Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Meninggalkan trauma 60 tahun pemisahan

Pada Sabtu lalu, 6 Disember, seorang jurutera memanjangkan pada saya satu berita dari Singapura mengenai pembatalan pendaftaran 14 buah parti politik kerana tidak aktif.

Kemudian jurutera itu memanjangkan satu lagi berita dari Berita Mediacorp mengenai Perpustakaan Negara Singapura mengadakan pameran Fail Albatross, iaitu nama kod dokumen-dokumen rahsia berkaitan pemisahan Singapura daripada Malaysia. 

Sempena ulang tahun ke-60 peristiwa itu, dokumen-dokumen tersebut dibatalkan kerahsiaannya.

Berita Mediacorp juga menayangkan wawancaranya dengan waris Othman Wok yang disifatkannya sebagai pengasas bersama Republik Singapura bersama Lee Kuan Yew. 

Lee Kuan Yew menangis susulan pemisahan Singapura dari Malaysia

Semasa pelancaran pameran itu, menteri senior, iaitu anaknya, Lee Hsien Loong menyampaikan ucapan dengan menceritakan detik-detik bapanya mengetahui keputusan Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura daripada Malaysia. 

Ketika itu keluarga mereka sedang bercuti di Cameron Highlands.

Ada pemerhati mengulas bahawa peristiwa ini memberi gambaran berbeza daripada naratif yang ada. Selama ini apa yang diketahui ialah Singapura dikeluarkan daripada Malaysia–kick out, ditendang keluar.

Tetapi dari Fail Albatross itu, dapat difahami bahawa proses pemisahan ini berlaku kerana Singapura sendiri yang berusaha untuk keluar. Maknanya bukan dikeluarkan tetapi sememangnya Singapura mencari pasal untuk keluar.

Sebelum itu pada 4 Disember, pemimpin Singapura dan Malaysia mengadakan pemukiman tahunan ke-12. Ia dihadiri oleh kedua-dua perdana menteri, Anwar Ibrahim dan Lawrence Wong. Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang juga merupakan setiausaha agung DAP turut serta.

Anwar dan Lawrence—perdana menteri dua negara

DAP adalah parti yang ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) Cawangan Malaysia. Namun begitu, logo DAP mempunyai latar reka bentuk yang sama dengan PAP dan Barisan Sosialis.

Barisan Sosialis adalah salah satu daripada 14 buah parti yang dibatalkan pendaftarannya. 

Parti-parti lain ialah Parti Perikatan Singapura, Parti Nasional Singapura, Parti Rakyat, Singapore State Division, Parti Kesatuan Rakyat (United Democratic Party), Barisan Rakyat, Parti Demokratik Liberal Rakyat, Parti Republik Rakyat, Persatuan Melayu Singapura, Parti Cina Singapura, Kongres India Singapura, Barisan Nasional Bersatu (United National Front) dan Parti Rakyat Bersatu.

Trauma pemisahan

Saya hairan juga dengan berita ini. Saya sangka semua parti politik ini sudah lama dibatalkan pendaftarannya kerana mereka sudah lama tidak aktif. Umumnya parti-parti ini ditubuhkan lebih 60 tahun lalu ketika Singapura baru hendak merdeka daripada British.

Saya beranggapan kemungkinannya Singapura sedang membersihkan fail-fail lama sempena 60 tahun penubuhan republik. Ia seolah-olah hendak move on (jalan terus) dan meninggalkan trauma kolektif yang diakibatkan oleh pemisahan pulau itu daripada Malaysia.

Jurutera yang memanjangkan berita itu pada saya lahir pada tahun 1975, maknanya 10 tahun selepas pemisahan itu. Beliau lahir di Johor dan belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dan sering pergi ke pulau itu semasa menjadi pelajar. 

Maknanya sungguhpun beliau tidak ada lagi semasa pemisahan itu, beliau mempunyai rasa ingin tahu tentang peristiwa bersejarah itu. Bagi saya pemisahan itu mendatangkan trauma kolektif bukan sahaja pada rakyat Singapura tetapi juga Malaysia terutamanya penduduk Johor dari generasi ke generasi.

Bagi saya Malaysia yang ada hari ini terbentuk dalam keadaan yang bermula dari pemisahan itu. Bagi Malaya detik-detik bersejarah yang membentuk negara ini ialah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, kemerdekaan pada tahun 1957, penubuhan Malaysia pada tahun 1963 dan pemisahan dengan Singapura pada tahun 1965. 

Tunku bukan sahaja Bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia tetapi juga “bapa pemisahan.” Andai kata Singapura terus berada dalam Malaysia seperti tujuan asal penubuhan, maka keadaan negara menjadi amat berbeza.

Saya sendiri adalah anak Malaya kerana lahir sebelum penubuhan Malaysia. Pertama kali saya pergi ke Singapura ialah pada tahun 1965 sebelum pemisahan. Saya mengunjungi bapa saudara di Woodlands. Saya mengikuti bapa saya menaiki bas melalui tambak Johor tanpa imigresen dan kastam.

Bas ke Singapura pada 60-an, ilustrasi AI, gambar hiasan

Oleh kerana saya membesar di Batu Pahat, Johor hingga tahun 1974, saya seperti kebanyakan penduduk Johor lebih banyak mendengar Radio Singapura daripada Radio Malaysia. Program-program Melayu mereka ketika itu dirasakan lebih bermutu daripada siaran Kuala Lumpur.

Pada tahun 1970, ketika saya berada di darjah lima, saya terjumpa di rumah datuk saya sebuah buku ucapan Lee Kuan Yew dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Singapura pada tahun 1962. Buku itu menghujahkan kelebihan Singapura dan Malaya bercantum.

Ciri kehidupan, sistem kewangan sama

Satu lagi ciri-ciri kehidupan Malaysia, Singapura dan Brunei ketika itu ialah ketiga-tiga menggunakan sistem kewangan yang sama. Mata wang ringgit Malaysia, dolar Singapura dan ringgit Brunei di ketiga-tiga negara boleh digunakan di semua wilayah itu pada nilai yang sama.

Pada tahun 1970, Malaysia dan Singapura masih berkongsi satu syarikat penerbangan iaitu Malaysia-Singapore Airlines (MSA), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih ada di Woodlands, Singapura.

Pada tahun 1974, ketika di tingkatan tiga, saya faham mengenai pemisahan ini dari buku From Malayan Independence to Separation of Singapore (Dari Kemerdekaan Malaya ke Pemisahan Singapura) oleh Dr Noordin Sopee. Beliau adalah Ketua Editor The New Straits Times pertama, iaitu setelah pemisahan daripada The Straits Times Singapura.

Tetapi hanya pada tahun 1976, saya pertama kali dapat pergi ke Republik Singapura bersama sahabat baik saya, Raymond selepas berakhir peperiksaan MCE. Kami naik kereta api dari stesen Kuala Lumpur ke stesen Tanjong Pagar Singapura.

Kami pergi ke kedai buku MPH dan saya baca keseluruhan buku Malay Dilemma tulisan Dr Mahathir Mohamad. Ketika itu buku itu masih diharamkan oleh kerajaan walaupun Dr Mahathir adalah timbalan perdana menteri.

Ketika itu pilihan raya umum sedang berlangsung dan saya turut menonton ceramah calon Barisan Sosialis, parti pembangkang utama republik itu. Kawan saya menerjemahkan ceramah itu pada saya.

Barisan Sosialis adalah pecahan dari PAP. Ia asalnya sayap kiri PAP. Logonya adalah serupa dengan PAP tetapi petir digantikan dengan bintang merah berbucu lima. Kebanyakan pucuk pimpinannya ditangkap oleh Lee Kuan Yew semasa operasi Cold Store dan ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertahun-tahun lamanya tanpa bicara. Tentulah Barisan Sosialis kecundang.

Turut ditahan begitu lama ialah Said Zahari, ketua Parti Rakyat Singapura. Parti Rakyat ini asalnya cawangan Parti Rakyat pimpinan Ahmad Boestamam. Parti Rakyat Singapura lumpuh sebelum sempat bergerak.

Barisan Sosialis dan Parti Rakyat Singapura adalah antara 14 parti yang dibatalkan pendaftaran itu. Parti lain yang boleh dikenali dari senarai itu ialah Parti Perikatan Singapura, Persatuan Melayu Singapura (PMS), Parti Cina Singapura, Kongres India Singapura.

Parti Perikatan Singapura atau Alliance Party of Singapura adalah cawangan Parti Perikatan Malaya. Ia dianggotai oleh Umno Singapura, MCA Singapura dan MIC Singapura. Pada tahun 1967, Umno menukar namanya kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) dan pada tahun 2001, ia menyertai gabungan Perikatan Demokratik Singapura (SDA). MCA Singapura sudah bertukar nama kepada Parti Cina Singapura. MIC Singapura jadi Kongres India Singapura.

PAS Singapura wujud ketika pemisahan

Sebenarnya PAS Singapura juga wujud ketika pemisahan. Ia bertukar nama kepada Angkatan Islam Singapura (AIS). Pada tahun 1980-an, PKMS menjadi tamu pada Perhimpunan Agung Umno sementara AIS turut diundang ke majlis pembukaan Muktamar Tahunan PAS.

Dalam senarai 14 parti politik itu ada Persatuan Melayu Singapura (PMS). Persatuan ini merupakan pemegang saham terbesar syarikat Utusan Melayu sejak ditubuhkan pada tahun 1938 dan memilikinya sehinggalah ia dibeli oleh Umno pada tahun 1955. PMS juga mewakili orang Melayu dalam Kongres Melayu yang menubuhkan Umno pada tahun 1946.

Walaupun Barisan Sosialis adalah pecahan daripada PAP, tetapi ia berupa bayang-bayang pada parti Socialist Front di Malaya. Socialist Front yang namanya juga bermaksud Barisan Sosialis ditubuhkan lebih awal tetapi ia merupakan gabungan yang terdiri daripada Parti Buruh, Parti Rakyat dan Parti Konvensyen Kebangsaan.

Dengan pembatalan pendaftaran 14 parti politik itu, serta pembukaan Fail Albatross, maka Republik Singapura menutup lembaran trauma pemisahan 60 tahun lalu. Maka sewajarnya arkib membuka dokumen di pihak Malaysia mengenai detik-detik pemisahan itu. Selepas itu generasi lalu dan hari ini boleh tinggalkan trauma pemisahan dan berjalan terus untuk kemajuan kedua negara. Tiada guna meratap nasi yang sudah menjadi bubur.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS