Paling Popular
Terkini

Pada Sabtu, 22 November 2025, akhbar Bangkok Post melaporkan bahawa Pejabat Duta Besar Malaysia di Bangkok diserang oleh penunjuk perasaan warga Siam. 

Terdahulu jeneral A Rangsi Kitiyansap, yang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai "pengintip" (sai suek) dan "musuh dalam selimut" yang bertindak sebagai "boneka" Amerika Syarikat (AS) dalam Asean. 

Mengikut Rangsi, kerajaan Siam dipaksa berdamai dengan Kemboja. Anwar melakukan ini untuk menaikkan taraf dirinya sebagai pemain politik antarabangsa. 

Ini tuduhan dari bekas jeneral dari Bangkok. Bukan tuduhan Hishamuddin Rais. 

Berita demo di Bangkok ini muncul sekejap, kemudian hilang begitu saja di Malaysia. Peluru kemarahan bekas jeneral Siam kepada Anwar kini diarahkan kepada Kemboja. Bentrokan di sempadan diteruskan untuk membuktikan bahawa tentera Siam tidak ikut telunjuk Anwar. Dan tidak ambil pot apa kata Donald Trump. 

Tiba-tiba, beberapa hari kemudian, di Malaysia, perkara yang sama berlaku seperti di Siam. Di Siam jeneral marah. Di Kuala Lumpur pun beberapa jeneral bersara juga naik minyak. Mereka kecewa dan marah apabila mengetahui isi kandungan perjanjian Anwar-Trump yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025.

Di Siam, suara jeneral atau suara bekas jeneral itu sering didengar dalam media. Di Siam, tentera terlibat secara langsung dalam tadbir urus negara. Malah tentera Siam berkali-kali melakukan rampasan kuasa. Negara Siam sering ditadbir oleh tentera. 

Askar dan politik bukan satu yang ganjil di Siam.

Tapi di Malaysia, askar, soldadu atau tentera terlibat dalam hal ehwal politik negara tidak pernah berlaku. Malah suara jeneral yang bersara juga amat jarang kedengaran. 

Tetapi kali ini bekas jeneral bersuara di Kuala Lumpur. Suara itu bukan persatuan bekas tentera atau veteran. 

Untuk pertama kalinya seorang bekas jeneral bersuara dan memberi pendapat tentang duduk perkara politik negara. Dalam bahasa Gen Z, ini rare. Saya ulang – ini amat-amat rare. Malah bukan jarang berlaku tapi tidak pernah berlaku di Malaysia. 

Dalam sistem demokrasi raja berperlembagaan semenjak 1957, garis pemisah kuasa jelas dan tidak pernah diganggu gugat. Tentera Malaysia duduk di berek hanya keluar apabila mendapat arahan. Tentera di Malaysia tidak pernah mencampuri urusan politik pentadbiran negara.

Saya ulang: tentera di Malaysia tidak pernah mencampuri urusan politik negara.

Telur telah pecah

Justeru apabila bekas jeneral bersara Borhan Ahmad bersuara, ini membawa impak yang amat besar. Telur telah pecah. Pinggan bukan retak tapi dah terbarai. 

Ini kali pertama suara seorang jeneral didengar mencampuri politik negara. Ini hanya berlaku dalam kerajaan Madani Anwar. 

Pernah satu ketika dahulu di zaman Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969, jeneral dijemput sama untuk mentadbir negara. Ini kerana parlimen digantung sesudah babak Mei 13.

Sosok soldadu selepas Mei 13 yang pertama bersuara kali ini bukan kecil anak. Borhan ialah bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia. Dia sosok tertinggi dalam sistem ketenteraan Malaysia. Tidak ada lagi sosok yang lebih tinggi dari panglima Angkatan Tentera Malaysia. 

Panglima Angkatan Tentera Malaysia hanya mengikut arahan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 5 Disember 2025, portal Malaysiakini melaporkan sidang akhbar Borhan. Borhan bersama beberapa orang lagi bekas pegawai tentera menyuarakan bantahan terhadap perjanjian Anwar-Trump 2025. 

Bekas panglima ini dengan jelas menyatakan kebimbangan bahawa Perjanjian Anwar-Trump ini menjejaskan kedaulatan Malaysia dalam situasi yang dianggap seperti “penjajahan semula”. 

Duduk sama sebaris di sidang akhbar itu ialah bekas perdana menteri Mahathir Mohamad. Bekas panglima ATM Borhan Ahmad berkata, veteran bersedia menghadap Majlis Raja-raja bagi membangkitkan kebimbangan terhadap Perjanjian Anwar-Trump ini. 

Bila bekas panglima ATM bersuara, ini membawa makna yang amat mendalam. Ini bukan suara politikus, ini bukan suara kumpulan NGO. Ini suara barisan hadapan yang mempertahankan negara kita. 

Bekas panglima ATM ini merasa kedaulatan negara tergugat. Bekas jeneral ini berpendapat bahawa Malaysia kini menjadi dalam bahaya. 

Media kita hanya melaporkan inti pati kata-kata Borhan. Warga wajib meneliti rapi apa kata-kata bekas panglima ATM ini. 

Sosok ini bukan berkempen untuk menjadi ketua bahagian, bukan berkempen untuk mencari undi agar dapat ke parlimen. Sosok ini bersuara untuk melahirkan kebimbangan terhadap apa yang berlaku hasil perjanjian Anwar-Trump ini.

Bekas panglima ATM bersuara bagi pihak veteran Angkatan Tentera Malaysia. Dia amat risau dengan cara kerajaan mengurus hubungan dengan Amerika Syarikat, terutamanya berkaitan perjanjian perdagangan terbaru yang ditandatangani semasa lawatan Trump ke Persidangan Asean di Kuala Lumpur. 

Slogan asal Tun Razak

Mengikut pandangan bekas panglima ATM ini, Malaysia dalam Asean wajib menjadi Zon Aman dan Berkecuali (Zopfan). Ini adalah laungan dan slogan asal Abdul Razak yang memulakan Asean pada 8 Ogos 1967. Ketika ini zaman Perang Dingin. 

Dasar berkecuali ini menjadi pedoman dasar luar negara kita. Kita bukan boneka Amerika dan bukan boneka blok Soviet.

Sebagai negara anggota Asean, kita juga menegaskan prinsip “tidak campur tangan” dalam urusan dalaman negara anggota lain di rantau ini. 

Pada hemat bekas panglima ini, Malaysia wajib terus kekal berkecuali dalam semua bentuk dan keadaan, serta tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar atau kuasa serantau. 

Ha, ha, ha! Bila sampai ke bab Perjanjian Anwar-Trump ini, sang panglima berpendapat bahawa Anwar menyerahkan kedaulatan dan integriti negara kepada kuasa asing. Ini tidak mencerminkan imej sebuah negara bangsa yang merdeka. 

Suara sang panglima makin keras bila dia mula bertanya: Apakah kini kita sedang diperhambakan, dijajah semula, atau diperas ugut untuk menerima perjanjian yang berat sebelah ini?

Perkataan “peras ugut” ini keluar dari kenyataan akhbar bekas panglima ATM. Ini selari dengan apa yang disuarakan oleh jeneral Siam di Bangkok. 

Jeneral Siam menuduh Anwar sai suek Amerika. Jelas mengikut bekas panglima ATM ini, Anwar diugut oleh Amerika. Apa modal Amerika memeras dan mengugut perdana menteri Malaysia, tiada siapa yang tahu. 

Sang panglima bertanya: Kenapa Anwar tunduk kepada ancaman sekatan dan kenaikan “tarif”, jika kita tidak bersetuju dengan peraturan perdagangan yang tidak munasabah ini? 

LNG - contoh paling gila

Contoh paling jelas atau paling gila dalam perjanjian ini ialah Malaysia wajib membeli gas LNG (gas cecair) dari Amerika. Walhal kita pengeluar gas LNG. Bukan saja kita ada gas LNG, kita juga mengeksport gas LNG ke Jepun. 

Data menunjukkan Malaysia ialah pembekal gas LNG utama kepada Jepun, secara konsisten menduduki tempat sebagai pengeksport utama. 

Data terkini menunjukkan Jepun menerima bahagian terbesar gas LNG Malaysia, sekitar 10.8 hingga 11.5 juta tan setiap tahun pada awal 2020-an. Sebagai contoh, pada 2022, Malaysia mengeksport 12 juta tan LNG ke Jepun, menjadikannya pembekal kedua terbesar. 

Pasal apa Anwar buat perjanjian gila ini? Perjanjian ini sama seperti Tok Arab Saudi beli pasir dari Rusia. Atau macam Greenland membeli air batu dari India. Tidak masuk akal. 

Sang panglima juga mengingatkan Anwar tentang perjuangan melawan penjajah untuk mencapai kemerdekaan. 

Askar dan tentera memperjuangkan kemerdekaannya melalui darah dan air mata. Memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menghapuskan ancaman tersebut, serta membina dan membangunkan negara sehingga berada pada tahap hari ini. 

Kita sudah ada KLCC, Menara Berkembar, Menara Merdeka dan Menara 118 yang ikonik. Semua ini menjadi kebanggaan kita. Semua ini mustahil dapat dicapai sekiranya Angkatan Tentera Malaysia gagal dalam misinya.

Dengan nada marah bekas panglima ATM mengingatkan Anwar agar tidak kita menggadaikan negara hingga kita semua menjadi pengemis. 

Saya pungut semua ini dari kenyataan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia Borhan Ahmad. 

Dari apa yang saya baca di media, para jeneral dan panglima akan pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong. Kata-kata dan rasa hati para pejuang negara ini wajib sesama kita sematkan dalam hati. 

Tanpa Angkatan Tentera Malaysia, kita–anak semua bangsa dan bangsa semua agama–tidak akan wujud selamat di bumi tercinta ini. Justeru kita wajib bersama-sama menunggu apakah langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh bekas tentera ini.

Apa yang jelas kita warga dari semua parti politik dan aktivis masyarakat wajib terus menyebarkan pencerahan. Kita wajib bersama sebaris berdiri tegak menyokong suara tegas dari bekas panglima ATM ini. Suara hati bekas tentera ini adalah suara hati anak semua bangsa. 

Kita wajib sebaris dengan para veteran untuk menolak dan memansuhkan perjanjian Anwar-Trump 2025. Apa tindakan seterusnya kita tunggu dan lihat. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS