Paling Popular
Terkini

Kedatangan Kedua atau Second Coming adalah konsep yang dipercayai oleh penganut agama Kristian dan juga Islam. Kedatangan Kedua ini adalah kepercayaan bahawa kali kedua Nabi Isa akan kembali ke bumi selepas kedatangannya yang pertama dan kenaikannya ke syurga kira-kira dua ribu tahun yang lalu.

Islam percaya bahawa Nabi Isa akan turun semula ke bumi sebagai salah satu tanda besar kiamat. Dalam ajaran Islam Nabi Isa tidak wafat ketika disalib. Nabi Isa diangkat oleh Allah ke langit. Nabi Isa akan kembali untuk menegakkan keadilan, membunuh Dajal, serta menguatkan syariat Islam sebelum hari kiamat.

Selain daripada Nabi Isa akan muncul juga Imam Mahdi. Sosok muda seorang Arab Muslim yang akan dipilih oleh Allah untuk menghancurkan semua kezaliman dan menegakkan keadilan di muka bumi sebelum datangnya hari kiamat.

Kepercayaan Isa akan sampai ke bumi untuk kali kedua adalah juga ajaran suci Kitab Injil yang diyakini oleh penganut agama Kristian.

Dalam Islam, kedatangan Imam Mahdi disebut dalam hadis Nabi.

Dalam kepercayaan penganut agama Yahudi Ortodoks pula, menjadi tugas suci penganutnya untuk mendirikan Kuil Ketiga. Tugas suci mendirikan Kuil Ketiga ini bertujuan untuk menebus kembali masa depan kaum Yahudi.

Tapak yang dicadangkan untuk membina Kuil Ketiga ini di wilayah Haram al-Sharif. Wilayah di mana Kubah Batu dan Masjid al-Aqsa berdiri pada masa ini.

Justeru untuk penganut tiga agama ini – Yahudi, Kristian dan Islam – mereka menganggap wilayah dan tempat-tempat ini amat suci.

Untuk Islam ada Masjid al-Aqsa. Untuk Kristian tempat Nabi Isa akan muncul sekali lagi di wilayah yang sama. Untuk Yahudi pada hari ini wujud Wailing Wall atau Tembok Ratapan. Berhampiran dengan Masjid al-Aqsa.

Kesemua ini adalah wilayah dan tapak suci dalam ajaran dan kepercayaan agama Yahudi, Islam dan Kristian. Semua terletak di Kota Lama Jerusalem atau Baitulmuqaddis.

Tembok Ratapan adalah tembok penahan terakhir Kuil Kedua, dibina oleh Raja Herod Agung sekitar 20 Sebelum Masihi dan dimusnahkan oleh orang Rom pada 70 Sesudah Masihi. Hari ini penganut agama Yahudi berkunjung untuk berdoa dan meninggalkan nota kertas di celah-celahnya, melambangkan iman dan harapan.

Tiga agama saling terkait

Umat Islam pula bersembahyang di Masjid al-Aqsa–tanah suci–kiblat pertama agama Islam sebelum berpindah ke Kaabah di Mekah. Masjid al-Aqsa juga ialah tempat Nabi Muhammad meninggalkan bumi naik ke langit di malam Israk Mikraj.

Tiga agama besar dalam dunia ini kait-berkait. Tiga agama ini memiliki punca kepercayaan, nabi dan sejarah yang sama. Tetapi pada hari ini kelihatan jelas tiga agama ini sedang bertelingkah.

Pertelingkahan kepercayaan agama ini pada hari ini telah sampai ke tahap yang amat membahayakan.

Bahaya yang dimaksudkan ini tidak lain tidak bukan ialah Perang Iran yang sedang memasuki bulan kedua. Mungkin ramai tidak sedar di belakang Perang Minyak, Perang Iran atau Perang Selat Hormuz ini wujud garis agama yang sama memangkin dan membakar suhu perang ini.

Saya bukan sosok yang arif dalam hal kepercayaan agama Yahudi, Kristian atau Islam. Apa yang saya tulis ini adalah hasil daripada apa yang saya baca di media sekular yang terbuka. Fakta-fakta ini adalah fakta yang bersepah di portal sekular.

Apa yang saya tulis ini ialah geopolitik yang bersadur dengan keyakinan fahaman agama. Saya menulis dari kaca mata sekular untuk membawa pembaca memahami latar belakang geopolitik Perang Iran yang berlaku sekarang.

Selain daripada daulah terpendam dan industri senjata yang mengasak berlakunya Perang Iran ini ialah kumpulan agama.

Pandangan dan ajaran agama Yahudi Ortodoks dan juga Kristian Zionis sedang memangkin perang ini untuk diteruskan. Dua kumpulan ini yang memiliki dan menganuti ajaran yang sama mahu berlaku apa yang dipanggil Armageddon, pertempuran akhir zaman, end of time–seperti tertulis dalam kitab wahyu Perjanjian Baru Kristian.

Armageddon ditafsirkan dengan pelbagai cara sama ada sebagai lokasi literal atau simbolik. Istilah itu semakin kerap digunakan dalam erti kata generik untuk merujuk kepada sebarang senario akhir dunia.

Dalam teologi Islam, Armageddon juga disebut dalam hadis sebagai Perang Terbesar atau al-Malhama al-Kubra.

Al-Malhama al-Kubra–pertempuran terhebat–ialah peristiwa apokaliptik dalam eskatologi Islam. Pertempuran akhir zaman sebagai tanda besar hari Kiamat.

Penganut Yahudi Ortodoks telah lama menunggu masa dan detik ini. Malah penganut Ortodoks ini amat yakin apa yang berlaku sekarang–Perang Iran ini–adalah sebahagian daripada tanda-tanda dijanjikan oleh Tuhan. Justeru mereka sedang bersedia untuk mendirikan kembali Kuil Ketiga.

Ritual sembelih lembu

Salah satu daripada kepercayaan Yahudi Ortodoks ialah penyembelihan ritual lembu kemerah-merahan untuk menyucikan rabi yang akan mendirikan kembali Kuil Ketiga ini.

Pada 20 September 2022 akhbar Jerusalem Post dari Israel melaporkan penemuan lima ekor lembu betina merah sempurna mengikut ajaran Yahudi. Lembu-lembu ini ditemui di ladang lembu di Texas, Amerika.

Lembu-lembu betina bawah umur satu tahun yang dianggap suci tanpa kecacatan ini dibawa ke Israel untuk persediaan membina Kuil Ketiga di Baitulmaqdis.

Jangan terperanjat, pada 22 Mac 2019 portal berita BBC melaporkan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo yang menganggap Presiden Donald Trump dihantar oleh Tuhan untuk menyelamatkan Israel daripada Iran.

Perspektif bahawa Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dihantar oleh Tuhan adalah pandangan yang dipegang oleh kumpulan Yahudi Ortodoks dan Kristian Zionis.

Ada yang menyamakan Trump dengan tokoh Cyrus yang disurahkan dalam kitab Perjanjian Baru. Pandangan ini berakar umbi dalam kepercayaan kepada "rancangan ilahi" atau "campur tangan tuhan" mengenai perlindungan Israel dan Timur Tengah. Ini adalah pandangan yang sama seperti pandangan bekas Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo.

Paling terkini dan terbaru ialah laporan portal The Hill pada 29 Mac 2026 melaporkan taklimat Setiausaha Pertahanan Amerika Pete Hegseth yang mencadangkan agar rakyat Amerika berlutut dan berdoa kepada Nabi Isa untuk kejayaan pasukan askar Amerika di Timur Tengah.

Berdoa bukan budaya tentera Amerika yang sekular. Soldadu berdoa ini belum pernah berlaku.

Beberapa hari kemudian, setiausaha pertahanan ini membacakan khutbah yang berdoa agar "jiwa jahat" "diserahkan kepada kutukan yang kekal" dalam memerangi Iran.

Setiausaha pertahanan itu menggunakan mimbar tentera untuk mempromosikan jenama Kristian Zionis yang agresif dan kontroversial.

Kini ada pandangan pakar dan juga veteran tentera yang melihat apa yang dilakukan oleh Hegseth membawa sentimen agama akan mengancam dan memecahbelahkan tentera Amerika.

Tetapi inilah hakikat latar belakang Perang Iran yang agak tersorok dan tidak diheboh-hebohkan oleh media.

Jelas kelihatan semua berlaku seperti yang telah dijanjikan. Perang Iran ialah perang akhir zaman seperti Armageddon. Perang ini yang dijanjikan dalam kitab suci Perjanjian Baru. Lembu kemerah-merahan juga telah ditemui dan telah dibawa ke Israel.

Teori konspirasi

Ada pemerhati politik sekular dan juga para alim ulama Islam yang memberi perhatian rapi dari sudut Armageddon dan Perang Akhir Zaman ini.

Mereka berpendapat jika ini dalam perancangan Yahudi Ortodoks dan Kristian Zionis maka Masjid al-Aqsa akan menjadi sasaran. Yahudi Ortodoks mahu mendirikan Kuil Ketiga di atas tapak keruntuhan Masjid al-Aqsa. Pada ketika ini Masjid al-Aqsa masih tegak berdiri.

Justeru satu teori konspirasi muncul. Teori ini diperkuatkan pula oleh Operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023. Operasi dari Gaza ini mengambil sempena nama al-Aqsa.

Disurahkan operasi ini dilakukan untuk menggagalkan projek mendirikan Kuil Ketiga kerana lembu-lembu betina kemerah-merahan telah sampai ke Baitulmuqaddis.

Pada ketika ini Masjid al-Aqsa masih selamat. Tapi telah ada pemerhati politik dan agamawan yang mengandaikan kemungkinan akan berlaku Projek Salah Bendera.

Peluru berpandu akan meruntuhkan Masjid al-Aqsa. Bila ini berlaku maka yang akan dituduh ialah Iran. Telah beberapa kali peluru berpandu yang dikatakan dari Iran telah meledak di Baitulmuqaddis.

Pada ketika ini masih belum dapat dilihat ke arah mana perang ini akan menuju. Dari apa yang berlaku jelas kelihatan Israel, Zionis Kristian dan Yahudi Ortodoks bersama Industri Senjata masih belum mahu menamatkan perang ini.

Kumpulan yang mahu perang berterusan hingga ke Armageddon ini sedang bertembung dengan kaum kapitalis dunia yang sedang merasakan ekonomi dunia diganggu gugat.

Kita tunggu dan lihat siapa yang lebih kuat. Kaum kapitalis atau para penganut Yahudi Ortodoks dan Kristian Zionis. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS