Tangani ketidakpuasan kaum India dengan berhati-hati
Dari apa segi pun, demonstrasi kaum India anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) pada 25 November 2007 adalah peristiwa penting yang patut dipandang berat oleh semua pihak terbabit, terutamanya kerajaan Umno.
Tidak dapat dinafikan bahawa tentu ada sesuatu yang tidak kena jika puluhan ribu rakyat sesuatu kaum sanggup mengambil risiko untuk menghadiri perhimpunan "haram", dan enggan bersurai selama beberapa jam walaupun terpaksa berdepan dengan tembakan meriam air bercampur bahan kimia dan tembakan gas pemedih mata, dibelasah dengan cota, diburu, ditangkap dan didakwa dalam mahkamah (setengahnya didakwa cuba membunuh), ditohmah sebagai "penyangak" dan "samseng", digertak akan dibuang kerja (7 juruhebah Minnal FM telah digantung tugas menunggu disiasat), dilucut kerakyatan, dipenjarakan di bawah undang-undang ISA dan Akta Hasutan dan sebagainya.
Tepat sekali demonstrasi tersebut disifat Anwar Ibrahim sebagai "a safety valve for long smoldering Indian Malaysian grievances" (Injap keselamatan bagi ketidak-puasan kaum India Malaysia yang sudah lama membara). Maknanya jika geram mereka itu tidak dapat dilepaskan melalui perhimpunan aman, ada kemungkinan ia akan tercetus melalui cara yang lebih membimbangkan pada suatu ketika nanti.
Seperti perhimpunan aman raksasa anjuran Bersih yang telah berjaya diadakan pada 10 November 2007, hak perlembagaan penyokong Hindraf untuk berhimpun secara aman juga telah dinafikan pihak polis untuk menjaga kepentingan parti pemerintah menjelang pilihanraya umum.

Malah perarakan tahunan Majlis Peguam Malaysia sempena Hari Hak Asasi Manusia Ahad ini juga terpaksa dibatalkan kerana didesak pihak polis untuk memohon permit. Menurut Pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenvasan, syarat memohon permit itu adalah "belenggu" yang "melanggar hak perlembagaan kami untuk berhimpun secara aman".
Justeru, sesiapa yang cuba membidas Hindraf tanpa terlebih dahulu mengakui wujudnya ketidak-puasan kaum India yang sudah lama membara, tanpa mengakui hak perlembagaan mereka untuk berhimpun secara aman, tanpa mengutuk tindakan ganas pihak polis yang menimbulkan huru-hara dan mengakibatkan kecederaan penunjuk perasaan dan anggota polis, dan tanpa menentang penganiayaan dan gertakan pihak berkuasa terbabit terhadap pemimpin dan penyokong Hindraf selepas demonstrasi , jelas sekali tidak berlaku adil terhadap mereka.
Jika tindakan merobohkan kuil Hindu bersejarah 100 tahun di Shah Alam menjelang perayaan Deepavali itu, diherdik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz sebagai "bodoh" dan "tidak sensitif" , maka penunjuk perasaan ditohmah sebagai "penyangak" dan "samseng", digertak akan dilucut kerakyatan dan dipenjarakan di bawah undang-undang ISA dan Akta Hasutan, tidakkah sikap "kuku besi" ini juga "bodoh" dan "tidak sensitif" , malah seolah-olah "menuang minyak dalam api" ?
'Telinga besar'
Kata Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, beliau ada "telinga besar" untuk mendengar, namun, jika rungutan puluhan ribu orang India juga tidak kedengaran, dan tidak bersedia berjumpa dengan perwakilan mereka untuk menyelesaikan tuntutan-tuntutan mereka, maka "telinga besar" itu hanya sensitif kepada sokongan dan pujian, tetapi pekak kepada bantahan dan rungutan.
Demikian juga "teliga besar" Perdana Menteri kita masih enggan mendengar tuntutan-tuntutan munasabah daripada Dong Jiao Zong mengenai masalah-masalah yang dialami pendidikan bahasa ibunda masyarakat Cina. Berkali-kali Dong Jiao Zong meminta berjumpa dengan beliau tetapi tetap ditolak!
Saya tidak akan terperanjat, jika pada suatu ketika nanti tercetus pula perhimpunan aman raksasa anjuran Dong Jiao Zong yang pantang terus dihina dan dipinggirkan! Perhimpunan aman terbabit lebih baik merupakan perhimpunan pelbagai kaum kerana masalah pendidikan bahasa ibunda bukan merupakan masalah kaum Cina saja, agar ia tidak dijadikan isu perkauman.
Kali ini, Pak Lah amat marah mengenai tuduhan Hindraf bahawa kerajaaan lakukan "pembersihan kaum". Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Yusri Mohamad juga menganggap: "penggunaan istilah seperti 'pembersihan kaum' 'penjajahan kekal' masyarakat India oleh 'ekstremis Islam', 'gang Melayu' dan seumpamanya, jelas tidak mempunyai justifikasi dari segi bangsa dan agama, berunsur hasutan dan berbau subversif ".
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang juga berpendapat sebahagian tuntutan dan tuduhan Barisan Bertindak Hak Hindu itu adalah melampau dan mengelirukan, dan menuntut agar kerajaan segera menubuhkan badan bebas untuk menyiasatnya.
Tuduhan "pembersihan kaum" memang sesuatu yang amat serius, ia berkaitan dengan kejadian Kampung Medan tahun 2001 yang mengakibatkan lebih 100 kecederaan dan kematian (sekurang-kurangnya enam kes) orang India.
Tidak dapat dinafikan, kejadian terbabit tidak ditangani secara telus dan memuaskan oleh pihak berkuasa terbabit. Malah buku yang ditulis oleh Saudara K Arumugam berasaskan siasatan terperinci, telahpun diharamkan, seolah-olah ada sesuatu yang ingin dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Tubuh badan bebas
Justeru, cadangan presiden PAS agar kerajaan segera menubuhkan badan bebas untuk menyiasat adalah amat mustahak. Jika tuduhan terbabit tidak berasas, nama baik dan imej kerajaan Malaysia akan dipertahankan dengan terdedahnya hakikat sebenarnya bukan saja di dalam negeri, bahkan di peringkat antarabangsa yang sudahpun mengetahui tuduhan tersebut secara meluas.
Kali ini, ramai yang bimbang pendekatan agama dan kaum yang diambil Hindraf mungkin dieksplotasi Umno untuk menegangkan hubungan baik antara kaum. Kebimbangan ini memang berasas dan patut diperhatikan Hindraf agar perjuangan hak etnik minoriti tidak terpesong menjadi perjuangan agama dan kaum yang sempit dan bakal memecah-belahkan perpaduan pelbagai kaum.
Benar juga kata Abdul Hadi, susunguhnya kejadian diskriminasi bukan hanya berlaku terhadap masyarakat India, malah turut berlaku di kalangan masyarakat Cina dan Melayu, khasnya yang menyokong parti-parti pembangkang.
Oleh itu, tidak patut dan juga tidak bijak menjadikan Melayu atau Islam sebagai sasaran perjuangan hak minoriti Hindu. Yang patut disasari ialah dasar-dasar perkauman Umno/Barisan Nasional. Hindraf wajar bergembleng tenaga dengan semua kaum termasuk Melayu/Islam yang bersimpati dengan perjuangan mereka.
Tanpa pendekatan yang tepat, perjuangan Hindraf mungkin mudah dipatahkan oleh pihak berkuasa dengan mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman Melayu dan mensia-siakan sokongan kaum India yang begitu padu sekarang.