KOLUM | Politik itu sifatnya tidak mempunyai gender atau jantina. Justeru apabila golongan wanita menceburi politik, ada ruang yang luas untuk mereka menyumbangkan.
Wanita juga bukanlah pesaing kepada lelaki atau sekadar pelengkap dalam dunia politik.
Politik ialah bidang mengurus manusia untuk hidup bersama dan mencapai kesejahteraan hidup. Politik juga adalah soal manusia yang mewujudkan kemanusiaan.
Tiada ukuran angka dapat diberikan terhadap wanita atau lelaki dalam peranan dan sumbangan mereka dalam berpolitik. Ia sangat bergantung kepada keupayaan diri seseorang.
Dalam demokrasi, ukuran angka lazimnya diangkat sebagai kata pemutus bagi menentukan yang menang dan yang kalah. Namun kenyataannya, ukuran tersebut hanya satu daripada puluhan pintu penentuan kemenangan atau kekuasaan.
Dalam sejarah, antara ahli politik wanita hebat yang mengangkat tema kemanusiaan dalam sejarah dunia timur ialah Kartini. Dalam hidup Kartini, dia tidak pernah mengetuai sebarang jabatan, tetapi setelah meninggal dunia, pemikirannya mencetuskan gerakan politik masyarakat.
Peranan politik Kartini lebih jelas jika dikaji daripada tulisan-tulisan Pramoedya Ananta Toer.
Kartini memainkan peranan jangka panjang membangun kemanusian dalam sejarah manusia.
Politik dalam konteks ini bukan soal kedudukan wanita dalam kerusi atau jabatan, tetapi sebagai kuasa pemikiran atau sejarah perjuangannya.

Membaca Panggil Aku Kartini Saja oleh Pramoedya adalah membaca dengan pandangan kemanusiaan. Ia bukan sekadar melihat dari sudut feminisme, emansipasi wanita atau gender meski ada yang melihat begitu.
Pandangan itu lebih menjurus dikotomi atau perpuakan daripada membahaskan soal-soal kemanusiaan. Kartini hidup dalam masyarakat feudal dan dunia patriarki.
Tatkala kaum lelaki di tempatnya bertarung menyara kehidupan berkeluarga, Kartini melakar impian bangsa dengan caranya tersendiri. Cara sebagai seorang wanita.
Bukan wanita yang ingin menandingi atau berlagak sebagai lelaki sebaliknya dia membawa isu-isu pendidikan, kemuliaan diri, dan kemandirian yang merupakan asas kepada manusia merdeka.
Wujudkan masyarakat penyayang
Kita hidup dalam dunia yang menjadi saksi betapa kemanusiaan dihancur-hancurkan seperti yang berlaku di Palestin.
Dalam dunia yang serba kacau dan tidak menentu, masyarakat memerlukan sentuhan kemanusiaan bagi mengembalikan tenaga untuk bertarung melawan keadaan zaman.
Ekonomi zaman Kartini adalah sistem tanaman paksa yang dilaksanakan oleh Belanda.
Manusia yang dibangunkan dengan kekerasan hanya melahirkan insan yang keras, kaku dan beku.
Dalam politik yang gersang sifat kemanusiaan, dunia sememangnya memerlukan sentuhan kemanusiaan dari tangan wanita.
Salah satu asas utama dalam sifat kemanusiaan adalah karamah insaniah (kemuliaan manusia). Umumnya, karamah insaniah bermaksud setiap manusia mempunyai maruah atau harga diri yang perlu dihormati.
Ia dapat dilakukan melalui pembentukan akhlak dan adab dalam masyarakat hingga mampu mewujudkan hubungan yang harmoni meski wujud kepelbagaian.

Masing-masing mempunyai tanggungjawab sosial yang mendorong individu untuk berperanan aktif dalam mewujudkan masyarakat yang lebih baik dan penyayang.
Dalam kerangka politik, tanggungjawab sosial sering diukur dengan jumlah undi di peti undi. Politik sedemikian hanya merosakkan sistem dan nilai sosial dalam masyarakat. Setiap tindakan dan apa yang berlaku akan dinilai secara politik.
Hatta kes yang tiada kena mengena dengan politik hendak dipolitikkan demi secalit undi. Ini termasuklah pembunuhan remaja di sekolah yang berlaku baru-baru ini.
Memetik berita dari Malaysiakini yang melaporkan tentang upacara penghormatan terakhir mendiang Shing Xuen yang dibunuh di sekolahnya itu.
Membela tanpa sempadan
Pengacara majlis itu menyebut “Pihak keluarga berharap acara perpisahan hari ini bukanlah satu majlis kesedihan atau kemarahan, tetapi majlis penuh kasih sayang — agar kebaikan dan keberkatan terus mengalir,”
“Walaupun kehidupan Shing Xuen sangat singkat, dia telah mengajar kita banyak perkara. Dia mengajar kita untuk menjalani setiap hari dengan senyuman dan melayan semua orang di sekeliling dengan kebaikan.
“Apa yang ditinggalkan Shing Xuen bukan sekadar air mata, tetapi juga satu keyakinan — bahawa dunia ini boleh menjadi lebih indah melalui budi pekerti,” kata pengacara itu lagi.
Butir kata pengacara itu bukan sahaja menyentuh hati kita yang turut bersedih tetapi nilai-nilai kemanusiaan itu sangat mengesankan jiwa yang mendengarnya.
Kartini juga mati muda. Namun kematiannya mengajar manusia hidup dengan nilai kemanusiaan. Kartini hidup dengan dunia yang penuh penindasan dan penjajahan.

Begitu juga dengan peperangan, kebuluran, kemiskinan, kejahilan dan sebagainya boleh menerbitkan rasa kemanusiaan.
Cuba bandingkan suara-suara di luar sana yang lebih bersifat provokasi dan menimbulkan kebencian dalam masyarakat.
Politik kita sememang memerlukan sentuhan kemanusiaan yang sejati dan luhur. Bukan kemanusiaan tontonan dan lakonan.
Sahabat saya, Ustaz Zolkharnain Abidin menulis sebuah buku tafsir berjudul Juz ‘Amma - Kemanusiaan Tanpa Sempadan yang dilancarkan bersama buku saya, Amanah - Mekar dalam Api pada 2024.
Zolkharnain menyatakan bahawa al-Quran sentiasa tampil membela manusia tanpa sempadan. Surah-surah dalam Juz ‘Amma mengandungi banyak ayat yang membela manusia yang dizalimi, anak yatim, golongan miskin dan menempelak kelompok elit yang mengabai serta memandang golongan itu sebelah mata.
Hanya bagaimana falsafah kemanusiaan yang dinyatakan dalam al Quran dilaksanakan dalam dunia yang hilang kemanusiaannya. Itulah seruan Maha Pencipta manusia kepada manusia.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional. Artikel ini disesuaikan daripada petikan ucapan perasmian konvensyen Wanita Amanah Perak pada Sept lalu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
