Paling Popular
Terkini

KOLUM | Dalam perayaan Sedekad Amanah yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, saya dijadualkan mendeklamasi puisi bersama iringan petikan gitar JoBranko.

Dia ialah bekas gitaris kumpulan Wings yang kini menubuhkan kumpulan Barbaric bersama rakannya, Mus.

Kira-kira seminggu sebelum perayaan itu, saya mengadakan sesi latihan bersama JoBranko di studionya di Medan Idaman, Gombak, yang pernah menjadi tempat Allahyarham Ahmad Lutfi Othman menerbitkan majalah, akhbar, dan buletin sewaktu tidak bersama Harakah.

Saya berasa gembira apabila JoBranko bersetuju mengiringi saya mendeklamasi puisi. Dia merupakan nama besar dalam industri hiburan tanah air dan mempunyai karisma tersendiri.

Jika penyair memiliki makna pada setiap baitnya, gitaris akan memetik tali gitarnya untuk menyuntik tenaga yang menggetar jiwa.

Bahasa muzik sangat subjektif, absurd tetapi sesuatu yang wujud.

Walaupun ada penyair mendeklamasi tanpa iringan muzik, secara peribadi saya lebih memilih untuk diiringi dengan bunyi-bunyian.

Apabila puisi saya menyebut “kita kepalkan tekad untuk menolak”, JoBranko mencadangkan kata-kata tersebut menarik kalau diiringi petikan gitar yang boleh memberi makna sama.

Muzik yang jadi mangsa

Seperti kata al-Farabi yang menulis Kitab al-Musiqa al-Kabir (The Great Book of Music), muzik memiliki kesan psikologi, moral dan sebagai sains rasional.

Bagaimana “kepal” diterjemah melalui muzik? Ia ada kaitan dengan kesan psikologi dan logik dalam.

Oleh sebab itu, hubungan antara pendeklamator dengan pemuzik mestilah seiringan dalam memahami keseluruhan makna puisi.

Penyair dan pemuzik mesti sama-sama menghayati sepenuhnya makna puisi dan bunyi. Ia bukan sekadar susunan kata-kata atau bunyi muzik (gitar) sebaliknya tenaga dalam jiwa.

Falsafah inilah yang kurang difahami atau dihayati oleh orang awam yang melihat muzik sekadar bunyi, manakala puisi hanya gugusan kata-kata.

Sewaktu muzik hampir dibunuh dalam era kebangkitan semula Islam pada 1970-an hingga 1980-an, tiada lagi kata-kata yang membela. Muzik menjadi mangsa era hitam putih itu.

Segala-gala yang dari Barat dan moden dihukum hitam dan sekular.

Anehnya mereka boleh menerima jika muzik itu datang dari gambus dan berbahasa Arab meski ia dinyanyikan oleh Umi Kalthum!

Puisi barangkali agak terselamat kecuali puisi seperti karya Kassim Ahmad dan Hamzah Fansuri.

Pertama kali saya membaca puisi di atas pentas politik ialah sewaktu perayaan menyambut ulang tahun 50 tahun Dewan Pemuda PAS di Hotel Nikko, Kuala Lumpur pada 2002.

Puisi itu bertajuk Salam Syair Perjuangan. Sejak itu, saya mulai diminta mendeklamasikan puisi dalam beberapa program parti.

Saya tidak pasti, sejak bila deklamasi puisi wujud dalam acara PAS. Mungkin deklamasi puisi berada di pentas politik ialah pada era reformasi melalui penampilan Dinsman.

Pemimpin yang minat puisi

Itupun acara selingan. Ada tidak menambah, tiada tak mengurang. Namun penampilan Dinsman adalah modal politik besar kepada PAS ketika itu.

Apabila penyertaan ramai seniman dengan perjuangan reformasi, sebagai sebuah parti politik, Pas menyediakan pentas kepada mereka.

Peringkat awal, mereka diminta berceramah sedangkan kekuatan mereka ialah sebagai pelakon, penyanyi, pemuzik dan sebagainya. Sebahagian daripada mereka akhirnya menjadi penceramah.

Akhirnya terkikislah bakat yang ada mereka.

Puisi dengan perjuangan politik khususnya PAS mempunyai sejarah. Bekas Timbalan Yang Dipertua PAS, Zulkifli Muhamad juga seorang penyair. Dia menulis puisi bagi menyanggah puisi Sidang Roh karya Kassim Ahmad.

Bekas Yang Dipertua Pas, Mohd Asri Muda, juga seorang sasterawan yang meminati puisi.

Pada 1950-an hingga 1970-an, deklamasi puisi merupakan acara penting dalam kokurikulum madrasah atau sekolah agama rakyat terutama sewaktu majlis ihtifal madrasah.

Ada pertandingan antara madrasah sama ada di peringkat daerah dan juga negeri. Ia bersekali dengan acara pertandingan syarahan atau pidato.

Ketika itu, pengaruh PAS banyak di madrasah. Sebahagiannya menjadi medan latihan kepada bakal pimpinan parti selepas mereka menamatkan pengajian.

Begitu juga halnya dengan puisi dan Umno. Dr Mahathir Mohamad pada 1996 menghasilkan puisi Perjuangan Yang Belum Selesai dan membacanya ketika hendak meletak jawatan pada 2002.

Pada 2004 pula, Abdullah Ahmad Badawi membaca puisi tulisannya yang berjudul Kucari Damai Abadi. Ia kemudian dinyanyikan oleh Ramli Sarip.

Seperti Mahathir, Abdullah juga lebih menekankan isi puisi daripada gaya membaca puisi. Meski dibaca secara biasa, maknanya memberi kesan mendalam kepada ahli parti.

Pada 2002, Salahuddin Ayub dalam mesyuarat bulanan Amanah Nasional meminta saya mendeklamasikan puisi di IDCC Shah Alam sempena konvensyen khas parti. Saya bersetuju bukan kerana minat mendeklamasikan puisi atau menurut perintah pimpinan.

Shahnon Ahmad

Ada pesanan khas yang hendak saya disampaikan. Saya pilih puisi bertajuk Sumpahku yang mempunyai 45 patah kata sahaja.

Lazimnya, orang awam tiada stamina untuk mendengar puisi yang panjang dan pada masa yang sama menuntut berfikir. Berfikir adalah satu pekerjaan sukar. Apatah lagi menulis puisi.

Shahnon Ahmad dalam bukunya Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan (1992), menyatakan: “[…] kerana proses penghasilan karya ini adalah satu proses yang pedih lagi banyak liku-likunya.”

Oleh kerana itu dalam politik, lebih ramai suka menghukum, membodek, mencela dan memfitnah dengan kata-kata yang hodoh berbanding membina keindahan dan kedamaian.

Sebelum saya mulakan deklamasi di IDCC itu, saya nyatakan kepada sidang hadirin bahawa deklamasi puisi itu bukan satu persembahan. Ia adalah satu pendirian yang tetapi dinyatakan dalam bentuk puisi.

Puisi adalah rantaian kata yang indah tetapi memberi makna yang mendalam. Ia bukan hiburan atau selingan masa senggang. Fahamkanlah, wahai kawan.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS