Paling Popular
Terkini

Ketika tulisan ini digarap, perjanjian gencatan senjata Damai 2025 diterajui oleh Presiden Donald Trump dan dimeterai pada 13 Oktober lalu masih berjalan. Bentrokan kecil berlaku. Tuduh-menuduh antara Hamas dan Israel kedengaran. Ada warga Palestin terbunuh. Ada soldadu Israel meledak mati.

Israel tidak puas hati kerana mayat warga Israel dalam tawanan Hamas masih belum semuanya dipulangkan. Hamas menyatakan masa diperlukan untuk mencari mayat yang terkambus dalam runtuhan bangunan.

Lembaga Palang Merah juga memiliki pendapat yang sama. Tawanan ini telah terkorban apabila tempat tahanan mereka diserang atau dibom dari udara. Untuk memberatkan keadaan, Israel telah melarang bantuan jentolak besar masuk dari Turki untuk membantu mencari mayat.

Pemerhati geopolitik kebanyakan berpendapat bahawa gencatan senjata ini hanya untuk sementara. Ini kerana agenda utama — pembebasan Palestin yang dijajah oleh Israel semenjak tahun 1948 — tidak disebut langsung dalam 20 perkara perjanjian Damai 2025.

Tidak dapat tidak, selagi Palestin tidak berjaya mendirikan sebuah negara Palestin yang bebas, berdaulat, merdeka — perang sentiasa berada di belakang pintu.

Palestin merdeka, bebas dari penjajahan Israel, adalah kunci damai di Timur Tengah. Jika negara Palestin tidak wujud — Palestin dan Israel akan terus berperang. Politik dunia akan terus tegang. Ancaman perang akan terus segar. Ini hakikat.

Ini tidak bermakna gencatan senjata yang berlaku sekarang tidak bermanfaat. Langkah Trump mengadakan gencatan senjata Damai 2025 ini adalah baik. Projek genosid Netanyahu dihentikan. Angka kematian warga Palestin berkurangan. Bantuan makanan dan perubatan boleh masuk ke Gaza.

Tetapi Gaza masih tegang. Fasa pertama membebaskan tawanan telah selesai. Fasa kedua ialah pengunduran bala tentera Israel kembali ke sempadan sebelum 7 Oktober 2023. Fasa kedua ini telah bermula tetapi soldadu Israel masih lagi berlegar bebas di Gaza.

Gencatan senjata goyah

Warga dunia dan negara-negara yang hadir sama dalam Damai 2025 sedang memberi perhatian terhadap Gaza. Warga dunia, walaupun ada kesangsian terhadap Damai 2025, tetap merasa lega kerana projek genosid Israel terhenti. Kebuluran yang merebak dapat dikendurkan.

Fasa kedua belum tuntas. Fasa ketiga ialah membangunkan kembali Gaza. Pemaju dan pemodal sedang memberi perhatian apakah Damai 2025 ini akan sampai ke fasa ketiga. Tok Arab yang kaya raya dilaporkan akan mengeluarkan dana untuk membangunkan kembali Gaza.

Negara-negara Islam juga dilaporkan akan membantu Projek Gaza Baru yang akan diketuai oleh menantu Trump (Jared Kushner) dan Tony Blair.

Pada masa yang sama, berita dari Gaza memperlihatkan gencatan senjata ini goyah. Keadaan ini mendorong ramai pemerhati geopolitik berpendapat Netanyahu hanya mahu tawanan dibebaskan. Atas kejayaan ini Netanyahu akan memulakan kembali serangan untuk menghapuskan Hamas.

Netanyahu mahu Hamas melucutkan senjata. Presiden Trump juga mahu Hamas bergerak tanpa senjata. Malah Trump mengancam akan “membuat sesuatu” jika Hamas gagal melucutkan senjata.

Jawapan dari Hamas jelas tanpa berselindung. Hamas tidak akan melucutkan senjata. Hamas hanya akan melucutkan senjata dan menyerahkan senjata kepada pihak berkuasa Kerajaan Palestin. Selagi Kerajaan Palestin tidak wujud, selagi itu Hamas akan terus berdiri sebagai gerakan politik bersenjata.

Dalam falsafah taktik perang gerila: daulah akan dilihat kalah jika kumpulan gerila yang dilawan gagal dihapuskan. Kumpulan gerila akan dianggap menang jika mereka masih hidup dan belum berjaya dihapuskan.

Senjata kunci utama

Guru besar perang gerila ialah Mao Zedong. Dia mengajukan taktik gerila mengepung bandar dari desa. Mao menunjukkan bahawa kuasa politik muncul dari muncung senapang.

Justeru, jika Hamas tidak ada senjata, maknanya Hamas hanya harimau kertas yang tidak memiliki apa-apa kuasa. Tidak berupaya mencatur kerja politik.

Setakat ini, garis perjuangan bersenjata Hamas dilihat tepat dan betul. Dalam perjuangan melawan penjajah, senjata menjadi kunci utama. Kemerdekaan dan pembebasan tidak akan diberikan oleh kuasa kolonial yang menjajah.

Mustahil Zionis Israel akan menghadiahkan bumi Palestin kepada Hamas atau kepada PLO.

Kemerdekaan bukan wujud dengan diminta-minta, tetapi wajib dirampas dengan perjuangan bersenjata. Tanah Melayu telah mengalami dan berhadapan dengan keadaan yang sama di zaman penjajahan Inggeris.

Inggeris mengundur diri pada tahun 1957 bukan kerana Tunku Abdul Rahman dan kolonial Inggeris berunding di London. Tunku di London kerana wujudnya perjuangan bersenjata Gerakan Pembebasan Rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya melawan Inggeris.

Tanpa gerakan bersenjata, mustahil Inggeris akan mengundur diri pada tahun 1957. Tunku hanya membuat lawak berdiri apabila dia mendakwa kemerdekaan Tanah Melayu dicapai tanpa tumpah darah. Ini dialog komedi daripada budak kolonial Inggeris.

Pada tahap ini Hamas telah berjaya dan menang dalam perjuangan menentang Zionis Israel. Setelah Perjanjian Oslo dan diwujudkan Pihak Berkuasa Palestin — Palestinian National Authority — isu dan agenda Palestin tenggelam.

157 negara iktiraf Palestin

Taufan Al-Quds pada subuh 7 Oktober 2023 mengubah semua landskap politik Palestin dan politik dunia. Agenda Palestin yang jadi lemau dan hampir padam melonjak menjadi agenda politik dunia yang hangat.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 2025 menunjukkan negara Palestin diiktiraf sebagai negara berdaulat oleh 157 daripada 193 negara anggota PBB.

Ini hasil kerja perjuangan bersenjata Hamas.

Negara seperti Ireland, Portugal, Sepanyol dan Colombia telah lama menyokong Palestin merdeka. Sesudah 7 Oktober, angka sokongan berlipat ganda. Malah negara-negara sahabat Israel seperti Kanada, UK dan Perancis kini telah bangun menyatakan sokongan kepada Palestin merdeka.

Ini hasil kerja perjuangan bersenjata Hamas.

Paling ampuh ialah sokongan rakyat dunia terhadap perjuangan Palestin merdeka. Ribuan rakyat di Ottawa, London, Dublin, Stockholm, Paris, Melbourne, Berlin, Sydney dan Oslo telah keluar ke jalan raya. Mereka berdemo bersetia kawan menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Di Rom, Itali — kerajaan Meloni yang berhaluan kanan telah digasak oleh rakyat Itali yang mahu kerajaan mengiktiraf Palestin merdeka.

Parlimen Sepanyol membuat keputusan mengharamkan penjualan senjata ke Israel.

Semenjak 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya sebelas negara termasuk Jordan, Bahrain, Turki, Bolivia, Colombia, Honduras, Chile, Belize, Brazil, Afrika Selatan dan Chad telah memanggil balik duta mereka ke Israel atau memutuskan hubungan sama sekali.

Negara-negara ini tidak sanggup dianggap bersekongkol dalam projek genosid Netanyahu. Negara-negara ini mula beralih pandangan apabila melihat Israel menjalankan ethnic cleansing — pembersihan etnik — di Gaza.

Ini hasil kerja perjuangan bersenjata Hamas.

Paling ampuh dan sedang menggoncangkan gerakan Zionis di Amerika ialah perubahan kesedaran rakyat Amerika Syarikat tentang apa itu Zionisme dan apa dia negara yang dipanggil Israel.

Apabila Netanyahu memulakan projek genosid di Gaza, yang awal bangun bersuara menentang ialah siswa dan pelajar dari universiti tersohor seperti Harvard, Yale dan Columbia.

Siswa dan pelajar dari universiti tersohor ini telah keluar berdemo dan memboikot kuliah. Mereka bersetia kawan dengan perjuangan adil rakyat Palestin. Gerakan siswa, pelajar dan anak-anak muda Amerika ini telah dibantai oleh Trump.

Presiden Universiti Columbia meletak jawatan kerana demonstrasi pelajar. Presiden Universiti Harvard diberhentikan. Semua kerana mereka dilihat bersimpati dengan pelajar yang berdemonstrasi menyokong Palestin merdeka.

Pelajar luar negara yang dilihat aktif dalam gerakan Palestin merdeka telah ditahan. Beberapa pelajar luar negara dibatalkan visa pelajar. Ada yang ditahan dan dihalau keluar dari Amerika.

Semua ini hasil perjuangan bersenjata Hamas.

Ada satu perkara amat menakutkan kaum Zionis di Amerika — perubahan jalan cerita, naratif Israel kini sedang beralih.

Naratif Zionis yang telah menjadi kuasa dominan di Amerika Syarikat selama lebih tujuh dekad kini berubah. Politik Amerika yang menyokong Israel telah dipromosikan oleh lembaga lobi pro-Israel, dipupuk oleh Kristian Zionis dan digemakan oleh media arus perdana. Kuasa Zionis ini kini dicabar setelah berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam hampir dua tahun, imej-imej seram yang tidak berbelah bahagi — bangunan runtuh, kemusnahan total — muncul bukan hanya di kaca TV, malah di semua platform media sosial, menjadi tayangan untuk mata, hati dan fikrah warga Amerika.

Imej pembunuhan dan anak-anak kecil mati kebuluran amat mengejutkan. Semua ini telah mencipta rekod seram yang tidak dapat dielakkan. Semua ini telah mencabar naratif Zionis.

Kalau dulu semua media — elektronik dan cetak arus perdana — didominasi oleh naratif Zionis. Kini, dengan kemunculan media sosial, hegemoni Zionis ini meledak pecah.

TikTok, Facebook, Twitter dan internet tidak lagi dapat dikawal oleh hegemoni naratif Zionis.

Hakikatnya, dalam jangka panjang, sokongan Amerika kepada Israel akan berkurangan. Ini bermakna Israel akan dipaksa mempertimbangkan semula tentang Palestin merdeka. Israel, untuk selamat wajib membatalkan rancangannya untuk memerintah seluruh Palestin.

Projek Israel Raya wajib dilupuskan. Tinjauan pendapat mula memperlihatkan perubahan pendapat umum terutama di kalangan generasi muda Amerika. Perubahan ini jelas berlaku selepas Taufan Al-Quds 7 Oktober 2023. Perubahan dilihat berlaku secara mendadak.

Tinjauan yang dijalankan oleh Pew Research pada Mac 2025 menunjukkan bahawa sikap negatif terhadap Israel meningkat daripada 42 peratus kepada 53 peratus daripada semua orang dewasa AS sejak 2022.

Peralihan itu lebih ketara dalam kalangan penyokong Demokrat, daripada 53 peratus kepada 69 peratus untuk tempoh yang sama.

Jurang politik Amerika-Israel makin meluas. Rakyat Amerika semakin kurang bersemangat memberi sokongan menyeluruh untuk Israel — sahabat lama Amerika. Perubahan naratif Zionis ini bukan hanya berlaku di Amerika malah di seluruh dunia.

Semua ini adalah kejayaan perjuangan bersenjata Hamas.

Gerakan Zionis sedang dicabar di seluruh dunia. Israel merasa tidak selamat. Apa yang akan dilakukan oleh gerakan Zionis antarabangsa? Apa yang akan dilakukan oleh Israel? Tunggu minggu hadapan. Amin.


HISHAMUDDIN RAISaktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS