Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Dari Davos…Tata Baru Dunia yang lebih baru 

Dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, ada satu ucapan paling menarik dan amat bermakna bagi dunia hari ini.

Ucapan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Kanada, Mark Carney. Ia mengundang banyak ulasan. Ada yang mengkritik tetapi kebanyakannya menyokong, terutama dari pihak yang tidak senang dengan gelagat Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump. 

Mungkin kesan algoritma, saya lebih banyak menerima hantaran-hantaran yang menyokong ucapan Carney daripada yang mengkritiknya. Tetapi dengan meneliti isi ucapan itu, sememangnya beliau mencipta nama bukan saja di Davos dan Kanada tetapi juga di pentas dunia.

Saya menghadiri WEF pada tahun 2007 untuk membuat liputan berkaitan penyertaan perdana menteri kelapan, Abdullah Ahmad Badawi.  Pada masa itu tidak muncul mana-mana pemimpin negara dunia yang menarik banyak pihak. Tokoh yang menginspirasikan di forum tahun itu ialah Jack Ma, pengasas Alibaba. Beliau meramalkan impak perniagaan digital  yang kini sedang berlaku. Di WEF minggu lalu, tokoh-tokoh teknologi menumpukan perhatian pada impak kepintaran buatan (AI) pada masa depan kemanusiaan. Turut menarik perhatian ialah ramalan berkaitan AI oleh penulis asal Israel, Yuval Noah Harari.

Mark Carney

WEF kali ini berada di tengah-tengah pergolakan dunia yang sedang mengalami perubahan besar geopolitik, pertahanan dan keselamatan.

Sebelum ke Davos, perdana menteri Kanada pulang dari China dan memeterai perjanjian bersejarah dengan negara itu, yang sebelum tidak dapat dilakukan atas alasan menghormati Amerika. Persepakatan Kanada-China itu melonggarkan Perikatan Barat dan menyusun semula tata baru dunia.

Forum Davos ini juga berlangsung dalam suasana Amerika memberi tekanan serius kepada Denmark supaya melepaskan Greenland kepadanya. Selepas forum itu, Trump melancarkan Lembaga Perdamaian (BOP) untuk “perdamaian dan pembangunan” Gaza.

Carney dalam ucapannya menyampaikan idea bahawa dunia berubah daripada tata dunia yang didominasi Amerika sejak Perang Dunia Kedua pada tahun 1945–dengan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)–kepada keadaan setiap negara perlu mendapatkan sekutu berbeza daripada Amerika. 

Mereka tidak boleh lagi mengharapkan Amerika sebagai pelindung dan polis dunia. Selama ini sekutu-sekutu Amerika termasuk Kanada hanya mengikuti kehendaknya walaupun mereka tidak setuju atau keberatan untuk terlibat.

Perang di Iraq, Afghanistan

Umpamanya apabila Amerika mengajak sekutu-sekutunya menyertai peperangan di Iraq dan Afghanistan, mereka hanya mengikutinya tanpa soal. Begitu juga apabila Amerika mengajak sekutu-sekutunya menyokong Israel.

Keadaan ini dapat difahami daripada gagasan Perikatan Barat yang dianggotai oleh negara-negara Barat. Perikatan Barat ini merupakan sambungan pada blok Berikat semasa Perang Dunia Kedua. Berikat yang terdiri daripada Amerika, Britain, Perancis, Kesatuan Soviet dan China (Republik China, bukan Republik Rakyat China) yang berjaya mengalahkan blok Paksi terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali.

Selepas kemenangan itu, blok Berikat berpecah kepada Perikatan Barat dan blok Komunis. Selepas perang itu Perikatan Barat itu terdiri daripada negara-negara Amerika Utara yang terdiri daripada Amerika dan Kanada serta Eropah Barat–negara-negara Eropah yang bukan komunis. Dalam Eropah Barat itu pula ada Empayar dan Komanwel British, khususnya Kanada, Australia dan New Zealand. Turut menjadi sekutu ialah Jepun dan Republik China (Taiwan).

Dua institusi yang mengikat Perikatan Barat ialah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC) yang kemudian berkembang menjadi Kesatuan Eropah (EU).

Tetapi untuk memelihara keselamatan dunia, Perikatan Barat bekerjasama dengan blok Komunis yang terdiri daripada Kesatuan Soviet dan negara-negara komunis Eropah bagi melancarkan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan mewujudkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Majlis Keselamatannya dianggotai secara tetap oleh negara-negara Berikat iaitu Amerika, Britain, Perancis, Kesatuan Kesatuan Soviet dan Republik China (Taiwan).

Dalam Majlis Keselamatan itu, Perikatan Barat dan sekutunya iaitu Republik China menguasai empat kerusi. Mereka bukan saja memiliki kuasa veto tetapi tiga daripada mereka iaitu Amerika, Britain dan Perancis mempunyai senjata nuklear. Satu-satunya negara blok Komunis dalam majlis itu adalah Kesatuan Soviet dan masa awalnya, ia juga tidak memiliki senjata nuklear.

Sejak awal lagi sudah berlaku Perang Dingin. Amerika mengetuai Perikatan Barat bersaing dengan Kesatuan Union yang memimpin blok Komunis.

Blok Komunis kemudiannya menjadi bertambah luas dengan kejatuhan China pada tahun 1949 untuk menjadi Republik Rakyat China sementara Republik China tersudut ke pulau Taiwan. Komunis juga menjadi luas dengan penguasaan ke atas Korea Utara, Vietnam Utara dan Cuba.

Amerika dan Kesatuan Soviet sering menggunakan kuasa veto untuk menghalang sebarang resolusi yang menjejaskan kepentingan geopolitik mereka.

Tetapi perpaduan blok komunis ini tidak bertahan lama. Yugoslavia keluar dari blok Moscow dan menjadi mesra Barat walaupun tetap mengamalkan sistem komunis.

Perselisihan Soviet dan China

Perpecahan terbesar blok Komunis adalah perselisihan antara Kesatuan Soviet dan Republik Rakyat China. Maka blok Komunis terpecah dua. Tetapi hanya satu negara komunis yang mengikut Beijing iaitu Albania, sebuah negara Balkan di Eropah.

Bagi melemahkan lagi blok Komunis, presiden Richard Nixon melawat Beijing dan Amerika mengiktiraf dan mengadakan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China. Ia mengakibatkan Republik China di Taiwan kehilangan kerusi Majlis Keselamatan PBB. Maka Majlis Keselamatan PBB mempunyai dua negara komunis iaitu Kesatuan Soviet dan China, yang kemudiannya turut memiliki senjata nuklear. Maka kelima-lima anggota tetap majlis itu mempunyai senjata nuklear.

Tata dunia multipolar (banyak kutub) ini berubah apabila Kesatuan Soviet tumbang pada tahun 1991. Bukan saja Kesatuan Soviet terlerai kepada 15 republik tetapi negara-negara komunis tinggal lima iaitu China, Korea Utara, Vietnam, Laos dan Cuba. Maka Pakatan Warsaw iaitu “Nato Soviet” juga dibubarkan dan Perang Dingin pun berakhir.

Seharusnya, Nato pun patut bubar kerana Eropah sudah tidak terancam. Tetapi ia kekal. Malah janji Presiden Bill Clinton pada Moscow bahawa Nato tidak akan mara ke Eropah Tengah tidak ditepati apabila Poland diterima sebagai anggota.

Dunia menjadi unipolar (satu kutub) dengan Amerika sebagai adikuasa. Pada masa inilah ia melancar perang dan menakluk Iraq dan Afghanistan. Mereka juga menjatuhkan kerajaan Libya dan mula menjejaskan kestabilan Syria. Lebih ketara Amerika membantu Israel menguasai Gaza. Perikatan Barat sentiasa menurut kehendak Amerika yang ditentukan oleh fahaman neokonservatif yang menghendaki Amerika sebagai kuasa hegemoni, iaitu kuasa yang tidak dapat dicabar oleh sesiapa. Inilah pada masa itu dikenali sebagai New World Order (Tata Baru Dunia).

Susunan ini berlangsung dari George W Bush, Bill Clinton, George HW Bush hingga Barack Obama menjadi presiden. Apabila datang Donald Trump sebagai presiden, beliau dan pengikut-pengikutnya tidak puas hati dengan kedudukan Amerika yang tidak cukup “hebat.”. Maka Trump menang atas gagasan Make America Great Again (Maga – Jadikan Amerika Hebat Semula). Mereka berasa Amerika terancam dengan China.

Donald Trump

Maka pada Januari 2025, Trump isytiharkan mahu memiliki Greenland, Kanada dan juga Gaza. Setahun kemudian, ia sudah menakluki Venezuela dan mengancam Greenland dan Iran serta menubuhkan Lembaga Perdamaian dengan dirinya sendiri sebagai pengerusi seumur hidup. Dengan terus mendukung perbuatan Israel di Gaza dan tidak mempedulikan PBB, ternyata Lembaga Perdamaian ini ditubuhkan Trump untuk menggantikan peranan PBB dengan Amerika serta Israel tidak tertakluk dengan undang-undang antarabangsa.

Tetapi kali ini Eropah tidak mahu bekerjasama dengan Amerika. Empat negara Eropah yang diundang untuk sertai Lembaga Perdamaian iaitu Britain, Perancis, Itali dan Sepanyol memboikotnya. Malah ketika Trump sampai ke Davos, tidak ada pegawai kerajaan Switzerland menyambutnya. Malah satu demonstrasi anti-Trump berlangsung di negara itu hingga menimbulkan kemarahan Trump.

Doktrin Monroe

Sebaliknya kehadiran dan ucapan Mark Carney disambut baik oleh Switzerland dan Eropah. Inilah yang dikatakan oleh Carney sebagai Tata Baru Dunia atau lebih tepat lagi Tata Baru Dunia yang lebih baru.

Kelihatannya Trump mahu mengembalikan Doktrin Monroe yang menetapkan keseluruhan Hemisfera Barat iaitu Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan bawah pengaruh Washington. Tetapi bawah Trump, beliau bukan saja maju memerintah Venezuela tetapi juga Cuba. Beliau mahukan bukan saja Greenland tetapi Kanada. Baginya Amerika bukan saja berpengaruh tetapi menguasai keseluruhan Hemisfera Barat.

Jadi Kanada berusaha memecahkan sebarang pergantungan dengan Amerika Syarikat. Beliau mewujudkan kerjasama perdagangan lebih erat dengan China dan Mexico sambil mengetepikan Amerika.

Apabila Hemisfera Barat dikuasai oleh Amerika, siapa pula yang menguasai Hemisfera Timur? Hemisfera Timur terdiri daripada Eropah, Afrika dan Asia. Israel akan berusaha menguasai Hemisfera Timur dengan bantuan Amerika. Rusia dan China yang akan menghalanginya.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS