KOLUM | Ramadan 1447 ini, mak sudah tiada. Malaikat menjemput mak ke alam kubur – alam yang bakal lalui oleh semua yang bernama makhluk. Aku, kamu dan mereka – semuanya akan ke sana jua.
Bapa sudah pergi 18 tahun lalu.
Beberapa hari sebelum singgahnya bulan yang mulia ini, mak berpindah ke ‘rumah’ barunya. Kami hanya dapat menghantar jasadnya ke liang lahad. Betapa besar pun kasih kami kepada mak, di situ saja had langkahnya.
Hanya amalan, ilmu yang dimanfaatkan dan titipan doa daripada kami mengiringi mak.
Ramadan lalu, sempat kami berbuka puasa bersama. Duduk bersila menghadap juadah yang mak sediakan.
Apabila kami berbuka di rumah mak, hidangan ayam masak semur Jawa dan sambal goreng tempe pasti disajikan. Itulah rutin setiap Ramadan yang kami lalui bertahun-tahun.
Itulah juga hidangan yang mak sediakan jika kami bermusafir. Mak letak juga ketupat untuk pengganti nasi.
Setelah Ramadan tahun ini merangkak semakin laju ke penghujungnya, kami mulai merasai kerinduan yang amat. Aidilfitri nanti sudah pasti rumah pusaka mak sepi daripada suaranya. Tiada lagi masakan lontong mak.
Tiada lagi acara bersalam-salaman antara adik-beradik serta cucu dengan mak. Dulu, berderet anak cucu menunggu giliran mencium tangan mak memohon kemaafan dan mengucapkan selamat hari raya.
Bermula anak sulungg yang sudah menjengah usia sepetang hinggalah kepada cucu yang paling bongsu. Kemudian, mak mengagih-agih sampul berisi duit raya kepada cucu-cucunya yang semakin membesar.
Semua kini tiada.
Sebagai penulis, ini adalah karangan peribadi Muhaimin kepada ibunya – Masreah Haji Mohd Yasin. Sebagai pembaca, mungkin ada bezanya mentafsir makna ibu dalam kehidupan peribadi masing-masing.

Karangan tentang ibu tidak pernah mati. Ia kekal hidup dalam jiwa manusia yang bernyawa.
Selagi ibu masih bernyawa usah persia-siakan menghulur tangan kepada mereka. Kelak tidak menyesal di kemudian hari.
Seuzur mana sekalipun seorang ibu di rumah, ia adalah semangat yang menyala menerangi sebuah keluarga besar mengharung kehidupan.
Hakikatnya, semua manusia berasal dari rahim seorang ibu. Kecuali Nabi Adam AS, manusia pertama yang dicipta oleh Allah SWT.
Sekadar mahu mendengar
Indahnya bahasa ibunda kita mencipta kata – memilih istilah ‘rahim’ untuk karung yang merangkul janin selama sembilan bulan. Akar katanya dari bahasa nabi – Arab – yang bermakna kasih sayang.
Itulah juga kata yang menjadi mukadimah membaca kepada setiap surah dalam al-Quran. Bahkan menjadi frasa kata dalam setiap urusan dan tindakan.
Seindah itulah juga sentuhan seorang ibu pada anak-anak yang dilahirkannya. Kasih ibu bermula sejak dalam kandungan.
Ke mana perginya seorang ibu yang badannya mengandung, dia membawa bersama kandungannya tanpa banyak bicara.
Dalam roman cinta Hamka, Tenggelamnya Kapal Van der Wijk, dia menulis tentang cinta sepasang kekasih. Namun di situ ada terselit falsafah cinta yang lebih luas dalam memaknakan kehidupan manusia.
Hamka berkata bahawa pintu cinta itu ada banyak. Ada pintu suka, ada pintu rindu, dan ada pintu sayang. Dan antara semua pintu itu, pintu cinta yang tertinggi adalah pintu kasihan.
Pada pintu itulah sering mak sandarkan cintanya kepada anak dan cucunya yang ramai.

Ramadan ini, tiada lagi pertanyaan daripadanya: “Bila kau nak berbuka di sini?”
Kadangkala nadanya lebih merayu berbanding mengajak. Namun kadangkala anak-anaknya pun sudah punya keluarga, berkerjaya dan tinggal di kota.
Jika tidak berbuka bersamanya, mak akan tetap bertanya: “Kau buka apa hari ni?” atau “Kau sihat?” Soalan bersahaja yang kerap mak ulang-ulang tanya. Tiada pernah rasa jemu meski jawapannya adalah sama.
Mak bukan mahu tahu jawapan. Dia mahu mendengar suara anaknya sahaja. Seperti sewaktu dia mengandung, degupan dari rahim yang menenangkan hati ibu. Bahkan itulah semangat yang menyala cahaya kehidupannya.
Kini, tiada lagi deringan telefon bertanya khabar berita.
Suatu keajaiban dunia
Tiada lagi mak menanti kedatangan kami di kampung halaman, mencium tangan dan mengucup dahi mak. Tiada lambaian tangan mak di serambi rumah. Tiada pandangan redup mak yang syahdu.
Semua sudah tiada. Ia hanya tinggal kenangan yang diungkit-ungkit demi keindahan yang masih terpahat dalam ingatan.
Pada mak itulah isi hati anak akan luahkan. Ketika sedih pilu atau waktu gembira, rindu dan syahdu.
Hal itu kerana mak punya telinga yang sedia mendengar apa jua nada dan rasa daripada anak-anaknya. Meski ada waktunya meruntun jiwanya sendiri menahan derita. Tatkala usia seorang ibu meniti usia senja, pasrahnya tidak pernah bertepi.
Kudratnya tidak lagi segagah dahulu. Hanya dia titipkan doa restu yang kadangkala anak-anaknya sendiri tidak pernah tahu.
Bahasa ibu bukan memberitahu. Bahasa ibu lebih mendalam ke dasar cinta yang sejati. Kenangkan perjalanan hidup Siti Hajar di padang gurun yang gersang bersama anaknya, Ismail.
Berlari-lari anak mencari air. Dari Bukit Marwah hingga ke Safa. Berulang-alik tujuh kali sehingga terpancur air dari bekas hentakan kaki anaknya, Ismail.
Kenangkan perjalanan hidup bonda kepada baginda Rasulullah SAW, Siti Aminah Abdullah. Membesarkan Muhammad setelah kematian suaminya, Abdullah.
Atau ambil semangat kuat ibadah dan akrabnya Siti Mariam bermunajat di al-Aqsa hingga dikurniakan keajaiban manusia.
Ibu kita mungkin tidak sehebat Siti Hajar atau Siti Aminah yang punya anak sehebat seperti Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad SAW atau Siti Mariam ibu kepada Nabi Isa AS.
Ibu adalah keajaiban hidup di dunia. Bersyukurlah kerana kita pernah memiliki seorang ibu. Alhamdulillah.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
