Paling Popular
Terkini

KOLUM | Pada 26 Oktober 2025 Anwar telah ikat janji dengan Trump. Heboh. Apa sebenarnya yang telah dijanjikan oleh Anwar Ibrahim kepada Donald Trump hingga heboh satu Malaysia?

Di Parlimen heboh. Di kedai mamak heboh. Di warung tom yam heboh. Pelbagai cerita dan surah di`dengar. Hampir semua menuduh Anwar sudah menggadaikan negara kita ini kepada Zionis Amerika. Kasihan kita kepada Anwar.

Malah kalau mengikut wartawan tersohor Kadir Jasin, apa yang dilakukan oleh Anwar ini samalah seperti mengulang Perjanjian Pangkor 1874.

Jelas dan terang seperti lampu Penjara Sungai Buloh – semuanya dapat dilihat - tak ada banduan dapat menyorok. Ini yang menyebabkan Perdana Menteri Malaysia ini menggelabah.

Apabila kritikan sampai – apabila tuduhan didengar, maka Anwar mula menjawab. Setelah beberapa kali bersilat lidah - nafi itu dan nafi ini - maka tugas melawan arus telah dihempukkan ke atas kepala Tengku Zafrul.

Kasihan melihat Tengku Zafrul. Sosok ini dinobatkan untuk menjadi pendinding Anwar. Tengku Zafrul hanya seorang senator. Dia tidak dipilih oleh rakyat. Kini dia wajib menjadi penjawab terhadap semua kritikan dan sumpah seranah tentang perjanjian Anwar-Trump 2025 yang merebak di Internet.

Sumpah seranah warga Internet ini merebak dalam Tik Tok seperti hutan Australia terbakar pada musim panas. Satu dipadam satu yang baru muncul.

Silat lidah awal Tengku Zafrul ialah mengalihkan kritikan dan serangan. Serangan dari politikus, dari peguam dan dari warga Internet dianggap sebagai serangan ke atas pegawai kerajaan. Mengikut lidah Zafrul, perjanjian Anwar–Trump 2025 ini telah diusahakan oleh pegawai kerajaan terutama dari MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri).

Pegawai Kerajaan di bawah MITI telah berhempas pulas memerah otak – dari senja hingga ke subuh - untuk melakar perjanjian Anwar-Trump 2025 ini. Justeru mengikut Tengku Zafrul adalah kurang asam apabila para YB di parlimen dan pakar ekonomi menyelar perjanjian Anwar-Trump 2025 ini.

Hebat taktik ini. Anwar pakai Zafrul sebagai dinding. Zafrul pakai pegawai MITI sebagai perisai.

Gedebe MITI bengang

Sayangnya bunga silat Tengku Zafrul ini tidak disambut. Tidak ada siapa ambil pot. Media sosial dan Internet terus mempertikaikan kebijaksanaan Tengku Zafrul dan perjanjian Anwar-Trump 2025.

Malah terbocor pula berita bagaimana ada pegawai MITI yang amat kritikal terhadap perjanjian Anwar–Trump 2025 ini. Dari maklumat yang bocor, kritikan dan rasa tak puas hati ini datang dari sosok yang bukan kecil anak.

Mengikut maklumat yang bocor: Bekas Gedebe Besar MITI mengakui awalnya ada keterlibatan pegawai MITI. Mereka diarah dan dirujuk untuk buat kajian tetapi draf akhir perjanjian Anwar-Trump 2025 ini tidak dilihat kembali oleh para pegawai MITI.

Justeru para pegawai MITI naik bengang apabila Tengku Zafrul telah menggunakan mereka sebagai perisai. Apabila berita bekas Gedebe MITI naik bengang ini bocor maka Tengku Zafrul terus masuk ke tempayan beras untuk menikus.

Kawan saya seorang bekas pengkaji selidik di sebuah bank Malaysia dan juga pernah bertugas di Amerika sebagai penyelidik strategik telah menghubungi saya : “Sham what is going on.. Anwar selling this country....”

Sosok ini bukan kecik anak. Dia bukan penyokong PN atau Mahathir. Malah pernah bekerja dengan dua orang menteri kerajaan BN. Juga pernah menjadi bertugas di China – justeru Ali Baba dan Jack Ma itu bukan orang lain untuk dirinya.

“The Chinese will pull out.... no investment..,” katanya. Dalam hal pelaburan dan saham ini saya kurang arif. Justeru saya hanya mendengar dia meluahkan perasaan.

Saya juga berpeluang mendengar pandangan Rais Yatim – yang terlatih dalam bidang undang-undang. Bekas menteri ini menimbulkan persoalan apakah ada jalan keluar dari perjanjian Anwar-Trump 2025 ini?

Apabila perkara jalan keluar ini timbul maka Tengku Zafrul bersuara: “Kita ada exit plan. Semua fasal jika tak setuju ada jalan exit.”

Exit plan ini menjadi bahan lawak di media sosial. “... kalau dah tahu tak elok kenapa tanda tangan....” kata seorang Mamat di Tik Tok yang marah.

Perjanjian berat sebelah

Saya juga ada mendengar pandangan Zainur Zakaria. Sosok ini ialah peguam Anwar dalam Kes Liwat Pertama. Si Zainur ini menunjukkan perjanjian Anwar-Trump 2025 ini amat berat sebelah. Aduh! Berat macam mana?

Apa yang disuarakan oleh Zainur Zakaria itu sahih. Majoriti berpendapat pastilah Malaysia yang membawa beban berat dan Amerika hanya membelah.

Dari apa yang saya baca dan dengar ada 104 fasal dalam perjanjian Anwar-Trump 2025 ini di mana Malaysia diwajibkan menjadi Pak Sanggup. Manakala Amerika hanya jadi Pak Sanggup kepada 4 fasal.

Menjadi Pak Sanggup ini kalau di Jelebu semua bermula dengan anak dara sunti belum berkahwin tetapi sedang membawa perut. Emak dan ayah menjadi risau malu - anak gadis bunting tapi belum nikah. Lalu dicari jantan yang sanggup menjadi Pak Sanggup untuk berkahwin dengan sang gadis yang hamil.

Tetapi Malaysia tidak bunting. Kenapa Anwar mahu Malaysia jadi Pak Sanggup? Inilah perkara yang menjadi pelik lagi ajaib.

Saya juga terbaca tentang makanan halal dari Amerika. Bahan makanan dari Amerika boleh dibawa masuk ke Malaysia dengan tanda halal yang dicap di Amerika.

Fasal ini jelas akan mengetepikan peranan Jakim – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Jakim sebagai Pemegang Cap Mohor Halal Malaysia menjadi janda talak tiga.

Wow! Hebat Amerika ini. Tidak disangka-sangka rupa-rupanya di Amerika telah lama wujud JAKIA - Jabatan Kemajuan Islam Amerika. Amin.


Baca: Pensijilan halal luar negara termasuk AS, tertakluk sijil halal M'sia


Pada 30 Oktober 2025 – hanya empat hari sesudah perjanjian ditandatangan saya terbaca berita di The Merdeka Times: Beli LNG AS: ‘Perlu atau dipaksa, kenapa tak beli dari negara lebih murah?’

Tajuk berita yang amat garang.

Malaysia wajib beli gas asli cecair (LNG) dari Amerika bernilai RM9.69 bilion setahun dengan potensi tambahan RM6.46 bilion. Ini menimbulkan tanda tanya besar sama ada langkah itu benar-benar berasaskan keperluan tenaga negara atau hasil tekanan politik dan perdagangan antarabangsa.

Persoalan timbul apa akan jadi dengan Petronas yang juga ada mengeluarkan LNG. Apakah negara kita perlu dengan LNG ini? Kalau betul kita perlukan bahan ini pasti ada negara yang jual lebih murah seperti Qatar.

Apa sudah terjadi? Kenapa kita terus menjadi Pak Sanggup.

Kemudian Anwar bersetuju untuk membeli Boeing. Ini pesawat buatan Amerika. Awal dulu Najib ada berjanji dengan Trump untuk membeli pesawat ini. Kali ini Anwar telah memaksa Malaysia membeli bukan lima bukan sepuluh bukan tiga puluh, tetapi 60 buah pesawat Boeing.

Apa sudah terjadi? Kenapa kita terus menjadi Pak Sanggup?

Saya juga ada membaca bahawa Amerika juga berhak ke atas bahan mentah galian nadir bumi. Ini bahan strategik untuk teknologi moden. Jika Amerika mahu bahan ini maka kita wajib beri.

Dalam hal tanah dan galian ini dari apa yang saya tahu adalah hak bidang kuasa di tangan negeri bukan di tangan Kerajaan Persekutuan. Maka jelas perkara ini melanggar Perlembagaan negara kita.

Saya sedar Anwar hanya lulusan Pengajian Melayu tetapi pasti ada peguam dari Jabatan Peguam Negara yang boleh memberi pandangan dalam hal hukum hakam. Atau Peguam Negara juga telah menjadi Pak Sanggup kepada Anwar. Jika ini berlaku bermakna negara dalam bahaya – amat bahaya.

Kita juga diberi tahu perjanjian Anwar-Trump 2025 ini akan memastikan kita membeli bahan-bahan dari Amerika dulu sebelum mencari di tempat lain.

Beli barang ini bukan satu masalah besar tapi maha besar ialah Malaysia wajib mengikut dasar Amerika. Dasar apa? Sekiranya Amerika membuat sekatan ekonomi terhadap Sri Langka maka kita juga wajib ikut sama.

Apa sudah terjadi? Malaysia melalui perjanjian Anwar-Trump 2025 ini akan menjadi Pak Sanggup dan Pak Turut.

Pada ketika ini perjanjian Anwar- Trump 2025 ini masih dibincangkan di parlimen. Saya ingin bertanya apakah Parlimen kita wajib meluluskan perjanjian Anwar-Trump 2025 ini?

Pada hemat saya Parlimen Malaysia wajib membincangkan dan membuat keputusan menolak atau meluluskan perjanjian Anwar-Trump 2025 ini.

Perjanjian telah ditandatangani – rumah sudah siap tetapi pahat, tukul , parang, paku ,papan – sedang berbunyi. Bukan hanya berbunyi di Kuala Lumpur – dari apa yang saya baca ada pahat dan tukul sedang berbunyi di Bangkok dan di Jakarta.

Tukul apa di Bangkok dan di Jakarta berbunyi? Sila tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS