Sesudah menjadi insan kelainan upaya, dunia di sekeliling saya seakan berubah wajah. Segala yang dahulu tampak biasa kini mempunyai makna yang lain. Saya mula memerhati, merenung, dan cuba memahami bagaimana setiap insan diuji dengan cara yang berbeza. Dalam perjalanan baru ini, saya menyertai pelbagai persatuan orang kelainan upaya daripada komuniti fizikal, penglihatan, pendengaran, hinggalah kepada kelompok autisme.
Di situ saya temui wajah-wajah yang istimewa, suara-suara yang tidak lantang namun menggetarkan hati, dan semangat yang tidak pernah padam walau hidup mereka tidak seperti kebanyakan manusia.
Saban tahun, saya mendengar berita bahawa autisme semakin meningkat bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Pertambahan angka ini mengundang persoalan dalam benak saya: adakah dunia kini benar-benar menyaksikan ledakan kes autisme, atau kita sekadar semakin peka terhadap kewujudannya?
Autisme: Dunia dalam dunia
Autisme, atau istilah perubatannya Gangguan Spektrum Autisme (ASD), ialah satu keadaan neurologi dan perkembangan yang dicirikan oleh gangguan dalam penghantaran isyarat otak. Ia menyebabkan seseorang berkelakuan, berkomunikasi, berinteraksi dan belajar dengan cara yang berbeza daripada kelaziman.
Istilah ‘spektrum’ itu sendiri menggambarkan keluasan dan kepelbagaian pengalaman manusia dalam keadaan ini. Ada yang mampu berbicara petah dan berfikir tajam, tetapi sukar memahami bahasa emosi; ada pula yang hidup dalam keheningan dunia sendiri, jauh daripada hiruk-pikuk sosial yang kita panggil ‘realiti’.
Diagnosis autisme bukanlah perkara mudah. Tiada ujian darah atau imbasan otak yang dapat mengesahkannya. Para pakar menilai berdasarkan pemerhatian, temu bual dan pemahaman terhadap tingkah laku seseorang. Itulah yang menjadikan autisme unik dan ia tidak dapat ‘dikesan’ seperti penyakit, tetapi dikenali melalui jiwa dan laku.
Peningkatan yang membimbangkan
Di Amerika Syarikat, data menunjukkan kadar autisme meningkat secara mendadak sejak 2000. Kini, seorang daripada 31 kanak-kanak berumur lapan tahun didiagnosis sebagai autisme, satu peningkatan besar daripada satu dalam 150 pada dua dekad lalu.
Di England, kadar kini hampir 1.8 peratus, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar satu peratus kanak-kanak dunia berada dalam spektrum autisme.
Malaysia turut mencatat pola yang sama. Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah kanak-kanak berdaftar dengan diagnosis autisme meningkat daripada 6,991 pada 2013 kepada lebih 53,000 pada 2023. Angka ini pastinya tidak menggambarkan keseluruhan realiti kerana ramai lagi yang tidak didiagnosis atau tidak berdaftar namun ia tetap mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat.
Saya teringat tatkala menghadiri satu program komuniti autisme di Selangor. Seorang ibu muda memeluk anaknya yang tidak mampu bertutur tetapi memiliki mata yang bercahaya. “Anak saya bukan beban, dia anugerah,” katanya sambil tersenyum. Di situ saya belajar bahawa statistik hanyalah angka; namun di sebalik setiap angka, ada keluarga, ada perjuangan, dan ada cinta yang luar biasa.
Mencari punca di langit dan di bumi
Sains masih belum menemui punca sebenar autisme. Para pengkaji sepakat bahawa genetik memainkan peranan besar, sekitar 80 peratus risiko dipercayai berpunca daripada faktor genetik. Namun, alam juga punya andilnya. Antara faktor yang dikaitkan ialah pencemaran udara, komplikasi kehamilan, kelahiran pramatang, umur ibu bapa yang meningkat, serta gangguan pada sistem imun dan mikrobiom usus.
Ada pula yang cuba menyalahkan vaksin, suatu teori yang telah disangkal penyelidikan moden. Tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa vaksin menyebabkan autisme. Malah, walaupun kadar vaksinasi menurun di beberapa negara, kadar autisme terus meningkat menunjukkan bahawa faktor utamanya bukanlah vaksin, tetapi kompleksiti genetik dan biologi manusia yang belum sepenuhnya difahami.
Namun di sisi lain, sebahagian penyelidik menyatakan bahawa peningkatan kadar autisme sebenarnya berpunca daripada kemajuan dalam saringan dan perubahan definisi diagnostik. Dulu, hanya kanak-kanak yang mengalami masalah komunikasi berat dianggap autistik; kini, mereka yang mempunyai isu ringan seperti kesukaran memahami emosi atau rutin sosial juga termasuk dalam spektrum. Maka, bertambah luaslah payung autisme itu.
Autisme dan Islam: Hikmah yang terlindung
Apa yang menarik, Islam telah lama mengenali konsep yang hampir sama dengan autisme, walaupun istilahnya berbeza. Dalam khazanah klasik Islam, ulama menyebut tentang al-‘atah, iaitu keadaan seseorang yang mempunyai kekurangan kefahaman, pertuturan yang tidak jelas, dan keupayaan sosial yang terbatas. Imam al-Jurjani mentakrifkan al-‘atah sebagai kekurangan pada akal, tetapi tidak sampai tahap gila. Individu ini kadang kala bertutur seperti orang waras, namun kadang kala tidak.
Ulama kontemporari Dr Abd Karim Zaidan pula menjelaskan bahawa al-‘atah ialah kelainan akal yang menyebabkan seseorang sukar memahami arahan dan sering disalah tafsir. Dalam konteks hukum, mereka disamakan dengan kanak-kanak dari segi tanggungjawab akal. Menariknya, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Diangkat pena daripada tiga golongan: kanak-kanak sehingga baligh, orang tidur sehingga dia terjaga, dan orang al-‘atah sehingga dia faham.”
Hadis ini menggambarkan betapa Islam memuliakan insan berbeza kemampuan, bukan menghukum mereka. Islam mengiktiraf bahawa kekurangan mental bukanlah dosa, sebaliknya ujian yang mengandungi hikmah tersendiri.
Dunia moden dan spektrum baru
Dunia moden kini lebih terbuka kepada perbincangan tentang neurodiversiti dan kepelbagaian cara otak manusia berfungsi. Autisme dilihat bukan lagi sebagai penyakit, tetapi sebagai cara lain untuk menjadi manusia.
Ramai dalam komuniti ini yang mempunyai kelebihan unik dengan daya tumpu tinggi, kreativiti luar biasa, kemampuan analitik yang tajam, dan kesetiaan kepada rutin yang mendatangkan ketepatan. Dalam dunia kecerdasan buatan (AI) yang semakin menguasai pekerjaan, kelebihan ini bahkan boleh menjadi aset besar.
Namun, masih banyak cabaran menanti. Di Malaysia, tidak semua sekolah mampu menyediakan program pendidikan khas yang inklusif. Ramai ibu bapa terpaksa mencari pusat intervensi swasta yang menelan belanja tinggi. Akses kepada terapi pertuturan, terapi cara kerja dan latihan kemahiran sosial masih terbatas, terutama di luar bandar.
Sebagai warga emas OKU, saya sering terfikir: jika pada usia saya ini pun hidup masih perlu diperjuangkan, bagaimana pula dengan anak-anak kecil autistik yang bakal dewasa nanti? Siapa yang akan mendidik mereka memahami dunia yang sering tidak memahami mereka?
Menyulam harapan
Saya percaya setiap insan diciptakan dengan fungsi dan hikmahnya yang tersendiri. Dunia memerlukan keseimbangan dan ada yang petah bicara, ada yang diam penuh makna; ada yang tangkas bertindak, ada yang sabar mengamati.
Autisme bukan sekadar perbezaan biologi, tetapi juga pengingat kepada manusia bahawa kecantikan tidak terletak pada keseragaman, sebaliknya pada kerencaman ciptaan Tuhan.
Di persatuan OKU yang saya sertai, kami sering berganding bahu, yang berjalan dengan tongkat, yang berkerusi roda, yang tidak melihat, yang tidak mendengar, dan yang hidup dalam dunia autistik mereka sendiri. Setiap kali saya melihat mereka, saya belajar tentang kesabaran, ketekunan dan kasih sayang. Mereka mengajar saya bahawa kekurangan bukan kelemahan, tetapi bentuk kekuatan yang lain.
Dunia yang perlu lebih memahami
Autisme semakin meningkat, ya, secara statistik dan juga kesedaran. Namun peningkatan itu bukan sekadar lonjakan angka, tetapi pertumbuhan empati manusia. Dunia kini sedang belajar untuk melihat lebih dalam, untuk mendengar lebih lama, dan untuk memahami lebih jauh.
Bagi saya, menjadi warga emas OKU memberi ruang untuk menyelami erti sebenar kehidupan bahawa setiap insan mempunyai cara tersendiri untuk berfikir, merasa dan mencintai. Jika autisme mengajarkan kita sesuatu, maka ia adalah tentang kerendahan hati: bahawa tidak semua fikiran harus difahami dengan kata-kata, dan tidak semua jiwa harus diadili mengikut ukuran “normal”.
Semoga masyarakat Malaysia terus melangkah ke arah dunia yang inklusif dan dunia di mana perbezaan bukan alasan untuk terpinggir, tetapi jambatan untuk kita saling memahami, menghargai dan menyayangi.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
