KOLUM | Sudah berpuluh-puluh tulisan saya terhasil mengenai perjalanan terakhir insan yang saya kenali sejak sekian lama. Daripada seorang pemimpin, ulama, seniman, kawan dan mereka insan biasa.
Daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pak Sako, Usman Awang, hingga kepada Mael XPDC.
Menulis tentang kematian ialah wasilah peringatan tentang hakikat diri sendiri. Kematian ialah perjalanan transisi ke alam abadi.
Kini tiba giliran saya menulis tentang perjalanan terakhir emak sendiri yang wafat seminggu lalu. Tulisan ini memang agak peribadi.
Ketika saya tunjukkan buku terbitan Gerak Budaya kepada emak pada 2023, dia sekadar mengangguk-anggukkan kepala. Ia adalah buku biografi almarhum bapa, ‘Ustaz Sulam - Sebuah Potret Ulama Kampung’.
Bapa meninggal dunia kira-kira 18 tahun lalu kerana menghidap kanser usus kecil. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan ahli keluarga, saudara-mara, ahli kariah, malah anak muridnya.
Sebaliknya emak pergi ketika anak-anaknya tiada di sisi. Kebetulan hanya seorang menantu dan pembantunya yang sempat menghadap detik tersebut.
Emak pergi dalam keadaan sihat. Tidak ada sebarang petunjuk yang dapat kami lihat untuk memberi bayangan dia akan pergi buat selama-lamanya.
Perasaan yang berbeza
Meskipun masa emak banyak dihabiskan di rumah tinggalan almarhum bapa, namun alamat maut emak ditakdirkan di rumah anak bungsunya – Bandar Baru Bangi.
Setelah pembantu rumah emak pulang ke kampungnya di Lombok, Indonesia, adik-beradiklah yang bergilir-gilir menemankan emak. Tapi itu bukan bermakna emak takut bersendirian tinggal rumah sendiri.
Setelah ketiadaan emak, barulah terasa bahawa singkat dan terbatasnya kami adik-beradik menemankan dan menjaga emak sewaktu hidup.
Emak pada penghujung waktunya merasai sunyi. Biarpun rumah mak berada dalam kawasan sekolah dan masjid, tetapi emak merindui kehadiran anak cucunya datang berziarah.
Cuti akhir persekolahan menambah-nambah kesunyiannya.
Jenazah emak disolatkan di masjid kampung tempat kami dibesarkan – Sungai Lampam. Di masjid itulah arwah bapa bertahun-tahun memimpin solat jemaah dan memberi pengajian kepada anak kariah serta anak muridnya.

Seusai solat, kami mengangkat jenazah emak keluar dari Masjid al-Mansur untuk dibawa ke tanah perkuburan kampung kami dengan van yang uzur. Saya dan adik menemani emak ke pusara.
Tentulah perasaannya sama sekali berbeza jika kami menemaninya dalam kenderaan ketika dia masih bernyawa.
Van berkenaan bagai menggagahkan dirinya untuk meredah kegelapan malam Rejab itu yang datang dengan kelam. Cahaya bintang-bintang tenggelam, dan bulan tidak kelihatan.
Ketika jenazah emak diturunkan ke liang lahad, lampu elektrik menerangi tanah perkuburan yang menyimpan pelbagai jenazah, seawal generasi peneroka bendang sejak 1930-an.
Di situlah juga pusara arwah bapa dan datuk kami. Pada malam itu emak disemadikan bersebelahan mereka.
Tanda kasih sayang
Saya membuka kain kafan di bahagian wajah emak dan sapukan butiran pepasir putih ke wajah lembutnya. Itulah pipi yang kami sering kucup sewaktu hidupnya. Tapi detik itu tidak akan hadir lagi selama-lamanya.
Ramadan tahun ini emak tidak lagi menemukan Lailatul Qadar.
Syawal lalu bersungguh-sungguh emak meminta anak-anaknya beraya bersama dia di kampung. Kami kira itu adalah hasrat biasa seorang ibu kepada anak-anaknya. Kami tidak menyedari itulah antara permintaan untuk Aidilfitri terakhir.
Anak cucu memang sering naif mendengar butir bahasa seorang ibu, atau bapa.
Emak berusia 83 tahun. Dia wanita yang kurang bernada memberi arahan, menghargai kemandirian, mengimbangi sempadan dengan pasangan anak dan sangat empati pada kami.

Emak memberi kepercayaan pada anak-anaknya dan menghargai kami sebagai tanda cinta kasih dia bersama suaminya.
Pun demikian, emak tetap selalu melahirkan kebimbangan dan harapan dengan lembut, merayu dan menyentuh. Dia sentiasa ingin melihat anak cucunya di hadapan mata.
Hal itu berulang kali disebutnya, seolah-olah tiada titik.
Apabila bertemu emak akan selalu berdoa dan bermaaf-maafan dengan anak-anak dan kenalannya. Tidak seperti arwah bapa yang nampak lebih tenang, ringkas dan terkawal.
Menulis tentang ibu dan bapa yang telah pergi adalah proses menginsafkan diri tentang kepentingan masa yang sering dirugikan oleh manusia – kecuali kalangan mereka yang beriman, beramal soleh, dan memberi nasihat tentang kebenaran dan kesabaran.

Emak tidak memberi nasihat atau kata-kata yang bersulam ayat-ayat Tuhan seperti bapa. Bicara emak terus terang, lurus dan sarat air mata yang bergenang. Itulah bahasa fitrah seorang ibu.
Kata pujangga lama mengingatkan: Masa kita banyak dicuri oleh dua perkara. Pertama, menyesali masa lalu; dan kedua, bimbang pada masa hadapan.
Oleh sebab itu, ulama berpesan agar kita sentiasa reda pada ketentuan Allah SWT dan bersangka baik dengan perancangan-Nya kerana Dia tidak pernah mengecewakan harapan dan doa. Yakinlah.
Hadamlah ayat al-Quran yang bermaksud, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagi kamu.’ (al-Mukminun : 60).
Semoga Allah mengampuni, merahmati dan melindungi roh emak, bapa dan mereka yang telah meninggal dunia.
Amin Ya Rabb.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
