindasan. Terus menuntut upah dinaikkan. 

Anak muda Gen Z juga makin menyampah dengan ‘orang politik ‘ yang semuanya dianggap sebagai penipu, perasuah dan pencuri. Pembakaran rumah menteri di Jakarta dan rumah Perdana Menteri di Kathmandu adalah bukti bahawa Musim Bunga Asia membawa tema yang sama.

Gen Z tidak lagi ada keyakinan terhadap kerajaan yang sedia ada. Semua politikus dilihat oleh Gen Z sebagai korup. Sistem undi pemilihan untuk melantik wakil rakyat adalah punca yang melahirkan korupsi. 

Di belakang semua kerajaan yang wujud hari ini  -  jika di Indonesia dan Malaysia - ialah para cukong. Nepal dan Filipina tidak jauh bezanya berbanding Malaysia atau Indonesia. Cukong atau oligarch dan kaum pemodallah yang mendirikan kerajaan.  

Presiden, Perdana Menteri atau para Menteri hanya orang suruhan atau orang upahan para cukong. Politikus ini semuanya masuk ke dalam poket cukong dan kaum pemodal.  Ini terjadi kerana ketika berkempen untuk mendapat jawatan,  Si Anu dan Si Anu telah ditaja dengan dolar dan ringgit para cukong.

Hakikatnya Gen Z melihat sistem inilah yang sedang dilawan oleh Luffy bertopi jerami. Pelayaran Luffy adalah melawan semua ini.  

Maka kita tidak hairan kenapa bendera tengkorak lanun One Piece mula berkibar dari Jakarta  ke Kathmandu, ke Paris, Ke Sydney dan ke Manila. Ini adalah  simbol perjuangan Gen Z – perjuangan anak muda yang sedang melawan ‘old tai’ yang korup dan zalim. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS