KOLUM | Ketika tulisan ini digarap, media arus perdana di Amerika sibuk membincangkan: Apakah Netanyahu dan Israel di bawah telunjuk Trump dan Amerika, atau apakah Trump dan Amerika di bawah telunjuk Netanyahu dan Israel.
Apakah Israel negara klien Amerika atau Amerika sendiri yang menjadi klien Israel? Siapa yang menjajah siapa?
Persoalan ini muncul kerana sesudah Damai 2025, Israel bukan sahaja telah melanggar persetujuan damai, malah Parlimen Israel telah meluluskan dasar baru yang menghalalkan kemasukan pendatang Yahudi ke Tebing Barat. Pendatang baru Yahudi ini akan mengambil dan merampas tanah untuk mendirikan penempatan baru di wilayah Tebing Barat.
Gaza telah berjaya dihancurkan. Maka projek Israel seterusnya ialah mengambil Tebing Barat. Ini adalah sebahagian daripada projek induk Israel Raya.

Data akhir 2024 dan awal 2025 menunjukkan anggaran jumlah keseluruhan peneroka Yahudi di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, adalah lebih 700,000 orang. Demografi Tebing Barat sedang diubah.
Israel terus merancang untuk memperluas pengambilan tanah milik Palestin di Tebing Barat. Yahudi dari merata pelusuk dunia yang baru tiba terus menjadi warga Israel. Mereka memerlukan tempat tinggal. Jawabnya, penempatan pendatang baru Yahudi di Tebing Barat muncul di sana sini.
Kemasukan Yahudi baru ke Tebing Barat ini dianggap haram walaupun sentiasa berlaku, tetapi kini telah menjadi dasar.
Keputusan dasar baru — masuk ke Tebing Barat — adalah keputusan Parlimen Israel yang dibuat ketika Timbalan Presiden Amerika JD Vance sedang berada di Tel Aviv.

Apabila ini berlaku, media Amerika mengandaikan ia satu penghinaan terhadap Timbalan Presiden JD Vance. Sosok ini dihantar khas oleh Presiden Trump untuk memastikan Israel tidak ingkar dengan perjanjian Damai 2025.
Majalah Time melaporkan JD Vance, ketika meninggalkan Israel, hanya berupaya berkata bahawa undian dalam parlimen telah menyinggung perasaannya dan “sangat bodoh.”
Menurut laporan Al Jazeera pada 11 September 2025, Netanyahu telah secara rasmi bergerak ke hadapan dengan rancangan pembesaran penempatan di Tebing Barat. Ini menjadikan kewujudan negara Palestin mustahil.
Projek merampas tanah Palestin di Tebing Barat diteruskan. Netanyahu berkata: “Kami akan menunaikan janji kami bahawa tidak akan ada negara Palestin. Tempat ini milik kami,” kata Netanyahu pada majlis di Maale Adumim, sebuah penempatan Israel di timur Baitulmaqdis.

Jelas kelihatan Projek Penyelesaian Dua Negara semakin mustahil. Zionis Israel tidak akan berganjak dengan dasar memperluaskan tanah rampasan di bumi Palestin.
Niat dan cita-cita mewujudkan negara Palestin yang mendapat sokongan dunia di PBB kelihatan mustahil. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka hanya tinggal slogan.
Malah, kini Israel telah menambah tanah rampasan di Syria selain dari wilayah Bukit Golan yang dirampas semenjak Perang 1967.
Sejak kejatuhan kerajaan Bashar di Syria pada Disember 2024, Israel telah masuk dan merampas tanah yang dikawal oleh PBB. Zionis Israel telah masuk mengambil sebahagian daripada daerah Quneitra. Israel dengan pantas menubuhkan sembilan pos tentera yang membentang dari bandar Daraatra ke bahagian barat Gunung Hermon.

Apabila Presiden Trump ditanya oleh seorang wartawan dari Perancis berkenaan Tebing Barat, Trump tidak mahu menjawab. Trump mengelak dengan berkata dia tidak faham soalan daripada wartawan Perancis yang bertanya dalam bahasa Inggeris dengan loghat Perancis.
Akhirnya Trump dibantu untuk memahami soalan wartawan ini dan menjawab: “Tebing Barat? Jangan risau tentang Tebing Barat. Israel tidak akan melakukan apa-apa dengan Tebing Barat, okay?”
Daripada apa yang dilapor, Penempatan baru Tebing Barat adalah red line — garis merah — yang mana Amerika tidak akan membenarkan dilanggar oleh Israel.
Tetapi dalam masa yang sama Netanyahu, yang bergantung kuat dengan sokongan Parti Kuasa Yahudi, kelihatan terperangkap di tengah-tengah. Netanyahu mendapat tekanan daripada Amerika. Netanyahu juga ditekan oleh rakan dalam kerajaan campuran untuk terus menjalankan projek Israel Raya.

Pada September 2025, semasa majlis menandatangani perjanjian pembangunan bandar di penempatan Tebing Barat Maale Adumim, Netanyahu menyatakan: “Tidak akan ada negara Palestin. Tanah ini adalah milik kita.”
Netanyahu juga mengumumkan rancangan berskala besar untuk menggandakan jumlah Yahudi dalam penempatan baru ini. Langkah ini dianggap kontroversi dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Tapi inilah perangai dan watak negara yang dipanggil Israel — melanggar semua undang-undang antarabangsa, melanggar semua perjanjian, membunuh sesuka hati, menghalau penduduk Arab keluar dari tanah watan mereka, memagar, mendirikan tembok dan mengepung kampung-kampung Arab Palestin hingga menjadi penjara yang luas.
Dunia kini melihat tindak-tanduk Israel ini dengan satu hakikat yang nyata: Tanpa Amerika, Israel tidak akan wujud.

Lalu persoalan timbul — kenapa Amerika terus mengikut telunjuk Israel? Kenapa Amerika akan melakukan apa sahaja demi kepentingan dan keselamatan Israel? Kenapa Presiden Amerika, satu per satu dari Bush ke Obama ke Biden ke Trump, semuanya tunduk dengan kehendak Israel?
Warga dunia pada satu ketika dulu melihat pelik akan hubungan Amerika dengan Israel. Presiden Nixon memerangi Mesir untuk Israel. Presiden Bush memerangi Iraq untuk Israel. Presiden Obama memerangi Gaddafi untuk Israel. Presiden Biden memerangi Gaza untuk Israel. Presiden Trump mengebom Iran untuk Israel.
Apa yang Israel mahu, Israel akan dapat. Amerika di bawah telunjuk Israel atau Israel di bawah telunjuk Amerika?
Menurut Al Jazeera, Amerika Syarikat telah menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi Israel kira-kira 51 kali, paling akhir pada 18 September 2025 yang lalu.

Kuasa veto ini digunakan oleh Amerika sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan untuk menyekat resolusi yang menjadi titik perbalahan, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti yang dilihat dalam beberapa veto pada resolusi gencatan senjata Gaza.
Hakikatnya, tanpa kuasa imperial Amerika, negara yang bernama Israel ini tidak akan wujud.
Kini dengan wujudnya Internet, maklumat dan pemahaman warga dunia terhadap hubungan Israel dengan Amerika semakin jelas.
Kunci utama yang mengikat Amerika dengan Israel ialah sistem demokrasi Amerika itu sendiri. Presiden Amerika dipilih melalui undian pilihan raya. Ahli Dewan Senat dan Dewan Kongres juga dipilih melalui undian. Gabenor di 50 negeri di Amerika juga dipilih melalui pilihan raya.

Politik mengundi — politik pilihan raya — memerlukan dana. Ketika berkempen, dana diperlukan. Tanpa dana yang cukup, calon apa sahaja tidak akan mencium bau kemenangan.
Pemilihan dan pengundian melalui pilihan raya ini membolehkan kepentingan Israel mencelah masuk. Projek mengambil bumi Arab Palestin untuk dijadikan Israel asalnya ialah projek kolonial Inggeris.
Kuasa kolonial Inggeris dan Eropah menjadi bidan yang melahirkan Israel sesudah Perang Dunia Kedua. Amerika menerima anak kecil bernama Israel ini kerana sesudah Perang Dunia Kedua, Amerika muncul sebagai kuasa imperial menggantikan kuasa Inggeris.
Pada awalnya kita lihat para politikus dan Presiden Amerika tidak masuk ke dalam saku Israel. Malah, Presiden John F Kennedy amat mengambil berat tentang pembangunan program nuklear Israel di tapak Dimona.

JFK mahu program nuklear Israel dihentikan kerana JFK berusaha menghentikan percambahan senjata nuklear. Ini berlaku pada tahun 1963 sebelum JFK ditembak mati.
Justeru hingga ke hari ini tangan dan jaringan Israel masih disyaki terlibat dalam pembunuhan JFK.
Pasca JFK semua berubah. Calon presiden atau calon Dewan Kongres yang akan bertanding akan diselidiki oleh AIPAC — American Israeli Public Affairs Committee. AIPAC ialah badan pelobi yang melobi politikus Amerika untuk menjaga kepentingan Israel. Badan pelobi yang ditubuhkan pada tahun 1954 ini ialah kumpulan Zionis paling berpengaruh dalam politik Amerika.
Pengaruh politik AIPAC wujud kerana di belakang AIPAC ialah kaum Yahudi Amerika yang kaya raya. Data Forbes tahun 2009 menunjukkan ada 139 bilionair Yahudi di Amerika. Bilionair Yahudi inilah yang memberi dana kepada AIPAC.

Lembaga pelobi AIPAC pula menyalurkan dana ini kepada para politikus Amerika yang ingin menjadi calon. Pasca JFK — tiada calon Presiden yang tidak dipersetujui oleh AIPAC akan berjaya menduduki Rumah Putih.
Inilah tanda kuasa Zionis di Amerika.
Lembaga AIPAC ialah badan Zionis Yahudi. Menurut bancian tahun 2023 terdapat 6.7 juta Yahudi sebagai warga Amerika. Jumlah ini tidak melebihi 7 juta. Jumlah itu tidak mencukupi untuk memenangkan calon AIPAC untuk kerusi apa sahaja.
Majoriti pengundi warga Amerika beragama Kristian. Maka dari sinilah muncul apa yang dikenali sebagai Kristian Zionis. Jumlah kumpulan ini berkisar antara 20 hingga 50 juta orang. Kumpulan ini lahir daripada Kristian Evangelis yang berjumlah 80 juta, walaupun bukan semua penganut Kristian di Amerika menjadi Zionis.

Kristian Zionis ialah kuasa politik terkemuka, terutamanya dalam parti Republikan. Parti ini mendapat sokongan kuat daripada Kristian Evangelis.
Dari sinilah muncul kekuatan MAGA — Make America Great Again — penyokong tegar Donald Trump. Dana lumayan dari AIPAC dan pengundi Kristian Zionis menjanjikan kunci Rumah Putih.
Apa yang kita baca melalui Internet dan media sosial di Amerika — Israel dan Amerika ini tidak dapat dipisahkan. Politik Amerika dan politik Israel ikat berikat.
Namun, semua ini telah berubah sesudah Taufan Al-Quds pada 7 Oktober 2023. Hamas telah mengubah hubungan Amerika dan Israel.
Manifestasi perubahan sokongan terhadap Israel ini semakin jelas apabila aktivis pelajar Turning Point USA bernama Charlie Kirk ditembak mati pada 10 September 2025.
Siapa penembak Charlie Kirk? Sila tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAISaktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
