Faktanya, perang Israel-Amerika-Iran yang sedang berlangsung dimulakan oleh Israel dan Amerika Syarikat. Maka pemimpin yang bertanggungjawab ialah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Presiden Donald Trump. Maka jika ia hendak dihentikan, kedua-dua pemimpin itu hendaklah menghentikan serangan terhadap Iran.
Tetapi masalahnya mereka tidak mahu menghentikan serangan kerana jika perkara itu dilakukan, maka mereka dikatakan kalah. Mereka tidak mahu kalah, mereka mahu menang. Buat masa ini, perang perlu diteruskan hingga salah satu pihak mahu mengakui kekalahan, sesuatu yang tidak akan berlaku kecuali ada pihak yang berada dalam keadaan tidak dapat bertahan untuk meneruskan peperangan. Sama ada sudah terlalu banyak kematian ataupun sumber bagi meneruskan peperangan itu sudah tiada.
Walaupun fakta yang menunjukkan Israel dan Amerika yang menyerang Iran tetapi naratif mereka ialah serangan itu ada justifikasinya iaitu menghalang Iran daripada membangun senjata nuklear. Kalau tidak dihalang, Iran menjadi imminent threat (ancaman yang bakal berlaku).
Tetapi imminent threat itu adalah sangkaan atau penilaian Amerika dan Israel. Bagi Iran sebagai negara berdaulat, ia berhak untuk mempertahankan diri mereka termasuk memiliki senjata nuklear. Sedangkan Amerika dan Israel yang mempunyai senjata nuklear. Maka kedua-duanya bukan saja menjadi imminent threat pada Iran tetapi kedua-duanya telah melakukan aggression (pelanggaran) terhadap Iran. Maka dalam keadaan ini, Iran berhak mempertahankan diri dengan memiliki senjata nuklear.
Semua negara berhak untuk mempertahankan diri dan hidup dengan aman. Tetapi masalah dengan Amerika dan Israel ialah mereka berasa bukan saja mempunyai hak mempertahankan diri tetapi juga melanggar dan menakluk wilayah orang lain.
Israel telah menakluk wilayah orang lain, daripada Palestin, Lubnan hinggalah kepada Syria. Senarai negara yang Amerika langgar adalah lebih panjang tetapi semasa pentadbiran kedua Trump, Amerika telah melanggar Venezuela dan secara terbuka menyatakan kemahuan mereka untuk menakluk Iran, Cuba, Kanada, Denmark (Greenland) dan Nigeria. Semua negara itu wajar menganggap Amerika sebagai imminent threat.
Gelagat Amerika yang tidak mempedulikan tata dunia yang beradab dan bertamadun menunjukkan bahawa mereka beroperasi bukan sebagai sebuah negara demokratik yang boleh dijadikan contoh tetapi merupakan kuasa imperialisme yang tidak menghormati negara-negara lain.
Iran dianggap sebuah negara "jahat" (rogue nation) yang bukan saja dihalang daripada memiliki senjata nuklear tetapi malah perlu ditumbangkan sistem pemerintahannya iaitu "regime change".
Negara yang dianggap "jahat" itu dipanggil rejim dan bukannya kerajaan tetapi sebuah kediktatoran. Sedangkan Amerika dan Israel tidak diistilahkan sebagai rejim sedangkan cara kerajaan Israel dan Amerika dipilih adalah jauh daripada demokratik. Mana tidaknya, golongan bilionair Zionis mampu mencorakkan kerajaan mana yang patut dipilih rakyat.
Kerangka Islamofobia
Sementara itu, kebencian dunia terhadap Iran dibuat dalam kerangka Islamofobia. Dengan menakut-nakutkan dunia terhadap "bahaya Islam yang kolot dan ganas," mereka dapat membawa Islamofobia terhadap Iran. Di kalangan umat Islam di seluruh dunia pula dibawa sentimen Syiah-fobia. Maknanya Iran dianggap sebagai kuasa Syiah yang berbahaya bagi orang Sunni yang merupakan majoriti.
Propaganda dan perang maklumat adalah sebahagian daripada serangan Israel dan Amerika ke atas Iran. Mereka bukan saja menggunakan media legasi (arus perdana) tetapi lebih penting lagi ialah media digital dengan mengupah laskar-laskar siber dan pempengaruh.
Operasi serangan Israel dan Amerika ke atas Iran itu dinamakan Epic Fury (Amukan Dahsyat). Ia, seperti kata Trump bertujuan menghapuskan pucuk kepimpinan Iran dengan membunuh Ayatullah Ali Khamenei yang diharap dapat meruntuhkan kerajaan Republik Islam dan disusuli oleh kebangkitan rakyat Iran dengan menubuhkan sistem pemerintahan baharu demokratik dan mesra pada Israel dan Amerika. Rancangan ini adalah berdasarkan pada maklumat yang diperolehi dari risikan ejen-ejen Mossad dan CIA.
Tetapi rancangan ini tidak berjalan lancar kerana Republik Islam tidak tumbang. Ayatullah Ali Khamenei dengan segera digantikan oleh anaknya, Mojtaba dan Iran melancarkan serangan balas. Mereka menyerang Israel dan pangkalan-pangkalan tentera Amerika di Qatar, Kuwait, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Jordan, Iraq dan Syria. Pangkalan-pangkalan itu telah dan boleh digunakan oleh Amerika untuk menyerang Iran. Operasi Iran ini dipanggil sebagai True Promise 4 (Janji Sejati 4). Ia sebagai menepati janji untuk membalas pembunuhan Pemimpin Agung mereka. True Promise 3 berlaku pada Oktober 2025, True Promise 2 pada Jun 2025 dan True Promise 1 pada April 2024. Kesemuanya adalah untuk membalas serangan Amerika.
Trump kata sepatutnya Iran tidak membalas serangan dan sebaliknya melakukan "serah diri tanpa syarat" (unconditional surrender). Bagaimanakah seorang presiden kuasa besar boleh berfikiran seumpama itu? Tentulah Iran membalas balik. Ternyata maklumat yang disampaikan oleh Mossad dan CIA tidak tepat. Lebih penting lagi penasihat-penasihat Trump dan Netanyahu tidak mengenal budaya bangsa Iran.
Masyarakat antarabangsa seperti biasa apabila menghadapi konflik menuntut diadakan gencatan senjata antara Israel dan Amerika dengan Iran supaya pertempuran tidak berpanjangan dan menyukarkan kehidupan rakyat Iran, negara-negara Teluk dan penduduk Israel. Tetapi lebih penting lagi ialah konflik itu tidak menjejaskan kehidupan dunia yang amat bergantung pada bekalan minyak Teluk Parsi.
Tetapi Iran melalui Menteri Luarnya, Seyed Abbas Aragchi sudah tidak berminat dengan gencatan senjata. Ini kerana apabila diadakan gencatan senjata, keamanan adalah sementara dan serangan dari Israel dan Amerika pasti berlaku lagi. Lebih-lebih lagi Israel yang terkenal sebagai pelanggar gencatan senjata di Gaza dan Lubnan Selatan. Iran sudah mengalami dua kali pengkhianatan gencatan senjata oleh Israel. Ketika rundingan sedang berjalan, Israel dengan mudah dan mengikut pertimbangan mereka melancarkan serangan walaupun rundingan sedang dijalankan. Israel tidak boleh dipercayai.
Reformasi politik Iran
Seperti terhadap konflik yang sedang berlaku ini, Oman yang menjadi orang tengah menyatakan bahawa pencapaian persetujuan adalah positif dan hampir tercapai sepenuhnya oleh Amerika dan Iran. Apa yang diminta oleh Amerika dipenuhi oleh Iran tetapi tiba-tiba Israel menyerang Tehran. Menurut maklumat yang disebarkan oleh Israel, serangan itu dibuat dengan tiba-tiba kerana ejen Mossad memberitahu bahawa mereka telah mengenal pasti di mana Ayatullah Ali Khamenei berada untuk mereka bunuh. Ternyata Israel tidak menghormati gencatan senjata dan rundingan damai. Mereka mahu terus berperang hingga Iran lemah, kucar-kacir dan tidak mampu mengancam Israel.
Tetapi Iran tidak akan membenarkan Israel melemahkannya. Sekarang pun, kehadiran Mossad yang banyak di negara itu perlu dibanteras. Tetapi ia tidak boleh diselesaikan secara perisikan, tangkapan dan hukuman bunuh. Apa yang dapat Iran lakukan ialah serampang dua mata. Iran mesti menghapuskan Israel atau sekurang-kurangnya melemahkan Israel hingga melumpuhkan operasi Mossad. Lebih baik lagi jika Israel dapat dihapuskan dan digantikan dengan penubuhan Palestin.
Kedua, Iran mesti melakukan reformasi politik, sosial dan ekonomi supaya penentangan terhadap kerajaan dapat dikurangkan. Tetapi perkara-perkara itu hanya dapat dilakukan jika Iran menang dalam konflik ini. Reformasi ini meliputi kembali kepada aspirasi dan idealisme Revolusi Islam tahun 1979.
Kini, apa yang Iran tuntut ialah pengunduran semua tentera Amerika dari Timur Tengah supaya ia tidak mengancam Iran lagi. Kedua, menarik balik semua sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika ke atas Iran. Ketiga, membayar pampasan ke atas semua kerugian yang Iran tanggung sejak sekatan ekonomi Amerika pada tahun 1979.
Tuntutan Iran itu amat sukar untuk Amerika penuhi. Maka Iran kata bahawa jika tuntutan itu tidak dipenuhi, mereka akan melakukan tiga perkara ini, iaitu penutupan Selat Hormuz. Kedua, mengaktifkan pakatan dengan China dan Rusia hinggakan mereka dibenarkan membina pangkalan tentera di Iran bagi menghadapi Iran dan Israel. Ketiga, menggerakkan (deploy) senjata nuklear.
Pada Ahad lalu Trump telah memberi kata dua kepada Iran supaya membuka Selat Hormuz, jika tidak ia akan menyerang dan memusnahkan infrastruktur elektrik Iran. Tetapi Iran sebaliknya menyatakan bahawa jika Amerika memusnahkan infrastruktur elektrik di Iran, maka Iran akan memusnahkan infrastruktur elektrik Israel dan negara-negara Teluk.
Trump kemudian menyatakan bahawa beliau menangguhkan tindakannya selama lima hari kerana terdapat perbualan positif dengan pucuk pimpinan Iran. Pihak Iran menafikan.
Perang penuh tipu daya. Walaupun belum nampak siapa akan menang, tetapi sehingga ini Iran telah menunjukkan pada dunia bahawa mana-mana negara pun boleh berdiri menentang Amerika. Tetapi syaratnya ialah mereka perlu mengadakan persediaan dari segi kekuatan ketenteraan melalui strategi geopolitik asimetri (asymmetry) yang dilakukan oleh Iran. Kuasa besar yang mempunyai senjata konvensional perlu dihadapi dengan persenjataan yang kreatif dan tidak disangka.
Sama ada akhirnya Iran berjaya atau tidak, negara itu telah menunjuk bagaimana hendak menentang kuasa-kuasa yang tidak mahu menghormati hak negara lain. Selepas ini dunia pasti sudah berubah.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
