Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Mojtaba Khamenei akan tebus kematian keluarga

Pelantikan Mojtaba Khamenei yang berusia 56 tahun sebagai pemimpin agung atau rahbar mendapat sokongan rakyat Iran secara umum, walaupun tentulah sokongan yang diterimanya tidaklah boleh dikatakan 100 peratus. Sokongan itu dizahirkan melalui perhimpunan dan perarakan jalanan di seluruh negara.

Perhimpunan paling besar diadakan di Dataran Revolusi Islam (Maidan Inqilab Islami) pada 10 Mac. Di situ orang ramai menyatakan “baiah” (pernyataan kesetiaan) kepada Mojtaba sebagai imam mereka. Pemimpin agung Republik Islam itu adalah seperti khalifah bagi orang Syiah. Ia adalah juga pemimpin kerohanian dan keagamaan selaras dengan gagasan Wilayatul Faqih (ahli hukum agama sebagai pemangku Imam Mahdi) anjuran pemimpin revolusi dan pengasas republik itu, Ayatullah Khomeini.

Sebelum revolusi, ketika Iran diperintah oleh raja, golongan ulama berada di hauzah (madrasah) terutama di Qom, belajar, mengajar dan membimbing agama tanpa terlibat dalam politik.

Untuk menganjurkan dan menyertai perhimpunan dan perarakan bukanlah mudah bagi negara yang sedang berperang. Lebih-lebih lagi peperangan yang berat sebelah dengan musuh mempunyai kekuatan tentera udara yang besar sementara Iran tidak berupaya secara berkesan mematahkan serangan udara itu.

Mojtaba Khamenei

Dataran Revolusi Islam itu dibom oleh jet Amerika dan Israel pada 3 Mac. Serangan itu berbentuk simbolik kerana ia merupakan tanah lapang saja. Amerika/Israel mahu melarang rakyat berhimpun dan menyatakan sokongan kepada pemimpin agung baharu.

Pemimpin agung itu dipilih oleh rakyat secara tidak langsung. Ia melalui proses demokratik berperwakilan. Badan yang memilih pemimpin agung adalah Dewan Pakar bagi Kepimpinan (Majles-e Khobregān-e Rahbarī) yang mempunyai 88 anggota yang terdiri daripada ulama bertaraf mujtahid dan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Mujtahid adalah ulama yang mempunyai kelayakan untuk melakukan ijtihad. Pemilihan adalah lapan tahun sekali. Pilihan raya terakhir untuk anggota Dewan Pakar ialah pada tahun 2023.

Tempat persidangan Dewan Pakar ialah di sebuah bangunan indah era shah Iran di Teheran. Pada zaman itu, ia merupakan bangunan Dewan Senat. Pejabat Dewan Pakar pula berada di Qom. Dewan Pakar bersidang enam bulan sekali. Ia mempunyai kuasa melantik dan memecat pemimpin agung. Tetapi pemimpin agung tidak perlu menjawab kepada Dewan Pakar. Dalam sidang-sidang itu, Dewan Pakar akan sentiasa menyediakan nama-nama calon bagi menjadi pengganti kepada pemimpin agung jika berlaku kematian. Butiran perbincangan dihebah kepada semua 88 anggota tetapi tidak diumumkan pada rakyat dan pemimpin agung.

Jet-jet Israel/Amerika telah mengebom bangunan persidangan Dewan Pakar dan pejabatnya di Qom itu pada 3 Mac lalu. Bangunan dewan itu musnah dan pejabat di Qom mengalami kerosakan. Serangan itu menunjukkan Israel dan Amerika mahu menghalang pemilihan dan pelantikan pemimpin agung baharu.

‘Orang yang terpilih’

Calon-calon untuk menjadi Dewan Pakar disaring oleh Dewan Pengawal Perlembagaan yang mempunyai 12 anggota terdiri daripada enam ulama yang dilantik oleh pemimpin agung dan enam peguam yang dipilih oleh ketua hakim negara.

Rakyat pada umumnya mengetahui Mojtaba sebagai anak kepada Ayatullah Ali Khamenei, pemimpin agung terdahulu besar kemungkinannya tidak mengenali beliau lebih daripada itu.

Mojtaba yang namanya dalam bahasa Farsi bermaksud “orang yang terpilih” diketahui sebagai seorang ulama di Qom, dan pernah menyertai tentera Iran ketika Perang Iran-Iraq pada tahun 1980-an. Beliau merupakan anak kedua Khamenei yang dicatat oleh media Barat sebagai “recluse”, iaitu tidak menyertai pertemuan dan perjumpaan awam.

Beliau dikatakan tidak pernah kelihatan memberikan ucapan atau wawancara, lebih-lebih lagi terlibat dengan aktiviti dan jawatan politik. Tetapi beliau mempunyai peminat tersendiri dalam Dewan Pakar.

Namun gambaran yang dibawa oleh media Barat itu kurang tepat. Sejak tahun 2008, beliau adalah timbalan ketua staf kepada pemimpin agung dalam bahagian hal ehwal politik dan keselamatan. Ketua staf pemimpin agung adalah Gholamhossein Muhammadi. Beliau memegang jawatan itu semasa Ali Khamenei dan juga kini di bawah Mojtaba.

Gholamhossein yang berusia 83 tahun juga seorang ulama memegang jawatan itu sejak tahun 1989. Jawatan itu penting bagi pelaksanaan tugas pemimpin agung. Perlu disebut bahawa pemimpin agung tidak menerima gaji daripada negara. Tetapi sebagai ulama, keperluan hidupnya ditanggung oleh yayasan keagamaan di Qom yang menerima sumbangan dari orang ramai.

Mojtaba juga adalah penaung kepada Barisan bagi Keteguhan Revolusi Islam (Jebha-e Paydari-e Inqilab-e Islami). Ia merupakan kumpulan politik yang terlibat dalam pilihan raya. Oleh kerana parti politik tidak dibenarkan di Iran, maka kumpulan-kumpulan politik wujud bagi mengatur organisasi dan mobilisasi rakyat. Kumpulan yang dikenali sebagai Paydan ini dianggap sebagai berprinsip, paling ekstrem di kalangan “fundamentalis” yang juga dianggap “aliran paling kanan” iaitu paling konservatif, berbanding dengan bapanya, Ali Khamenei yang merupakan anggota Jemaah Ulama Pejuang atau Jamaa-e Ruhaniat-e Mobarez yang lebih sederhana.

Kumpulan politik ini adalah lanjutan kepada Parti Republikan Islam yang dibubarkan apabila parti politik dilarang oleh Ayatullah Khomeini.

Sebab itu Presiden Donald Trump tidak suka pada Mojtaba yang dianggap sebagai “lightweight” atau lemah. Trump hendakkan “heavyweight” atau kuat menurut perspektif beliau, yang bermakna boleh menurut kehendaknya seperti mana pemimpin-pemimpin Arab yang lain. Hampir semua pemimpin dunia Arab Timur Tengah kecuali Yaman tunduk pada Amerika.

Pemimpin tak baca buku

Walaupun Trump tidak arif mengenai hal ehwal antarabangsa, kurang minat pada pengetahuan dan tidak membaca buku, tetapi beliau diberi maklumat mendalam oleh pelbagai agensi kerajaannya tentang Iran khususnya CIA yang mempunyai rangkaian perisik di seluruh negara itu.

Dari awal lagi Trump menolak anak shah Iran, Reza Pahlavi sebagai pemimpin Iran. Perkara inipun pasti datang dari maklum balas CIA. Pihak yang mahukan Reza Pahlavi ialah Israel. Sejak shah Iran tumbang, pihak Israel membela keluarga shah Iran yang semasa pemerintahannya mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel. Pada tahun 1950-an, Turki dan Iran adalah tonggak pandukung Israel.

Protes anti-Trump di Kuala Lumpur

Dari apa yang dikatakan Trump, berkemungkinan beliau memperoleh melalui taklimat CIA yang mengenal pasti calon-calon pemimpin agung.

Calon itu tidak semestinya diketahui bahawa beliau sedang dirancang untuk menjadi pemimpin agung. Tetapi sikap dan pendiriannya yang sederhana atau pragmatik, dan lebih penting lagi bersedia untuk kerjasama dengan Amerika merupakan calon Trump.

Untuk menjayakan rancangannya, Amerika membunuh Ali Khamenei. Mereka melakukan “decapitation” iaitu memotong lapisan atas kerajaan supaya lapisan kedua dapat naik. Maka dari lapisan kedua inilah calon yang Trump itu akan dapat naik.

Masalahnya, yang menyerang bukan Amerika saja tetapi Israel. Walaupun kedua-duanya sekutu, masing-masing ada agenda berbeza. Amerika mahukan perubahan kerajaan tetapi Israel mahu Iran dilemahkan dan kucar-kacir seperti Iraq dan Syria. Maka pengeboman yang berlebihan menyebabkan Iran kehilangan “tiga lapis” pimpinan termasuk calon yang Trump fikir boleh menjadi pemimpin agung.

Trump berkata, sepatutnya Iran membenarkan beliau memilih pemimpin untuk mereka. Presiden itu langsung tidak mempedulikan soal kedaulatan dan hak rakyat Iran menentukan pemimpin sendiri.

Mojtaba pernah dicadangkan sebagai calon pengganti bapanya pada tahun 2024 tetapi Ali Khamenei menolak. Beliau tidak mahu jawatan pemimpin agung disandang anak-beranak. Penolakan seumpama ini pernah berlaku semasa zaman Ayatullah Khomeini pada tahun 1980-an. Anak beliau itu adalah Ahmad Khomeini yang dipandang sebagai layak telah dicadangkan supaya dinamakan sebagai calon pengganti bapanya.

Ayatullah Khomeini melarang pelantikan anaknya walaupun layak kerana tidak mahu Iran menjadi feudal. Revolusi Islam melahirkan Republik Islam. Zaman feudal, ketika ketua negara Iran adalah jawatan raja turun-temurun, sudah berlalu. Maka apabila Ayatullah Khomeini meninggal dunia, jawatan pemimpin agung dilantik dari bukan keturunan Khomeini iaitu Ali Khamenei.

Lantikan yang mencabar Amerika

Jadi Ali Khamenei pun tidak setuju anaknya dilantik sebagai penggantinya. Namun begitu, apabila Ali Khamenei meninggal dunia, Dewan Pakar memasukkan nama Mojtaba sebagai calon. Sementara calon-calon lain ialah Ayatullah Alireza Arafi, Ayatullah Mohammad-Mahdi Mirbagheri, Hashem Busheri dan Hassan Khomeini yang merupakan cucu kepada Ayatullah Khomeini.

Tetapi akhirnya Dewan Pakar memilih Mojtaba Khamenei. Ada pemerhati berpendapat Mojtaba dipilih kerana suasana kini politik setantau. Lantikan itu dibuat sebab hendak mencabar Amerika. Oleh kerana Amerika dan Israel menyerang Iran secara berterusan mereka hendak menyatakan bahawa mereka tetap menentang Israel dan Amerika.

Mojtaba kehilangan bapa, ibu, isteri dan anak apabila dibom oleh Israel/Amerika. Ia merupakan sesuatu yang amat berat untuk ditanggung oleh sesiapa. Memang wajar untuk beliau membalas dendam.

Sebaik saja dilantik, beliau tidak memberi ucapan atau wawancara, tetapi Iran melancarkan peluru berpandu hipersonik yang mampu tembus ke dalam bunker atau bilik perlindungan bom Israel.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS