KOLUM | “Anggota,” kata lelaki muda yang sama menunggu. Kerana menyangka dia bertanya, maka kami jawab: “Bukan.”
Lama dulu, kami pernah disangka sebagai mata-mata gelap oleh penulis terkenal, Lutfi Ishak. Puncanya kerana kami meminta salinan sajak yang telah dibacanya dalam satu acara. Zaman reformasi tengah panas.
Kami syak Lutfi pada waktu itu ialah penyokong partai PAS, kerana hanya orang PAS saja yang sibuk (pada waktu itu) mengesyaki apa saja yang mereka lakukan – berceramah misalnya – diperhatikan oleh Cawangan Khas.
Sebagai belasan hati, sayugia kami katakan bahawa kita semua memang di bawah pemerhatian pihak berkuasa hampir setiap masa. Maka janganlah kamu melakukan dosa undang-undang dan berasa akan terlepas daripadanya.
“Bukan, saya anggota,” kata lelaki tersebut membetulkan keadaan. Kami berdua sedang duduk menunggu di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru.
Memang jika pada bulan puasa seperti sekarang ini, kami akan mencari masa untuk berbuka puasa di masjid tersebut. Masjid Kampung Baru ini semacam ada karisma masjid di Mekah.
Dengan jemaahnya yang berbilang bangsa dan juga manusia yang tidak henti-henti keluar masuk. Ditambah pula dengan tetamu dari hotel berdekatan yang segera datang apabila masuk waktu, dan pulang setelah selesai.
Kami sukakan suasana berbuka puasa di masjid berkenaan.

Jika tidak silap, lelaki berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai Taufik dan dia bertugas mengiring TMJ. Kami bertanya sama ada dia adalah anggota tentera persendirian Johor.
Dia memberitahu bahawa dia bertugas dengan Bukit Aman. Dan daripada dia juga kami diberitahu yang Agong kita sedang tidak berapa segar. Didoakan baginda akan segera sihat.
Masjid Kampung Baru memang menyenangkan. Kami suka kepada kelembutannya. Mungkin masjid itu juga mempunyai seribu macam masalah seperti masjid-masjid lain, namun apa yang ada di depan mata kami adalah keterbukaan.
Masjid itu terletak di dalam kawasan yang paling sibuk di Kuala Lumpur. Namun segala macam kesibukan itu hakis sebaik saja kamu masuk ke dalamnya.
Petugas masjid tidak kelihatan menekan-nekan. Mereka bahkan seperti amat gembira meraikan tetamu-tetamu yang datang.
Dendam di dalam hati
Di sekitar kaki limanya terdapat beberapa orang peminta-minta. Masjid itu juga masih dibelenggu masalah jemaah hilang kasut selipar yakni masalah yang semakin terpinggir di masjid-masjid lain.
Namun demikian tidak kelihatan sebarang tekanan diberikan kepada peminta-minta dan juga pengambil kasut tanpa izin tersebut. Mereka masih bebas keluar masuk beraktiviti.
Terserah kepada kamu mahu memberi atau pun mahu berkaki ayam.
Terdapat beberapa buah gerai menjual selipar berhampiran pintu masuk masjid berkenaan. Jadi, jangan susah hati jika kehilangan alas kaki.
Masalah utama hampir semua masjid di tempat kita ialah dendam.
Ahli jawatankuasa masjid sering menganggap jemaah yang datang adalah beban. Lalu timbul seribu dendam di hati mereka.
Jemaah yang selekeh dianggap mengotorkan masjid, manakala mereka yang mengambil lebih daripada satu bahagian makanan dianggap si tamak yang perlu dimusuhi.

Entah-entah jika diselidik, itu adalah makanan pertama mereka pada hari itu, dan makanan kedua yang disimpan itu entahkan makanan untuk kali yang lain. Bukan semua orang adalah pesara pengarah jabatan kerajaan seperti kamu.
Berhampiran dengan tempat kami ada sebuah masjid yang penuh dengan amaran bertulis. Tidak dibenarkan itu, dilarang ini. Yang paling didendami oleh masjid berkenaan ialah mereka yang meletak kereta di ruang pakirnya yang seluar tiga padang bola sepak itu.
Pelbagai ancaman diberikan kepada sesiapa yang berani meletakkan kereta mereka di luar waktu.
Masjid sepatutnya bersifat menerima. Mahu tidur tanpa mahu sembahyangkah, atau mahu sembahyang tanpa mahu tidurkah – terserah kepada tetamunya. Pihak yang diberi amanah menjaga masjid pula perlu meraikan, bukannya menyimpan dendam.
Enggan lagi ke masjid
Jika masjid dikotori, maka bersihkanlah. Tidak perlu menjerit-jerit (atau dengan ayat yang lebih sopan menurut PMX: melalak) memarahi. Masjid itu sifatnya membuka tangan.
Entah jika kita membenarkan orang menggunakan ruang letak kereta itu akan membuatkan mereka menjadi lebih dekat dengan masjid. Dan tidak meninggalkan sembahyang, misalnya. Hidup sebagai orang Islam itu falsafahnya ialah jangan menyusahkan orang.
Benar, menjadi tanggungjawab semua orang untuk memelihara kebersihan dan juga keamanan masjid namun jika yang datang itu kaki pengotor, kaki haprak, maka layan mereka dengan hemah.
Mungkin setelah seribu kali ditegur, mereka akan berubah. Ini tentu saja lebih baik daripada memarahi mereka dan setelah itu mereka tidak lagi mahu datang ke masjid.
Bukan semua orang yang datang ke masjid adalah malaikat. Kadang-kadang ada juga ‘syaitan’ yang mahu bertaubat. Maka kamu sebagai ‘malaikat’ sepatutnya menyambut para ‘syaitan’ itu dengan senyuman yang paling manis pernah kamu lemparkan.
Kamu mengaku Islam adalah yang terbaik namun sifat memusuhi sesiapa saja yang datang menjadi tetamu rumah Tuhan amatlah menjengkelkan.

Mungkin nanti kamu tidak ditanya pun akan betapa indahnya masjid yang kamu tadbir itu, malah yang pasti kamu akan ditanya mengapa ahli kariah kamu enggan memenuhkan ruang yang ada.
Kamu juga bukan dilantik untuk mengindahkan dan juga membesarkan masjid bahkan kamu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka yang masih belum mahu bersembahyang (jemaah) di kawasan kamu.
Matlamat besar mana-mana masjid dan surau ialah agar seluruh penduduknya datang lima kali sehari untuk menunaikan sembahyang. Jika itu berjaya kamu lakukan, maka apa jenis sedekah yang kamu mahu pasti akan dipenuhi.
Penuhkan masjid kamu itu dengan jemaah, nescaya tabungnya juga akan penuh. Selepas itu baru kamu fikirkan bagaimana mahu mengindahkan dan memperbesarkan masjid dan surau kamu.
Sewaktu bersembahyang tarawih, lelaki di sebelah kami kelihatan sangat dikenali. Namun kami tidak dapat meneka siapakah dia. Sehingga dia meletakkan jaket yang dipakai di atas jubah putihnya itu ke lantai.
Cermin mata mahal
Kami berusaha menjeling apakah yang tertulis pada jeket berkenaan dan setelah empat rakaat tarawih, kami dapati perkataan “Melaka” ada tertulis kecil dengan satu bendera yang kami tidak pasti mewakili apa.
Arakian, baru kami perasan yang disebelah kami ialah MP Jasin. Agak kemas orangnya walaupun sedikit rendah daripada kami yang sedia pendek ini.
Setelah lapan rakaat, dia pun menadah tangan berdoa. Hati kami berdebar tiba-tiba.
Menurut dapatan di internet, Qunut Nazilah yang dibacakan adalah makbul. Kami berharap dia mendoakan kebaikan untuk dirinya dan juga untuk semua orang seperti mana layaknya seseorang yang mengaku Muslim.
Setelah berdoa, dia menghulur tangan untuk bersalam. Kami menyambut salamnya dan mendapati dia mempunyai genggaman tangan yang kuat. Dan kami sempat menjeling pada cermin matanya.
Nampak cantik, dan kami agak mesti mahal harganya. Pun begitu kami dapati bingkai berkenaan tidak kena dengan ketokohannya.
Kami berazam untuk mendapatkan bingkai yang serupa kerana menurut kami, ia amat sesuai dengan bentuk muka kami yang empat segi ini.
ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang sedang berkira-kira menyertai aktiviti iftar hunting atau masjid hunting.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
