Paling Popular
Terkini

Saya tidak fikir dunia benar-benar memahami implikasi kesyahidan Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, As-Syahid Ayatullah Ali Khamenei di tangan regim Epstein, Donald Trump dan seluruh sekutunya, baik yang di Eropah mahu pun di Asia Barat.

As-Syahid Ali Khamenei bukanlah semata-mata pemimpin tertinggi di Iran, tetapi beliau juga adalah salah seorang marja’ atau rujukan fikah untuk berjuta umat Islam bermazhab Syiah di seluruh dunia.

Malah kedudukan beliau sebagai rahbar (istilah untuk pemimpin tertinggi) adalah satu istilah yang memiliki muatan yang sungguh berat. Membunuh beliau bukan sahaja membawa kesedihan, tetapi sebenarnya hanya akan menggerakkan satu kebangkitan luar biasa di seluruh pelusuk dunia.

Sebaik sahaja beliau syahid, umat Syiah di Iraq dan Iran telah membanjiri jalan raya dengan jumlah luar biasa dan menyerukan pembalasan. Pengikut Khamenei ada di Pakistan, Lubnan, India, di Barat sendiri termasuklah di Asia Tenggara ini.

Di dalam mazhab Syiah, marja’ mengeluarkan fatwa dan ia terpakai serta menjadi satu panduan dalam kehidupan. Ia tidak dilanggar. Sebaik sahaja fatwa itu dikeluarkan ia tidak gugur atau ditarik balik melainkan oleh pengeluarnya sendiri.

Salah satu fatwa As Syahid Ali Khamenei ialah larangan membikin senjata nuklear. Kesyahidan beliau baru-baru ini membenam sama fatwa tersebut. Kini penggantinya, rahbar yang baru, dijangka seorang ulama atau faqih, boleh, sekiranya beliau kelak mahu, mengeluarkan fatwa baharu. Saya tidak berani melakukan ramalan.

Natijah pembunuhan Sayyid Ali Khamenei bukan calang. Sebagai perbandingan ialah apa natijah membunuh Pope di dalam pejabatnya di Vatican, adakah ia tidak akan mendorong seluruh umat Katolik untuk bertindak balas?

Pembunuhan as-Syahid Ayatullah Ali Khamenei ini membuka pintu kepada satu bencana yang mungkin tidak dapat dibendung; Perang Dunia.

Tidak ada jaminan tidak akan berlaku satu amuk yang akan akhirnya tiba ke negara kita juga. Sedikit sebanyak, umat Islam di Malaysia akan mendapat tempias kejadian dahsyat ini.

Dalam ucapan terakhir beliau di hadapan orang awam, As Syahid Ali Khamenei menegaskan bahawa umat Islam dan umat Syiah di Iran mengimani As-Syahid Imam Hussein dan mereka tidak akan sama sekali berundur untuk mengaku kalah, sehinggalah menemui kesyahidan.

Sebagai seorang yang obses dengan kemerdekaan Palestin dan hampir semua sahabat dan pelajar beliau telah pun syahid, kesyahidan Sayyid Ali Khamenei ini telah diduga dan memikirkan bahawa Iran tidak menyediakan pelan ganti dan pelan balas adalah satu kedunguan.

Serangan balas yang dilancarkan oleh Iran terhadap Arab Saudi, UAE, Qatar, Bahrain dan Kuwait selepas pelancaran perang berdarah oleh Amerika dan Israel sabtu lepas nampaknya ikut menelanjangkan siapakah yang berada di dalam blok munafikin.

Terlepas daripada perbincangan geopolitik yang panjang dan bertele, buah fikiran hebat as-Syahid Ali Khamenei perlu dirujuk kembali.

Salah satu karya as-Syahid yang pernah berlegar dalam masyarakat negara ini adalah nota beliau yang diberi judul ‘Akar Keimanan’ yang merupakan prakata untuk satu nota panjang berjudul Ukhuwwah Islamiyyah (Persaudaraan Islam) yang dihantar ke kota-kota di Iran untuk menekankan kepada perpaduan umat Islam.

Risalah persaudaraan itu kemudian tersebar ke seluruh dunia Islam dan menjadi satu pamflet kefahaman apa itu Islam Iran pada tahun 1980an.

Dalam prakata nukilan as-Syahid Ali Khamenei itu beliau menekankan kepentingan iman yang menurut beliau bukanlah hanya satu penyataan semata-mata, tetapi ada pertanggungjawabannya. Untuk itu beliau menyarankan umat agar menyemak al-Quran dan janji-janji yang diketengahkan oleh Allah di dalamnya.

Kebangkitan berdepan Firaun

Beliau menyatakan umat Islam perlu mengetahui tujuan penciptaannya dan bagaimana untuk mencapai petunjuk tersebut. Terdapat banyak kejahilan dan kepalsuan yang akan menutup arah, maka ia harus dibuka dengan cahaya kebenaran.

Sudah tentu cahaya tersebut tidak lain tidak bukan adalah tauhid dan perenungan terhadap seluruh aspek ketauhidan itu. Tauhid menurut Sayyid Ali Khamenei akan mempengaruhi watak manusia sehingga ia akan membentuk masyarakat dan membentuk individu.

As-Syahid juga melihat kenabian dan risalahnya bukan hanya sebagai satu kesaksian, tetapi adalah satu kebangkitan. Yakni kenabian itu sendiri adalah kebangkitan manakala kebangkitan itu bukanlah kebangkitan biasa-biasa tetapi adalah untuk menghapuskan kejahatan dan mencapai makam kemanusiaan yang mulia dan punya manfaat.

Dalam prakata itu, Sayyid Ali Khamenei membawa contoh bagaimana Nabi Musa berdepan dengan kezaliman Firaun. Untuk berdepan kekejaman penguasa jahat seperti Firaun itu beliau menyatakan tauhid menawarkan sistem sosial yang ideal di mana ia menitik beratkan kepada kebebasan, penghormatan, keadilan sosial, kebangkitan umum dan pembasmian kezaliman.

Sekiranya umat dapat membezakan antara kebatilan dan kebenaran, maka generasi mendatang kita akan terselamat dari penyelewengan.

As-Syahid banyak mengupas mengenai 'tuhan palsu' dalam buku ini dan ia dilebarkan akhir-akhir ini kepada perbahasan seputar berhala, semisal Baal yang disembah regim Epstein misalnya.

Tuhan palsu ini menyamar dan menyelit dalam kalangan kita dan ia menjelma dalam bentuk kelas. Dalam ‘Akar Keimanan’ rahbat menyatakan adapun kelas yang dimaksudkan adalah kelas Firaun, kelas Haman dan Qarun; yang mana kesemuanya menjadikan benda dan kebendaan sebagai Tuhan.

Kesatuan umat yang diingini menurut as-Syahid tidak akan dapat berlaku tanpa walayat (kekuasaan dan kepimpinan).

Wewenang yang ada pada walayat ini adalah untuk meletakkan keadilan dan keselamatan dalam masyarakat, supaya setiap anggotanya boleh tumbuh subur menjadi hamba Tuhan yang tulen, supaya manusia kembali dan dapat menuju kepada fitrah penciptaannya. Walayat bukan Tuhan dalam konteks ini adalah taghut, kebatilan dan keiblisan.

Tidak syak lagi walayat bukan Tuhan hari ini akan ditafsirkan sebagai jaringan Epstein yang berpaksi di Washington DC. Ia terjaring sekali dengan sekutu Epstein di Barat dan Asia Barat, menjadikan mereka musuh sah kepada seluruh umat Syiah di dunia.

Trump dalam kepala ramai adalah pembuli - didakwa terbabit Epstein si perogol kanak-kanak perempuan itu - manakala blok Ali Khamenei adalah pejuang golongan tertindas.

Pembunuhan as-Syahid Sayyid Ali Khamenei bukan pengakhiran perlawanan antara kem Tuhan-Wilayah dan kem Baal-Epstein. Malah ia permulaan. Akan ada lagi puncak-puncak perlawanan yang luar biasa sehingga ke akhir zaman. Ini hanya satu episod dari macam-macam episod menuju klimaks.

Buat masa ini, dunia menunggu dengan penuh debar akan risiko membunuh seorang Hussaini (cucu-cicit keturunan Saidina Hussein), seorang pemimpin negara Islam yang mempunyai kuasa nuklear dan menjadi rujukan kepada berjuta pengikut, namanya Ali Khamenei yang lahir di Mashad, Iran pada tahun 1939 dan pernah terselamat dalam satu cubaan bunuh pada 27 Jun 1981 ketika sedang berkhutbah.

‘Masalah’ untuk pembela Epstein seperti Trump adalah tidak faham bahawa dalam Islam, seorang yang syahid tidak mati. Akan tetapi akan kekal hidup. Saya tidak fikir dunia betul-betul bersedia dengan implikasinya.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS