Paling Popular
Terkini

Armada Amerika semuanya telah siap siaga di Lautan Hindi, Laut Merah dan Laut Mediterranean. Bala tentera Amerika telah bersedia di Oman, Jordan dan Diego Garcia. Pangkalan Amerika yang berhampiran dengan Iran semuanya dalam keadaan bersedia.

Pada 11 Februari 2026 – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu akan bertemu dengan Presiden Amerika Ronald J. Trump sekali lagi.

Sejak Januari 2025, apabila Trump menjadi Presiden kali kedua, Netanyahu telah berjumpa dengan Trump sebanyak enam kali. Ketua negara luar yang pertama melawat Trump ialah Netanyahu.

Agenda perbincangan dahulu ialah gencatan senjata di Gaza, Lebanon dan Iran. Ini agenda yang diumumkan kepada dunia. Perbincangan tertutup antara Trump dan Netanyahu tidak mungkin kita ketahui. Apa yang kita semua baca ialah apa yang dilaporkan oleh media.

Sehingga akhir 2025 dan awal 2026, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu secara konsisten memuji Donald Trump sebagai “rakan paling hebat penyokong negara Israel di Rumah Putih”. Netanyahu telah memuji kepimpinan Trump mengenai Iran dan peranannya dalam rundingan damai Timur Tengah.

“Greatest Friend” – kawan terbaik – ialah istilah yang terus digunakan oleh Netanyahu apabila bercakap tentang Trump.

Presiden Biden secara terbuka mengakui dirinya Zionis. Begitu juga Trump. Selepas Presiden Kennedy, tidak ada lagi Presiden Amerika yang berani mengkritik atau tidak menyokong kewujudan Israel.

Hanya Presiden Kennedy, sebelum ditembak mati, berani mempertikaikan dan menentang projek bom nuklear Israel di Dimona, di padang pasir Negev di selatan Israel.

Apa yang akan dibincangkan kali ini antara Netanyahu dengan Trump pastilah “regime change” – tukar rejim. Mereka pasti akan berbincang bagaimana cara terbaik untuk menukar kerajaan Iran.

Regime change – tukar rejim – tukar kerajaan ini telah menjadi dasar luar Amerika sejak tamat Perang Dunia Kedua.

Dasar menukar rejim melibatkan tindakan terang-terangan atau secara rahsia. Tukar rejim secara terang-terangan kita lihat berlaku di Venezuela baru-baru ini.

Campur tangan tentera kita lihat berlaku di Libya (2011), Syria (2025) dan Bosnia (1992).

Atau dengan cara rahsia apabila CIA merancang rampasan kuasa untuk menukar rejim. Contoh terbaik berlaku di Jakarta pada tahun 1965. Presiden Sukarno dijatuhkan dan Jeneral Suharto menjadi pengganti.

Atau Amerika campur tangan dalam pilihan raya. Contoh terbaik berlaku di Jepun pada tahun 1950-an hingga 1960-an. Amerika secara rahsia menyalurkan dana kepada Parti Liberal Demokratik (LDP) konservatif untuk memastikan penguasaannya dan melemahkan parti berhaluan kiri tempatan, dengan matlamat menjadikan Jepun sekutu kuat anti-komunis di Asia.

Tukar atau ubah rejim dilakukan di mana sahaja jika kerajaan asing dianggap bermusuhan atau tidak mempromosikan kepentingan Amerika.

Hari ini, tahun 2026, Kerajaan Republik Islam Iran wajib diubah dan diganti dengan kerajaan baru yang setia kepada Amerika dan bersahabat baik dengan Israel. Iran wajib kembali seperti Iran pada zaman Shah Reza Pahlavi.

Sebenarnya projek ubah rejim ini bukan sesuatu yang baru untuk Iran. Pada 19 Ogos 1953, Perdana Menteri Iran Mohammad Mosaddegh yang nasionalis telah digulingkan dalam rampasan kuasa yang disusun dan dibiayai oleh CIA dan MI6. Mohammad Reza Pahlavi telah dinobatkan menjadi Raja Iran.

Amerika telah menggunakan cara ubah rejim ini berkali-kali.

Sekatan terhadap Iran telah dilaksanakan sejak November 1979, dimulakan oleh Amerika Syarikat berikutan penyitaan Kedutaan AS di Tehran.

Pejabat Duta Amerika yang diduduki oleh pelajar telah mengundang sekatan ekonomi dari Amerika. Sekatan ditambah dengan pelbagai bentuk tekanan. Ia semakin diketatkan pada tahun 1987, 1995 dan paling ketat pada tahun 2025.

Sekatan ekonomi ini bertujuan agar ekonomi Iran menjadi kacau. Negara menjadi muflis. Apabila ekonomi kacau, maka rakyat akan bangun memberontak untuk menjatuhkan kerajaan.

Inilah yang berlaku pada akhir 2025 yang lalu. Secara tersusun dan dirancang dengan dana yang lumayan, rial – mata wang Iran – telah diserang. Nilai rial jatuh mendadak.

Peniaga dan tuan kedai merasa tertekan. Di Iran mereka ini dipanggil bazaris – pemilik bazar. Bazaris mula keluar berdemo di jalan raya. Apabila bazaris keluar berdemo, ini adalah tanda pertama langkah regime change di Iran.

Bazaris telah memainkan peranan yang amat penting – berdemo – untuk menjatuhkan Reza Pahlavi pada tahun 1979 dahulu. Sejarah ini dikagumi.

Sebelum rial diserang, Mossad, CIA dan MI6 telah menyusun dan mengatur strategi. Kumpulan yang tidak suka dengan kerajaan telah dikumpulkan secara rahsia.

Ketua dan pimpinan kumpulan telah dilatih menggunakan senjata di luar negara – di sempadan Iran-Turki.

Dengan bantuan dana yang lumayan, senjata telah dibawa masuk. Senapang, pistol, peluru dan bom diseludup masuk. Dalam masa yang sama, radar bumi penerima maklumat dari satelit Starlink diseludup masuk.

Apabila bazaris keluar berdemo di Tehran, ia turut berlaku di kota dan pekan lain. Demonstrasi merebak ke Mashhad, Isfahan, Kermanshah, Shiraz, Tabriz dan banyak lagi kota dalam 31 wilayah Iran.

Adalah benar ramai warga Iran merasa tekanan sara hidup, terutama akibat sekatan ekonomi yang dirancang oleh Amerika. Mereka menyalahkan kerajaan.

Pelajar, mahasiswa dan wanita turut sama keluar berdemo. Tetapi di belakang tunjuk perasaan ini ialah CIA, Mossad dan MI6.

Tidak perlu pergi jauh untuk membuktikan semua ini adalah kerja Amerika dan Israel melalui CIA dan Mossad.

Pada awal Januari 2026, ketika demonstrasi berjalan di Iran, bekas Pengarah CIA Mike Pompeo telah menghantar ucapan di media sosial yang berbunyi:

“Selamat Tahun Baru kepada setiap warga Iran di jalanan. Juga kepada setiap ejen Mossad yang berjalan di sebelah mereka.”

Ini adalah contoh keangkuhan Amerika dan Zionis Israel.

Minggu pertama 2026, berita dunia ialah Kerajaan Republik Islam Iran sedang digempur oleh penunjuk perasaan. Berita ini diikuti pula oleh laporan kematian penunjuk perasaan yang ditembak mati oleh polis.

Berita kematian beratus-ratus penunjuk perasaan ini telah mendorong Trump membuat kenyataan.

Pada 12 Januari 2026, agensi berita Reuters melaporkan tulisan Trump dalam Truth Social:

“Patriot Iran… Teruskan bantahan. Ambil alih institusi. Bantuan akan sampai…”

Tulisan Trump ini menambahkan lagi keganasan di jalan raya. Angka kematian meningkat ke ribuan. Masjid, sekolah, kedai dan kereta bomba telah dibakar.

Dunia menjadi gempar. Apakah tentera Amerika akan masuk ke Iran? Apakah Tehran akan dibom untuk membantu para penunjuk perasaan di jalan raya?

Semua menunggu langkah Trump seterusnya untuk menjatuhkan kerajaan Republik Islam Iran.

Tiba-tiba pada 14 Januari 2026, media dunia melaporkan Donald Trump menyatakan beliau menangguhkan bantuan ketenteraan terhadap Iran. Ini kerana Trump telah menerima jaminan bahawa pembunuhan penunjuk perasaan anti-kerajaan dan pelaksanaan hukuman mati yang dirancang telah dihentikan.

Projek serang Iran terbantut. Kah kah kah.

Sebelum Trump membuat kenyataan mengundur, di Tehran dan di kota besar seperti Mashhad dan Qom, ratusan ribu rakyat yang menyokong kerajaan telah keluar berdemo di jalan raya. Mereka menyatakan sokongan terhadap Ayatollah Khamenei dan Republik Islam Iran.

Hakikatnya kerajaan Iran masih kukuh dan tidak tercabar.

Tetapi apa sebenarnya telah berlaku hingga Trump membatalkan penghantaran bantuan kepada penunjuk perasaan?

Jawapannya mudah. Para ejen CIA dan Mossad yang beroperasi ketika demonstrasi berjalan mendapat bantuan dan arahan melalui satelit Starlink. Ejen dan wakil CIA serta Mossad ini dapat melakukan serangan gerila melalui maklumat dari satelit.

Tiba-tiba satelit Starlink padam.

Teknologi Iran dengan bantuan teknologi China telah berjaya memadamkan gelombang pancaran Starlink. Maka operasi CIA dan Mossad mati mengejut. Maka Trump membuat kenyataan untuk membatalkan penghantaran bantuan kepada penunjuk perasaan.

Ejen Mossad dan CIA kini terperangkap. Ratusan mereka berjaya ditangkap. Lebih daripada 45 ribu pencawang bumi untuk Starlink telah berjaya dirampas.

Untuk sementara waktu ini, projek tukar rejim untuk Iran ditunda. Ketika tulisan ini digarap, Amerika dan Iran masih lagi berding dong di Oman. Mereka sedang berbincang untuk mencari jalan agar perang tidak meletus.

Ketika tulisan ini digarap, Netanyahu sedang berbincang di Rumah Putih dengan Trump. Iran pasti agenda utama. Yang lain kita tunggu laporan media.

Yang sulit dan rahsia – kita nantikan apakah Trump akan memberi arahan kepada tentera Amerika untuk mula bergerak sekali lagi ke Teluk Parsi. Apa yang tidak berubah ialah rancangan Zionis Israel untuk memandulkan Iran. Projek ini akan terus berjalan, Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS