Paling Popular
Terkini

KOLUM | Sementara menanti 2025 melabuhkan tirainya baru-baru ini, sebuah wacana akademik diadakan di sebuah bilik mesyuarat di UKM. Ia dianjurkan oleh Institut Kajian Etnik (Kita) bagi membincangkan susuk Allahyarham Salahuddin Ayub,

Ia diadakan bersempena penerbitan buku biografi bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu yang saya tulis dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada penghujung Dis lalu.

Selain saya sebagai pembicaranya, penganjur menjemput Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasbie Muda, serta bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, yang kini menjadi pensyarah di UIAM.

Membicarakan tokoh politik yang telah meninggal dunia adalah jalan menyegarkan kenangan.

Penyair Indonesia, Sapardi Djoko Damono menulis: “Hidup manusia bukan pada nama, gelar ataupun pencapaian yang pernah diraih, melainkan pada ingatan yang tertinggal pada hati orang lain. Waktu akan menghapus banyak hal tetapi kenangan memiliki cara sendiri untuk bertahan. Ia hidup dalam cerita yang berulang. Dalam sikap yang ditiru tanpa sedar dan dalam rasa yang muncul tiba-tiba ketika nama kita terlintas pada benak orang lain.”

Menulis biografi Salahuddin adalah tanda pernah hidup bersama. Itulah kenangan dalam bentuk catatan yang dapat dikongsi sama.

Susah sama didaki, senang sama dituruni.

Memasuki 2026, bermakna sudah tiga tahun Salahuddin pergi tidak kembali.

Penulisan Salahuddin Ayub - Budak Suci di Lembah Siasah dimulakan pada 2019 dan hanya pada 2024 manuskripnya disiapkan dan dihantar kepada DBP. Ketika itu tokoh tersebut sudah tiada.

Ia seperti menepati tujuan penerbitan biografi – buku sejarah hidup seseorang tokoh yang sudah tiada.

Jika diterbitkan semasa Salahuddin ada, ia lebih kepada karya membodek atau ‘mengipas’. Sebaliknya, jika menulis sewaktu ketiadaannya, ia juga boleh dianggap sebagai ‘menunggang’.

Pun begitu polemik tersebut bukan saja sia-sia malah langsung tidak menyumbangkan dalam memperkayakan khazanah bangsa dalam konteks sains politik dan sejarah kenegaraan.

Bukan lagi milik penulis

Legasi Salahuddin adalah pendekatan politiknya yang berada dalam kerangka rahmatan lil alamin yang kemudian berjaya diterjemahkan dalam bentuk produk ‘rahmah’.

Begitu juga dengan pendekatan politik kasih sayang.

Slogan atau pendekatan itu adalah produk politik zaman Salahuddin membina kepimpinan sejak dalam parti pertamanya – PAS – sehingga dia menjadi menteri mewakili parti keduanya – Amanah.

Sememangnya buku tersebut lebih menumpukan pensejarahan Salahuddin sebelum Amanah.

Pendekatan itu memang sedia dimaklumi Salahuddin kerana dia sedar bahawa langkah politiknya bermula dari PAS.

Sayangnya, setelah dia meninggalkan PAS, sejarahnya bersama parti itu seakan-akan dipadam atau tidak dikenang.

Selama ini, kita menjadi mangsa dikotomi pensejarahan. Sejarah negara dipecah-pecah dan sebahagiannya ditenggelamkan dengan sentimen kelompok – sama ada atas nama agama, bangsa, wilayah, ideologi atau sebagainya.

Sebagai penulis, mendengar ulasan dan kritikan luar pada tulisannya adalah proses kesarjanaan yang penting.

Sesebuah karya yang disiapkan dan dipersembah kepada khalayak bukan lagi milik penulis. Idea dan naratif asal penulis berubah menjadi sesuatu yang baru. Bahkan mungkin muncul juga tafsiran yang berbeza.

Idea dan maksud penulis akan mati seperti kata Roland Barthes dalam artikelnya The Death of Author pada 1967.

Konsep itu mendorong pemikiran kritis dan membuka ruang bagi interpretasi alternatif.

Pengarang menulis teks, tetapi pembacalah yang menghidupkannya, memberi nyawa pada teks sehingga membentuk ombak dan gelombang dalam masyarakat.

Proses membentuk masyarakat

Dalam wacana, pelbagai perspektif dibuka seluas-luasnya. Ini menjadikan perca-perca kenangan daripada pembicara dan khalayak bertukar sebagai hamparan yang lebih indah.

Nama-nama yang ada di dalam buku itu menjadi titik penghubung dengan pelbagai pengalaman peribadi peserta wacana.

Setiap yang membaca buku tersebut akan melalui kenangan dirinya dengan Salahuddin. Secara tidak langsung, ia akan membina naratif sendiri.

Sama ada naratif itu hanya terbentuk dalam ingatan peribadi atau tidak, bergantung cara ia disimpan atau dikongsikan.

Kiranya, naratif baru itu ditulis dan dibaca oleh orang lain, ia akan mengembangkan cerita tokoh tersebut menjadi lebih konkrit.

Tokoh, penulis juga akan mati.

Buku akan habis dari rak kedai dan ceritanya akan pupus ditelan waktu. Pun demikian, nilai baik itu tidak boleh mati.

Nilai ‘rahmah’ dan ‘kasih sayang’ perlu dibugar dan dimekarkan dalam dunia politik yang gersang dengan nilai tersebut.

Antaranya dihidupkan melalui wacana umum ke seluruh negara. Sama ada di dalam bilik kuliah universiti, tempat awam, warung kopi atau di mimbar masjid.

Dalam proses membentuk masyarakat madani, acara-acara akademik seperti wacana perlu dikembangkan.

Ini bukan soal peribadi. Ia adalah persoalan nilai yang hendak dikembangkan dan terus lestari.

Perlu ramai ‘budak suci’

Menurut Marzuki, sebagai sebuah karya biografi politik Salahuddin, ia juga merupakan rakaman sejarah politik tanah air.

Menganggap saya sebagai ‘nota kaki’ pada sejarah terutama berkaitan Salahuddin dan zamannya adalah suatu penghargaan peribadi buat saya.

Bagi Marzuki, buku tersebut adalah penulisan yang jujur walaupun saya berada dalam Amanah dan menulis tentang perjuangan PAS.

Ia bukan satu kejujuran semata-mata tetapi keperluan dalam membangunkan masyarakat madani (konsep ini juga dibawa oleh Almarhum Fadzil Noor sewaktu dia memimpin PAS).

Membangun dan memakmur negara adalah kerjasama ramai dan bersifat jangka panjang serta berterusan.

Hasbie pula menyatakan bahawa negara perlukan ramai lagi ‘budak-budak suci’ untuk membantu memperbaiki sistem politik yang dibina dengan teras nilai.

‘Budak suci’ yang tinggal di kayangan pula perlu turun ke lembah bergelumang dengan rakyat bawahan.

Istilah ‘budak suci’ adalah gelaran kepada Salahuddin sewaktu dia aktif dalam Pemuda PAS.

Mengapa digelar begitu? Rahsianya ada dalam buku tersebut.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS