Selat Hormuz kini terkenal. Selat ini menghubungi Teluk Parsi dengan Teluk Oman. Sementara Teluk Oman menghubungi Laut Arab yang bercantum dengan Lautan Hindi.
Kapal-kapal tangki dari Teluk Parsi melintas Selat Hormuz berpecah kepada tiga haluan besar. Ke sebelah timur, ia memasuki Teluk Oman, Laut Arab dan Lautan Hindi untuk menuju ke Jepun, Korea, China, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand.
Kapal yang menghala ke barat akan melalui Teluk Aden, Laut Merah, Terusan Suez, Laut Mediterranean dan Lautan Atlantik iaitu untuk pergi ke Eropah, Afrika Barat dan Amerika Utara. Bagi kapal yang menghala ke selatan, ia memasuki dari Teluk Oman dan Laut Arab, ia terus pergi ke Lautan Hindi untuk sampai ke Afrika Timur.
Tetapi siapakah Hormuz? Beliau adalah seorang panglima kerajaan Sassaniah Parsi yang berlawan pedang dengan Khalid al-Walid, panglima Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, khalifah kedua Khulafaur Rasyidin.
Ia berlaku sebelum bermulanya Perang Rantai di Kazimah, kini berada di Kuwait selatan. Hormuz meminta Khalid yang terkenal supaya tampil dan melawan pedang satu sama satu. Khalid pun tampil. Setelah beberapa ketika berlawan, Khalid dapat membunuh Hormuz. Perang pun berlaku. Ia merupakan kelemahan besar bagi angkatan Parsi kerana panglima utamanya sudah mati.
Perang itu dinamakan Perang Rantai (Battle of Chains) kerana prajurit-prajurit disambung dengan rantai. Ini membolehkan mereka bergerak secara berkumpulan.
Namun begitu, mereka kalah dengan angkatan Arab yang dapat bergerak secara cepat. Perang Kazimah adalah antara siri pertempuran Arab-Parsi yang akhirnya melemahkan dan menumbangkan kerajaan Sassaniah, pemerintahan Parsi terakhir yang beragama Majusi.
Walaupun orang Arab menakluk Parsi tetapi mereka membenarkan orang Parsi terus mengamalkan budaya mereka tanpa paksaan memeluk agama Islam. Bagaimanapun, sedikit demi sedikit orang Parsi menukar agama mereka kepada Islam bermazhab Sunni semasa pemerintahan Umayah dan Abasiah.
Kisah panglima Hormuz bertarung dengan Khalid al-Walid yang terdapat dalam tradisi pengkisahan orang Islam telah disanggah oleh ahli-ahli sejarah moden.
Walaupun mereka tidak menafikan bahawa panglima yang mengetuai tentera Parsi itu bernama Hormuz tetapi tiada bukti berlaku pertarungan satu lawan satu dengan Khalid al-Walid. Pertarungan itu dianggap sebagai legenda orang Arab untuk mengagungkan Khalid al-Walid. Hormuz dipercayai terbunuh ketika perang rantai itu berlaku.
Nama lazim orang Parsi
Tetapi Hormuz merupakan nama lazim orang Parsi purba. Malah terdapat raja dan kerajaan yang bernama Hormuz dan terletak berhampiran dengan selat itu.
Sejak orang Arab dan Parsi melintas selat itu, dari pelabuhan-pelabuhan di Teluk Parsi sama ada di Basrah dan Bandar Abbas, selat itu dikenali sebagai Selat Hormuz. Kapal-kapal saudagar itu belayar menuju ke timur melalui Laut Arab, singgah di pelabuhan-pelabuhan pesisir Malabar dan Kerala di India untuk menyambung pelayaran ke Madras, Tamil Nadu dan akhirnya sampai di Melaka pada abad ke-13.
Apabila Portugis masuk ke Teluk Parsi melalui selat itu pada kurun ke-16, selat itu sudah dikenali sebagai Selat Hormuz. Maka apabila pihak British masuk ke perairan abad ke-17 dan membuat peta, maka dicatatkan nama Straits of Hormuz. British juga menamakan Teluk Parsi (Persian Gulf), Teluk Oman (Gulf of Oman), Laut Arab (Arabian Sea) dan Lautan Hindi (Indian Ocean) yang diterima oleh pembuat-pembuat peta, kartografer Eropah yang kemudiannya diterima umum oleh dunia melalui Pertubuhan Hidrografik Antarabangsa yang membuat piawaian nama tempat.

Apabila Parsi menukar namanya kepada Iran pada tahun 1935, Teluk Parsi tidak menukar namanya kepada Teluk Iran. Namun begitu, negara-negara Arab tidak suka nama Teluk Parsi kerana ia mencerminkan dominasi Iran terhadap kawasan laut itu.
Negara-negara Arab di Teluk Parsi yang enggan menyebut nama itu ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, dan Qatar. Mereka memanggil Teluk Parsi sebagai Teluk Arab (Arabian Gulf) ataupun hanya disebut sebagai The Gulf (Teluk) dengan diri mereka sebagai gulf countries atau negara-negara teluk. Sebab itu, pertubuhan serantau mereka dinamakan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Sedangkan negara-negara Teluk Parsi bukan terdiri daripada mereka saja tetapi juga Iran dan Iraq. Dengan nama Teluk Parsi tidaklah bermakna Parsi atau Iran menguasai atau mendominasi teluk itu. Seperti mana Laut Arab di mana pesisirnya terdiri daripada Oman, Pakistan dan India tidak bermakna ia milik atau didominasi oleh negara-negara Arab. Negara Arab yang berada di Laut Arab hanyalah Oman. Pesisir yang lebih luas adalah India dan Pakistan. Ia hanyalah nama yang diberikan oleh sejarah dan diabadikan oleh kartografi British dan diterima oleh Barat dan kemudiannya oleh dunia.
Namun begitu, di Teluk Parsi, Iran adalah negara paling besar dan pastinya paling dominan. Ini diikuti dengan Iraq dan Arab Saudi. GCC ditubuhkan atas kebimbangan terhadap pengaruh Iran. GCC ditubuhkan pada tahun 1981, dua tahun selepas Revolusi Islam Iran dan penubuhan Republik Islam Iran. Tetapi ancaman bagi GCC bukan saja dirasakan dari Iran tetapi juga dari Iraq apabila Saddam Hussein menjadi presiden kelima pada tahun 1979.
Iran era Shah
Semasa pemerintahan Shah Iran, Mohamad Reza Pahlavi, negara-negara Teluk itu tidak berasa terancam. Iran ketika itu bukan saja sekutu Amerika Syarikat tetapi juga mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Malah apabila Bahrain mengisytiharkan kemerdekaannya dari Britain pada tahun 1971, Iran melepaskan tuntutan ke atas Bahrain. Negara ini menjadi tanah naungan Britain pada lewat abad ke-19. Ia pernah berada di bawah Parsi semasa pemerintahan Shah Abbas dari kerajaan Safawiah. Shah Abbas telah merampas Bahrain dari Portugis pada tahun 1602. Portugis menjajah Bahrain dari tahun 1521. Sebelum itu Bahrain diperintah oleh raja-raja Arab sejak rakyatnya memeluk Islam ketika zaman Nabi Muhammad.
Ancaman dari Iraq adalah lebih kuat kerana soal ideologi. Brigadier Abdul Karim Qassim telah menggulingkan Raja Faisal II dan Iraq menjadi republik. Fahaman republik itu ialah nasionalis kiri berupa anti-monarki, anti-imperial dan mempunyai unsur sosialis. Kerajaan Abdul Karim menuntut Kuwait sebagai milik Iraq. Ketika itu, Kuwait adalah tanah naungan Britain. Hanya pada tahun 1961, ia merdeka.
Apabila Saddam Hussein menguasai Iraq, ia berbuat demikian atas fahaman ideologi Baathisme. Fahaman yang digubal oleh Michel Aflaq dari Syria memperjuangkan penyatuan semua negara Arab, dari Maghribi ke Iraq bawah pemerintahan Parti Arab Baath yang mengutamakan pencerahan tamadun Arab dalam kerangka sosialisme. Maka dalam fahaman ini, semua raja-raja digulingkan. Ketika berada di puncaknya, Parti Baath menguasai Iraq dan Syria.
Maka Iraq dan Syria pada tahun 1979 sudah tentu mengancam semua negara-negara Arab yang diperintah oleh raja iaitu Maghribi, Jordan, Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar dan Oman.
Maka Iraq dalam pengertian Baathisme bukan saja memusuhi Israel yang berbangsa Yahudi tetapi juga Iran yang berbangsa Parsi. Maka pada tahun 1980, Iraq memasuki Iran dan bermulalah perang yang memakan masa lapan tahun.
Pada tahun 1984, ketika berada di Baghdad, Iraq, saya melihat satu gambar dan peta politik di Hotel Rasheed, tempat saya menginap. Gambar itu adalah lukisan minyak menggambarkan Perang Qadisiah pada tahun 636 yang tentera Islam bawah Khalifah Umar bin Khattab mengalahkan tentera kerajaan Sassaniah Parsi pimpinan Rostam Farrokhzad.
Perang itu memberikan kemenangan Islam dan tumbangnya kerajaan Sassaniah Parsi. Walaupun ia merupakan peperangan agama bagi menyebarkan Islam tetapi Saddam Hussein yang nasionalis sekular melihatnya dari sudut bangsa, iaitu bangsa Arab berjaya mengalahkan bangsa Parsi. Bukannya umat Islam mengalahkan penganut agama Majusi.
Dari peta itu juga, saya melihat Iraq bawah Saddam mahu menakluk wilayah Khuzestan dari Iran. Khuzestan yang kaya minyak itu terletak di sempadan Iran-Iraq. Majoriti penduduknya adalah orang Arab bermazhab Sunni, namun mereka adalah warganegara Iran. Saddam menamakan Khuzestan sebagai Arabestan. Beliau juga menamakan Teluk Parsi sebagai Teluk Arab. Usaha Saddam itu ternyata gagal dan Baathisme gagal dengan tumbangnya kerajaan Bashar al-Assad di Syria.
Lihatlah Asean
Bagi keamanan pada masa depan, keselamatan Teluk Parsi wajar bersifat inklusif. Maknanya GCC wajar digantikan dengan PGCC (Persian Gulf Cooperation Council) dengan keanggotaannya bukan saja negara-negara Teluk sedia ada tetapi juga merangkumi Iraq dan Iran. Jika ada hubungan baik itu, Selat Hormuz boleh dilihat sebagai terletak bawah pengurusan bersama majlis itu walaupun kedaulatannya masih berada pada Iran dan Oman. Untuk menjayakan suasana aman ini, Amerika Syarikat perlu menutup pangkalan-pangkalannya di Iraq, Arab Saudi, Bahrain, UAE, Kuwait dan Qatar.
Iran tidak perlu menjadi kuasa dominan di rantau itu asalkan tiada kuasa besar mengancamnya. Cuba lihat Asean yang pernah ditubuhkan oleh lima negara Asia Tenggara kerana bimbang kemaraan komunis di Indochina. Tetapi negara-negara komunis iaitu Vietnam dan Laos menjadi ahli. Dalam Asean ada juga selat yang penting iaitu Selat Melaka yang sebahagian perairannya di bawah kedaulatan Malaysia dan Indonesia.
Dalam Asean ada negara besar iaitu Indonesia dan Vietnam tetapi tidaklah mengancam negara-negara kecil dan sederhana di dalamnya. Melaka adalah sebuah negeri dalam Malaysia. Walaupun selat itu bernama Selat Melaka tetapi ia bukan milik Melaka.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
