Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Menangani Pati adalah aspirasi reformasi 

Pada tahun 2018, menjelang pilihan raya umum, saya ke Pudu, Kuala Lumpur, menemani seorang ahli perniagaan Melayu yang mengambil upah menguruskan percetakan poster tambahan pelbagai parti politik–PAS, PH dan BN. Pada masa itu PH menggunakan logo PKR.

Kawasan Pudu, belakang Berjaya Times dan tidak jauh dari TRX, secara tradisi merupakan pusat kilang-kilang percetakan sederhana. Di situ muncul pembekal pelbagai jenis kertas, khidmat reka bentuk grafik, malah syarikat pengedar bahan penerbitan seperti buku dan majalah.

Pada tahun 1987 ketika saya menerbitkan majalah Dunia Islam dan mahu menghantarnya  ke Sarawak, Brunei dan Sabah, saya menggunakan perkhidmatan seorang pengedar yang berpejabat di kawasan itu.

Pudu merupakan kawasan percetakan yang meriah sejak zaman British lagi. Malah pejabat The Straits Times sebelum pindah ke Bangsar, berada di situ. Begitu juga beberapa akhbar bahasa Cina. Tokoh wartawan negara, A Samad Ismail pernah menulis dalam cerpen mengenai suasana di situ dengan pemberita sering berkunjung di tempat hiburan di Bukit Bintang yang berhampiran. Sudah tentu tanpa disebut, ahli-ahli perniagaan di situ adalah dari kalangan kaum Cina.

Tetapi ketika saya pergi ke situ pada tahun 2018, kawasan itu kelihatan dalam proses ‘diambil alih’ oleh warga asing. Ahli perniagaan yang membawa saya ke situ menunjukkan banyak tempat dan premis yang beralih tangan orang asing.

Maknanya bukan saja pekerja kilang-kilang percetakan itu orang asing, pengurusannya juga beralih tangan. Ahli-ahli perniagaan tempatan kelihatan berundur dari situ.

Saya melihat kedai runcit besar yang menjual barang-barang keperluan penduduk. Saya pun duduk di kedai makan orang asing. Makanan asing berbeza daripada masakan mamak.

Saya bukan anti orang asing, iaitu xenofobia. Malah saya berpegang pada nilai-nilai kemanusiaan lebih daripada kebangsaan dan perkauman. Tetapi saya tertanya-tanya adakah orang asing yang bebas berniaga dan bermastautin menepati undang-undang dan dasar negara. Ia seolah-olah menjadikan kaum asing sebagai salah satu kaum penduduk Malaysia seperti Melayu, Cina dan India.

Saya pun tulis apa yang dilihat di Pudu tanpa sebarang komen atau menuduh sesuatu dalam hantaran Facebook. Sebaik saja saya tekan butang hantaran, sekelip mata saya menerima mesej dari Facebook bahawa apa yang saya tulis itu melanggar piawai komuniti kerana bersikap xenofobia. Perkara ini menimbulkan tanda tanya, mungkinkah ada satu konspirasi kartel untuk melindungi kehadiran dan perniagaan asing di sini?

Cerita bengkel kereta

Sekitar pada tahun-tahun sama, iaitu sekitar 2010-an, saya ada pergi ke sebuah bengkel kereta yang besar di sebuah kawasan Melayu. Semua maklum bahawa perniagaan bengkel kereta didominasi oleh ahli perniagaan dari kalangan kaum Cina. Amat jarang sekali ditemui bengkel kereta Melayu terutama di Selangor. Tetapi adalah suatu yang kebetulan saya pergi berurusan dengan sebuah bengkel asing untuk menukar tayar.

Pekerja-pekerja bengkel ini bukan saja terdiri daripada orang asing tetapi ia dimiliki dan diurus oleh mereka. Ketika menunggu kereta dibaiki, saya duduk di meja pengurus. Di situ ada sebuah penerbitan berbentuk majalah dalam bahasa asing. Saya pun membelek-belek. Ada juga tulisan berbahasa Inggeris. Ia mempunyai permit penerbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan merupakan majalah untuk dan berkaitan dengan komuniti mereka di Malaysia. Gambar-gambar yang disiarkan berupa majlis-majlis yang melibatkan masyarakat mereka.

Tetapi apa yang menarik minat saya ialah tiga buah gambar berbingkai. Salah satunya adalah gambar orang asing bersama dengan seorang menteri Malaysia. Di belakangnya terdapat sebuah helikopter.

Saya bertanyakan pada pemilik kedai itu, siapakah mereka. Katanya mereka adalah kaum kerabatnya dan yang bergambar dengan menteri itu adalah bapanya. Menurutnya, bapanya adalah seorang ahli politik di negara asing dan sahabat baik dengan menteri itu.

Saya tidak membuat sebarang kesimpulan, andaian atau tuduhan. Tetapi hanya menyaksikan bagaimana ahli perniagaan asing bertapak di sini.

Saya akui bahawa banyak orang asing yang rajin, cekap bekerja, berniaga dan mempunyai sikap yang baik terhadap pekerjaan. Malah mereka dikatakan boleh bukan saja mengatasi orang Melayu tetapi juga Cina Malaysia dalam perniagaan dan perusahaan. Ahli perniagaan yang membawa saya ke Pudu itu juga pernah mempunyai pekerja asing yang mampu berbuat serba serbi, daripada menguruskan percetakan, penghantaran hingga kepada pengurusan.

Ahli perniagaan itu menghentikan perniagaan percetakan selepas wabak Covid-19 apabila pekerjanya itu pulang ke negara asal dan tidak ada sesiapa yang boleh beliau percaya untuk menggantikannya.

Saya sendiri pernah lihat juruelektrik dan jurupaip asing memperbaiki elektrik, paip dan rumah. Apa yang saya perhatikan, hasil pekerjaan mereka adalah baik. Dari pengalaman saya, malah lebih baik daripada orang asing lain dan pekerja tempatan. Beliau mempunyai pekerja dari kalangan orang asing dari pelbagai negara. Tetapi menurutnya, kalau beliau berkahwin dengan orang Malaysia, barulah dapat memperoleh lesen.

Apabila saya tanya mengenai usaha kerajaan untuk memberantas pendatang tanpa izin (Pati), beliau berkata bahawa sentiasa ada jalan untuk mereka masuk bekerja dan berniaga di negara ini.

Beberapa tahun lalu kebetulan saya lalu depan sebuah pejabat agama. Ada satu kenyataan yang ditulis besar bahawa pejabat itu menghentikan permohonan pernikahan antara warga tempatan dengan warga asing.

Lesen niaga melalui perkahwinan

Kenyataan itu menjadi tanda tanya apabila saya membaca bahawa ada ahli perniagaan asing menawarkan sejumlah bayaran kepada perempuan Malaysia untuk dikahwini bagi membolehkan mereka memperoleh lesen perniagaan.

Kehadiran warga asing yang begitu banyak baik secara sah atau tidak, termasuk pelarian sudah menjadi suatu yang normal seolah-olah ia berada dalam keizinan dan kawalan kerajaan. Rakyat Malaysia lebih bertumpu kepada berbalah sesama sendiri, iaitu antara warganegara berbeza kaum, dan juga antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Kita tidak begitu mempedulikan kehadiran pendatang tanpa izin yang bebas keluar dan masuk negara ini. 

Adakah perbalahan antara kaum dan wilayah ini sengaja digalakkan oleh pihak tertentu supaya konspirasi warga asing untuk bertapak di negara tidak diberi perhatian oleh rakyat?

Apabila kerajaan menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan terbongkarnya banyak kes rasuah di kalangan imigresen, maka jelas kehadiran warga asing yang begitu banyak ini adalah hasil daripada masalah korupsi dalam kerajaan.

Khabar-khabar angin mengenai korupsi kerajaan berhubung kehadiran Pati di negara ini sudah berpuluh-puluh tahun diperkatakan oleh orang ramai.

Tetapi baru sejak tahun lalu, AKPS dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) membawa banyak kes korupsi imigresen ke mahkamah. Masyarakat baru diperkenalkan dengan istilah-istilah “counter setting" dan "pasport terbang.” Sememangnya negara bolos kerana korupsi.

Akta Pengubahan Wang Haram dan kaedah baharu SPRM untuk menyiasat pelaku dengan melihat jumlah harta luar biasa merupakan game changer atau perubahan besar bagi corak menangkap koruptor.

Tetapi usaha ini hanya boleh berjaya jika ia dilakukan secara gigih, ikhlas dan amanah oleh penjawat-penjawat awam. Maknanya hanya dengan adanya penjawat awam bermutu, negara tidak bolos, dan di atas segalanya ialah azam politik. perdana menteri dan menteri berkaitan mesti benar-benar komited untuk menyelamatkan negara.  Bukan itu saja, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu bebas korupsi kerana merekalah penguatkuasa dalam hal-hal lesen perniagaan.

Maka pemberantasan Pati ini jelas berkait dengan tata kelola yang baik dan ia merupakan salah satu aspirasi reformasi. Buat masa ini kejayaan sepenuhnya belum tercapai kerana operasi belum tamat. Menurut AKPS, counter setting masih berlaku tetapi tindakan tegas pihak yang memimpin agensi ini mengurangkan salah laku itu.

Dari sempadan Thailand ke pantai Selangor, negara ini mesti bersih daripada pembolosan, pencerobohan dan penyeludupan. Tidak ada tempat bagi sindiket, gengster dan penjenayah terancang di negara ini.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS