Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Fail Epstein cerminkan keruntuhan peradaban Barat

Fail Epstein amat mengejutkan bukan saja bagi Amerika Syarikat dan Barat tetapi seluruh dunia. Sekurang-kurangnya ia meruntuhkan penghormatan dunia pada ketinggian peradaban Barat yang diserlahkan oleh Amerika.

Dengan menghormati sistem demokrasi Barat, kecemerlangan sistem pendidikan, pencapaian dalam bidang ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan industri, Fail Epstein yang dikeluarkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) merupakan tamparan kepada pengagum Barat.

Kejahatan seks termasuk dakwaan pemerdagangan manusia dan penderaan Jeffrey Epstein terhadap kanak-kanak bukan saja membabitkan dirinya tetapi mengheret banyak tokoh elit Barat. Seolah-olah Barat ini diperintah dan dikuasai oleh elit pedofil.

Bukan semua nama dalam fail itu terlibat dengan perbuatan jahat tetapi adanya hubungan dengan Epstein sudah cukup menimbulkan rasa syak wasangka terhadap pelbagai kemungkinan jelek yang boleh berlaku.

Senarai nama dalam fail itu amat panjang. Daripada Presiden Donald Trump kepada bekas presiden Bill Clinton dan isterinya Hillary Clinton. Nama-nama itu tidak kira sama ada mereka itu dari Parti Republikan atau Parti Demokratik, berfahaman liberalisme atau konservatisme, dari kalangan keluarga diraja, duta-duta, ahli-ahli politik dan sesiapa saja yang mempunyai kuasa dan pengaruh. Begitu buruk moral mereka.

Maknanya, walaupun Epstein seorang Yahudi dan mempunyai hubungan dengan bekas perdana menteri Israel Ehud Barak, tetapi senarai itu termasuk tokoh-tokoh bukan Yahudi. Malah ia turut membabitkan ahli-ahli perniagaan Arab Saudi yang menghadiahkan kiswah Kaabah kepada Epstein.

Selain itu, ia bukan saja berkait ahli politik dan tokoh korporat dan tokoh teknologi seperti Bill Gates hinggalah kepada ahli akademik dan ahli sains. Termasuk Stephen Hawking yang menjadi pujaan para pengagum sains di seluruh dunia. Begitu juga terdapat nama Noam Chomsky, intelektual awam yang pro-Palestin dan menjadi pujaan golongan kiri dunia.

Penglibatan selebriti Hollywood dalam senarai itu juga ketara. Ia menimbulkan tuduhan bahawa pedofilia berleluasa di Hollywood.

Maka pendedahan kejahatan Epstein dan pembabitan golongan elit Barat, baik di Amerika mahupun di Eropah menggugat penghargaan kepada kecemerlangan peradaban Barat. Mungkin Fail Epstein ini merupakan satu lagi petanda keruntuhan tamadun Barat.

Selepas Perang Dunia Kedua, Barat dilihat oleh semua manusia baik di Barat mahupun di Timur sebagai peradaban yang terbaik dan perlu diikuti oleh semua bangsa.

Tata cara baru geopolitik

Sememangnya, pada waktu itu, iaitu tahun 1945, Barat baru selesai peperangan dahsyat sesama sendiri tetapi pihak yang menang iaitu Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menyusun satu tata cara baharu geopolitik berupa Piagam Bangsa-bangsa yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sementara PBB pula mengeluarkan Perisytiharan Hak Asasi Manusia.

Dalam tata cara baharu itu, semua bangsa perlu diatur dalam bentuk negara yang menjadi anggota PBB. Dalam PBB itu, semua negara tertakluk pada resolusi Majlis Keselamatan. PBB yang anggota tetapnya terdiri daripada Amerika, Britain, Perancis, Soviet Union dan China yang mempunyai kuasa veto bagi mematahkan sebarang resolusi yang tidak dipersetujuinya.

Amerika menggayakan dirinya dan sekutunya sebagai free world (dunia bebas) yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Free world bukan saja dalam politik tetapi juga iaitu sistem pasaran atau kapitalisme.

Tetapi bukan itu saja, dengan menggambarkan bahawa free world adalah unggul berbanding bahagian lain dunia yang tidak bebas, Amerika adalah ketua pada semua negara, dan mereka semua patut mencontohi Barat atau lebih baik lagi menjadi Barat.

Maksudnya, Barat terutama Amerika adalah bahagian dunia bukan saja paling berjaya tetapi “benar” (truth) dan seterusnya bermoral dan beretika.

Maka "supremacy" (keagungan) Barat memberikan mereka “sovereignty” (kedaulatan atau ketuanan) terhadap bahagian dunia lain. Ini dikukuhkan dengan penguasaan mereka bukan saja dalam bidang ekonomi tetapi juga budaya dan ilmu pengetahuan khususnya sains. Ukuran keunggulan ini ditandakan dengan anugerah Hadiah Nobel di Barat, di bahagian rantau Nordik di Eropah. Negara-negara Nordik ini dikenali sebagai wilayah “terbaik” dunia Barat dengan sistem dan kerajaannya paling memberi kebajikan pada rakyat. Dari segi kerajaan, merekalah negara paling bermoral.

Maka lahirlah tokoh-tokoh sains yang menjadi idola dunia. Bukan saja pemenang-pemenang Hadiah Nobel tetapi juga saintis seperti Stephen Hawking yang memberi sumbangan besar kepada kemajuan sains dunia.

Begitu juga tokoh-tokoh besar dalam bidang teknologi seperti Bill Gates, Elon Musk yang kesemuanya menunjukkan kehebatan dan keagungan Barat.

Kebudayaan Barat juga sudah menjadi hiburan global yang berasaskan Hollywood dengan anugerah seperti Grammy. Tidak ada mana-mana industri hiburan dunia yang boleh mencabar Hollywood.

Barat mempunyai nilai-nilai dan agama yang berbeza dari Timur. Tetapi ia bersifat pluralistik atau pelbagai terhadap apa yang mencorak moral dan etika Barat. Sememangnya mereka mempunyai akar jati diri yang disebut Yahudi-Kristian iaitu Judeo-Christian. Tetapi mereka mempunyai kepercayaan lain seperti Mormonisme dan terbuka seperti New Age, dan malah Satanisme merupakan sebahagian daripada tradisi Barat.

Banyak aliran pemikiran

Itu di peringkat agama atau keyakinan (faith). Di peringkat ideologi, terdapat banyak lagi pemikiran dalam Barat. Bukan saja liberalisme, konservatisme, marxisme, anarkisme dan fasisme tetapi dari pelbagai aliran yang berasal dari falsafah Greek hingga kepada Renaisans dan Enlightenment (Pencerahan). Maka dalam hal ini ia melibatkan keyakinan ateisme dan agnostisisme. Semuanya mempunyai nilai moral masing-masing tetapi kesemuanya meletak demokrasi liberal sebagai suatu keperluan dalam gaya hidup Barat.

Dari segi etika seksual, mereka mempunyai ukuran tersendiri sekurang-kurangnya di peringkat sosial yang berbeza daripada Timur. Pada tahun 1960, berlaku Revolusi Seksual di Barat. Dalam revolusi itu dinyatakan perzinaan dibolehkan walaupun seseorang itu tidak berkahwin. 

Maknanya pasangan kekasih tidak berkahwin boleh berzina. Apa yang dilarang adalah seseorang melakukan hubungan kelamin dengan bukan pasangannya, itu dianggap curang dan menipu (cheating) pada pasangannya walaupun kedua-duanya tidak berkahwin. Orang yang berkahwin hanya boleh melakukan hubungan kelamin dengan pasangannya saja.

Tetapi Barat menolak perbuatan rogol iaitu memaksa perbuatan seks ke atas orang lain. Malah hubungan seks suami isteri juga tidak boleh ada paksaan. Seks mestilah suka sama suka (consent).

Barat juga menolak poligami. Seseorang lelaki hanya boleh ada seorang pasangan. Sama ada sebagai suami isteri atau kekasih.

Bagaimanapun Barat mengiktiraf hubungan LGBTQ. Tetapi tidaklah semua kalangan Barat. Banyak golongan Republikan dan Konservatif menolak perkahwinan sejenis. Golongan itu juga menolak pengguguran bayi. Ia menjadi konflik dalam masyarakat Barat.

Mereka juga amat memberi perhatian kepada gangguan seks (sexual harassment). Lelaki tidak boleh merenung, berkata atau menyentuh tidak tentu pasal pada rakan sekerja perempuannya. Ini boleh menghancurkan kerjaya seseorang. Apa yang dikatakan “mengurat” (flirting) pada zaman dahulu, kini antaranya sudah menjadi gangguan seks.

Satu lagi perkara yang amat sensitif bagi Barat ialah mengadakan hubungan seks dengan remaja atau kanak-kanak. Iaitu orang bawah umur. Sebarang perbuatan seks dengan mereka dianggap rogol statutori dan boleh dihukum.

Ini membawa kepada istilah pedofilia. Seseorang yang suka pada remaja bawah umur dan kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan adalah pedofilia. Ini amat dibenci oleh Barat.

Begitulah kerangka moral dalam soal hubungan seks dalam peradaban Barat yang tentunya ada perbezaan dengan Timur.

Constantinople tak lagi dianggap Barat

Tidak seperti Barat, Timur mempunyai beberapa pusat punca peradaban iaitu China, India, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Sementara Rusia yang mempunyai akar budaya dari Barat melalui Rom Timur berpusat di Constantinople, sekarang ini adalah Istanbul tidak diterima sebagai sebahagian daripada Barat tetapi dianggap juga sebagai Timur. Fahaman komunisme yang berasal dari Barat iaitu di England dianggap sebagai Timur yang kini menjadi asas pada sistem di Rusia, China dan Vietnam.

Peradaban India yang sudah kalah dengan Barat melalui imperialisme British berkembang menurut acuannya walaupun mengamalkan sistem demokrasi yang asal dari Britain.

Tamadun Timur Tengah sudah terpecah-pecah. Palestin sudah dikalahkan dengan Israel yang merupakan sebahagian daripada Barat dalam tradisi gabungan Yahudi-Kristian. Mesir, Syria, Iraq dan negara-negara Arab yang lain menampilkan tamadun kecil masing-masing dengan menggabungkan tradisi tamadun Islam dengan pengaruh Barat. Begitu juga dengan Iran dan Turki. Di Asia Tenggara, tamadun-tamadun Melayu, Jawa, Siam, Kemboja mengubah suai dirinya untuk menerap nilai-nilai Barat dan nilai-nilai tradisi mereka.

Amerika mahukan semua negara mengikut sistem demokrasi mereka. Mereka kata China, Iran dan Rusia tidak demokratik dan perlu perubahan rejim, iaitu digantikan dengan pemerintahan cara mereka.

Sememangnya Amerika terkedepan dari segi kekuatan ketenteraan, ilmu pengetahuan dan teknologi tetapi tamadun mereka sudah korup. Fail Epstein yang walaupun belum dinilai keseluruhan sudah mencukupi untuk menunjukkan kebankrapan moral Barat.

Maka tidak wajar untuk menuruti kebanyakan perkara dari Barat. Timur perlu menilai setiap perkara secara berasingan. Kalau sesuatu perkara yang Barat itu baik, maka Timur patut menirunya. Jika tidak, tinggalkan saja. Kejelekan Epstein wajar menjadi pelajaran bagi dunia Timur untuk berhati-hati dalam mengagumi Barat.

Apa yang lebih membimbangkan ialah Fail Epstein ini menandakan keruntuhan Barat yang pastinya memberi kesan pada seluruh dunia yang belum bersedia untuk menggantikan mereka.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS