Seperti kebanyakan warga emas, fenomena hiburan K-Pop tidaklah menarik minat saya. Tetapi perbalahan antara KNetz dan Seablings dalam media sosial X (Twitter) telah melimpah hingga ke Tik Tok dan banyak yang melalui FYP (for your page) atau “hantaran untuk halaman anda” para pengguna media sosial di seluruh dunia.
Asalnya ialah serang-menyerang netizen Korea Selatan yang dikenal sebagai KNetz dengan netizen Malaysia khususnya peminat K-pop, iaitu muzik popular Korea Selatan. Hantaran itu sudah berbentuk menghina orang Malaysia dalam bentuk rasis atau perkauman. Tentunya ia mengundang serang balas dari netizen Malaysia.
KNetz menghina warna kulit orang Asia Tenggara iaitu tidak “putih” seperti mereka. Mereka juga menghina kedudukan ekonomi Asia Tenggara, iaitu “miskin”. Sedangkan mereka ada jenama tersohor seperti Samsung dan Hyundai.
Malah mereka menyamakan rupa Asia Tenggara seperti “beruk”, seumpama Orang Utan. Selain isu orang Asia Tenggara sering menggunakan bahasa Inggeris tidak seperti orang Korea yang berbangga dengan bahasa sendiri dan menggunakan tulisan ciptaan sendiri iaitu Hangul.
Maka komen-komen ini turut menimbulkan kemarahan orang Asia Tenggara dari luar Malaysia, bermula dengan Indonesia. Walaupun terdapat pelbagai jenis beruk, monyet dan kera di Asia Tenggara, tetapi, Orang Utan hanya ada di Sabah dan Sumatera. Maka tentulah perkara ini turut menyinggung perasaan warga Indonesia. Maka mereka turut masuk gelanggang dan menyerang KNetz.
Netizen Indonesia menyindir bahawa orang Korea khususnya selebriti K-pop yang dinyatakan adalah hasil daripada pembedahan plastik. Maknanya orang Korea tidak tulen, mereka jadi cantik kerana pembedahan plastik “.

“Kita tidak boleh kritik ciptaan Tuhan tetapi kita boleh kritik ciptaan doktor,” Tulis seorang netizen Asia Tenggara menyerang balas KNetz.
Apabila warga Indonesia masuk gelanggang, KNetz beritahu bahawa perbalahan mereka adalah dengan netizen Malaysia dan Indonesia tidak wajar masuk campur. Maka ketika ini muncul istilah Seablings atau Southeast Asia siblings , iaitu adik-beradik Asia Tengggara. Indonesia tidak akan membiarkan saudaranya, Malaysia dibuli Korea Selatan. Seablings ini kemudian meluas kepada Thailand, Vietnam dan Filipina. Kini perbalahan adalah antara Korea Selatan dengan Seablings dan bukannya dengan Malaysia saja.
Asia Tenggara yang berhimpun dalam ASEAN terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Myanmar, Vietnam; Kemboja, Laos, Filipina dan Timor Leste.
Netizen-netizen Singapura dan Brunei lewat muncul tetapi mereka turut serta Seablings bagi membela Malaysia. Begitu sukarnya persidangan-persidangan ASEAN hendak mewujudkan solidariti sesama penduduk Asia Tenggara, tetapi sekelip mata perbalahan KNetz dan Seablings menampilkan solidariti ASEAN dalam alam maya.

Sebalilknya usaha KNetz mengajak solidariti Asia Timur iaitu China dan Jepun menyebelahi pihaknya ditolak. China dan Jepun juga tidak dapat menerima “keangkuhan” KNetz. Ada antara netizen Korea itu mengharapkan Singapura menyebelahi mereka kerana republik itu adalah negara maju seperti mereka, tetapi Singapura tetap bersama Seablings.
Menurut seorang netizen Singapura: “Kami diajar untuk menghormati kepelbagaian budaya dan mempertahankan keharmonian kaum, serta menolak rasisme “
Ada netizen Seabllngs menyindir Korea Selatan yang bukan saja tidak dapat meraih sokongan dari China dan Jepun, malah tidak boleh berbaik dengan “saudara kembarnya” iaitu Korea Utara
Perbalahan KNetz dan netizen Malaysia berpunca daripada peminat Korea Selatan yang datang untuk menonton konsert K-pop di Kuala Lumpur. Peminat itu mengambil gambar dengan kamera besar yang dilarang oleh penganjur. Ia telah mengganggu penonton Malaysia yang datang menyaksikan konsert itu. Perbuatan itu telah ditularkan oleh netizen Malaysia dan ia dikritik oleh KNetz yang akhirnya mengheret kepada kata-kata penghinaan dan merendahkan Malaysia.

KNetz menyatakan bahawa orang Asia Tenggara jika tidak suka kepada Korea Selatan harus menghentikan menonton K-pop dan membeli barangan dan penghasilan dari negara itu.
Bagi warga Asua Tenggara, kata-kata ini adalah suatu yang aneh kerana Korea mengaut keuntungan daripada industri hiburan mereka. Jika warga Asia Tenggara menghentikan tontonan mereka terhadap K-drama, K-pop dan segala hal Korea, pasti ia menjejaskan pendapatan negara. “Negara miskin” Asia Tenggara inilah yang “membeli” produk hiburan “negara kaya” Korea Selatan itu.
Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang boleh jadi pengajaran daripada peristiwa itu. KNetz menghina negara-negara Asia Tenggara yang dilihat sebagai masih mengidolakan penjajah Eropah dengan meninggalkan bahasa sendiri dan lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris. Sungguhpun mahir berbahasa Inggeris, menurutnya, Asia Tenggara masih miskin.
Sementara netizen Asia Tenggara mentertawakan warga Korea Selatan kerana kesukaran mereka untuk menguasai bahasa Inggeris. Suatu keadaan yang turut berlaku di Jepun.
Namun walaupun sukar untuk menguasai bahasa Inggeris, Korea Selatan didapati terlalu mengidolakan Amerika Syarikat berbanding negara-negara Asia Tenggara.

Korea Selatan bukan saja bergantung pada pertahanan Amerika tetapi juga mahu meniru segala perkara mengenai kuasa besar itu. Sebahagian besar orang Korea Selatan meninggalkan agama Buddha mereka untuk memeluk agama Kristian. Perkara ini tidak pun berlaku pada Jepun walaupun mereka dibom atom sebanyak dua kali oleh Amerika.
Korea Selatan pernah dijajah Jepun tetapi tidak pernah dijajah oleh Amerika. Tentera Amerika membantu tentera Korea Selatan untuk melawan tentera Korea Utara yang dibantu Soviet dan China dalam Perang Korea.

Dalam menghina di antara satu sama lain, sememang terlondeh keaiban kedua-dua pihak, sama ada Korea Selatan mahupun Asia Tenggara. Warga Korea Selatan sememangnya berperasaan tinggi diri (rasa superioriti) ke atas Asia Tenggara. Ini kerana kemajuan ekonomi mereka. Tetapi kemajuan mereka ada kos iaitu kadar bunuh diri yang tinggi, terlalu obses pada kejayaan dengan tiada imbangan hidup dengan bekerja (work life balance) serta penurunan kadar kelahiran.
Ada penganalisis berpendapat, keadaan masyarakat Korea Selatan yang mempunyai ketebalan fasisme adalah hasil dari trauma sejarah mereka. Tapi trauma sejarah bukan unik bagi mereka. Kebanyakan negara, baik Jepun, China dan negara-negara ASEAN mempunyai trauma masing-masing.
Pertamanya, bangsa Korea terbelah dua, Korea Utara dan Selatan. Tidak ada negara lain di Asia Timur dan Asia Tenggara berpecah sebegitu sekali. Tetapi di Asia Tenggara, perpecahan adalah lebih awal, mendalam dan merosakkan identiti.
Umpamanya “rumpun Melayu” sendiri berpecah kepada tujuh negara: Thailand (Selatan), Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Timor Leste. “Rumpun Melayu” ini perlu disebut sebagai “rumpun” kerana istilah “bangsa” sudah tidak boleh digunakan. Bangsa Melayu boleh membawa maksud lain. Malah perkataan “Melayu” digunakan kerana tiada istilah lain untuk digunakan untuk menggambarkan “rumpun” ini. Perkataan Nusantara pun sudah tidak sesuai kerana ia tidak melibatkan Filipina.
Orang Melayu boleh termasuk Melayu Thailand Selatan, Melayu Malaysia, Melayu Sumatera, Melayu Brunei dan Melayu Singapura. Sementara Melayu Singapura sudah menjadi minoriti dalam negara yang majoritinya adalah kaum Cina. Kehadiran kaum Cina dan India di Asia Tenggara adalah besar, sesuatu yang tidak dialami oleh Jepun dan Korea.
Namun begitu, kecuali sedikit peperangan antara Thailand dan Kemboja, semua negara di Asia Tenggara mempunyai hubungan baik di antara satu sama lain yang boleh mewujudkan Seablings berbanding hubungan antara negara-negara Asia Timur iaitu Jepun. China, Korea Utara, Korea Selatan dan Taiwan.
Dalam pada itu, Asia Tenggara sememangnya “miskin” berbanding negara-negara maju Asia Timur iaitu Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan. “Negara miskin” Asia Timur ialah Korea Utara dan Mongolia. Tidak semua negara Asia Tenggara “miskin”. Singapura dan Brunei adalah negara “kaya”. Malaysia, Thailand dan Vietnam adalah negara “sederhana.”
Warga Asia Tenggara boleh akui kehebatan Korea Selatan mengeluarkan Samsung dan Hyundai. Tetapi China menghasilkan lebih banyak jenama telefon pintar. Jepun pula tidak memasuki industri ini.

Pernah saya memuji teknologi dan industri Korea pada seorang warganya, tetapi beliau memberitahu banyak rakyatnya tidak menyukai pemilik-pemilik syarikat gergasi Korea. Ini kerana mereka tidak menyebarkan kekayaan pada orang ramai tetapi hanya berlegar di kalangan keluarga besar masing-masing sedangkan mereka dapat sokongan dan bantuan kerajaan.
Pernah Korea Selatan mempelajari projek Sekolah Bestari (smart school) negara ini dan berjaya melaksanakannya. Tetapi negara ini sendiri membatalkan projek itu walaupun telah habis banyak peruntukan untuk merancang dan melakukan persediaannya.
Tidak usah berasa apa-apa bila orang lain menghina kita. Sebaliknya tataplah cermin dan perbaiki apa yang perlu dibaiki. Di dunia hari ini tiada tempat untuk sesuatu bangsa untuk bersikap rasis dan berasa superoriti atau inferioriti. Semua manusia adalah saksama. Rasa superioriti itu adalah ilusi yang menjadikan sesuatu kaum kepada angkuh, bersikap rasis serta fasis dan akhirnya membawa kepada kejatuhannya.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
