KOLUM | Dalam keluarga, kami inilah kononnya yang paling seniman. Tidak ada seorang pun daripada semua anggota kami yang minat kepada dunia peda'ah ini.
Minat penyanyi tak ada, minat lukisan pun tak ada.
Kami maksudkan “keluarga” itu merujuk kepada seluruh keturunan Tok Ghani.
Mungkin arwah Tok Munah – nenek kami – yang paling hampir dengan seni. Tok Munah ialah isteri Tok Ghani. Hobinya semasa lapang ialah membuat tekat benang emas.
Itu pun kami tahu daripada cerita-cerita yang kami dengar. Kami sempat tinggal dengan Tok Munah sehingga berusia 12 tahun sebelum dia meninggal dunia, dan selama masa tersebut kami tidak pernah melihat sendiri dia menekat.
Tok Ghani pula meninggal dunia semasa kami masih berusia sekitar lima atau enam tahun.
Kesemua anak Tok Ghani dan Tok Munah bekerja kerajaan kecuali Mak Cik Ha dan Anjang. Mak Cik Ha menjadi suri rumah sepenuh masa mengasuh anaknya yang seramai 16 orang.
Anjang pula, walaupun pernah bertugas dengan kerajaan namun kemudiannya masuk ke Sungai Lembing untuk bekerja di lombong bijih timah.
Ateh, Aicik, Ayah Busu, Ayah Mat dan juga Der Abbas semuanya orang kerajaan.
Minat sangat berkebun
Daripada pengalaman apabila bersama mereka, kami dapati semua pak cik kami itu minatnya hanya dua – berkebun dan juga memukat.
Masing-masing mempunyai kebun buah-buahan sendiri dan apabila datang musim tengkujuh, kami semua akan berkumpul untuk pergi memukat.
Biasanya kami akan turun ke Pantai Sepat atau Pantai Teluk Sisek. Di sana kami akan menarik pukat beramai-ramai. Kadang-kadang hasilnya baik, dan dalam kebanyakan masa, aktiviti tersebut hanya menjadi sebab untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan.
Ateh, Aicik dan Der Abbas sempat pencen sementara Ayah Busu meninggal dunia paling awal. Dia yang paling bongsu dan meninggal dunia pada usia yang agak muda.

Ayah Mat pula terkena kanser dan meninggal kemudian. Kami lupa sama ada dia masih bekerja atau pun sudah pencen pada waktu itu.
Setelah pencen, Ateh hanya meluangkan masa bertemu keluarga dan rakan-rakan. Antara adik-beradik mereka, Ateh paling kurang minat dalam hal berkebun. Dia tidak seperti adiknya, Aicik.
Aicik adalah kebun itu sendiri. Dari muda hingga selepas pencen, minatnya adalah berkebun.
Der Abbas – seperti juga adiknya, Aicik – juga pekebun tegar. Saban minggu dia akan ke kebun buah-buahan. Dia ada lebih daripada sebuah kebun. Namun setelah pencen dia menambah satu lagi hobi.
Itu adalah sesuatu yang langsung kami tidak jangka. Dia telah menambah pengukir kayu ke dalam portfolionya.
Teruja mendengar janji
Setiap hari di rumah dia akan mengukir kayu membuat bentuk-bentuk haiwan. Tidak dapat dipastikan haiwan apa sebenarnya namun kelihatan itik yang bermuncung ayam dan juga ikan yang tidak menyerupai apa-apa ikan yang pernah dilihat manusia.
Kami rasa teruja apabila pertama kali melihatnya. Terbukti ada juga dalam anggota keluarga kami yang wabalagho seperti kami.
Lalu dalam beberapa siri perbualan, kami mencadangkan supaya Der Abbas menambah itu ini pada arca-arca tersebut. Kami juga meminta dia merujuk kepada karya-karya surelisme.
Dia bersetuju dan terhasillah beberapa siri acara yang menarik.
Dalam perbualan tersebut kami ada mengatakan yang kami akan cuba membantu memasarkan arca-arca tersebut. Ketika itu Der Abbas berusia sekitar 70 tahun.
Walapun tidak memerlukan wang daripada arca-arcanya itu, dia nampak seperti teruja dengan janji manis kami.
Namun begitu hal tersebut agak sukar untuk kami lakukan. Hal itu kerana, pertama, dia agak perlahan dalam menghasilkan karya; dan yang keduanya, dia lebih suka memberikan arca-arca tersebut kepada ahli keluarga kami.

Mungkin impian Der Abbas yang lebih besar adalah supaya semua ahli keluarga kami memiliki sebuah karyanya itu.
Setelah meninggal, kami dapati yang kami tidak memiliki satu pun karyanya. Ia menjadi ralat yang besar kepada kami. Namun begitu di rumah Rose, adik kami, ada sebuah arca tinggalan Der Abbas.
Lama kami memerhati namun tidak mengambil sebarang tindakan.
Satu perkara mengenai adik kami itu, dia tidak menyimpan foto atau arca yang mempunyai bentuk barang hidup seperti manusia dan haiwan di rumahnya.
Malah lukisan dari siri Kerbau kami yang disukai ramai – yang kami hadiahkan kepadanya – pun disimpan di dalam stor rumahnya untuk beberapa lama.
Lukisan tersebut bersaiz 5x7 kaki. Setelah lama dia menghadiahkan lukisan tersebut kepada tempat dia lama bekerja. Baser.
Atas sebab tersebut juga, kami dapati arca tinggalan Der Abbas tersorok di dalam bilik bacaan di rumahnya untuk satu jangka masa yang panjang.
Kecewa tak terperi
Tidak tahan dengan tindakan tersebut, kami pun meminta diberikan arca berkenaan dan dengan senang hati Cik Rose merelakannya.
Kami bawa pulang dan meletakkannya di depan pintu di rumah. Setiap kali masuk atau keluar dan melihat arca tersebut, kami berasa bangga dengannya. Sehinggalah kelmarin.
Kelmarin kami memang terasa mahu mengalih arca tersebut ke tempat lain. Tetapi didapati arca tersebut sudah tidak ada di tempatnya.
Setelah bertanya-tanya maka sahlah arca tersebut hilang. Kami selalu berdoa agar tidak termasuk dalam golongan yang cintakan barang, namun kehilangan itu amat dirasakan.
Remuk redam hati kami dibuatnya.
Entah siapa atau apa yang mengambilnya. Namun selain kehilangan arca, satu macam rasa selamat juga hilang bersamanya. Kami bersyukur kerana kediaman kami tidak pernah diceroboh selama ini.
Kehilangan arca tersebut sebenarnya sedikit sebanyak membuatkan kami berfikir kembali tentang langkah pencegahan.
Jika selama ini pagar rumah kami tidak pernah dikunci, manakala kunci rumah juga diletakkan di tempat yang diketahui oleh keluarga dan sahabat rapat, kini semua keistimewaan tersebut terpaksa difikir semula.
Hilang kepercayaan adalah suatu kemalangan hidup.
Alaaaaahhhhhh….! Macam kita semua sudah hilang kepercayaan kepada semua ahli politik itulah.
Kepercayaan hilang perlahan-lahan
Sudah tidak lagi kelihatan daripada kalangan mereka yang benar-benar mahu memajukan negara. Tidak juga dilihat antara mereka yang mahukan kita bersatu di bawah sehelai bendera.
Masing-masing dengan kejam mengejar kuasa. Masing-masing sibuk dengan agenda bangsa. Dan jika dengan kesatuan yang mereka anggotai pun mereka berkhianat, apatah lagi kepada kita yang selamanya menjadi alat kepada kegemilangan peribadi mereka itu.
Segala macam kejahatan telah dan akan mereka lakukan. Kebenaran hanya ada pada pihak yang memegang kuasa.
Selama mana mereka disokong maka selama itulah segala macam dosa mereka akan diampunkan.
Sekilas kamu derhaka, maka neraka dunia adalah tempat kekal politik kamu.
Kamu pula si bodoh yang tergaru-garu bontot yang tidak gatal kerana sedang keliru. Partai aku benar, kata kamu; tapi menteri aku makan rasuah.

“Partai orang lain salah tapi mereka juga makan rasuah,” kata kita pada diri sendiri.
Maka mati kering begitu sajalah kamu itu. Mengharap lalu tertiarap.
Kepercayaan kepada orang atas dalam kerajaan juga perlahan-lahan semakin hilang sambil kita berdoa bahawa segala dakwaan tersebut adalah rekaan.
Mok adalah adik perempuan paling bongsu. Dia cuma lebih tua sedikit daripada Ayah Busu. Mok masih sihat bahkan ada kalanya kami mengesyaki dia lebih sihat berbanding kami sendiri.
Dia kini adalah King dan sekali gus Queen dalam keluarga kami.
Seluruh anak, cucu, cicit dan piut Tok Ghani dan Tok Munah akan berkumpul di rumah Indah – adik kami yang satu lagi – apabila datang musim raya.
Selamat berpuasa semua, dan nanti semasa berbuka, jangan makan rasuah.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang gemar berkelana.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
