KOLUM | Ramai orang Barat di seluruh dunia telah mengubah pendirian mereka mengenai Palestin dan Israel sejak 7 Oktober 2023, atau lebih tepat lagi sejak genosid Israel terdedah.

Di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia, kelihatan ribuan orang Barat turun ke medan dan lapangan menyatakan sokongan mereka terhadap penduduk Gaza. Dalam bual bicara bermunculan tokoh-tokoh menghujahkan keadilan bagi rakyat Palestin. Sebahagian daripada mereka menyertai Flotila Sumud. Satu persatu kerajaan negara Barat mengiktiraf Palestin. Mereka turut nenyokong resolusi PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Mereka bukan sekadar mahukan gencatan senjata di Gaza dan genosid dihentikan. Mereka juga mahukan hak kedaulatan diberikan kepada negara Palestin iaitu “penyelesaian dua negara” yang pernah disetujui oleh Israel ketika rejim Tel Aviv itu dipimpin Parti Buruh, iaitu sebelum Benjamin Netanyahu berkuasa.

Saya kesan ada lima faktor yang mendorong kepada perubahan ini. Pertama, berlakunya genosid - pembunuhan besar-besaran ke atas orang awam secara nyata dengan tujuan untuk menghapuskan sesuatu kaum. Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Palestin. 

Israel sememangnya membunuh, menghalau dan mencederakan orang Palestin sejak 1948 tetapi genosid seumpama ini tidak pernah berlaku. Genosid bercanggah dengan demokrasi dan liberalisme. Umumnya orang Barat tidak akan dapat menerima pembunuhan kanak-kanak dan bayi oleh tentera Israel.

Faktor kedua ialah peralihan generasi di seluruh dunia, termasuklah Barat. Generasi sekarang sudah jauh berbeza daripada generasi Perang Dunia Kedua dan Holocaust yang merupakan justifikasi untuk Zionisme dan Israel. Generasi sekarang tidak berasa bertanggung jawab untuk memikul kesilapan leluhur mereka dalam perang. Tidak ada sebab untuk mereka menyokong Israel tanpa syarat.

Faktor ketiga ialah perubahan lanskap media global kerana adanya internet dan media sosial. Dahulu dunia termasuk Barat bergantung pada media massa global khususnya agensi berita seperti Reuters, AP dan AFP yang kesemuanya dipengaruhi dan dikuasai oleh anasir-anasir pro-Zionis. Barat tidak terdedah pada laporan dari pihak Palestin.

Apabila bermulanya televisyen satelit global dengan stesen seperti CNN, pro-Zionis tetap menguasai media global. Kesemuanya naratif pro-Zionis. Walaupun kemudiannya Al Jazeera ditubuhkan bagi menandingini CNN dan BBC, banyak laporan pro-Palestin hanya ditonton oleh dunia Islam. Benteng minda Barat tidak dapat dipecahkan.

Media sosial sememangnya turut dicipta dan dikuasai oleh orang pro-Zionis. Tetapi pada 2023, TikTok yang dicipta oleh orang China membuka lagi ruang maklumat dari Palestin dengan lebih tajam berbanding Youtube dan Facebook.

Dalam masa dua tahun, Barat dapat saksikan apa yang berlaku di Gaza. Media massa warisan cuba mengejar tetapi gagal. Zionis sedar perkara ini. Tentera Israel membunuh wartawan-wartawan di Gaza. Di Amerika Syarikat, Zionis melalui pentadbiran Presiden Donald Trump berjaya menguasai TikTok. Maka bahan muat naik pro-Palestin semakin berkurang. Tetapi dinding media sosial sudah bolos. Terlalu banyak paparan mengenai genosid untuk menghalang maklumat.

Faktor keempat ialah kehadiran banyak orang Islam di negara-negara Barat. Penghijrahan orang Islam ini berpunca daripada kesan penjajahan dan selepasnya. Umpamanya pemusnahan Iraq dan Afghanistan oleh Amerika membawa penghijrahan orang Islam ke Barat. Begitu juga campur tangan ganas Ameriika di Syria dan Libya juga menambahkan penghijrahan orang Islam ke sana. Tetapi tentunya ada faktor lain.

Umumnya, orang Islam akan bersimpati dengan Palestin. Maka kehadiran mereka di Barat turut menyumbang kepada perdebatan dan penghujahan pro-Palestin yang turut menarik sokongan dari rakyat tempatan di Barat.

Faktor kelima, peranan Donald Trump yang membawa cara berbeza daripada presiden-presiden terdahulu. Presiden Amerika terdahulu adalah penyokong Israel tetapi dia berterus terang mengenainya dan mempunyai pendirian berbeza. Rancangannya supaya Gaza dijadikan sebagai pusat pelancongan di bawah Amerika merupakan kejutan besar pada dunia. 

Tetapi lebih penting lagi ialah sikap dan gaya Trump yang menang antaranya atas dasar “America First”. Ia telah menyedarkan sebahagian daripada penyokongnya yang terdiri daripada pengundi Parti Republikan bahawa selama ini, dan sekarang ini, apa yang berlaku adalah “Israel First”.

Zionis ada pengaruh besar terhadap sebahagian besar ahli politik daripada Parti Republikan dan Demokrat yang telah termakan budi dan korup melalui pendanaan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (Aipac) yang mahu memastikan Amerika terus menerus menyokong dan membantu Israel. Bagaimanapun kini kesedaran terhadap pengaruh Aipac dan Israel semakin meluas dan sedang mengubah suasana pandangan politik Amerika. Namun tentunya Aipac dan Israel tidak duduk diam. Mereka sedang menyusun langkah untuk kembali menguasai Amerika.

Secara peribadi tentulah saya mengalu-alukan perubahan pandangan Barat ini. Sejak saya mengikuti isu Palestin ketika remaja dahilu, seperti kebanyakan orang Islam dan kebanyakan orang kiri, saya menyokong penubuhan negara Palestin iaitu dalam konteks “penyelesaian dua negara” (two state solution) - iaitu mengiktiraf kewujudan State of Palestine walaupun hanya di Tebing Barat dan Gaza dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara. Dengan itu juga ia bererti Israel perlu diiktiraf tetapi ibu negaranya ialah Tel Aviv.

Israel ditubuhkan pada 1948 di atas penghapusan Palestin. Tebing Barat diserahkan kepada Jordan dan Gaza kepada Mesir. Saya lahir pada 1959. Pada 1973, ketika saya berada di tingkatan dua, saya baru sedar mengenai nasib Palestin apabila berlaku Perang Ramadan (Barat memanggilnya Perang Yom Kippur), iaitu antara Israel yang dibantu Amerika di satu pihak dengan negara-negara Arab yang terdiri daripada Mesir, Jordan, Libya, Lubnan, Syria dan Iraq dengan sokongan Soviet Union. Turut serta ialah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Pada masa itu Hanas belum ditubuhkan. 

Pada masa itu bukan saja Gaza dan Tebing Barat dikuasai oleh Israel tetapi juga Sinai dan Bukit Golan. Tentunya saya mengharapkan kemenangan PLO dan negara-negara Arab dengan mengimpikan bahawa Palestin dapat ditubuhkan walaupun hanya di Tebing Barat dan Gaza. Tetapi Israel menang perang dan tidak berganjak. 

Pada 1987, Hamas ditubhkan dan Intifada pertama berlaku di Gaza. Intifada adalah siri demonstrasi dan protes penduduk Palestin membantah pendudukan Israel.

Akhirnya pada 1993, Perjanjian Oslo ditandatangani dengan janji menubuhkan Negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza. Janji ini tidak ditepati oleh Israel.

Kini pada 2025, sejak peristiwa 7 Oktober 2023 dan setelah mengetahui mengenai genosid dan rekod Israel, Benjamin Netanyahu dan Amerika, saya sudah hilang kepercayaan pada Barat berhubung Israel dan Palestin walaupun kini banyak negara Eropah sudah mengiktiraf Negara Palestin.

Maka dengan itu, saya sudah tidak menyokong “penyelesaian dua negara”. Ini kerana kelicikan dan kejahatan Israel dan Zionis yang jelas tidak akan berkompromi dengan kewujudan Negara Palestin. Ini kerana mereka mahukan kesemua Tebing Barat dan Gaza.

Maka pandangan saya ialah yang menepati slogan “dari sungai ke segara”, maknanya Palestin hendaklah ditubuhkan di seluruh bumi yang dahulunya Mandat Palestin.Maka selaras dengan itu, saya berpendapat bahawa “Palestin berhak untuk wujud” dan “Israel tidak berhak untuk wujud.” Dalam Negara Palestin, orang Yahudi boleh terus hidup seiring dengan orang Arab dan minoriti lain.

Tetapi saya tidaklah anti-Yahudi atau antisemitik yang merupakan sikap rasis. Saya tidak anti-Judaisme atau anti agama Yahudi. Ini kerana saya mendokong kebebasan beragama dalam konteks demokrasi dan liberalisme. Namun begitu, sikap anti-Israel dan anti-Zionis bukan pendirian rasis.

Pro-Israel dan pro-Zionisme adalah pendirian politik yang bertentangan dengan kemanusiaan. Fahaman Zionisme diasaskan pada 1897. Maka sudah panjang rekod gelagat pendukung Zionisme dan pendukung Israel. Rekod mereka buruk dan tidak berpetikenanusiaan. Mereka bukan saja menguasai Palestin tetapi juga dunia, melalui penguasaan mereka ke atas Amerika dan Eropah.

Maka perjuangan untuk pembebasan Palestin juga berkait dengan pembebasan dunia daripada cengkaman Zionis dan Israel. Perjuangan ini panjang dan mungkin tidak tercapai. Israel besar kemungkinan akan menang dan dapat menguasai Gaza dan Tebing Barat. Malah mereka juga akan terus menguasai Amerika dan Eropah. 

Tetapi Zionis dan Iarael adalah suatu kuasa “kejahatan” dan manusia akan terus melawannya di sepanjang zaman demi kemanusiaan. Jika seluruh dunia dapat bersatu dalam memerangi Zionisme dan Israel, maka mereka dapat dikalahkan seperti mana Fasisme dan Jerman Nazi dahulu.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS