Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

VS Naipaul membuka nukilan ‘A Bend In The River’ dengan rangkap “The world is what it is; men who are nothing, who allow themselves to become nothing, have no place in it”.

Dunia ini pentas yang akan menghanyutkan sesiapa sahaja yang tenggelam dalam arusnya yang deras. Melainkan mereka yang tekal dengan kebangkitan untuk menongkah arus akan menjadi manusia yang penting dan dihargai.

Begitu juga buat golongan tertindas. Mereka akan terus ditindas jika tiada usaha untuk merintis kebangkitan untuk mereka bebas dari penindasan.

Dunia hari ini, walau diatur dengan satu tatanan moden yang berbicara soal nilai kemanusiaan, keadilan dan hak asasi, itu semua hanya bersifat selektif untuk mereka yang ada tempat di dunia ini.

Ketempangan ini telah wujud sekian lama. Malah, ‘projection’ untuk membina tatanan dunia moden ini bermula dari era penjajahan sejak lebih 500 tahun lalu.

Menyingkap semula kurun ke-15, memperlihat ekspedisi penjajahan besar-besaran dunia Barat yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai, penafian hak dan maruah manusia serta keangkuhan rasa superior ke atas warga dunia lain.

Ia bermula pada tahun 1492, selepas tumbangnya kerajaan Bani Umayyah - Moorish di Granada. Kerajaan Sepanyol dipimpin Queen Isabella of Castile dan King Ferdinand of Aragon telah menitahkan Alhambra Decree dengan melakukan pengusiran dan penghinaan besar-besaran ke atas masyarakat Yahudi.Sepuluh tahun kemudian, masyarakat Muslim pula telah dipaksa memeluk agama Kristian atau dihalau keluar.

Arahan ‘Inquisition’ yang dilakukan amat kejam seperti yang disebut Kirkpatrick Sale dalam 'The Conquest of Paradise: Christopher Colombus and the Columbian Legacy" - The inquisition in Spain was the most brutal of all in the fifteenth century, in part because it was, uniquely under the control of the crowns of Castile and Aragon”.

Rakus, kesumat, pembunuhan

Inquisition ini menandakan berakhirnya sejarah agung La Convevencia satu jolokan kepada wilayah Andalus - Sepanyol yang diduduki masyarakat pelbagai agama dan budaya dalam suasana harmoni. Kerakusan dan kesumat telah menumbangkan tatanan hidup damai Andalus ini.

Kemudian, kerajaan yang angkuh tersebut telah menaja Christopher Colombus untuk belayar keluar dari pelabuhan Palos de la Frontera.

Pelayaran yang ditaja itu telah menyebarluaskan lagi kekejaman, penindasan dan pembunuhan ke atas manusia di belahan dunia lain.

Kirkpatrick Sale menyatakan Pelayaran Colombus membawa kepada kemusnahan “an act steeped in bloodshed, slavery, and genocide”.

Pembunuhan pelbagai etnik peribumi berlaku termasuk etnik yang dinamakan Tainos. Berdasarkan dapatan statistic di Espanola (Hispaniola) nama yang diberikan Colombus, (kini Haiti dan Dominican Republic), jumlah warga peribumi telah direkodkan menjunam selepas tahun 1496 oleh Sherburne Cook dan Woodrow Borah dari University of California at Berkeley.

Begitu juga dalam rekod Prof Howard Zinn dalam buku A people’s History of United States: “The Indian population of 10 Million that was in North America when Columbus came would ultimately be reduced to less than a million”.

“Penemuan” Benua Amerika yang dipenuhi dengan kekejaman ini disambut dunia Eropah sebagai satu penemuan dunia baharu. Manakan tidak, benua baharu tersebut kaya dengan hasil bumi.

Maka, Portugis, Belanda, Perancis dan England berbondong-bondong untuk berlayar ke benua tersebut. Dari 1550 – 1650, sasaran utama adalah kepada wilayah yang kaya dengan emas dan perak iaitu Mexico dan Peru.

Kemasukan kuasa Eropah menambahkan lagi penderitaan bumi Amerika serta memperjelaskan lagi kerakusan golongan yang menjarah wilayah-wilayah. Ini termasuk perhambaan sepanjang hayat golongan kulit hitam yang dibawa dari Afrika dan penerusan diskrimanisi terhadap kelompok tersebut hingga hari ini.

Setelah menguasai pelbagai wilayah di dunia menerusi kekejaman dan keganasan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan untuk mewujudkan satu tatanan dunia baharu atas objektif untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, selain mempromosi hak asasi manusia.

Atas nama hak asasi

Meneliti sepanjang sejarah dunia moden, kita disajikan dengan penipuan, kepalsuan, dan pembodohan atas nama keamanan dan hak asasi. Barat khususnya Amerika hanya duduk dalam rumah kaca mengajar orang lain tentang keamanan dan hak asasi, satu konsep yang bagi mereka tidak lebih daripada hanya mitos.

Tidak kurang ucapan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Parlimen Israel Knesset yang berbangga menyatakan secara terbuka membekal senjata canggih kepada rejim Zionis yang dalam masa sama menyedari senjata tersebut digunakan Israel untuk melakukan jenayah perang dan genocide terhadap rakyat Palestin.

Lantaran, apa yang dikisahkan sangat apabila Amerika Syarikat sendiri veto usul Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan genocide Israel ke atas rakyat Palestin sebanyak enam kali.

Sejarah tidak akan melupakan apa yang berlaku. Sama seperti sejarah tidak akan melupakan detik awal disebalik tertegaknya tatanan dunia baharu ini. Bermula dari penjajahan kejam tahun 1492.

Hari ini, tatanan yang penuh kepalsuan itu telah berlangsung selama lebih 530 tahun. Pada tahun 1993, Noam Chomsky telah ingatkan kita dalam buku beliau ‘Year 501: The Conquest Continues’, - the interests of the west "regard human beings as mere instruments, not ends."

Kepalsuan ini tidak akan berakhir jika warga Global South berterusan menjadi aktor yang pasif, tenggelam bersama arus tatanan yang diatur. Kita tidak boleh hanya menyerap tatanan dunia kini tapi harus turut membentuk tatanan yang lebih inklusif. Dunia harus diatur semula secara bersama atas dasar kemanusiaan sejagat, bukan dibayangi kuasa tertentu.

Tugas besar digalas oleh Negara Kuasa Tengah seperti Malaysia, Turkeye,dan Qatar untuk membawa bersama negara-negara lain untuk membentuk usaha damai yang menyatukan kuasa dunia.

Gabungan penting seperti ASEAN harus mempergiat usaha kesatuan mencari rakan strategik tanpa berpihak, menegaskan kedaulatan negara ASEAN, serta mempelopori usaha damai.

Menerusi penglibatan aktif negara kuasa Tengah dan gabungan penting dari Global South membina naratif lebih adil, usaha membawa reformasi institusi global akan dapat diketengahkan.

Reformasi-reformasi harus bermatlamat untuk menambah suara Global South dalam pelbagai institusi global dengan menambah pengaruh mereka dalam institusi kewangan serta politik.

Reformasi kuasa veto PBB

Majlis Keselamatan PBB hari ini sudah tidak relevan dalam memastikan keselamatan antarabangsa. Apa guna diwujudkan Majlis Keselamatan jika sebuah negara anggota boleh sewenang-wenangnya veto usul untuk menghentikan jenayah perang dan genocide? Apa parameter kepada kuasa veto? Apa usaha untuk mendemokrasikan Majlis Keselamatan ini?

Badan masyarakat sivil (CSO) yang tegas mendukung aspirasi demokrasi dan hak asasi harus berperan serta membentuk satu tekanan untuk secara aktif dan lantang membawa reformasi struktural institusi global ini.

Dalam ketegasan CSO mengecam rejim zalim di pelbagai wilayah, isu akar untuk menghentikan kezaliman menerusi reformasi struktur antarabangsa harus diberi penekanan.

Persidangan CSO antarabangsa harus kerap dianjurkan untuk memberi tekanan lebih besar untuk merealisasikan usaha pendemokrasian struktur sedia ada.

Tanpa usaha kuat bersama, hipokrasi dan kepalsuan tatanan ini akan berterusan dan golongan tertindas akan tenggelam dalam arus yang melanda dunia sekian lama. Tanpa sedar, demokrasi yang dicanang akhirnya akan luput dan dikenang sebagai satu projek yang gagal.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ merupakan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS