Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Selamat datang ke Sarkas Bola Sepak Malaysia! Ia sebuah pertunjukan realiti yang tidak pernah gagal mencuri perhatian rakyat jelata. Berikan tepukan gemuruh!

Sarkas ini dibintangi oleh mereka yang kononnya sedang “membangunkan” bola sepak negara, dan ditaja oleh sekumpulan manusia yang percaya sukan ini boleh dipulihkan melalui “revolusi”.

Untuk edisi kali ini kita persembahkan kisah tujuh pemain, tujuh sijil kelahiran dan satu sandiwara yang sudah menjadikan Malaysia bahan ketawa antarabangsa!

Lelucon ini bermula apabila FAM menghantar permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) antara Mac hingga Jun lalu untuk mengesahkan kelayakan tujuh pemain “berdarah Malaysia” bagi mewakili Harimau Malaya.

Segalanya nampak lancar. Permohonan diluluskan dan tujuh pemain terbabit pun dibenarkan beraksi. Dalam perlawanan kelayakan Piala Asia pada 10 Jun lalu Malaysia menang 4-0 mengatasi Vietnam.

Vietnam ialah musuh serantau yang sekian lama gagal dijinakkan.

Justeru Harimau Malaya dikatakan kembali mengaum di pentas antarabangsa. Penyokong bersorak-sorai gembira. Namun dalam diam, Fifa menerima aduan rasmi. Maka siasatan pun dijalankan.

Di situlah segalanya mula terburai. Dokumen sijil lahir datuk dan nenek bagi tujuh pemain yang didakwa mempunyai pertalian darah dengan Malaysia didapati tidak tulen.

Kahkahkahkah!

Ruang bela diri diberikan

Dalam dokumen yang dikemukakan itu, setiap pemain dilampirkan dengan sijil lahir datuk atau nenek mereka yang kononnya menunjukkan mereka dilahirkan di Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Kuching.

Sijil asal pula menunjukkan tempat lahir sebenar datuk dan nenek mereka ialah di suatu lokasi puluhan ribu kilometer dari sini - di Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda.

Dalam dunia nyata, manusia boleh berpindah alamat dan tempat tinggal. Tetapi dalam sarkas bola sepak Malaysia, nampaknya tempat lahir pun boleh berpindah benua!

Fifa pun bukanlah gelojoh untuk menjatuhkan hukuman secara tergesa-gesa.

Badan disiplin mereka membuka prosiding rasmi terhadap FAM dan tujuh pemain tersebut pada 22 dan 28 Ogos, dan memberi tempoh sehingga 22 Sept untuk menjawab pertuduhan.

Jika diimbas kembali, dalam tempoh itulah Presiden FAM, Joehari Ayub, dilaporkan telah meletak jawatan. Adakah kedua-dua perkembangan itu mempunyai kaitan? Entah, tetapi tidak mustahil, kan?

Selepas semua dokumen disemak dengan pihak berkuasa negara berkaitan, keputusan dijatuhkan pada 26 Sept lalu. Dalam bahasa mudah, Fifa telahpun mengikut segala prosedur dan memberi ruang kepada FAM untuk membela diri.

FAM menyatakan semua permohonan telah disemak dan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tetapi dalam laporan penghakiman Fifa bertarikh Sept menyebut sesuatu yang amat memalukan: JPN sendiri mengakui tidak pernah menerima sijil lahir asal!

Sebaliknya, mereka mengeluarkan salinan rasmi berdasarkan "maklumat sekunder" dan dokumen luar negara tanpa dapat mengesan rekod tulisan tangan asal.

Dalam kata lain, kewarganegaraan tujuh pemain itu diluluskan tanpa bukti asal.

Pihak berkuasa Malaysia sendiri mengesahkan hubungan darah yang tak wujud. Kalau ini bukan sarkas, apa lagi namanya yang sesuai?

FAM kemudian berhujah bahawa mereka tidak bersalah kerana hanya mengikut keputusan kerajaan. Namun Fifa menolak alasan itu. Prinsip mereka jelas: tanggungjawab ketat (strict liability) tetap terpakai.

Dakwa kesilapan pentadbiran

Walaupun tidak tahu dokumen itu palsu, FAM tetap bersalah kerana menggunakannya dalam urusan rasmi.

Malah Fifa secara tersirat menyatakan, jika pihak mereka sendiri boleh mendapatkan sijil lahir asal dari luar negara tanpa halangan, mengapa FAM tidak mampu berbuat demikian?

Di sinilah letaknya beza antara organisasi yang mencari kebenaran dengan organisasi yang hanya - misalnya - mencari alasan.

Persoalan ini yang juga wajar ditujukan kepada JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana meluluskan kewarganegaraan kepada tujuh pemain berkenaan.

Jika Fifa dengan teliti berjaya mendapatkan sijil kelahiran asal dengan cara menghubungi pihak pendaftaran negara-negara terbabit, kenapa JPN dan KDN tidak mengambil tindakan yang sama?

Lebih buruk lagi, Fifa menegaskan bahawa pemalsuan itu bukan kesalahan kecil atau “teknikal”. Ia telah memberi kesan langsung kepada keputusan perlawanan rasmi menentang Vietnam.

Lima daripada tujuh pemain terlibat telah diturunkan, dan dua daripadanya menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0 tersebut. Fifa menyifatkan tindakan tersebut sebagai “a form of cheating that cannot be condoned.”

Dalam bahasa mudah: Malaysia menang besar, tapi dengan cara menipu!

Harimau yang mengaum itu rupa-rupanya cuma harimau sarkas - hanya gah dengan belang di tubuh, tapi dikawal dengan cambuk di tangan tuannya. Setiap kali mengaum, ada tangan yang melibas memberi arahan.

Kahkahkahkah!

Beberapa hari selepas keputusan diumumkan, FAM tampil dengan kenyataan rasmi yang lebih menghiburkan berbanding sidang media pascaperlawanan. Menurut FAM kesalahan itu melibatkan kesilapan pentadbiran (administrative error).

Kakitangan FAM dikatakan tersalah memuat naik dokumen yang diberikan oleh ejen, justeru ia bukannya dokumen asal yang disahkan oleh JPN.

Dalam kenyataan kepada media, FAM menegaskan bahawa para pemain “tidak secara sedar” menggunakan dokumen palsu dan Fifa tidak mempunyai bukti kukuh bahawa pemain mengetahui tentang pemalsuan.

FAM juga mendakwa mereka akan membuat rayuan rasmi sambil mengemukakan dokumen asal sebagai bukti bahawa semua proses naturalisasi dilakukan mengikut undang-undang.

Dengan kata lain, setelah dunia ketawa melihat keputusan Fifa, kita diminta mempercayai bahawa tragedi malang yang terpaksa kita tanggung aibnya bersama-sama ini berpunca daripada salah upload!

Ada persoalan lebih besar

Bagi peminat bola sepak tempatan, kisah ini bukan episod pertama dalam siri panjang sarkas bola sepak Malaysia. Sebelum isu pemain “warisan berdarah palsu” ini dihidang, kita sudah disajikan dengan siri babak lawak yang parah.

Misalnya, peraturan Liga Malaysia sering bertukar kononnya demi “menyokong pembangunan kelab” tapi hakikatnya kita semua tahu ia dicorakkan bagi memenuhi selera pihak tertentu.

Pada masa sama, isu tunggakan gaji pemain terus menghantui pasukan-pasukan tempatan. Namun anehnya ada kelab gagal membayar gaji berbulan-bulan, tetapi tetap lulus lesen pertandingan seperti tiada apa-apa berlaku.

Belum reda dengan lawak itu, muncul pula kes simbah asid terhadap Faisal Halim yang sehingga kini masih menjadi misteri Nusantara kerana pelakunya gagal dikesan sama sekali.

Di padang pula, prestasi pengadil terus menjadi bahan gurauan. Keputusan pelik, pengadilan berat sebelah, dan jawatankuasa tatatertib yang dilihat memilih bulu - semua menambah babak lucu dalam sarkas bola sepak negara.

Dan siapa boleh lupa bab lantikan “Presiden Kehormat FAM” yang tidak lama kemudian disusuli dengan pengunduran presiden yang sebenar?

Ia kira-kira sama seperti sebuah persembahan sarkas yang kehilangan watak utama, tapi pertunjukan diteruskan juga sebab tiket sudah dijual dan badut sudah siap bersolek.

Namun persembahan itu tidak berhenti di atas padang. Ia menimbulkan persoalan lebih besar tentang kedaulatan negara.

Dalam konteks undang-undang Malaysia, pemalsuan dokumen rasmi boleh disabitkan bawah Seksyen 463 dan 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di samping itu, Seksyen 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 melarang pemberian maklumat palsu kepada JPN, manakala Perkara 25(2) Perlembagaan Persekutuan membolehkan pelucutan kewarganegaraan jika diperoleh melalui penipuan.

Maknanya, jika siasatan membuktikan wujudnya pihak memalsukan atau meluluskan dokumen tanpa bukti asal, mereka bukan sekadar menipu Fifa, tetapi mereka sedang menggadaikan maruah negara.

Apa yang berlaku ini bukan sekadar kelemahan prosedur. Ia memperlihatkan satu penyakit lama yang belum sembuh - kepercayaan bahawa kejayaan boleh dicipta melalui jalan pintas.

Kita terlalu ghairah mahu menang, sampai tergamak menghumbankan kebenaran. Kita terlalu percaya pada janji, tetapi melupakan asas integriti.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS