Ketika dunia sibuk dengan manusia bergaduh sesama sendiri berkaitan dengan Palestin dan Ukraine serta percaturan geopolitik melibatkan perdagangan global antara Amerika Syarikat dan China, manusia menghadapi sesuatu kemungkinan yang selama ini hanya berada dalam fiksyen sains (sci-fi).
Seharusnya, Agensi Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa) mengadakan taklimat media dari masa ke masa, kalaupun tidak setiap hari, mengenai perkembangan, perjalanan dan pergerakan 3i/Atlas supaya orang ramai di seluruh dunia memahami apa yang sedang berlaku pada komet berkenaan serta kaitannya pada bumi dan manusia.
Tetapi paling mengecewakan dunia ialah keadaan yang penting dan kritikal ini diganggu bukan daripada pergaduhan global antara negara tetapi antara ahli politik Amerika. Gangguan ini adalah dengan penutupan pentadbiran Amerika yang disebut sebagai shutdown yang terhasil daripada kegagalan anggota Kongres dari Parti Republikan dan Parti Demokratik untuk mencapai konsensus.
Tanpa konsensus itu, belanjawan tidak boleh diluluskan. Puncanya ialah pihak Republikan mahu memotong belanjawan kesihatan bagi orang berpendapatan rendah. Sementara pihak Demokratik mahukan belanjawan kesihatan itu dipertahankan.
Akibat daripada shutdown, maka turut tidak berfungsi ialah semua agensi kerajaan persekutuan termasuk Nasa yang memantau dan mengumpul data angkasa lepas. Dalam keadaan sekarang peralatan Nasa mengumpul data secara automatik. Tetapi oleh kerana shutdown, maka kakitangan Nasa tidak dapat bekerja untuk menganalisis data.
Maka pemantauan 3i/Atlas sedang dilakukan oleh agensi-agensi angkasa lain termasuk dari Eropah, Rusia, China dan Jepun. Begitu juga balai-balai cerap di seluruh dunia. Turut menyumbang ialah ratusan amatur dan peminat tegar astronomi di seluruh dunia khususnya di Chile yang mempunyai ruang pemandangan angkasa paling jelas di dunia hingga dapat merakam “komet antara bintang”.
“Antara bintang” adalah perkataan lain daripada istilah interstellar. Stellar pula adalah daripada perkataan star atau bintang. Maka “komet antara bintang” ini merujuk pada komet yang berasal dari luar sistem suria, maknanya ia datang dari sistem bintang lain. Sistem Suria berpusat pada matahari yang merupakan sebutir bintang.
Pada satu masa dahulu istilah untuk komet ialah bintang berekor. Asalnya dalam bahasa Melayu semua benda di langit kecuali bulan dan matahari adalah bintang. Malah planet juga dianggap bintang. Maka planet Utarid dipanggil bintang Kejora. Asteroid juga dipanggil bintang. Begitu juga dengan komet yang dipanggil bintang berekor kerana ia ada ekor. Meteor dan meteorit pula dipanggil tahi bintang.
Tetapi dengan kemasukan ilmu sains ke dalam bahasa Melayu, maka ditakrif semula perkataan bintang. Maka matahari adalah sebutir bintang. Kejora bukanlah bintang tetapi planet yang mengelilingi bintang. Maka komet dan meteorit tidaklah dikatakan bintang.
Komet antara bintang
Benda besar yang mengelilingi bintang termasuk Bumi dipanggil planet. Bila ia kecil seperti Pluto, ia dipanggil sebagai planetoid. Apabila ia kecil lagi, ia adalah asteroid. Bila ia lagi kecil, ia disebut meteoroid.
Apabila ia masuk ke ruang angkasa Bumi, ia menjadi meteor. Bila jatuh ke Bumi, ia menjadi meteorit.
Komet juga mengelilingi matahari. Tetapi orbitnya lebih bujur atau eliptikal, iaitu lebih berbentuk elips. Sedangkan planet, planetoid, asteroid dan meteoroid mempunyai orbit yang lebih berbentuk bulatan (circular).
“Komet antara bintang” adalah berbeza daripada komet biasa. Apa yang disebut sebagai komet biasa ialah ia datang dari dalam sistem suria sendiri. Maka komet biasa boleh disebut sebagai komet intrastellar atau komet dalam sistem bintang. Stellar itu boleh bermaksud sistem bintang.
Komet biasa ini umumnya datang dari pinggiran sistem suria khususnya di kawasan yang dipanggil Lingkaran Kuiper (Kuiper Belt) dan Awanan Oort (Oort Cloud). Komet-komet ini lahir semasa Matahari dan Sistem Suria terbentuk.
Sementara komet antara bintang berasal dari luar sistem suria atau disebut sebagai extrasolar. Umumnya dipercayai bintang dan sistem bintang yang melahirkan “komet antara bintang” ini berada dalam Bima Sakti iaitu galaksi yang sama dengan matahari dan sistem suria.
Maka 3i/Atlas ini dinamakan demikian sebab ia adalah “komet antara bintang” ketiga yang dikesan oleh manusia. Angka 3i itu bermaksud 3rd interstellar. Atlas itu bermaksud Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System atau Sistem Peringatan Akhir Hentaman Bumi.
Atlas merupakan rangkaian teleskop robot yang dikendalikan oleh Institut Astronomi Universiti Hawaii di Honolulu. Sistem yang didanai oleh Nasa ini mempunyai teleskop di pulau-pulau Hawaii di Haleakala dan Mauna Loa, Sutherland Observatory di Afrika Selatan, El Sauce Observatory di Rio Hurtado di Chile dan Teide Observatory di Sepanyol.
Maka Atlas adalah pihak pertama yang melihat komet ini pada Julai 2025. Dua “komet antara bintang” yang dikesan sebelum ini ialah 1i/’Oumuamua pada tahun 2015 dan 2i/Borisov pada 2019. Adalah dipercayai bahawa banyak “komet antara bintang” yang datang ke matahari tetapi hanya tiga komet ini yang dikesan.
Komet 3i/Atlas ini dijangka menghampiri matahari pada 29 Oktober 2025. Para pemerhati dan pengkaji dapat memperoleh lebih banyak data dan jelas mengenainya.
Ia kemudian akan pergi ke sebalik matahari dan tidak dapat dikesan dari Bumi hinggalah ia berpatah balik pada 3 November 2025 untuk pulang ke bintang asalnya.
Kapal angkasa makhluk asing?
Apa yang menjadi kecohnya ialah tidak mustahil bahawa 3i/Atlas bukannya komet tetapi kapal angkasa makhluk asing atau alien. Walaupun tiada pernyataan rasmi tetapi sebutan ini sudah menarik warganet di seluruh dunia untuk mencari maklumat mengenai 3i/Atlas. Keadaan ini mendorong pelbagai pihak untuk memuat naik maklumat mengenai komet ini.
Apa yang menjadikan 3i/Atlas disyaki bukan benda alami tetapi merupakan karya kejuruteraan terletak pada beberapa tanda-tanda dari pemerhatian. Apa yang nyata ialah 3i/Atlas berbeza daripada dua “komet antara bintang” terdahulu.
Pertamanya, komet ini mempunyai ekor di belakang. Tetapi 3i/Atlas ada kalanya mempunyai ekor di depan. Kedua, komet ini mengeluarkan banyak air sebelum sampai hampir pada matahari. Selalunya komet yang sememangnya mencairkan ais apabila hampir pada matahari.
Ketiga, 3i/Atlas kelihatannya boleh memperlahankan pergerakan atau brek sedangkan komet biasa hanya terus meluncur menuju destinasinya. Keempat, ia berwarna hijau. Kelima, dikesan ia mengandungi logam Nikel dan ada beberapa anomali yang muncul untuk menunjukkan bahawa 3i/Atlas adalah bukan komet biasa, kalaupun ia sememangnya komet. Maknanya ia merupakan komet jenis baharu yang tidak pernah diketahui manusia.
Tetapi dalam Internet sudah banyak maklumat daripada mereka yang cenderung untuk menyatakan bahawa 3i/Atlas adalah pesawat alien.
Untuk menyatakan bahawa ia merupakan pesawat alien adalah satu yang mengujakan. Ini kerana manusia mudah untuk membuat andaian dan spekulasi kerana daya imaginasi spesies ini adalah kuat. Namun buat masa ini tiada kenyataan rasmi daripada institusi-institusi yang diyakini bahawa 3i/Atlas adalah benda buatan atau artifisial.
Paling kuat, institusi-institusi rasmi boleh menyatakan 3i/Atlas adalah bukan komet menurut takrifan sedia ada. Komuniti astronomi boleh saja membuat takrifan baharu. Maka jika 3i/ Atlas bukan komet dan bukan juga pesawat alien, maka satu kategori baharu perlu diwujudkan untuknya.
Apa yang menjadi parah pada landskap media hari ini ialah adanya kepintaran buatan (AI) yang mengganggu aliran maklumat dalam alam maya.
Buat masa ini, media sosial dari YouTube hingga kepada TikTok dibanjiri dengan hantaran dari pelbagai pihak yang hendak membuat konten mengenai perkara ini. Mereka pula menggunakan AI dengan maklumat serta gambar dan grafik yang dituai dari alam maya.
Maklumat spekulasi
Jurucakapnya pula adalah avatar AI yang menggunakan wajah serta suara ahli-ahli sains yang terkenal seperti Michio Kaku, Brian Cox dan lain-lain yang boleh menarik perhatian serta mendorong orang ramai menontonnya. Tajuk yang mereka gunakan pula ialah berupa umpan klik atau click bait yang bukan saja mengelirukan tetapi berupa penipuan.
Sungguhpun begitu, kebanyakannya memberi penjelasan atau disclaimer bahawa paparan itu adalah berupa AI dengan wajah serta suara penyampai adalah sintetik, dan ia tiada kaitan dengan nama-nama besar berkenaan. Apa yang dikeluarkan adalah gabungan maklumat yang dituai dari tulisan atau percakapan tokoh berkenaan seperti syarahan, kuliah dan wawancara.
Maka warganet mestilah berhati-hati dalam menonton video berkaitan 3i/Atlas. Kadangkala ada kebenaran dalam hantaran-hantaran mereka ini. Tetapi terdapat banyak maklumat yang berupa spekulasi lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh para aktivis peminat alien yang kadangkalanya bernada obsesif.
Saya telah menonton berpuluh-puluh video mengenai 3i/Atlas tetapi kebanyakannya dari sumber pencipta konten yang tidak dapat dipercayai. Maklumat dari media massa warisan (heritage media) yang memetik dari institusi saintifik yang boleh dipercayai adalah terhad. Buat masa ini 3i/Atlas bukanlah pesawat alien tetapi ia merupakan komet yang aneh.
Namun begitu, realitinya manusia tidak bersedia menghadapi realiti kedatangan alien apatah lagi penaklukannya. Kemampuan manusia hanyalah menulis dan membaca buku sci-fi, membikin dan menonton filem sci-fi mengenai alien.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
