Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Jangan baca tajuk: Tiba masa kawal media sosial

KOLUM | Di kulit hijau buku Mindf*ck: Cambridge Analytica and the Plot to Break America (edisi 2020), tertera tiga baris ayat pendek tetapi memancing provokasi: they steal your data (mereka curi data diri kita), they hack your brain (mereka godam otak kita), they rule the world (mereka kuasai dunia ini).

Tiga baris ayat ini merumuskan tekanan perasaan pengarangnya Christopher Wylie, waktu itu usia 20-an, ketika membongkar skandal syarikat Cambridge Analytica yang memperalatkan media sosial untuk mencetus kacau bilau pemikiran bagi menaikkan Donald Trump sebagai presiden buat kali pertama pada 2016.

Taktik yang sama, menggemparkan psikologi awam, digunakan untuk menggoncang fikiran agar rakyat Britain memilih keluar daripada Kesatuan Eropah dalam pungutan suara Brexit pada tahun yang sama. Caranya, profil pengguna media sosial dipadankan dengan pilihan suka (like) pada Facebook. Data ini kemudian dimanipulasi untuk dijadikan sasaran mesej politik.

Tetapi sejak bila Facebook memperkenal butang "like" dan sejak bila Twitter (sekarang disebut X) mewujudkan butang "retweet" (RT)? Tiga tahun kemudian, media sosial ini memajukan butang kongsi (“share”). Sejak tercipta fungsi ini, antara 2009 hingga 2012, kepintaran buatan (AI) atau algoritma mereka mula mensasarkan pengguna yang tidak menyedarinya.

Pakar psikologi sosial Jonathan Haidt menjelaskan kenapa warga Amerika Syarikat mudah bertekak, tegang dan beremosi apabila masuk ke ruang digital? Kenapa mereka menunjukkan watak seorang pandir yang boleh menggoncang demokrasi? Dalam artikelnya Why the Past 10 Years of American Life Have Been Uniquely Stupid (The Atlantic, Mei 2022), beliau menulis:

"Shortly after its 'like' button began to produce data about what best 'engaged' its users, Facebook developed algorithms to bring each user the content most likely to generate a 'like' or some other interaction, eventually including the 'share' as well. Later research showed that posts that trigger emotions — especially anger at out-groups-are the most likely to be shared."

Terjemahan: Tidak lama selepas butang 'like' mula menghasilkan data tentang apa yang paling 'digemari' penggunanya, Facebook membangunkan algoritma untuk menyajikan setiap pengguna kandungan yang paling berkemungkinan menjana 'suka' atau interaksi lain, termasuklah 'kongsi'. Kajian kemudian menunjukkan bahawa hantaran yang mencetuskan emosi — terutamanya kemarahan terhadap kumpulan luar — antara yang paling mungkin untuk dikongsi.

Pada 2013, konsep tular pula diperkenalkan. Sesiapa sahaja boleh menjadi popular dalam talian, sama ada mendapat pujian menggunung atau kecaman bertubi-tubi. Waktu itu bahan-bahan berita daripada media konvensional masih mudah beredar tetapi dua tahun kemudian, konsep tular bahan berita diganti dengan maklumat palsu dan terseleweng.

Tahun itu, 2016, ramai mulai sedar yang presiden Amerika Syarikat naik melalui maklumat meragukan. Facebook waktu itu mempunyai saham membantu menyebarkan apa-apa bahan tegang, beremosi, palsu dan pecah-belah asalkan model niaganya makin cepat berkembang (untung US$6 bilion berbanding US$3.7 pada 2015). Maka pentas digital ini mendapat kecaman berjemaah, sahamnya merosot dan dipanggil memberi keterangan di depan siasatan awam pada 2018.

Kacau bilau komunikasi digital

Semua ini diceritakan dengan panjang lebar dalam buku Mindf*ck: Cambridge Analytica and the Plot to Break America (cetakan pertama 2019). Haidt pula menyalahkan media sosial yang memanipulasi algoritma daripada konsep "like", “retweet” dan "share" sehingga keberangan, kegemparan, kebencian, ejekan, pembulian atau penghinaan menjadi makanan utama otak pengguna media sosial.

Untuk ringkasan perkembangan ini, pembaca boleh rujuk laporan Facebook’s Long and Halting Fight against Misinformation (Associated Press, 18 Oktober 2020).

Dalam buku In the Swarm: Digital Prospects (2017), kumpulan tulisannya beberapa tahun lebih awal, ahli falsafah Byung-Chul Han menyebut gejala ini sebagai "shitstorm", slanga kurang sopan daripada budaya Inggeris yang kemudiannya meresap masuk dalam bahasa Jerman bagi menggambarkan ketegangan, keresahan, kacau bilau atau suasana tidak menentu dalam dunia digital, khasnya 2013.

Ahli falsafah Jerman ini merumuskan, komunikasi dalam talian sebagai "the shitstorm represents an authentic phenomenon of digital communication" atau "kacau bilau mewakili hakikat sebenar gejala komunikasi dalam talian". Hujahnya lagi, komunikasi digital sebenarnya bertanggungjawab terhadap perpecahan masyarakat dan ruang bersama.

Komunikasi digital juga perlahan-lahan menghakis sebarang kemungkinan untuk tindakan politik yang sejati dan wacana politik yang bermakna.

Dalam era pradigital, era analog, menjelang surat penuh kemarahan dikirim kepada editor, keberangan spontan itu mungkin sudah mulai reda. Tetapi berbeza hari ini, komunikasi digital memungkinkan reaksi serta-merta dan sesuka hati disebarkan, bertujuan meluahkan dan membangkitkan kemarahan pada saat itu juga.

Bekas penganalisis maklumat Agensi Perisikan Pusat (CIA) Martin Gurri membuat tanggapan seperti Han. Dalam bukunya The Revolt of the Public and the Crisis of Authority in the New Millennium (edisi kedua 2018), Gurri berkata masyarakat sebelum ini berkongsi maklumat yang lebih kurang sama melalui media konvensional. Tiada lagi konsep kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara melalui media sosial.

Han menyifatkan khalayak maklumat — pengirim dan penerima komunikasi ini — bertukar menjadi "kawanan dalam talian" (digital swarm). Pengguna media sosial ini bukan massa, bukan lagi kerumunan orang ramai, tetapi mereka ini sekumpulan individu terasing-asing yang tidak mampu membentuk rasa "kekitaan."

Gurri berhujah, maklumat bersama sebelum era digital ibarat cermin besar yang direnung bersama-sama untuk melihat masyarakat sendiri. Namun sekarang "the digital revolution has shattered that mirror, and now the public inhabits those broken pieces of glass. So the public isn't one thing; it's highly fragmented, and it's basically mutually hostile. It's mostly people yelling at each other and living in bubbles of one sort or another."

Terjemahan: Revolusi digital telah memecahkan cermin itu, dan kini orang ramai merenung serpihan kaca yang pecah tersebut. Maka, khalayak bukan lagi satu entiti; ia sudah tercerai-berai, dan pada dasarnya saling bermusuhan. Banyak kali mereka hanyalah orang yang saling menjerit antara satu sama lain dan hidup dalam gelembung masing-masing.

Maka tidak hairanlah generasi muda sekarang mudah melampias kemarahan sesuka hati, tanpa rasa hormat atau menjaga kesopanan, di media sosial. Tanpa fikir panjang dan tanpa ilmu sandaran, mereka boleh mengulas apa sahaja. Tiada rasa aib menayangkan kebebalan diri atau sikap kurang ajar. Malah, mereka boleh menyusun gelombang kebencian atau kemarahan walau tiada gerakan tersusun.

Kehadiran bot

Laporan The Gen Z Uprising in Asia Shows Social Media is a Double-edged Sword (BBC, 23 September) menyebut, sedikit sekali protes yang digerakkan dalam dunia digital berjaya diterjemahkan kepada perubahan sosial yang mendasar, terutamanya di negara yang masih bergelut dengan pelbagai masalah seperti Indonesia atau Nepal.

"[Media sosial] pada asasnya tidak direka untuk perubahan jangka panjang... anda bergantung pada algoritma, kemarahan, dan tanda pagar (hashtag) untuk mengekalkannya,” jelas Dr Steven Feldstein, zamil kanan Carnegie Endowment for International Peace.

"[Perubahan memerlukan orang ramai untuk] mencari jalan beralih daripada gerakan dalam talian yang berselerak kepada sebuah kumpulan yang mempunyai wawasan jangka panjang, dengan ikatan kebersamaan yang bersifat fizikal, selain ikatan dalam talian. Anda memerlukan orang yang mampu rumuskan strategi politik yang berdaya maju, bukan sekadar berpegang pada strategi zero-sum, bakar sampai habis semuanya."

Gurri juga membuat kesimpulan seumpama ini ketika menganalisis kesan ledakan maklumat melalui internet sejak 1990-an. Ledakan ini banyak merungkai sendi pelbagai institusi penting seperti media konvensional, pihak berkuasa dan negara. Katanya, jaringan maklumat dalam talian "boleh membantah dan mengguling [pihak berkuasa] tetapi tidak mampu mentadbir."

Tanggapan mereka itu belum mengambil kira kajian yang menunjukkan kerusuhan atau pergolakan tidak banyak membantu menggerakkan ekonomi. Dalam kertas kerja The Economics of Social Unrest (Ogos 2021), Philip Barrett dan Sophia Chen menulis: "Secara purata, peristiwa pergolakan besar diikuti dengan pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1 mata peratusan selama enam suku tahun selepas peristiwa itu.

"Pergolakan yang didorong oleh faktor sosioekonomi dikaitkan dengan penguncupan KDNK yang lebih ketara berbanding pergolakan bermotifkan politik. Namun begitu, peristiwa yang dicetuskan oleh gabungan kedua-dua faktor tersebut membawa kepada penguncupan KDNK yang paling tajam."

Kesan buruk media sosial itu dirosakkan lagi oleh kehadiran bot, atau perisian yang menjalankan tugas secara automatik, dalam media sosial. Menurut laporan 2025 Bad Bot Report oleh Imperva, trafik automatik telah mengatasi aktiviti manusia buat pertama kali dalam sedekad.

Bot kini merangkumi 51 peratus daripada semua trafik web. Sementara itu, "bot jahat" menyumbang lebih daripada dua pertiga aktiviti ini. Program liar ini meniru tingkah laku manusia untuk pelbagai tindakan termasuk jenayah.

Dalam rencana menarik Bots, Buzzers and AI-Driven Campaigning Distort Democracy (East Asia Forum, 25 Julai 2025), dua ahli akademik Netina Tan dan Aiden McIlvaney menulis (dipetik panjang sedikit):

"Memandangkan 64.3 peratus rakyat Asia Tenggara aktif menggunakan media sosial, parti politik kecil atau besar semakin giat beralih ke platform dalam talian untuk meningkatkan profil mereka dan meraih undi. Namun, berkempen di media sosial membuka kotak Pandora masalah yang mengancam integriti pilihan raya serantau. [....]

"Manipulasi media sosial kini sudah menjadi industri yang teratur di Asia Tenggara. Firma perhubungan awam dan perundingan digital menawarkan perkhidmatan manipulasi kempen digital kepada pelanggan politik yang sanggup membayar. Syarikat-syarikat ini melaksanakan kempen tersasar dengan menggunakan ‘buzzer’ — bot, pempengaruh, laskar siber dan geng menganjing (troll farm) untuk mencipta ‘buzz’ sekitar calon dan melemahkan pihak lawan melalui penulisan semula sejarah, ucapan kebencian, serangan peribadi, meme dan akaun parodi dalam talian.

"Beribu-ribu bot membanjiri Twitter dengan mesej antipembangkang dalam pilihan raya umum Malaysia pada 2018. Semasa pilihan raya umum Indonesia 2019, kedua-dua pasukan kempen Joko Widodo dan Prabowo Subianto menggunakan pasukan ‘buzzer’ untuk menyebarkan berita palsu dan melemahkan antara satu sama lain.

"Di Filipina, kempen presiden Rodrigo Duterte pada 2016 menyaksikan kemunculan sebuah industri perundingan untuk perhubungan awam dalam talian, di mana satu kempen maklumat palsu yang teratur digunakan untuk memperlekehkan pembangkang.

"Pempengaruh dengan pengikut yang kecil tetapi setia telah diupah oleh parti dan calon untuk menyelitkan kandungan politik ke dalam hantaran media sosial mereka yang bukan bersifat politik. Dalam pilihan raya presiden Filipina pada 2022, pembohongan yang disebarkan melalui siaran langsung hampir mustahil untuk disemak faktanya dengan segera."

Malah, pada 2022, Meta mendedahkan kira-kira 600 akaun palsu, 180 halaman dan 11 kumpulan wujud di Facebook, sementara 72 akaun lagi dibuka di Instagram. "Walaupun dalang di belakangnya cuba menyembunyikan identiti dan penyelarasan kerja mereka, siasatan kami menemukan kaitan dengan Polis Diraja Malaysia," kata syarikat gergasi itu dalam laporannya. Dakwaan ini disangkal oleh polis.

Kita belum lagi mengulas kecenderungan "technofascism" di belakang pemilik dan pegawai kanan syarikat besar yang menguasai dunia digital di Lembah Silikon. Begitu juga kesan psikologi pada pertumbuhan akal anak dan remaja kita akibat teknologi ini. Jika diadun semua masalah ini, media sosial sebenar-benarnya banyak mudarat tetapi kurang disedari orang ramai.

Akhirnya kita kembali kepada tiga baris ayat ini: they steal your data (mereka curi data diri kita), they hack your brain (mereka godam otak kita), they rule the world (mereka kuasai dunia ini). Sanggupkah kita biarkan sahaja?


FATHI ARIS OMAR seorang penggerak Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) pada 2000 dan 15 tahun kemudian, bersama kelompok wartawan membentuk Gerakan Media Merdeka (GERAMM), pertubuhan anggota pengasas Majlis Media Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS