Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Baru-baru ini saya dijemput untuk menghadiri lima malam sesi tayangan dan apresiasi filem terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).

Menurut info dalam e-mel jemputan yang saya terima, program itu bertujuan memberi peluang kepada warga industri, pelajar serta penggiat seni – seperti saya – menonton dan memberikan apresiasi kepada filem yang tercalon.

Ia adalah anjuran Finas yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Apresiasi, Bengkel dan Masterclass.

Lima filem terbaik yang tersenarai untuk saya tonton dan berikan pengiktirafan serta penghargaan pada sepanjang lima malam berturut-turut itu ialah Takluk: Lahad Datu, Reversi, Soloz Game of Life, Babah dan Blood Brothers.

Sungguhpun saya gembira dan terharu dijemput kerana tidak pernah dipelawa menghadiri ke majlis seumpama itu, saya juga tidak dapat mengenepikan realiti malang buat seluruh komuniti filem Malaysia.

Terutamanya dengan penjurian FFM34 sebaik mengetahui senarai akhir filem terbaik yang negara ini ada tahun ini.

Tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik untuk FFM34 kali ini hanyalah pisau yang membunuh kedinamikan falsafah pemikiran filem dan ketinggian daya kreativiti manusia pada seni filem.

Jadi perhatian penerbit

Saya tidak mampu menulis apa-apa tentang Soloz atau Blood Brothers mahupun tiga lagi filem yang tercalon dalam FFM kali ini.

Saya kehilangan kata-kata untuk menggambarkan keterujaan jenis apa dan keseronokan bagaimana yang seharusnya sesebuah filem itu ada bagi mengajak manusia bodoh seperti saya menikmati sinema yang dikatakan terbaik di Malaysia.

Oleh itu saya tidak akan bercerita tentang FFM34 dan filem-filem yang dipertandingkan. Sebaliknya saya akan bercerita tentang cita-cita.

Saya percaya segala-galanya bermula dengan cita-cita dan ada sebuah filem terbaik yang bercerita tentang cita-cita. Filem itu berjudul Whiplash.

Sebetulnya Whiplash hanyalah sebuah filem pendek yang ditulis dan diarahkan oleh Damien Chazelle sebelum namanya mencanak glamour melalui filem La La Land.

Selepas ditayangkan buat kali pertama di Festival Filem Sundance pada 2013, filem pendek Whiplash yang merungkai dan meneroka konsep kesempurnaan, makna dedikasi dan definisi kejayaan dalam mencapai cita-cita.

Ia menjadi perhatian beberapa penerbit filem di AS untuk mengubahnya daripada sebuah filem pendek berdurasi 18 minit kepada sebuah filem cereka.

Sebagai sebuah filem berbajet rendah, modal terbesar Chazelle hanyalah cita-cita. Cita-cita dia ialah untuk bercerita melalui gaya dinamik dan kreatif tentang perjuangan seorang anak muda bernama Andrew Neiman mahu menjadi seorang pemain dram berjaya.

Pengangkatan genre muzik jazz dalam filem itu bukanlah berunsur populis atau bersifat suka-suka tanpa tujuan yang nyata.

Sebaliknya ia terkait dengan sejarah tradisi dan budaya muzik di AS sejak awal 1900 sebelum ia memakan masa untuk diterima.

Jazz berkembang dan berevolusi hingga menjadi muzik yang membentuk karakter, jiwa dan semangat rakyat AS yang menyatukan bangsa mereka.

Sungguhpun itu adalah hakikatnya, namun kehidupan sebagai seorang siswa muzik dan pemuzik tidaklah semudah yang disangka. Bahkan siswa muzik yang sedang galak memburu cita-cita untuk berjaya seperti Neiman tidak mudah difahami oleh ramai orang, termasuklah bapanya.

Bukan untuk komunikasi saja

Apa yang menarik adalah apabila satu-satunya manusia yang benar-benar memahami Neiman merupakan orang yang paling banyak menyusahkan dia dan pemusnah cita-citanya, iaitu gurunya sendiri, Terence Fletcher.

Keunikan hubungan di antara Neiman dan Fletcher ialah hubungan bawah sedar yang mengingatkan kita kepada teori Lacan diilhamkan oleh Jacques Lacan.

Ia merupakan tafsiran semula psikoanalisis diasaskan oleh Freud yang menekankan peranan bahasa, keinginan dan ketidaksedaran manusia dalam membentuk jiwa manusia.

Dalam konteks Whiplash ini, muzik dan jazz adalah bahasa yang membina hubungan unik di antara Neiman dan Fletcher.

Muzik jazz menjadi bahasa yang bukan sahaja membina hubungan mereka malahan menjadikan kedua-duanya faham akan diri, keluarga, persekitaran dan komuniti di sekeliling.

Dari situ kita dapat mengenal subjek, jiwa, karakter dan konflik yang dibentuk dalam cerita dari filem berkenaan.

Kita akan menyedari – sekali gus memahami – bahawa fungsi bahasa bukanlah hanya untuk berkomunikasi semata-mata. Sebaliknya ia juga berguna sebagai medium interaksi yang berkemampuan membina peribadi, membentuk diri dan memenuhi keinginan.

Bunyi ketukan dram bersama melodi jazz dalam Whiplash menjadi tenaga bahasa yang bukan setakat menghubungkan manusia, tetapi membentuk jiwa dan semangat luar sedar.

Filem Whiplash yang bersaing dengan beberapa filem hebat lain seperti Boyhood, The Grand Budapest Hotel, The Imitation Game, The Theory of Everything dan Selma bagaimanapun tewas kepada filem Birdman di Oscar.

Tapi saya masih percaya kepada cita-cita.

Justeru untuk melihat sebuah festival filem di Malaysia yang menyenaraikan filem yang benar-benar terbaik bersama penjurian serta penganjuran yang lebih professional, ia wajib dimulakan dengan sebuah cita-cita.

Hal itu kerana di negara ini sebenarnya ada filem yang lebih baik daripada lima filem yang disenaraikan untuk FFM34. Tetapi entah mengapa ia tidak tercalon.

Mengapa?


HARIS HAUZAH ialah seorang penulis skrip yang sering ditolak dan selalu tidak diterima bekerja.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS