Paling Popular
Terkini

KOLUM | Dalam persidangan tahunan MIC ke-79 hujung minggu lalu, perwakilan parti itu telah membuat keputusan bersejarah untuk keluar daripada BN.

Bagaimanapun, pelaksanaan keputusan itu akan hanya dibuat setelah mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti diadakan.

Pertama kali saya membuat liputan persidangan MIC adalah pada tahun 1983 ketika saya mula bekerja sebagai pemberita Utusan Malaysia.

Pada masa itu presiden MIC ialah Samy Vellu dan pengerusi tetapnya ialah SOK Ubaidullah. Pada zaman itu, mesyuarat MIC sering kecoh dengan kejadian membaling kerusi.

Samy Vellu adalah seorang pemimpin yang keras dan sering ada kumpulan yang menentangnya dalam parti tetapi akhirnya beliau tetap menang.

SOK Ubaidullah yang meninggal dunia pada tahun 2009 pada usia 90 tahun adalah pengasas bersama MIC dengan John Thivy pada tahun 1946. SOK Ubaidillah adalah Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pertama.

Persidangan pada tahun 1983 itu diadakan di Dewan Risda, Jalan Ampang. Ketika waktu rehat saya pergi ke surau untuk menunaikan solat Asar. Saya terserempak dengan SOK Ubaidullah. Kami berdua. Beliau menjadi imam. Selepas solat, saya bertanya beberapa perkara mengenai MIC.

Pada satu Hari Deepavali sekitar tahun-tahun berkenaan, saya diarahkan supaya bertugas. Tugasan saya ialah pergi ke rumah Samy Vellu di Jalan Ipoh. Pada masa itu ada krisis politik dan saya diarahkan mencatat siapa yang berkunjung ke rumahnya. Apabila saya sampai, saya dijamu dengan makanan di satu sudut ruang. Tidak lama kemudian datanglah pemberita lain.

Hampir semua pemimpin BN datang mengunjungi beliau. Setelah kedatangan pengunjung-pengunjung reda, barulah Samy Vellu bercakap kepada pemberita.

Krisis dalaman parti

Ada kalanya apabila berlangsung pemilihan parti, berlakulah perpecahan dan sebuah parti baru ditubuhkan. Salah satunya ialah Parti India Malaysia Demokratik (DMIP) pimpinan V Govindasamy pada tahun 1984. Saya pernah buat liputan persidangan tahunannya di Dewan Sivik, Petaling Jaya.

Beberapa kali juga saya pergi ke ibu pejabat MIC yang terletak di Jalan Mahameru berhampiran PWTC untuk membuat liputan mesyuarat-mesyuarat CWC, iaity apabila berlaku krisis. Di situ juga, saya berkenalan dengan seorang wartawan Tamil Nesan yang banyak membantu menterjemah.

Menjelang tahun 1990, salah satu parti pecahan MIC ialah AMIPF (IPF) atau Barisan Progresif India Seluruh Malaysia pimpinan G Pandithan. Beliau adalah pemimpin muda yang mewakili golongan pekerja dan hampir mengalahkan Samy Vellu.

IPF menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang dianggotai oleh Parti Semangat 46, DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Gagasan Rakyat pula bersekutu dengan Angkatan Perpaduan Ummah juga di bawah Tengku Razaleigh yang terdiri daripada partinya, PAS, Berjasa, Hamim dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang juga merupakan pecahan MIC .

Pada tahun itu, saya bekerja dengan Harakah. Atas semangat gabungan, kami turut berkempen membantu IPF. Terdapat banyak penyokong IPF di sekitar ladang-ladang di jalan sekitar Sungai Buloh hingga Kuala Selangor. Saya bersama seorang wartawan Harakah menaiki van dan pergi ke kawasan-kawasan itu. Kami menyerahkan poster-poster dan risalah kepada penyokong IPF menjelang PRU 1990.

Isu belenggu masyarakat India

Terakhir saya bertemu Samy Vellu adalah pada sekitar tahun 2006 di sebuah hotel di Sunway Putra. Wartawan kanan Utusan, G Manimaran yang mengatur untuk saya makan tengah hari bersama beliau. Turut hadir ialah pemimpin MIC yang lain dan juga Palanivel Govindasamy.

Saya kenal dengan Palanivel ketika beliau merupakan wartawan kanan Bernama. Kami sering membuat liputan bersama. Kami pernah menjadi ahli panel di TV3 mewawancara pengerusi SPR ketika itu, Rashid Abdul Rahman menjelang PRU tahun 2003. Palanivel adalah pengganti Samy Vellu sebagai presiden.

Samy Vellu

Menjelang tahun 2008, terdapat krisis di kalangan masyarakat India. Banyak ladang getah dan kelapa sawit telah dibersihkan untuk dibuat bandar dan taman perumahan khususnya di Selangor dan Negeri Sembilan. Estet-estet di Prang Besar umpamanya dibersihkan untuk dibangunkan Putrajaya.

Bukan saja banyak orang India kehilangan pekerjaan tetapi mereka kehilangan tempat tinggal. Kuarters-kuarters kolonial yang menjadi tempat tinggal turun temurun telah dirobohkan dan mereka sukar mencari ganti. Sementara banyak syarikat-syarikat ladang menganggap perkara itu bukan masalah mereka.

Isu kaum India termasuk juga mengenai pendidikan dan peluang pekerjaan. Tentunya mereka tidak dapat bersaing dengan kaum Bumiputera dan Cina. Selain itu berlaku masalah sosial seperti gangsterisme. Ditambah pula dipercayai adanya amalan korupsi di kalangan ahli politik.

Saya pernah mengikuti perbincangan di Gerak Budaya mengenai sejarah, perjuangan dan nasib para pekerja ladang yang dibawa oleh British ke Malaya.

Ekoran itu, sebahagian daripada mereka beralih perhatian kepada sejarah dan agama. Maka muncul Angkatan Hak-hak Hindu (Hindraf) dengan slogan ‘Makkal Shakti’ atau ‘Kuasa Rakyat’. Sasarannya bukan hanya kerajaan tetapi juga bekas penjajah dan untuk menuntut ganti rugi.

Kemuncaknya adalah apabila mereka mengadakan demonstrasi besar-besaran depan Pejabat Pesuruhjaya British di Jalan Ampang. Unit Simpanan Persekutuan (FRU) datang untuk menyuraikan himpunan.

Kebetulan masa itu saya berada di Ampang Point. Para penunjuk perasaan lari hingga ke Ampang Point untuk mengelak gas pemedih mata. Saya pun turut masuk ke sebuah bank yang ditutup oleh pengawal keselamatannya untuk mengelak para penunjuk perasaan masuk.

Namun, gerakan Hindraf ini telah mengubah politik Malaysia. Dengan undi mereka, BN khususnya MIC kehilangan banyak undi kepada PKR, DAP dan PAS khususnya di pantai barat Semenanjung. BN hilang majoriti dua pertiga. PKR, DAP dan PAS isytihar penubuhan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Anwar Ibrahim yang menguasai Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

Sejarah MIC

Samy Vellu kalah di Sungai Siput di tangan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj. PSM yang majoriti anggotanya adalah orang India bertanding atas tiket PKR. Pada masa itu PSM belum dapat didaftarkan.

Pada PRU tahun 2008 itu, selain Sungai Siput, PSM bertanding di kawasan DUN Kota Damansara dan Semenyih. Di Kota Damansara, presidennya, Dr Nasir Hashim bertanding. Pada satu malam kempen, saya mengunjungi kawasan itu. Kebanyakan tukang kempen adalah orang India. Namun saya terserempak seorang aktivis PAS yang saya kenali membantu mereka. Dr Nasir menang di situ.

Nasir Hashim

MIC ditubuhkan pada tahun 1946 dengan mengikut struktur Parti Kongres India. Berbanding dengan MCA yang ditubuhkan pada tahun 1949 dan dianggotai oleh bekas pejuang Parti Nasional China iaitu Kuomintang. Sementara parti Melayu pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang mengambil inspirasi daripada Parti Nasional Indonesia (PNI).

Presiden pertama MIC, John Thigvy pernah menyertai Tentera Nasional India (INA) pimpinan Subhas Chandra Bose bagi menentang British. Sementara salah seorang pengasas PKMM, Abdullah Thani mengambil sempena nama Bose dan memanggll dirinya Ahmad Boestamam.

Pengasas utama PKMM ialah Mokhtaruddin Lasso, seorang komunis dari Indonesia. Beliau mencadangkan supaya parti itu dinamakan Parti Sosialis Malaya tetapi ditolak perwakilan.

PKMM diketuai oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy. Pada tahun 1947, beliau menubuhkan gabungan pertubuhan Melayu kiri, Pusat Tenaga Rakyat (Putera). Gabungan ini bersekutu pula dengan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) pimpinan Tan Cheng Lock. Anggota AMCJA antara lain ialah Kesatuan Demokratik Malaya (MDU) dan MIC. Pakatan Putera-AMCJA ini mencadangkan Perlembagaan Rakyat yang ditolak oleh British.

Putera-AMCJA dibubarkan pada tahun 1948 apabila Darurat diisytiharkan. Pada tahun 1946, Umno ditubuhkan dan pada tahun 1952, Perikatan Umno-MCA-MIC diwujudkan bagi menghadapi pilihan raya tahun 1955.

Pada tahun 1974, Perikatan digantikan dengan BN yang menggabungkan lebih banyak parti. Selain MIC dalam BN, Parti Progresif Rakyat (PPP) adalah sebuah parti politik pelbagai kaum yang majoriti ahlinya adalah kaum India

Tetapi apabila BN kalah pilihan raya tahun 2018, semua parti tinggalkan gabungan itu kecuali Umno, MCA dan MIC. Maka BN kembali dalam bentuk sama seperti Perikatan.

Sebab itu, jika MIC keluar daripada BN, maka ia adalah bersejarah.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS