Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Sejak zaman persekolahan iaitu pada hujung era-90an, saya mengenali nama daerah-daerah di Sabah melalui dua cara. Pertama menonton jadual berbuka puasa dan imsak di televisyen, dan kedua ketika musim pilihan raya.

Waktu itu keluar nama-nama seperti Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Kota Belud, Tawau dan sebagainya walau tiada gambaran bagaimana rupa daerah-daerah tersebut.

Begitu juga ketika musim pilihan raya, diumumkan keputusan kawasan parlimen di negeri Sabah lebih awal. Mungkin kerana pusat pengundian ditutup lebih awal, tidak kurang terdapat sebilangan kerusi-kerusi yang parti pemerintah menang tanpa bertanding.

Waktu itu Sabah dianggap sebagai ‘fixed deposit’ untuk Barisan Nasional (BN) termasuk ketika bergelora ledakan Reformasi 1998 di Semenanjung, negeri Sabah dilihat menjadi penyelamat kepada BN.

Meniti tempoh ini, formula politik adalah tetap, parti-parti utama bernaung di bawah satu payung parti pemerintah. Cabaran kepada status quo lebih tertumpu kepada calon bebas yang berkemampuan mencipta kejutan menewaskan calon-calon dari parti pemerintah.

Selepas pilihan raya umum tahun 2018, formula politik ini telah berubah. Perubahan ini turut melibatkan negeri Sarawak apabila parti tempatan bertindak keluar BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Perubahan formula politik

Berbeza di Sabah, pasca 2018, masih wujud gabungan antara parti kebangsaan dan tempatan memimpin Sabah terutamanya melibatkan kerajaan campuran Warisan, PKR, DAP, dan Upko. Tradisi ini diteruskan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2020 yang bersama Perikatan Nasional (PN) dan lain-lain sebelum mengubah haluan menyokong Kerajaan Madani.

Formula politik Sabah sememangnya unik. Tidak seperti di Sarawak. Dalam masa sama figura dan parti utama yang bertanding pernah menang dan menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri hatta ada yang pernah menganggotai Jemaah Menteri Persekutuan. Dalam erti kata lain, Sabah mempunyai banyak pilihan.

Pilihan turut berdasarkan calon, tidak kepada parti semata-mata. Rekod perkhidmatan, keberanian suarakan isu akar umbi, program bermanfaat untuk rakyat setempat adalah kayu ukur penting untuk mereka dipilih.

Dalam dapatan IDE Research Centre bertarikh 7 November 2025, 66.5% pengundi memilih calon berbanding 33.5% memilih Parti Politik.

Dalam masa sama, formula gabungan politik sendiri bergerak berasaskan logik tersendiri, boleh jadi selari, boleh jadi terpisah dengan formula nasional. Lihat saja ketika GRS menjadi Kerajaan pasca Pilihan Raya Sabah 2020, walau di peringkat nasional GRS bersama PN dan BN, tetapi di Sabah mereka berseteru dengan BN.

Begitu juga pertembungan jelas antara PH dan Warisan dalam Pilihan Raya Sabah kali ini, walaupun di peringkat nasional Datuk Seri Shafie Apdal dan MP Warisan bersama dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim. Situasi sama kepada parti lain seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Justeru, mengurus kerencaman politik Sabah tak semudah makan roti gardenia. Sebaliknya politik Sabah adalah manifesasi jelas teori politik “tidak akan ada kawan dan lawan yang kekal”.

Isu kesejahteraan hidup

Perubahan kecenderungan formula ini ada perkaitan dengan strategi aktor-aktor politik dalam menuntut hak keperluan asas Sabah. Ini kerana umumnya bagi rakyat Sabah (termasuk menerusi dapatan kaji selidik), keutamaan adalah soal kesejahteraan hidup rakyat, bukan semata dasar perjuangan sesebuah parti.

Gangguan bekalan air dan elektrik, masalah jalan raya, infrastruktur, dan peningkatan kos sara hidup merupakan isu lokal tertinggi yang menjadi keperihatinan pengundi.

Dari sini kita perlu melihat demokrasi dari ruang lingkup yang lebih luas. Demokrasi atau pilihan raya bukan semata-mata tangga untuk orang politik naik ke puncak kuasa. Akan tetapi ia adalah alat untuk memastikan pemberdayaan rakyat diangkat.

Rakyat yang diberdaya dan punyai kedaulatan akan bebas untuk membuat pilihan tanpa terikat dengan pengaruh tidak wajar oleh mana-mana orang politik. Justeru, dalam memartabat kedaulatan rakyat Sabah ia harus menjangkau sentimen permusuhan politik yang keterlaluan. Maka dari situ demokrasi itu benar-benar berkesan kepada rakyat.

Kejujuran martabatkan hak rakyat

Dalam aspek ini penting untuk ditekuni tulisan Frantz Fanon Les Damnes de la Terre (The Wertch of The Earth). Walaupun buku ini berkisar tentang konteks penjajahan dan fasa awal pasca penjajahan, ia penting untuk diambil iktibar bagaimana sentimen keras yang dimainkan pemimpin dalam menyalahkan orang lain (penjajah) tetapi apabila diberikan mandat mengulangi kesalahan serupa yang dilakukan penjajah.

Kelompok ini yang Frantz Fanon gelar sebagai ‘the bourgeoisie’ yang bukan hanya menjarah kekayaan bumi demi kepentingan satu kelompok apabila mengambil alih negara dari penjajah tetapi juga bankrap idea dalam memacu ekonomi untuk memberdaya rakyat tempatan.

We have seen that the objective of the nationalist parties from a certain period onward is geared strictly along national lines. They mobilize the people with the slogan of independence, and anything else is left to the future. When these parties are questioned on their economic agenda for the nation or the regime they propose to establish they prove incapable of giving an answer because, in fact, they do not have a clue about the economy of their own country.”

Sarwa pandang mereka dalam memilik negara kekayaan hanya semata mengambil alih kekayaan dari penjajah luar secara literal, tidak melihat lebih luas bagaimana struktur ekonomi perlu kembali disusun untuk rakyat bawahan.

Yet the national bourgeoisie never stops calling for the nationalization of the economy and the commercial sector. In its thinking, to nationalize does not mean placing the entire economy at the service of the nation or satisfying all its requirements. To nationalize does not mean organizing the state on the basis of a new program of social relations. For the bourgeoisie, nationalization signifies very precisely the transfer into indigenous hands of privileges inherited from the colonial period.”

Frantz Fanon menyebut Senegal sebagai contoh di mana ‘the bourgeoisie’ ini tidak berkembang, bergantung sepenuhnya pada struktur kolonial Perancis, dan akhirnya memainkan peranan sebagai ‘wakil wilayah’ bagi kepentingan metropolitan.

Lebih parah kelompok elit politik lebih sibuk dengan simbol dan upacara kemerdekaan, membawa slogan pembebasan rakyat tetapi tidak membaiki struktur untuk memastikan rakyat mandiri.

Dalam pilihan raya negeri Sabah ke-17 pada 29 Nov ini, isu hak Sabah, Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963), kemudahan asas rakyat kembali menjadi topik dendangan hangat kesemua 596 calon yang bertanding.

Setelah lebih enam puluh tahun kita berkongsi sebuah negara Malaysia, meniti fasa-fasa perubahan formula politik, kita tidak lagi boleh terikat dengan sentimen permusuhan politik yang kosong yang diulang-ulang tanpa kejujuran untuk menyelesaikan isu tertunggak dalam Perjanjian 1963. Sebaliknya, track record parti-parti yang bertanding melunaskan komitmen Perjanjian 1963 penting untuk dijadikan perbandingan.

PRU dan fasa baru kedaulatan rakyat Sabah

Akhir sekali, PRN Sabah kali ini bakal membuka fasa baru yang lebih segar untuk pengundi Sabah. Ini kerana ia bergerak selari dengan tiga perkara yang penting.

Pertama ini adalah pilihan raya kali pertama untuk pengundi muda berusia 18 tahun sejak RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 melibatkan undi 18 diwartakan pada 15 Disember 2021. Justeru, ia membuka ruang lebih kepada rakyat khususnya anak muda untuk turun mengundi.

Kedua, PRU Sabah kali ini juga sebagai PRU kali pertama selepas Undang-Undang yang menghalang tindakan lompat parti apabila RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) diwartakan pada 25 Mei 2023. Maka, ia akan menjanjikan kestabilan politik Sabah pasca PRU berbeza dengan PRU sebelum ini yang dicemari dengan tindakan lompat parti.

Ketiga, PRU kali ini hadir ketika Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengabsahkan bahawa Sabah berhak terhadap 40% atau dua perlima daripada amaun yang hasil bersih yang didapati oleh Persekutuan dari Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C, 112D dan Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan. Ia memberi tekanan kepada semua parti untuk benar-benar melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada Sabah selama ini.

Keputusan pilihan raya ini akan meninggalkan satu kesan besar kepada kedaulatan rakyat Sabah.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ merupakan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS