KOLUM | Tulisan ini di garap pada 9 Disember 2025 ketika agensi berita AFP telah melaporkan Konflik sempadan Siam-Kemboja: Angka korban orang awam Kemboja meningkat kepada enam. Pertempuran berlaku semula di sepanjang sempadan Kemboja–Siam, menurut Kementerian Pertahanan di Phnom Penh, hari ini.
Perjanjian Damai Siam-Kemboja baru sahaja di tandatangani - belum sampai dua bulan - oleh Perdana Menteri Siam dengan Perdana Menteri Kemboja pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.
Presiden Trump menjadi Orang Tengah. Manakala Anwar bin Ibrahim menjadi Pak Pacak Tukang Tengok.
Dari segi optik dan dari segi propaganda memang hu ha hu ha di Kuala Lumpur amat berjaya. Tiga pemimpin Asean tersengih berdiri mengelilingi Presiden Amerika. Ini bukan selalu berlaku.

Untuk Presiden Trump ini pucuk di cita satu tong wiski yang datang. Trump sedang mengumpul Penunjuk Prestasi Utama dengan harapan akan dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan 2026.
Untuk Anwar bin Ibrahim pula ini adalah optik yang dilakar khusus untuk Mak Cik dan Pak Cik Felda. Mak Cik dan Pak Cik akan terpegun terbeliak mata melihat kehebatan sosok yang bernama Anwar bin Ibrahim.
Datuk Seri Anwar bin Ibrahim Perdana Menteri Malaysia bertaraf dunia.
Bayangkan Anwar bin Ibrahim bergambar bersama pembekal senjata Israel...opps.. maaf... bergambar bersama Presiden Amerika Syarikat. Optik ini pasti akan membawa durian runtuh kepada Anwar bin Ibrahim pada PRU16 yang akan datang.
Perlekeh bekas jeneral Siam
Kalau di zaman Tunku - wayang pacak dari Malayan Filem Unit akan masuk ke kampung-kampung menayangkan babak Anwar, Trump ini. Sekarang kerja ini telah diambil alih oleh RTM dan TV3. Saya sendiri yang tidak memiliki TV ternampak juga berita Trump dengan Anwar bin Ibrahim ini dari kaca TV di warung Tom Yam di Brickfeilds.
Muhyidin, Hamzah, Haji Hadi atau Takiyuddin nak tercium bau kentut Trump pun tak akan dapat. Inilah hebatnya sosok yang bernama Anwar bin Ibrahim. Kentut Trump pun dia pernah hidu.
Tiba-tiba - sepuluh hari kemudian pada 6 November 2025 Berita Harian telah melaporkan: Kementerian Luar membidas video berbahasa Siam yang tular menuduh Perdana Menteri, Anwar bin Ibrahim sebagai pengintip Amerika Syarikat dan pengkhianat susulan peranannya dalam rundingan damai antara Kemboja dan Siam.
Berita dari Bangkok ini menular dan merebak. Kemarahan Siam ini dimulakan oleh seorang bekas jeneral Rangsi Kitiyanasap. Bekas jeneral ini menuduh Anwar bin Ibrahim secara licik telah menipu Perdana Menteri Siam untuk berdamai dengan Kemboja.
Anwar bin Ibrahim sebagai jawapan seperti biasa memperlekehkan jeneral Siam ini sebagai politikus gagal: bertanding berkali-kali tapi tak pernah menang malah hilang deposit. Kah kah kah.
Tuduhan jeneral Siam ini terhadap Anwar bin Ibrahim hanya dilapor oleh media Malaysia sekali lalu. Tetapi di Siam ini menjadi perbualan nasional. Bukan hanya heboh di Bangkok malah cerita Anwar bin Ibrahim berjaya mengelentong PM Siam meledak dalam media sosial.
Sang Jeneral yang mengikut Anwar Ibrahim tidak pernah menang bertanding ini adalah bekas pengarah stesen TV Siam. Dengan pengalaman media sang jeneral ini menjadikan isu ini agenda kedaulatan negara.
Berita dari Bangkok mula melaporkan bahawa kedaulatan negara Siam tergadai bila mana Perjanjian Damai ini di tanda tangani. Kemudian timbul pula berita yang melaporkan perjanjian ini juga merosak ekonomi Siam.
Tidak cukup dengan ini berita dari media sosial melaporkan bahawa Perjanjian Damai ini juga membolehkan Amerika merampok nadir bumi Siam. Benar atau tidak maklumat ini kita tidak tahu kerana tidak ada dipaparkan kepada umum fasal dan incian Perjanjian Damai Siam-Kemboja ini.
Isu Perjanjian Damai ini hanya reda dan di tenggelamkan di Malaysia. Warga Malaysia tidak tahu menahu apa yang sedang berlaku di Siam. Panas bahang putar alam yang telah di lakukan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar bin Ibrahim tidak menjadi berita hangat di Kuala Lumpur.
Tiba-tiba pada 21 November 2025 akhbar harian Bangkok Post melapor ratusan warga Siam telah turun berdemo di Bangkok. Sasaran mereka ialah Pejabat Duta Besar Malaysia di Bangkok.
Bila saya terbaca ini maka saya terus teringat bagaimana setiap kali kami berdemonstrasi menyokong Palestin maka Pejabat Duta Amerika di Jalan Tun Razak akan kami jadikan sasaran.
Kami membawa kain rentang dan sepanduk mengutuk Israel dan Amerika. Kami membawa gambar dimana muka Netanyahu dan Trump yang telah di hodohkah. Bendera Israel dan Amerika akan dipijak-pijak dan ada kala dibakar.
Kali ini apa yang selalu kami buat di Kuala Lumpur telah berlaku di Bangkok. Bezanya di Kuala Lumpur Pejabat Duta Amerika jadi sasaran. Di Bangkok yang menjadi sasaran ialah Pejabat Duta Malaysia.
Muka Netanyahu telah di ganti dengan muka Anwar bin Ibrahim. Muka Trump masih ada disebelah muka Netanyahu...opps... di sebelah muka Anwar bin Ibrahim. Bendera Malaysia di arak dan di momok-momokkan.
Ini kutipan laporan Bangkok Post:
“Ya, satu demonstrasi telah berlaku di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok baru-baru ini, pada hari Sabtu, 22 November 2025.”
“Penunjuk perasaan berkumpul untuk menuntut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi Asean untuk menghentikan apa yang mereka anggap sebagai campur tangan dalam kedaulatan Thailand berhubung isu sempadan Thailand-Kemboja.”
“Protes itu diadakan selepas perdana menteri Thailand dan Kemboja menandatangani deklarasi di Kuala Lumpur, yang sebahagian daripadanya melibatkan kerjasama dalam membersihkan periuk api.”
Laporan media tempatan mengesahkan perhimpunan tersebut, di mana penunjuk perasaan menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan negara Thailand.
Wow! Jelas pandangan bekas jeneral Rangsi amat menyengat. Pengaruh bekas jeneral ini masih hebat. Anwar bin Ibrahim yang memperlekehkan bekas jeneral ini silap besar. Beribu turun berdemontrasi mempertahankan hal kedaulatan Siam.
Bekas jeneral Rangsi yang telah melabel Anwar bin Ibrahim menggunakan situasi perjanjian tersebut untuk angkat diri Anwar sendiri semakin terbukti benar.
Kini media di Siam telah mula membincangkan bagaimana dalam Perjanjian Damai ini ada juga di selitkan fasal-fasal lain yang bersangkutan dengan ekonomi.
Jeneral Rangsi naik bengang bila dia membaca secara terperinci isi dan butir perjanjian ini. Dalam perjanjian ini ada fasal yang membenarkan Amerika Syarikat memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.
Rangsi turut menyatakan perjanjian damai itu menggabungkan elemen cukai dagangan dan nadir bumi (REE) yang dianggap boleh memudaratkan ekonomi Thailand.
Rangsi mendakwq perjanjian itu akan menyebabkan negaranya hilang hak nadir bumi yang dianggarkan 'bernilai 40 hingga 50 trilion baht'.
Jelas lagi terang bahawa projek Perjanjian Damai ini adalah projek yang digunakan oleh Anwar bin Ibrahim sebagai umpan untuk memikat Donald Trump singgah ke Kuala Lumpur.
Anwar bin Ibrahim tahu bahawa Trump mahu dirinya di lihat sebagai Presiden Pembawa Damai. Telah beberapa kali Trump klim yang dia telah berjaya mendamai perbalahan beberapa negara.

Portal BBC pada 16 Oktober 2025 telah melaporkan: Presiden Trump telah mendakwa bahawa beliau telah "menamatkan 8 peperangan dalam masa 8 bulan sahaja" dalam satu catatan media sosial dengan tajuk "presiden keamanan".
Penambahan terbarunya dalam senarai peperangannya "berakhir" ialah konflik dua tahun antara Israel dan Hamas.
Tujuh lagi antara Israel dan Iran, Pakistan dan India, Rwanda dan Republik Demokratik Congo, Thailand dan Kemboja, Armenia dan Azerbaijan, Mesir dan Ethiopia, serta Serbia dan Kosovo.
Anwar bin Ibrahim memang bijak dan licik. Dia memasang tajur untuk memancing Trump singgah ke Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Tokyo dan Seoul.
Apa yang jelas hari ini ialah Perjanjian Damai Siam-Kemboja itu telah terbarai. Pertempuran dan tembak menembak di wilayah sempadan Siam-Kemboja terus berjalan.
Malah dari laporan stesen TV Al-Jazeera ribuan warga telah di pindahkan. Sebanyak 500 buah sekolah di Kemboja yang berhampiran dengan kawasan sempadan telah di tutup.
Kemarahan bekas jeneral Rangsi dilihat mendapat sokongan tentera. Justeru perang di teruskan.
Bila bekas jeneral Siam ini menimbulkan agenda Kedaulatan Siam maka saya tidak dapat tidak akan menyamakan apa yang sedang berlaku di Siam sedang juga berlaku di Malaysia.
Pada 5 Disember 2025 tersebar berita kenyataan daripada jeneral bersara Tan Seri Burhan Ahmad. Sosok ini ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
Di Siam jeneral Rangsi menimbulkan hal kedaulatan negara. Jeneral Burhan di Malaysia juga menimbulkan perkara yang sama. Kenyataan jeneral Burhan Ahmad bekas panglima ini bersangkutan dengan Perjanjian Anwar-Trump 2025.
Wah!!! Dua-dua jeneral memiliki pandangan yang sama. Ini tanda mereka jeneral yang hebat. Apa lagi yang di timbulkan oleh Jeneral Burhan Ahmad? Sila tunggu minggu hadapan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
