KOLUM | Ketika Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi, dan permaisurinya, Shahbanu Farah Diba, melawat Malaysia pada 1968, Yang di-Pertuan Agong ialah Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Terengganu, manakala perdana menteri ialah Tunku Abdul Rahman Putra.
Shah Iran menyampaikan ucapannya di parlimen. Ketika itu Iran tiada keduataan di Kuala Lumpur. Justeru pejabat mereka di Bangkok ditauliahkan untuk urusan hubungan dengan Malaysia.
Memang sejak dulu Kuala Lumpur mempunyai hubungan baik dengan Tehran.
Pada masa itu jiran Iran, Afghanistan, juga diperintah oleh raja iaitu Zahir Shah. Begitu juga dengan negara-negara Arab yang menjadi jirannya iaitu Arab Saudi, Jordan, Kuwait dan Oman.
Qatar, Bahrain dan negeri-negeri Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula masih merupakan wilayah naungan British.
Sementara itu negara-negara Arab yang pernah ada raja tetapi digulingkan sebelum 1968 lalu membentuk negara republik ialah Mesir, Iraq, Libya dan Yaman. Syria sememangnya sebuah republik sejak merdeka daripada Perancis.
Dua tahun kemudian – iaitu 1971 – Shah Iran mengadakan sambutan ulang tahun ke-2,500 Empayar Parsi bagi memperingati raja Parsi paling unggul iaitu Cyrus (Korosh) The Great dari Empayar Akaemenid (Achaemenid) yang memerintah sejak 550 sebelum Masihi.
Perayaan golongan takbur
Shah Iran mengadakan perayaan itu secara gilang-gemilang di kota lama Iran, Persepolis atau Takht-e Jamshid.
Perayaan itu dibuat untuk menegaskan bahawa legitimasi Dinasti Pahlavi adalah bersambung lepada raja-raja Iran dahulu, bermula dengan kerajaan Akaemenid bersambung sehingga kerajaan Safawiah dan Qajar yang bermazhab Syiah.
Sambutan yang mewah penuh dengan acara diraja itu turut dihadiri 60 orang raja dan ketua negara dari seluruh dunia. Namun ia tidak melibatkan rakyat Iran sendiri.
Negara yang kaya minyak itu masih berada pada kedudukan Dunia Ketiga. Dengan kemewahan rajanya, maka tentulah dibuat perbandingan dengan keadaan kebanyakan rakyatnya masih miskin.
Bukan itu saja, mereka dari segi politik juga tidak bebas. Justeru ulama dan intelektual Iran menganggap perayaan dibuat Shah Iran itu sebagai “ketakburan” (arrogant), manakala Shah Iran dan negara yang menyokongnya – seperti AS, Eropah dan Israel – sebagai mustakbirin (golongan yang takbur) yang menindas golongan mustadhafin (golongan daif).

Walaupun Barat menyokong Shah Iran sebagai sekutu mereka bagi melawan Soviet Union, pejuang demokrasi, sama ada liberal mahupin sosialis tetap menentang Shah Iran.
Bagi mereka, menyokong Shah Iran dianggap tidak adil dan tidak bermoral.
Dari masa ke masa ada saja ada rencana atau tulisan mereka yang mengkritik Shah Iran disiarkan melalui majalah Time dan Newsweek. Kritikan dibuat kerana Shah Iran menekan kebebasan politik Iran.
Para intelektual Barat mengimpikan dan menyokong sebarang pemberotakan supaya monarki mutlak Iran ditumbangkan dan digantikan dengan sebuah negara demokratik dan progresif. Mungkin seperti sebuah kerajaan raja berperlembagaan seperti Jepun yang pro-AS dan mesra Israel.
Maka menjelang 1979, di akhbar dan majalah sudah tersiar gambar demonstrasi dan rusuhan anti-Shah Iran. Dia dianggap diktator dan kejam, lebih-lebih terkait agensi perisik negara, Savak, yang mendapat bimbingan CIA untuk mendera dan membunuh para aktivis antikerajaan.
Masyarakat Barat tidak dapat menerima Iran diperintah tanpa demokrasi dan hak-hak manusia walaupun pada masa sama kerajaan mereka berpuas hari dengan dasar Shah Iran yang menolak komunisme serta menjadi sekutu AS, selain mengiktiraf Israel.
Apabila berlaku demonstrasi besar-besaran pada 1979, pelbagai golongan politik sama ada prodemokrasi mahupun kiri berganding bahu menentang kerajaan. Tetapi revolusi Iran tidak akan berjaya tanpa penyertaan ulama dan golongan agama.
Mereka pula mengambil sikap tidak mahu menyertai politik kerana berfahaman bahawa apa yang perlu dilakukan hanyalah menunggu kedatangan Imam Mahdi.
Sementara menunggu Imam Mahdi
Revolusi 1979 pasti tidak akan berjaya tanpa pemimpin yang boleh menyatukan rakyat dan menentukan arah tuju negara. Maka kebetulan Ayatullah Ruhollah Khomeini yang dibuang negeri (mula-mula ke Iraq dan kemudian ke Perancis) mampu memberikan kepimpinan.
Khomeini menuntut Shah Iran melepaskan jawatan. Apabila pihak tentera menyebelahi Khomeini, Shah Iran kalah. AS meminta Shah Iran keluar untuk sementara waktu bagi menanti keadaan menjadi reda.
Apabila keluarga Shah Iran pergi ke Kaherah, Mesir, Khomeini pun pulang dari Paris dan memimpin Revolusi Islam Iran. Ternyata Shah Iran terpaksa meninggalkan Iran untuk selama-lamanya.
Revolusi pimpinan Khomeini ialah Revolusi Islam yang turut disertai oleh ulama. Untuk itu, Khomeini mengemukakan gagasan Wilayatul Faqih yang bermakna pemimpin revolusi sebagai wali atau pelinding negara sebelum turunnya Imam Mahdi.
Ia juga bermakna Revolusi Islam yang berlaku di Iran menolak fahaman golongan-golongan lain seperti demokratik, liberal dan kiri. Maka berlaku jugalah pertentangan antara golongan Islam dengan golongan sekular.
Kekerasan dan keganasan mengorbankan para aktivis. Ia berlaku dalam bentuk pengeboman dan pembunuhan. Akhirya golongan Revolusi Islam yang menang.

Untuk mempertahankan Revolusi Islam itulah maka ditubuhkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang amat berkuasa, malah mengatasi Angkatan Tentera Republik Islam Iran.
Angkatan tentera mempertahankan Republik Islam yang diketuai presiden tetapi IRGC mempertahankan Revolusi Islam dan bertanggungjawab secara langsung kepada Rahbar (Pemimpin Agung).
Legitimasi Rahbar terletak pada Revolusi Islam, sementara Revolusi Islam terletak pada dua konsep iaitu “Revolusi” dan “Islam.” Revolusi terletak pada aspirasi rakyat yang dizahirkan melalui demonstrasi besar-besaran, manakala Islam diungkapkan oleh institusi ulama.
Dalam hal itu, terdapat perbezaan antara institusi Revolusi Islam dan institusi Republik Islam.
Republik Islam Iran ialah struktur negara, sementara Revolusi Islam adalah ideologi yang menyatakan bahawa kemahuan rakyat yang berdasarkan pada Islam dicetuskan melalui revolusi pada 1997.
Tehran ingat sampai bila-bila
Kesemua gagasan itu dilaksanakan melalui Perlembagaan Republik Islam yang memperoleh legitimasi melalui referendum di seluruh negara.
Sebaik saja berlaku Revolusi Islam, Washington bertindak mahu memadamkannya. Untuk itu mereka menyokong dan membantu Iraq menakluk wilayah Khuzestan yang terletak di sempadan dengan Iraq, kaya dengan minyak dan didiami oleh orang Arab.
Ia kemudian membawa kepada Perang Iran-Iraq.
Baghdad bukan saja hendak menghalang tersebarnya Revolusi Islam ke Iraq tetapi mereka mengambil peluang menakluk Khuzestan – yang dipanggil Arabestan – sebagai wilayah mereka selaras dengan fahaman nasionalis kiri Baathisme.
Fahaman itu mengimpikan semua wilayah Arab diperintah oleh seorang pemimpin di Baghdad iaitu Saddam Hussein.
Turut membantu Iraq ialah negara-negara Arab Teluk iaitu Kuwait, Bahrain, Qatar dan UAE yang mempunyai pangkalan tentera AS. Turut menyebelahi Iraq ialah kumpulan Ikhwanul Muslimin yang mempunyai cawangan di semua negara Arab. Begitu juga dengan kumpulan kiri Iran, Mujahideen-e Khalq.
Tentulah Iran ingat tentang perkara ini sampai bila-bila.

Perang Iran-Iraq berakhir pada 1988 dengan Iran dapat memperoleh semula wilayah Khuzestan. Iraq, negara-negara Teluk dan AS gagal menghalang Revolusi Islam dan gagal menumbangkan Republik Islam.
IRGC yang berperanan besar dalam Perang Iran-Iraq sentiasa berwaspada terhadap hakikat bahawa AS, Israel, negara-negara Arab, kumpulan Islam Sunni dan golongan demokratik serta liberal yang mahu menghapuskan Revolusi Islam dan menumbangkan Republik Islam.
Sejak itu, IRGC merancang untuk membangunkan suatu strategi perang yang unik bagi menghadapi AS.
Rancangan ke atas Iran
Pada 1990, berlaku krisis yang disebut sebagai Perang Teluk Pertama apabila Iraq menakluk Kuwait dan AS menghantar tentera ke Arab Saudi untuk menyerang Iraq. Ketika itu Iran bersikap berkecuali dan memerhati saja bagaimana perang sesama Arab itu berkembang.
Tidak ada negara Arab yang menyokong Iraq. Semua negara Arab mendukung Kuwait.
Iran juga memerhatikan bagaimana Israel meletupkan loji nuklear Iraq di Osirak. Israel memang tidak akan bertolak ansur terhadap apa saja senjata yang berbau nuklear.
Tetapi pelajaran paling besar bagi IRGC ialah Perang Teluk Kedua yang tercetus apabila AS menakluk Iraq dan menumbangkan kerajaan Baathis pimpinan Saddam. Malah Saddam dibunuh dan AS menubuhkan pangkalan-pangkalan besar di Iraq.
Keseluruhan peperangan itu diteliti oleh Tehra dengan pemahaman bahawa satu hari nanti AS akan menyerang dan cuba menakluk Iran juga. Pelbagai alasan akan digunakan untuk melemahkan Iran. Paling utama ialah sekatan ekonomi.

Maknanya perang AS dibuat secara menyeluruh iaitu melibatkan ekonomi, politik serta sosial bagi melemahkan Iran.
IRGC faham bahawa semua pangkalan tentera AS di Iraq, Bahrain, Qatar, UAE dan Kuwait akan digunakan untuk menakluk Iran.
Justeru peperangan yang mahu dilancarkan oleh AS ke atas Iran adalah berbentuk serantau. Malah Arab Spring di Syria dan penaklukan AS ke atas Afghanistan adalah sebahagian daripada rancangan Washington untuk mengepung Iran.
Pangkalan tentera AS di Bagram, Afghanistan, dibina sebagai pelengkap rancangan Rumah Putih mahu menyerang Iran.
Sebuah lagi negara yang digunakan oleh AS untuk menyerang Iran ialah Azerbaijan. IRGC faham tentang semua perkara itu. Kerana itulah ia perlu mencorak strategi berbeza – iaitu asimetri – dalam menghadapi AS.
Strategi yang berbentuk membangunkan keupayaan dron serta peluru berpandu yang disaksikan dalam Perang Israel-AS ke atas Iran sekarang ini merupakan hasil usaha IRGC selama 47 tahun, iaitu sejak Perang Iran-Iraq.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
